Iklan

12 Disember 2017

Trip Segera Trans Nusa Tenggara | Part 1: Kuala Lumpur-Bali


Setelah sekian lama tak jejak kaki ke luar negara, Alhamdulillah akhirnya diberi kesempatan oleh tuhan untuk berpetualang lagi.

Abang kira dah lama dah abang tak menjelajah luar Malaysia. Dok pusing dalam Malaysia ja 2-3 tahun ni. Seingat abang trip terakhir abang ke luar Malaysia adalah tahun 2015 dulu masa trip solo naik Yamaha Nouvo LC Mejejak Salasilah Selatan Thai.

Bukan tak nak keluaq tapi imigresen sangkut! Ngeh ngeh ngeh.

Trip Segera Trans Nusa Tenggara baru-baru ni pun sebenarnya tak dirancang. Semuanya berlaku secara kebetulan & segera.

Adik abang la yang beriya ajak pi Bali. Dia nak pi sesorang kalau abang tak mau teman. Serba salah jugak abang dibuatnya. Haha.

Asalnya memang nak pi Bali semata-mata. Dah dia ajak abang, maka abang la jadi pengarah projek. Abang ubah sikit rancangan asal tu. Abang rancang nak cover kepulauan Nusa Tenggara Timur sampai la ke Nusa Tenggara Barat.

Nak tak nak dia pulak kena ikut abang. Haha.

Abang selalu semak harga tiket flight dekat Airpaz. Tapi waktu beli bukak laman web Airasia untuk beli.

Contoh harga penerbangan KL-Bali untuk bulan Disember & Januari 2017. RM99 pun boleh dapat. Tak payah booking 5-6 bulan awal. Beli 2 minggu sebelum pun dah boleh dapat. Huhu.


Dua minggu sebelum berlepas baru la abang kalut minta cuti & sibuk tengok tiket flight ke Bali. Kebetulan harga tiket flight dari KL ke Bali murah pulak hujung tahun ni. RM99 pun boleh dapat kalau hari biasa. Abang nak pi Bali hari Sabtu dapat la tiket Airasia KL-Bali dengan harga RM139. Tiket balik pulak dari Bali-KL hari Ahad abang dapat RM169. Beli dua minggu sebelum tu. Boleh la tak sampai RM300 pi balik.

Semua urusan nak buat passport semua abang selesaikan dua minggu sebelum pi tu. Takda itinerary apa pun untuk Trip Segera Trans Nusa Tenggara ni. Godek-godek Google je buat kajian sikit. Huhu.






Ni adalah contoh plan perjalanan abang merentasi kepulauan Nusa Tenggara dalam masa 8 hari. Ianya bermula di Bali dan berakhir juga di Bali. Ia boleh dibahagian kepada beberapa bahagian :

1) Kuala Lumpur-Bali
2) Bali-Labuan Bajo (Flores)
3) Labuan Bajo-Bima-Sape-Mataram (Lombok)
4) Lombok-Bali
5) Bali-Kuala Lumpur

Untuk catatan ni abang akan cerita bahagian pertama dulu dari Kuala Lumpur ke Bali.

Penerbangan ke Bali dijadualkan pada hari Sabtu jam 9.00 pagi. Abang dari Penang naik bas Konsortium petang Jumaat tu balik KL dulu. 

Kenapa tak naik flight terus ja dari Penang ke Bali? 

Tak ada penerbangan terus dari Penang ke Bali. Semuanya dari Kuala Lumpur. Kalau naik dari Penang pun kena transit jugak dekat KLIA2. 

Baik beli tiket flight ja dari KL-Bali. Nak pi KL tu pandai-pandai la nak naik apa. 

Abang saja naik bas sebab murah sikit. Pukul 4.30 dah chow dari Penang. Pukul 10.00 malam dah sampai KL. 

Senang naik bas. Murah pun murah, tak perlu tukar banyak kali macam naik flight nak sampai KL tu. Naik terus tiduq sedaq-sedaq dah sampai KL.

Sampai KLIA2 dalam pukul 7.30 pagi. Flight ke Bali dalam pukul 9.00 pagi. Berpoyo-sing dulu bergambaq tengok kapal terbang.
Trip segera adik beradik Trans Nusa Tenggara bermula !


Bawak beg Quechua beli kat Decathlon 20L besaq ni cukup la untuk seminggu. Huhu.

Dari KL pukul 6.30 pagi abang dah naik bas dari KL Sentral ke KLIA2. Tiket bas harga RM12 seorang. Lebih kurang sejam masa perjalanan KL Sentral-KLIA2. Tiket boleh beli di kaunter tempat tunggu bas di bahagian tingkat bawah. Betul-betul depan bas.

Sampai KLIA2 lebih kurang pukul 7.30 pagi. Terus masuk check imigresen. Kami tak check-in beg apa pun. Dah buat web check-in Airasia awal-awal. Bawak beg kecik ja untuk seminggu. Huhu.

Duit Rupiah Indonesia abang dah tukaq siap-siap dekat Penang. Abang tukaq dekat Queensbay Mall. Kadar tukaran duit Rupiah Ringgit waktu tu Rp1Juta=RM310. Abang tukaq dalam RM1000 dapat Rp3.2Juta.

Rupanya flight Airasia D7798 yang abang naik dari KL ke Bali ni jenis Airasia X yang guna kapal terbang jenis Airbus A330. Satu baris sederet tu boleh duduk 9 orang. Selalu dok naik Airasia biasa tu 6 orang ja satu baris. Jakun la sat. Abang ambik seat yang bahagian belakang sekali, dia ada couple seat. Tak sesak sangat.

Nak berlepas pun kena ambik nombor giliran. Dalam 9.45 pagi baru berlepas dari KLIA2 ke Bali.

Abang ambik seat belah belakang pesawat jenis kerusi berdua. Adik abang dia duduk tempat lain, nak seat tepi tingkap jugak.

Dalam pesawat pramugari Airasia akan hanya bagi kita borang pengisytiharan kastam (declaration form) untuk diisi. Tak payah isi arrival card yang macam selalu kita isi bila masuk negara lain sebelum ni.

Pulau Nusa Penida, adik beradik kepulauan Bali jugak ni. Dari Bali boleh naik bot ke pulau ni. Nampak tebing-tebing tinggi tu?

Selamat mendarat di Bandar Udara Ngurah Rai, Denpasar Bali. Dari Kuala Lumpur lebih kurang 3 jam. Dalam pukul 12.45 tengahari waktu tempatan kami sampai di Bali.

Kami selamat sampai di Bandara Udara Ngurah Rai lebih kurang pukul 12.45 tengahari selepas hampir 3 jam perjalanan dari Kuala Lumpur.

Merindui bau-bauan di tempat asing. Setelah sekian lama tak cop passport, akhirnya cop passport semula. Haha.

Keluaq dari Bandara Ngurah Rai, terasa macam artis pun ada. Yang pegang kertas nama tunggu customer punya la ramai. Ni contoh bagi mereka yang dah tempah hotel siap-siap la. Ada la pak supir yang dah menunggu. Kami ni tak tempah apa-apa pun lagi. Kena pikirkan cara untuk bergerak keluaq dari airport untuk ke pekan Kuta.

Ada ramai pak-pak supir yang akan menyapa anda bila keluaq dari airport tu.. Hangpa kena tepis sikit la. Jawab je "Udah ada yang nunggu". Tiba-tiba masuk Indonesia dah bunyi slang Indon. Tak tahu la jadi ke tak. Haha. Dia tak akan kacau dah lepas tu.

Sebelum sampai Bali abang ada buat kajian sikit berkenaan pengangkutan yang boleh kita gunakan sewaktu di Bali nanti. Yang abang nampak pilihan yang ada sama ada nak naik Grab/Uber atau GoJek(Grab versi motor). Kalau nak naik bas awam dia ada tapi agak terhad. Kalau naik teksi mesti mahal.

Ada satu pilihan yang minit akhir abang pikir kalau dapat sewa motor dari Bandara Ngurah Rai terus kan elok. Ya tak ya pun memang nak sewa motor pun di Bali ni buat jalan-jalan. Hangpa boleh rujuk kat peta abang tunjuk kat bawah ni tempat abang sewa motor di airport Bali.


Abang Google la tengok kot-kot ada yang buat sewa motor di Bandara Ngurah Rai ni. Memang ada. Hangpa boleh cari kat Google Maps di kawasan sekitar airport tu di kawasan parking motor ada nama X-Rental Motor Bali.

Tapi sehari sebelum bertolak hangpa kena Whatsapps dah dia siap-siap inform hangpa akan sampai pukul berapa di airport tu. Nanti dia akan tunggu untuk serah motor.

Ada banyak jenis skuter yang hangpa boleh sewa ikut bajet. Abang sewa hari tu skuter Honda Vario FI dengan harga Rp70k untuk sehari. Tapi syarat dia kena ambik sewa minimum dua hari.

Nak tak nak abang ambik ja lah. Mudah sikit sebab hari keesokkannya kami kena mai Bandara Ngurah Rai ni balik untuk naik flight ke Labuan Bajo.

Masa kita sewa moto ni dia akan bagi 2 biji helmet dan sehelai jas hujan (baju hujan). Boleh sangat la kalau yang mai berdua tu. Jangan mengada-ngada nak mintak 3 biji helmet pulak!



Keluaq Bandara Ngurah Rai, abang terus meluru keluar pi tempat parking motor. Ada satu pondok di situ. Orang X-Rental ada yang jaga di situ. Boleh ja tanya orang kat situ pasal motor sewa X-Rental. Semua tau.

Ambik motor sewa di Bandara Ngurah Rai minyak skuter ni ada lagi tinggal satu bar. Dah sampai pekan Kuta isi minyak penuh tangki di Pertamina dulu dalam Rp18k. Harga minyak sini dalam Rp7,500k seliter.

Isi minyak kat Pertamina pun dah nampak hensem. Tak ambik gambar waktu bawak motor lagi nih.

Dah lama tak pegang duit Rupiah ni kekok jugak la nak cari mana duit Rp10k, mana duit Rp5k. Urusan ratus ribu hari-hari kat sini. Konfius kejap abang mula-mula tu. Huhu.

Ada orang eksiden pulak depan tu. Tapi eksiden kat sini bangun-bangun terus jalan ja. Orang lain pun buat tak tau ja. Jem pun tak. Mudah betul.

Bukan biasa-biasa mas ni. Segala gambar abang rakamkan guna kamera telefon Xiaomi Mi A1 sepanjang Trip Segera Nusa Tenggara ni.

Dari Bandara Ngurah Rai, abang bukak Google Maps cari jalan nak ke Kuta. Masuk Indonesia ni bab jalan jangan buat main. Berselirat jalan dia. Ditambah dengan penduduk yang padat lagi. Tak jumpa la jalan besaq-besaq macam kita kat Malaysia. Macet lagi ada.

Kalau naik kereta supir bawak harus dah sangkut dalam jem ni. Naik motor ni boleh jugak celah-celah. Kejutan budaya sekejap bila lama tak bawak motor kat bumi asing ni. Motor punya la banyak kat Bali ni rasa macam kat Vietnam pun ada !

Main hon-hon ni toksah cakap la dah jadi satu kemestian. Kalu kat Malaysia siapa kena hon mesti jeling tak mau lepas punya. Kat Indonesia kau hon la banyak mana pun depa buat rilek ja. Hon ni dah jadi macam satu isyarat. Kalau kat Malaysia seba hon boleh buat bertumbuk abang rasa !

Jarak dari Bandara Ngurah Rai ke pekan Kuta tak la jauh sangat, dalam 3-4 KM ja. Sesak-sesak memang boleh jalan kaki pun tapi berlecak la sikit ketiak.





Sebelum sampai di Bali, abang dah riki-riki dulu penginapan yang mana sesuai di Bali ni. Kami malas nak duduk jauh dari airport sebab esok nak ambik flight ke Labuan Bajo. Jadi pilihan yang ada adalah di sebelah Kuta atau Legian.

Kawasan ni memang jadi tumpuan pelancong la sebab dekat dengan Pantai Kuta. Hotel-hotel toksah cakap la memang banyak. Kalau tak tempah awal pun abang rasa boleh dapat.

kalau hangpa tengok kat Google Maps memang banyak & berselerak hotel kawasan tu. Cuma nak pilih mana yang ok dan murah ja.

Macam abang hari tu Google dulu dekat Tripadvisor & Google Maps. Abang lebih senang guna Google Maps dalam apa hal pun. Nak tengok review hotel ke, gambaq hotel ke semua abang tengok situ. Sebab ramai yang menyumbang.

Dah tengok hotel mana yang sesuai baru check harga pulak. Adik abang cukup mahir la bab-bab ni. Kalau abang ingat nak main terjah je. Tapi harga terjah lagi mahal daripada booking awal sebelum tu.

Selalu kami tengok dekat Traveloka kalau nak tempah hotel ke apa. Sebab ada diskaun selalunya. Kami sepakat nak duduk dekat The Pavilion Hotel Kuta sebab hotel dia lawa & juga murah !

Kami tempah untuk satu malam baru dalam RM83 lepas diskaun. Lagi satu sebab apa dia murah sebab dia tak sediakan sarapan. Haha. Pandai-pandai la hangpa cari sarapan sendiri nah !

Naik motor sewa dari Bandara Ngurah Rai ke The Pavilion Hotel Kuta. Hotel ni kalau dari jalan besar tak berapa nampak, dia kena masuk lorong-lorong sikit.

Majoriti orang Bali beragama Hindu. Jadi tak pelik kalau hangpa nampak benda ni depan premis-premis mereka.

Jangan ingat dengaq nama Pavilion ni hotel besaq-besaq. Bukan Pavilion Bukit Bintang tu. Ni The Pavilion Hotel Kuta ni kecik ja.

Bali ni dia ada semacam aura dia yang tersendiri tak macam tempat-tempat lain. Suasana & aura Bali dapat dirasai di sini. 

Pandangan dari depan bilik The Pavilion Hotel Kuta. Bukak-bukak pintu boleh terjun kolam. Mana nak dapat kat Malaysia bilik macam ni dengan harga RM83 semalam. Haha.

Yang abang perasan start dari sewa motor di Bandara Ngurah Rai sampai la ke The Pavilion Hotel Kuta, semua orang yang abang jumpa semua baguih-baguih. Ayat-ayat di mulut penuh dengan adab. Nak lalu depan kita pi kuil pun,

"Permisi pak"

Tak seperti persepsi awal abang yang mana abang agak Bali ni seperti mana tempat-tempat lain di Indonesia yang abang pernah sampai sebelum ni.

"Oh dari Malaysia ya? Upin Ipin?"

Itu je lah modal diorang kalau jumpa orang Malaysia barangkali. Kerana Upin Ipin setitik, naik nama Malaysia sebelanga. Haha.

Kami check-in & letak beg di dalam bilik The Pavilion Hotel Kuta dulu sebelum keluaq semula. Ngam-ngam pukul 2.00 petang waktu tu.

Kat hotel ni ada wifi percuma, boleh la guna sementara waktu kemaskini IG Story. Ngeh ngeh ngeh.

Tapi nak keluaq sat lagi nak kena pakai internet jugak. Nak kena cari simkad dulu kat luaq ni.

Mujur lorong hotel kami tu ada kedai yang jual simkad internet. Abang baca sebelum ni kena ambik simkad Telkomsel Simpati kalau nak liputan meluas di Indonesia sampai ke Labuan Bajo. Sebab dekat sana jenis je yang boleh pakai. Line lain takdak.

Abang ambik simkad internet yang ada data internet semata-mata. Ada jugak jenis lain yang boleh call & SMS. Tapi rasa tak perlu pulak. Tapi kalau kita nak call guna simkad internet ni boleh jugak, cuma kena tambah pulsa (topup).

Simkad internet yang abang ambik ada 7GB data (boleh sampai 20GB kalau guna lewat malam) boleh guna selama sebulan berharga Rp80k (~RM27).



Akak jual simkad Telkomsel Simpati tengah setting telefon abang. Adik abang pun ambik simkad data sekali.

Nak nelpon kena isi pulsa lain baru boleh nelpon. Simkad standard ni ada data ja.


Abang sebenarnya tak ada hala tuju lagi petang tu nak pi jalan mana. Lapaq pun lapaq jugak. Dari pagi tadi naik flight dari Kuala Lumpur tak makan apa !

Abang semak dekat Instagram tempat-tempat menarik dengan view yang lawa yang boleh abang pi petang tu. Abang rancang nak pi belah-belah selatan Kuta. Pantai-pantai situ boleh tahan lawa sebab laut dia memang takda halangan. Terus menghadapa belah Australia !

Abang tengok kat akaun Instagram 'BaliDaily', dia ada banyak post pasal port-port menarik untuk bergambar jika berada di Bali ni. Salah satunya yang abang tertarik & dekat dengan Kuta adalah Pantai Belambangan. Tak pikir banyak, start motor terus jalan !

Dalam perjalanan tengok ada McDonalds, berhenti sat dulu makan. Nak cari makanan halal di Bali ni memang ada tapi macam payah sikit. Dok nampak warung 'Babi Guling' ja selalu. Huhu.

Harga McD di Indonesia ni lebih kurang ja dengan harga kita di Malaysia, cuma menu dia la yang lain sikit.

Kat bahagian luar McD ada pakcik yang akan tolong kita parking motor elok-elok. Selalunya depa mintak lebih kurang Rp1k (RM0.30). Tapi tak gamak pulak kadang-kadang tu. 

Bagi lebih sikit Rp3k (RM1.00). Betul-betul jaga kita dari nak keluaq parking sampai tahan kereta kat jalan besaq semata-mata nak bagi kita yang naik motor jalan.



Pekena McD dulu kat Bali ni. Nak tengok macam mana rasa dia boleh pergi.

Set McD kat Indonesia ada set ayam goreng & nasi putih. KFC sini pun sama. Nasi tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan masyarakat Asia.

Pantai Balangan ni kalau tak biasa memang berbelit-belit jugak jalan dia. masuk kawasan perkampungan dengan jalan yang sempit, bersimpang siur barulah jumpa pantai ni. Kadang-kadang kita tak pasti pun betul ka jalan yang kita ikut ni. Tapi abang menaruh sepenuh kepercayaan kepada Google Maps. Haha.

Nak masuk kawasan tebing Pantai Balangan ni kena bayaran parking Rp3k (RM1.00). Kawasan dia macam kawasan padang ragut lembu. Taik lembu saja.

Cuma dekat tebing tu sikit la ada kawasan orang ramai bergambar. Pasangan pengantin banyak la bergambar di situ.

Abang duduk di tebing tu ambik-ambik gambaq. Memang elok pemandangan dia masa matahari nak tenggelam.

Pantai Balangan ni memang jadi tumpuan mat saleh untuk surfing oleh kerana ombaknya yang kuat. Kalau dalam perjalanan menghala ke sini boleh nampak la mat saleh naik skuter sambil angkut surfing board dia kat sebelah untuk ke Pantai Balangan ni.

Mungkin waktu abang mai dah petang tak nampak sangat orang dok surfing. Ombak pun tak berapa kuat waktu tu.





Selamat mendarat di Tebing Pantai Balangan a.k.a Balangan Beach Bali.

Pantai Balangan ni terletak di bahagian selatan Kuta. Ada banyak pantai-pantai di bahagian ni, nak cover dalam sehari memang tak cukup.

Pantai Balangan ni terkenal di kalangan mat saleh sebagai tempat untuk depa surfing. Ombak kuat kalau kena gaya dia.

Seriau jugak abang duduk kat bucu-bucu batu ni. Silap langkah ni boleh menggelungsur turun ni.


Pantai Balangan ni memang jadi port orang bergambar. Duduk di tepi tebing ni memang layan dengan angin sepoi-sepoi bahasa.

Kami sampai Pantai Balangan ni pun dah pukul 4.00 petang. Nak cari jalan masuk sini pun seksa jugak. Dah la masuk waktu Maghrib awal kat Bali ni.

Wisatawan-wisatawan mancanegara yang banyak kat Pantai Balangan ni. Sebab tu Pantai Balangan ni dipanggil 'Pantai Sejuta Umat'.

Tebing-tebing tinggi di Pantai Balangan. Orang lain sibuk ambik gambaq pengantin, yang tu dah kenapa pulak?

*Buat-buat sibuk ambik gambaq pemandangan.

Kalau naik motor boleh terus masuk ke atas ni. Jalan tak berapa nak elok. Taik lembu banyak. Kena bayaq parking Rp3k.

Pemandangan dari tebing Pantai Belambangan menghadap ke belah lagi satu.

Eh ada yang berkayak !

Tebing tergantung tidak bertali di Pantai Belambangan. Lokasi ambik gambaq pengantin waktu matahari tengah dok turun.

Dah puas ambik gambaq, abang tengok balik Instagram nak pi mana pulak lepas tu.

Nampak tak takda hala tuju?

Abang ambik keputusan untuk ke Rock Bar pulak. Nampak macam menarik je view dia kat sini.

Dari Pantai Balangan, abang dan adik abang naik motor pulak ke Ayana Resort & Spa Bali untuk menjejak 'Rock Bar' yang ada dalam kawasan ni.

Satu hal pulak nak cari jalan ke Rock Bar ni. Abang ingat Rock Bar ni kedai minum biasa-biasa ja. Rupanya dia dok ada dalam kawasan resort !

Masa tu pun dah dekat pukul 5.30 petang. Gelap awal kat sini.

Nak masuk Ayana Resort & Spa ni rumit jugak. Abang dengan adik abang mai naik skuter ja.

Setiap kenderaan yang nak masuk kawasan resort ni kena scan. Beg pun kena bukak tunjuk apa yang dibawa. Badan pun kena check jugak !

Kawasan ni orang luaq terutama mat saleh la yang banyak lepak minum. Kebetulan ada macam majlis perkahwinan kat dalam ni.

Masuk kawasan dalam resort nak cari Rock Bar rasa macam lekeh pulak dengan baju t-shirt macam ni. Yang lain semua blouse bagai.

Tapi plan abang petang tu tak menjadi! Kena ambik nombor pulak nak masuk kawasan Rock Bar tu! Abang tengok ada la dalam 10 orang tengah dok beratur menunggu giliran. Terus tak jadi sebab dah nak Maghrib. 


Dari Pantai Balangan ke Ayana Resort & Spa Bali semata-mata nak tengok Rock Bar.

Suasana persekitaran Ayana Resort & Spa Bali.

Kawasan orang ada-ada je ni. Silap masuk kawasan pulak abang rasa bila dalam Ayana Resort & Spa Bali ni.

Dapat bergambaq sekeping dua kat sini jadi la.

Ada banyak hiasan taman dalam Ayana Resort & Spa Bali ni. Ni tengah cari jalan nak pi kat Rock Bar.

Naik tangga turun tangga. Depan tu ada pelayan yang akan melayan kita dengan baik walaupun kita ni nampak lekeh. Haha.

Ada orang buat kenduri kahwin kat Ayana Resort & Spa Bali ni.

Waktu Maghrib jugak baru kami keluaq dari Ayana Resort & Spa Bali ni. Dah gelap dah masa pukul 6.30 petang.

Kami mencari jalan pulang ke Kuta dalam kegelapan malam. Tak ada la gelap sangat sebab ada lampu jalan. Suasana waktu-waktu macam ni memang meriah la dengan umat manusia. Kebetulan hujung minggu waktu tu.

Sampai kawasan The Pavilion Hotel Kuta tempat kami menginap, kami tak balik bilik terus. Sebaliknya kami meronda dulu kawasan sekitar hotel kami.

Duduk kawasan ni memang mudah dengan supermarket & kedai makan. Tapi abang agak berhati-hati jugaklah selepas tersalah masuk kedai malam tu !

Tengok macam warung biasa ja. Ingat ada jual la nasi goreng panas-panas ka. Masuk-masuk nah ! Baru terlihat tulisan 'babi guling' ! Terus keluaq kedai buat-buat tak tahu. Huhu.

Ada ja makanan halal kat kawasan Kuta ni tapi kena tengok betul-betul. Abang pekena jus buah dulu. Pilih ja buah apa yang hangpa teringin. Abang ambik buah naga. Secawan lebih kurang Rp10k (~RM3.50). Hangat badan naik motor jauh-jauh hari ni. 

Jus buah di Kuta, Bali. Pilih ja buah apa yang hangpa teringin harga semua sama. Avokado ka, mangga ka, buah naga ka.

Layan jugaklah jus buah dia. Pekat betui. Lupa abang nak ambik gambaq.

Dah beli jus buah cari port lepak makan pulak. Kebetulan ada dekat-dekat situ 'Warung Malaysia'. Tengok ada jual roti canai & nasi lemak. Saja la abang nak cuba rasa macam mana dia punya roti canai boleh pergi.

Abang dah agak rasa dia macam mana walaupun abang nampak yang buat tu macam mamak. Agak mengecewakan la jugak bagi abang terutama sekali bab kuah dia tu. Gagal !

Abang tengok ada jugak orang Indonesia sendiri yang mai beli nasi lemak. Tahu pulak depa makan nasi lemak. Haha.

Satu masalah terbesar mai negara orang ni adalah tak bawak plug universal. Dah sampai baru teringat tak bawak mai. Plug di Indonsia lain sikit banding dengan yang di Malaysia. Nasib baik kedai sebelah Warung Malaysia ni ada jual plug tu. Seketul lebih kurang Rp15k (~RM5.00)



Warung Malaysia cawangan Bali. Menu popular dia dah tentu la roti canai, nasi lemak & teh tarik.

Roti canai di bumi Bali. Kuah dia tak berapa nak pergi. Roti pun so-so jugak. Tak sedap tak sedap, habis jugak sekeping tu.

Warung Malaysia di Bali ni terletak di Jalan Raya Kuta.

Ni tapai ka apa tak tau. Tak berani la pulak abang nak tanya.

Risau jugak abang mula-mula nak masuk kedai bakso ni. Babat bakso, soto ceker. Bahasa bunyi pelik-pelik ni cukup seriau abang. Tapi tengok ada yang pakai tudung pun makan dalam tu baru berani. Nasib baik ada tulis halal. Haha.

Sebelah kedai bakso ada lagi babi guling ni. Babi Guling Gianyar Kuah Balung. Yang abang faham Gianyar tu nama tempat. Haha.

Abang pi pekena bakso pulak lepas beli plug universal tu. Tak berapa nak kenyang pulak makan roti canai tadi. 

Risau betul jugak dok tengok nama pelik-pelik ni. Bebek abang tau la maksud dia itik. Ni dia tulis 'Bakso Babat'. Bunyi lain maciam. 'Soto Ceker' ni pun pertama kali dengar. Tapi abang ada nampak logo halal tu yang abang berani masuk. Haha.

Abang order sepinggan soto dan ayaq teh o panas. Rupanya soto dia mai dengan nasi. Abang tak ambik pun nasi tu. Orang Indonesia memang biasa makan soto dengan nasi. Soto dia pun tak sama macam Malaysia yang biasa kita taruk bihun tu. Ni memang kosong semata-mata.


Malam minggu yang cukup sesak di sekitar Legian dan Kuta. Kawasan ni banyak kelab malam.

Kalau hangpa mai Bali mesti akan selalu nampak pintu gerbang macam ni. Macam ni di Pantai Kuta.

Di sesetengah kawasan di Bali ni memang Grab/Uber tak dibenarkan masuk pun. Dia dah ada signboard dah siap-siap.

Tengah-tengah malam pun sibuk lagi pekan Kuta ni. Macam Jalan Tunku Abdul Rahman pulak musim nak sambut raya.

Senarai menu bakso beserta harga. Lapaq abang, makan roti canai sekeping tadi tak puas. Haha.

Soto kat sini tak sama macam di Malaysia. Kat sini depa makan soto macam ni dengan nasi. Abang mana biasa. Abang makan soto kosong macam tu ja.

Gerai soto ceker bakso babat yang abang singgah. Budak-budak muda yang ramai.

Las lepak pekena soto, baru kami balik semula ke Pavilion Hotel Kuta. mandi apa dulu baru kami keluaqep balik lepas tu. Nampak macam mana gunakan sepenuhnya masa di Bali. Haha.

Kami keluaq meronda di sekitar Pantai Kuta dan Jalan Legian. Kawasan ni memang tumpuan la malam-malam minggu. Orang tu dia bukan main ramai. Kelab-kelab malam semua ada kat kawasan ni. Kalau naik kereta memang macet teruk.

Dekat pukul 12.00 tengah malam  jugak kami sampai semula ke hotel. Kena bersiap-siap pulak nak keluaq pagi keesokkan harinya.

Program penuh & agak padat kalau ikut abang. Memang tak ada peluang nak beristirehat. Tu abang malas nak ajak sapa-sapa ikut abang. Takut bermasam muka. Haha.

Bersambung ke Trip Segera Nusa Tenggara | Part 2: Air Terjun Nungnung


Bajet Trip Segera Trans Nusa Tenggara

Bahagian 1 | Kuala Lumpur - Bali

Sewa motor : Rp 120k/2 orang = Rp 60k
Simkad SimPATI : Rp 80k
Parking Bandara : Rp 2k
McDonald Kuta : Rp 44k
Pantai Balangan : Rp 3k
Roti Canai Malaysia : Rp 7k
Jus Buah : Rp 10k
Bakso : Rp 15k
Maggi (Indomaret) : Rp 4k
Bensin Pertamina : Rp 18k/2 orang = Rp 9k
Hotel Pavilion Kuta : RM80/2 orang = RM40

JUMLAH : Rp 234k (RM66) + RM40
: RM 106

Bacaan lain: Catatan Trip Segera Trans Nusa Tenggara


Trip Segera Trans Nusa Tenggara | Part 1: Kuala Lumpur-Bali

Trip Segera Trans Nusa Tenggara | Part 2: Menjejak Air Terjun Nungnung

Trip Segera Trans Nusa Tenggara | Part 3: Bali-Labuan Bajo

Trip Segera Trans Nusa Tenggara | Part 4: Labuan Bajo-Pulau Padar

Trip Segera Trans Nusa Tenggara | Part 5 : Dari Pulau Padar ke Pulau Komodo

Trip Segera Nusa Tenggara | Part 6: Pink Beach - Manta Point

Trip Segera Nusa Tenggara | Part 7: Lintasan Labuan Bajo-Sape-Bima-Mataram(Lombok)

Trip Segera Nusa Tenggara | Part 8: Mataram (Lombok)

Trip Segera Nusa Tenggara | Part 9: Pantai Senggigi Lombok

Trip Segera Nusa Tenggara | Part 10: Pantai Nambung & Bukit Merese Lombok

Trip Segera Nusa Tenggara | Part 11: Feri Lombok ke Bali

Trip Segera Nusa Tenggara | Part 12: Kembali ke Bali - Air Terjun Tegenungan

Trip Segera Nusa Tenggara | Bahagian Akhir - Bali ke Kuala Lumpur

9 ulasan:

  1. tunggu Part 2 pulak..hehehe

    BalasPadam
  2. Teringin sekali lepak minum ngan abang..sembang pasal backpack..dah bertahun baca blog abang..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ish malu haih. Kita pun noob pasal backpacking ni. Hihi

      Padam
  3. Wah...terbaiklaah abg letrik share tips nak beli tiket tu. Mekasih yer

    BalasPadam
  4. salam , masa nak sewa motor kat bali tu, kena ada international driving license ke ? sebab ada yang kat kat bali tak ada pun takpe.

    BalasPadam
  5. hoho, sewa moto senang la eh?
    ritu timm g kat krabi, mcd dia xhalal, nengok je la dari lua, hihiks..

    BalasPadam
  6. Babat tu perut, ceker tu kaki ayam...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...