Pages

28 Mac 2016

Ada Apa di Pulau Aman, Pulau Pinang?

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu
Peace be upon you


Hangpa semua tau tak kat mana Pulau Aman? Haa nama feri? Memanglah nama salah sebuah feri yang berulang-alik antara Butterworth ke Georgetown, tapi hangpa tau tak lokasi dia kat mana? Abang syak orang Penang sendiri pun tak tahu di mana terletaknya Pulau Aman ni.

Pulau Aman merupakan sebuah pulau dari gugusan pulau-pulau yang ada di Pulau Pinang. Kalau nak dikira sebenarnya Pulau Pinang ni pun bukannya ada banyak pulau pun seperti mana Pulau Langkawi atau kepulauan Indonesia. Pulau-pulau kecil di Pulau Pinang selalunya tidak berpenghuni dan hanya Pulau Aman saja yang berpenghuni.

Antara nama-nama pulau di Pulau Pinang yang abang kenal adalah Pulau Jerejak, Pulau Aman, Pulau Bidan dan Pulau Rimau. Selain daripada tu abang tak tahu. Mungkin kalau ada yang tau boleh cadangakn atau bagitahu abang. Boleh abang cuba jelajah nanti. 

Beberapa minggu lepas, abang seperti biasa tanpa perancangan yang rapi telah menjejaki Pulau Aman. Idea terdetik bila terlihat catatan rakan-rakan di Facebook berkenaan Pulau Aman ni. Terus Google buat kajian sikit dan terus angkat drone dan jalan!

Pulau Aman terletak di dalam kawasan Batu Kawan & Bukit Tambun yang mana lokasinya terletak di antara jambatan pertama dan jambatan kedua Pulau Pinang. Senang ja nak cari Pulau Aman ni.

Pada mereka yang dari ibukota Kula Lumpur, hangpa masuk ja Lebuhraya Utara Selatan PLUS menuju ke utara. Cari susur keluar Bukit Tambun/Batu Kawan bila sampai di Pulau Pinang. Kalau macam abang yang duduk Penang, kena hala ke arah selatan la baru jumpa susur keluar Bukit Tambun/Batu Kawan ni. Kalau dari rumah abang di Penanti, tak sampai 30 KM pun nak ke sini.

Lepas tol, hangpa akan jumpa simpang untuk ke Pulau Aman. Tengok papan tanda tertulis 'Jeti Pulau Aman'. Ikut sahaja arah papan tanda tersebut seterusnya sampailah anda terjumpa laut di mana terletaknya Jeti Batu Musang.

Nah nak nampak lagi kat mana lokasi Jeti Batu Musang dan Pulau Aman boleh tengok gambaq Google Maps di bawah.

Malas membaca boleh jugak tengok video pemandangan kawasan sekitar Pulau Aman yang abang rakam menggunakan SJCAM SJ4000 Wifi.








Ada kawasan parking yang agak luas untuk anda yang membawa kereta meletakkan kenderaan anda di Jeti Batu Musang ni. Kalau untuk sebuah kereta, bayaran sebanyak RM 2.00 dikenakan. Macam abang yang naik motor pulak tak payah bayar apa pun. Redup ja parking bawah pokok.

Tiket bot ke Pulau Aman boleh dibeli di jeti menunggu di tepi laut. Ada petugas yang jaga tiket di situ. Tambang bot pulak cuma berharga RM 6.00 untuk perjalanan pergi dan balik untuk seorang dewasa. Maksudnya bayar RM 6.00 tu dah sekali dengan tambang balik. Tambang budak pulak berharga RM 4.00 seorang. Betulkan abang kalau salah.

Jadual perjalanan bot dari Jeti Batu Musang ke Pulau Aman pada hari biasa adalah pada jam ganjil bermula pada pukul 9.00 pagi dan terakhir pada pukul 7.00 malam. Jadual perjalanan bot pulak untuk cuti hujung minggu seperti hari Sabtu & Ahad tidak mengikut jadual asal.

Kiranya kalau bot dah cukup orang dia jalan ja. Setiap bot boleh diisi 10 orang. Jadi setiap masa pun ada ja bot yang berulang alik di antara Jeti Batu Musang ke Pulau Aman. Tak jauh mana pun naik bot. Tak sampai 10 minit dah sampai. Bot dia bukan main laju, bergegar seluruh badan bila langgar ombak.


Jeti Batu Musang untuk menaiki bot ke Pulau Aman.

Kawasan Jeti Batu Musang ditutup dari jam 8.00 malam sehingga jam 8.00 pagi setiap hari.

Tempat parking kereta berhadapan dengan Jeti Batu Musang.

Kiosk-kiosk perniagaan kecil di pengkalan Jeti Batu Musang. banyak yang tak buka.

Ada restoran dan kedai makan di Jeti Batu Musang. Nak makan ais kacang ka laksa semua ada.

Tambang tiket bot dari jeti Batu Musang ke Pulau Aman berharga RM 6.00 seorang untuk perjalanan pergi/balik.

Jeti Batu Musang. Tempat menunggu bot untuk ke Pulau Aman.

Abang dari atas sana tadi. Atas tu restoran tempat lepak makan ais kacang.

Pesisir pantai Batu Musang.

Jeti tempat menaiki bot ke Pulau Aman. Uncle ni punya santai lain 'maciam'.

Panas lit lit waktu matahari merembang atas kepala ni.

Antara barisan penumpang yang menunggu bot dari Jeti Batu Musang ke Pulau Aman.

Penumpang bot dari Pulau Aman yang baru turun. Abang baru nak pi, depa dah balik.

Bila penumpang lain dah turun, tiba giliran kami pulak naik bot ke Pulau Aman.

Penduduk tempatan juga menggunakan khidmat bot untuk berulang-alik dari tanah besar ke Pulau Aman.

Bot bergerak menuju Pulau Aman.

Kakak dengan abang ni abang syak bukan orang Malaysia. Bunyi cakap macam orang Jawa sikit.

Antara penumpang lain dalam bot yang abang naik ke Pulau Aman.

Bukan main laju lagi bot ni membelah ombak dari Jeti Batu Musang ke Jeti Pulau Aman.

Selamat tiba di Pulau Aman. Lepas abang turun bot, orang lain pulak naik bot nak balik ke Jeti Batu Musang.

Sampai di jeti Pulau Aman, turun saja dari bot kami disambut dengan kalungan bunga serta paluan kompang oleh penduduk tempatan. Baik. Yang tu abang tipu.

Yang kedengaran hanya bunyi ombak menghempas pantai. Turun saja dari bot, setiap penumpang membawa haluan masing-masing. Penumpang yang nak balik ke jeti Batu Musang pulak bergegas naik bot. Abang pulak gigih diri tengah panas ambik gambaq.

Penumpang lain yang mana tak dapat naik bot bila bot dah penuh terpaksa menunggu bot yang seterusnya tiba. Tidak seperti sibuknya jeti Langkawi dengan adegan usung pinggan mangkuk ke sana ke mari, di sini terasa tenangnya jeti Pulau Aman dengan penumpang yang hanya berlenggang kangkung menaiki bot.

Di jeti Pulau Aman sendiri terdapat restoran ikan bakar dan mee udang yang boleh dinikmati pengunjung sebelum pulang semula ke tanah besar. Yang syoknya kita boleh pilih ikan-ikan segar yang masih hidup di dalam akuarium! Udang lipan dengan ketam putih pun ada.


Ramai yang menunggu bot di jeti Pulau Aman waktu tu untuk balik ke Jeti Batu Musang.

Turun je Jeti Pulau Aman, dah nampak dah kedai makan terapung di tepi laut yang bersambung dengan jeti.

Hangpa nak makan apa? Ikan bakar, udang lipan, mee udang, ketam putih semua ada di restoran berdekatan jeti Pulau Aman ni.

Pasaraya mini pun ada jugak di sini.

Kedai makan di Pulau Aman ni mesti istimewa dia ikan bakar. Tengok papan tanda bukan main besar.

Ikan-ikan hidup untuk dipilih dan dimasak segar. Abang tengok dia sauk kemudian terus siang !

Abang terpesona dengan suasana Pulau Aman ni sebaik saja menjejakkan kaki di sini. Perasaannya tak sama seperti mana di Pulau Ketam. Kalau di Pulau Ketam bentuk muka buminya berpaya bakau, rumah-rumah penduduk dibina di atas cerucuk tapi di Pulau Aman semua rumah dibina di atas tanah pulau itu sendiri.

Rumah-rumah penduduk dengan senibina kampung mudah dilihat di sini. Dikatakan terdapat lebih kurang 50 buah keluarga di Pulau Aman dan hampir keseluruhannya adalah orang Melayu. Kalau dulu ikut cerita orang-orang tempatan, pulau ini dihuni oleh masyarakat berbangsa Cina. Tapi lama-kelamaan, semua dah berpindah keluar ke bandar-bandar besar. Tinggallah orang-orang Melayu di sini.

Pintu gerbang 'Selamat Datang' menyambut ketibaan abang ke Pulau Aman. Ada sebuah sekolah rendah di sini. Itulah satu-satunya sekolah yang ada. Sekolah menengah memang tak ada. Bangunan sekolah tu lah bangunan tertinggi yang terdapat di Pulau Aman.

Bersebelahan sekolah ada sebuah masjid. Masjid Ar-Rahman namanya. Masjid lama berusia ratusan tahun ni dibina pada tahun 1817 lagi. Masa abang sampai, ada rombongan budak-budak sekolah tengah gotong royong bersihkan masjid dan kawasan sekitar seperti tanah perkuburan. Bunyi semua cakap slang Kuala Lumpur. Tak sempat abang nak tegur.

Antara tarikan yang ada di Pulau Aman adalah 'Pokok Sukun Tertua' yang dipercayai ditanam pada tahun 1890. Sehingga hari ni masih hidup dan mengeluarkan buah. Pokok sukun tubuh subur di sini. Mana-mana pun boleh nampak pokok sukun sekali dengan buah-buah dia. Mungkin faktor muka bumi dan tanah kot yang buat pokok sukun senang hidup di pulau ini.

Kalau nak kira Masjid Ar-Rahman lagi tua daripada pokok sukun tu ! Tapi yang pelik tak ada pulak yang nak jual sukun goreng ke apa padahal buah sukun berlonggok bergayutan di atas pokok. Orang Pulau Aman ni tak reti makan buah sukun ka?


Pintu gerbang masuk ke Pulau Aman dengan tertera tulisan 'Selamat Datang'.

Chalet dan inap desa pun banyak terdapat di Pulau Aman ni.

Antara rumah kampung yang terdapat di Pulau Aman. Suka abang tengok bentuk rumah sebegini.

Nama-nama jalan dinamakan bersempena dengan nama orang. Bangga cucu-cucu kalau ni jalan nama tok depa.

Masjid Ar-Rahman Pulau Aman. Tengok tahun ianya dibina kira lama dah masjid ni.

Salah satu tarikan di Pulau Aman adalah 'Pokok Sukun Tertua'.

Pokok-pokok sukun boleh kelihatan di mana-mana saja di Pulau Aman ni.

Buah sukun memang banyak di Pulau Aman, tapi tak nampak pulak orang jual produk berasaskan sukun seperti sukun goreng.

Rumah-rumah kampung di Pulau Aman. Reban ayam pun ada lagi di halaman rumah.

Tak terasa macam di sebuah pulau. Rasa macam di kampung-kampung.

Kanak-kanak bebas bermain di Pulau Aman. Macam-macam jenis permainan budak-budak ni main. Main basikal ada, layang-layang ada bahkan main dengan ular pun ada. Mak pak tak takut pun anak-anak depa hilang. Kalau hilang pun nak pi mana. Takkan terlajak sampai Kuala Perlis kot.

Suasana di Pulau Aman tenang. Segalanya berjalan perlahan dan tidak ada istilah terburu-buru di sini. Rumah-rumah kampung dengan senibina tradisional menghiasi pemandangan.  Ada juga yang berumah batu. Dari pandangan abang, kawasan halaman rumah boleh dikatakan cukup bersih.

Perusahaan kecil seperti pembuatan belacan dan kerepek turut ada di Pulau Aman. Masa abang pi nak tengok orang buat kuih kapit dia dah tutup, tinggal bangsal ja. Selain itu, ada jugak hasil kraftangan yang dijual sebagai tanda kenang-kenangan oleh penduduk kampung Pulau Aman.

Abang lepak melayan budak-budak kecik yang ada di hujung pulau. Ada beting pasir di situ yang bersambung ke Pulau Gedung. Kalau dari udara nampak macam tanjung. Yang abang perasan budak-budak pulau ni pandai-pandai menjala. Tengok ada yang baru balik dari laut, bila tanya katanya baru balik jala udang.

Kali pertama abang pegang ular dalam sejarah hidup abang di Pulau Aman ni. Tidak seperti budak bandar, lain macam sikit hobi-hobi budak sini. Main ular, ayam, itik. Depa rilek ja, kita dah geli geleman.

Aktiviti petang kanak-kanak di Pulau Aman.

Seronok budak-budak Pulau Aman bila panggil mai bergambar.

Ok. Sambung main.

Burung dalam sangkar.

Boleh tengok pokok sukun tertua di Malaysia yang masih lagi mengeluarkan buah.

Inilah dia pokok sukun tertua di Malaysia yang boleh ditemui di Pulau Aman.

Pemandangan menghadap laut dari celahan rumah kampung.

Tiada kenderaan 4 roda seperti kereta di Pulau Aman ni.

Hanya kenderaan beroda dua seperti motorsikal dan basikal digunakan masayarakat setempat di Pulau Aman.

Tapi jarang jugak tengok motor lalu-lalang.

Salah sebuah homestay atau inap desa yang terdapat di Pulau Aman.

Di Pulau Aman ni pun ada kedai menjual umpan udang.

Suasana tenang dapat ditemui di Pulau Aman ni.

Kawasan persekitaran Pulau Aman agak bersih jika nak dibandingkan dengan pulau-pulau lain yang abang pernah pergi seperti Pulau Ketam.

Laluan pejalan kaki di sekitar kawasan Pulau Aman.

Sesiku paip PVC boleh juga digunakan sebagai pasu bunga.

Al-Jannah Chalet Homestay. Salah sebuah inap desa di Pulau Aman.

Anak panak penunjuk arah dapat di temui dengan jelas.

Dah nama pun pulau, mestilah selalu nampak laut.

Bermacam jenis chalet yang terdiri daripada pelbagai nama dapat ditemui di Pulau Aman ni.

Sedang anak-anak di bandar sibuk dengan tab dan gajet masing-masing, kanak-kanak di Pulau Aman selamba main dengan ular sawa.

Bila jadi orang asing di Pulau Aman ni, banyak yang bertanyakan soalan kat abang.

Ula sawa yang menjadi haiwan belaan adik ni. Dia jumpa dekat-dekat rumah ja.

Abang tak melepaskan peluang untuk mencuba pegang ular. Ni kali pertama ni abang sentuh ular. Geli !

Sampai sekarang abang dok terasa lenggok tubuh ulaq kat tangan abang. 

Kawasan di penghujung Pulau Aman. Ada teluk kat sebelah ni yang asalnya bersambung dengan Pulau Gedung.

Inilah teluk yang diperkatakan di Pulau Aman. Boleh nampak jambatan kedua Pulau Pinang dari sini.

Hutan masih meliputi sebaahgian besar kawasan Pulau Aman. Di sebelah hujung sana terletak Telaga Emas.

Budak-budak ni sibuk pulak main dengan 'itik ayaq' mereka.

"Abang dok mana?"
"Permatang Pauh"
"Nanti kami pun nak pi Permatang Pauh beli itik angsa pulak, sebab hat ni itik ayaq"

Chalet Bunga Raya, chalet Baiduri yang boleh disewa untuk bermalam Pulau Aman.

Sebelum balik pekena dulu ais kacang yang dijual oleh warung-warung kecil yang terdapat di sekitar Pulau Aman. Comel-comel je warung makan atau kedai minum di sini. Ais kacang sebungkus berharga RM 2.50. Boleh tahan harga standard bandar besar.

Nak bermalam di Pulau Aman tak ada masalah. Ada banyak chalet atau homestay yang disediakan untuk pengunjung. Nak jenis macam mana semua ada. Nak atas darat ka, terapung ka semua boleh. Bukan mahal pun. Harga abang jamin berbaloi.

Sebelum balik tu pekena la mee udang dulu. Macam abang dah lewat, tak sempat la nak merasa mee udang oleh kerana berkejaran mencari bot balik sebab dah dekat pukul 5.00 petang. Restoran Terapung Pulau Aman yang selalu menjadi tumpuan orang ramai. Hangpa kena la jalan kaki dari jeti hala ke belah kiri baru jumpa restoran terapung ni.

Restoran Terapung Pulau Aman ni bukan saja menyajikan mee udang tetapi jugak menu-menu lain seperti nasi gorang dan sebagainya. Restoran ni masa abang pi pukul 5.00 petang depa tengah dok siap-siap lagi. Entah pukul berapa dia buka untuk pengunjung.

Nak makan udang lipan segar pun ada. Dia siap bela dalam bekas khas. Pengunjung boleh la pilih nak yang mana. Harga sepinggan mee udang istimewa berharga RM10.00. Promosi ja lebih tapi abang tak makan apa pun.

Sebenarnya ada banyak tempat-tempat menarik yang boleh hangpa lawati di Pulau Aman seperti Telaga Emas, Batu Perompak, Gua Lanun, Kubur Lama dan sebagainya. Tapi oleh kerana abang pun mai lewat, jadi tak berapa nak cukup masa nak ronda semua. Kalau dapat tidur malam dua di Pulau Aman ni pun 'chara' jugak. 


Seronok sebenarnya dapat meronda kawasan di Pulau Aman ni. Kampung dia pun layan jugak.

Lapar dan dahaga? Jangan risau. Ada banyak 'port' nak minum ayaq.

Chalet terapung pun ada di Pulau Aman. Boleh memasak sekali dalam ni. Semalam cuma RM180 ! Promosi je lebih, abang sendiri pun tak pernah pi tengok chalet tu. Tapi dia memang duduk atas laut la.

Abang tengok ada program khidmat masyarakat oleh budak-budak sekolah yang entah mai dari mana. Bunyi semua cakap slang Kuala Lumpur.

Bukan di Phi Phi Island atau di Krabi, tapi di Pulau Aman.

Kedai-kedai kecil di sepanjang jalan. Abang sempat beli ABC dekat makcik depan tu.

Jumpa pokok sukun lagi. Pokok sukun memang tubuh subur di Pulau Aman.

Nak makan mee udang tak semestinya di restoran terapung Pulau Aman. Di dalam kawasan kampung pun ada, contohnya Warung Mee Udang Kak Timah ni yang terletak bersebelahan Masjid Ar-Rahman.

Perkampungan Melayu di Pulau Aman yang menjadi tarikan pengunjung.

Pelancong-pelancong cina pun banyak di Pulau Aman ni.

Beli ABC bungkuih ikat tepi dekat kedai makcik depan tu.

Perusahaan makanan ringan juga terdapat di Pulau Aman.

Agro Bazaar & Warisan Bonda Keropok Lekor.

Bonda yang buat kuih kapit di Pulau Aman dah takda petang-petang ni.

Tak risau anak-anak kayuh basikal pusing main satu Pulau Aman.

Penampakan alatan hasil seni artis dalam pembikinan.

"Lagu mana pun untuk hangpa ! Pimai FM 90.2 !"

Bagi abang memang tenang kalau duduk di Pulau Aman ni.

Rumah kampung yang masih ada tangga kayu. Basikal touring pun ada !

Astro wajib ada !

Ikut laluan pejalan kaki yang disediakan di Pulau Aman boleh pusing satu pulau.

Jeti menuju restoran terapung Pulau Aman.

Restoran terapung Pulau Aman, tempat di mana terletaknya lokasi mee udang.

Nak terkincin? Jangan takut, di Pulau Aman tandas awam pun ada.

Udang-udang segar yang diisi dalam bekas khas.

Nak makan mee udang, bolehlah berkunjung ke restorn terapung Pulau Aman ni. Bukan setakat udang biasa, udang lipan pun ada.

Selamat datang ke Restoran Terapung Pulau Aman. Depa tengah dok setting meja waktu abang pi pukul 5.00 macam tu.

Jeti pendaratan di Restoran Terapung Pulau Aman. Barang-barang basah untuk restoran diturunkan di sini.

Pukul berapa restoran terapung ni bukak abang pun tak pasti. Pukul 5.00 tak ada sapa lagi.

Bendera negeri Pulau Pinang berkibar megah di Pulau Aman.

Bot bawa ais baru sampai.

Deretan tong gas nak masak mee udang.

Tengok berapa banyak beg ais kiub yang bot ni bawa. Abang syak malam minggu Restoran Terapung Pulau Aman ni mesti meriah.

Masa balik, abang selamba ja naik bot yang dah siap sedia menunggu

Tambang bot Pulau Aman untuk kanak-kanak berharga RM 4.00 seorang.

Waktu balik, abang naik bot dengan sekumpulan keluarga. Bot akan tunggu penumpang lain naik bagi penuh baru dia akan gerak. Sementara menunggu penumpang tu, abang sambil-sambil dengaq la jurumudi bot bersembang dengan rombongan keluarga tersebut.

Macam-macam benda la depa sembang. Mula dari tajuk mee udang, seterusnya ke musim buah. Masuk pulak tajuk ikan termenung. Kata akak jurumudi bot (ya akak), nak tahu tempat tu ikan termenung duduk berkumpul, tengok permukaan laut. Kalau hitam tu kira banyak la ikan termenung tu.

Pastu akak tu pun tunjuk la contohnya masa naik bot menghala balik. Abang tengok laut sama ja, tak tahu mana yang kawasan yang hitam. Sampai ke sudah abang tak nampak yang mana hitamnya. Orang laut sendiri mungkin boleh perasan kot sebab depa selalu duduk laut.

Sama macam sewaktu pergi, waktu balik dari Pulau Aman ke Jeti Batu Musang pun tak sampai 10 minit naik bot. Abang ke kakak ke bawa bot laju semacam. Nama pun bot laju.

Kembali ke Jeti Batu Musang.

Buih-buih lautan. Ikan termenung tak nampak sampai ke sudah.

Bot singgah ambik orang dulu di Restoran Terapung Pulau Aman.

Abang pemancing yang baru naik bot dari jeti Restoran Terapung Pulau Aman untuk sama-sama pulang ke jeti Batu Musang.

Dah sampai dah di Batu Musang. Antara aktiviti petang yang terdapat di sini.

Geng memancing pun banyak di jeti Batu Musang ni.

Ada uncle cina sorang tengah dok cari kepah ke apa abang pun tak pasti.

Bila petang-petang macam ni, cuaca dah redup sikit banyak la orang lepak memancing.

Budak-budak ni pun dok cari apa bang pun tak tahu.

Pemandangan pantai Batu Musang dari The Ridge yang dah tutup.

Jeti Batu Musang ni pun abang syak antara lokasi orang ambik gambaq pengantin. Ada la 2-3 pasangan 
The Ridge bersebelahan Jeti Batu Musang.

Pemandangan menghadap Pulau Aman di hadapan The Ridge.

Sebenarnya kawasan The Ridge Batu Kawan ni dah ditutup, dan tak ada siapa pun masuk tapi abang menyusup masuk ikut pintu belakang sana.

Tidak dapat dipastikan kenapa The Ridge Batu Kawan ini ditutup kepada kunjungan orang ramai.

Sebelum balik, abang meronda-ronda dulu di kawasan sekitar kawasan jeti Batu Musang. Bermacam aktiviti ada waktu petang macam ni. Kalau geng-geng memancing, sibuk dengan joran depa dok bersidai tepi pantai. Ada uncle cina sorang dok meredah selut pantai cari kepah kalau tak silap.

Bersebelahan dengan kompleks jeti Batu Musang, ada struktur bangunan ala-ala resort yang diberi nama 'The Ridge'. Sebelum ni abang tak tahu nama dia, balik rumah baru Google. Yang kaki fotografi pulak melepak atas dek 'The Ridge' ambik gambaq pemandangan atau gambaq pengantin. Pemandangan dari atas ni cukup indah. Abang perasan ada 2-3 pasangan pengantin bergambar sebelum tu. Geng-geng couple suka la view-view romantik till jannah waktu senja macam ni.

Abang pulak ambik kesempatan menerbangkan drone di sekitar The Ridge. Abang menyusup masuk ke dalam kawasan 'The Ridge' yang telah ditutup. Tidak dapat dipastikan mengapa ianya ditutup. Tempat-tempat cantik macam ni rugi la tutup. Mengikut carian Google, The Ridge ni dulu bukan main meriah dengan pengunjung. Ada banyak restoran-restoran di atas ini. Abang cari sebab kenapa dia tutup tapi tak jumpa. Ke oleh sebab penemuan 'kaki' di sekitar kawasan pantai Batu Musang hujung tahun lalu?

Wallahualam.

39 ulasan:

  1. wah...the ridge le cantik view dia..Pulau Aman ada pakej Island Hoping ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. The Ridge tu dah tutup. Boleh tanya bot-bot nelayan di jeti kalau nak island hopping di sekitar Pulau Aman.

      Padam
    2. Bole bg contact nombor utk chalet x...

      Padam
  2. Gambar masjid dan sekolah tak tunjuk pun abang...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tak masuk pun dalam sekolah dengan masjid Pulau Aman ni. Ambik gambar luaq ja. Huhu.

      Padam
  3. En Mie ada, kena tgk video tu..hehe

    Br p pulau aman 2 mgu lepas. Panas nang nang, rasa nak terbalik pun ada. Ingt nak p pulau sebalah tu plak tp kena sewa bot.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang panas lit lit pun kalau pi waktu-waktu camni.

      Padam
  4. Tgk gambar lama ayah, Pulau Aman ni famous dulu sebab batu merah tepi pantai nya.
    Skrg mcm dah tak terang sgt warna batu tepi pantainya tu. Gambar lawa..

    BalasPadam
  5. cantik gambar2 tu..tp yg ular tu sy yg membacanya pun geli geleman

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya yang tak pernah pegang ular seumur hidup lagi geli geleman. Haha.

      Padam
    2. Bermula 1.9.2016 tiket bot dewasa ke pulau aman rm7.00....

      Padam
    3. Oh dah naik harga ? Terima kasih atas info bro !

      Padam
  6. Salam..nice entry & pic bro..tengah plan utk explore pulau aman gak ni;)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam.

      Terima kasih ! Teruskan menjelajah !

      Padam
  7. Salam...brapa harga chalet atau bilik penginapan yg ekonomi?
    T.kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam.

      Saya kurang pasti berapa harga chalet atau homestay di Pulau Aman.

      Padam
  8. Salam, terima kasih atas informasi di blog ini!
    Ikan-ikan segar ada juga pada hari hujung minggu? Selain itu, Restoran Terapung Pulau Aman buka juga pada hari hujung minggu?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam.

      Saya kurang pasti kalau ada ikan-ikan segar yang dijual di Pulau Aman ni. Tapi kemungkinan tu ada sebab banyak nelayan dan jeti-jeti kecil di sini.

      Restoran Terapung Pulau Aman tu setahu saya memang ada dibuka hujung minggu.

      Padam
  9. Terima kasih atas info ni abg letrik. Sangat berguna untuk kami yg baru nak pi ni....

    BalasPadam
  10. apa maksud penemuan kaki di the ridge tu.. mohon pencerahan

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ada berita berkenaan penemuan 'kaki orang' di pantai berdekatan

      Padam
  11. Abang punya style penulisan dan photo2 memang best, ada bakat macam pro....abang memang biasa menulis atau seorang reporter? Internet di Pulau Aman kalau guna celcom xpax di hp ada 4G tak? Tkasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih.

      Abang bukanlah seorang reporter mahupun penulis. Abang menulis dari hati. Ecewah! Haha.

      Ada ja line telefon dekat sini. Jangan risau, insyaallah boleh kemaskini Instagram & Facebook di Pulau Aman ni.

      Padam
  12. Bro, kalau nk ke jeti ke Pulau Aman tu macam mana? RapidPenang ada pergi ke?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Jeti Pulau Aman ni di Batu Kawan. Kalau bas Rapid Penang tak pasti pulak kalau sampai ke jeti tu. Boleh cari bas ke Batu Kawan dulu. Tak jauh dah dari situ.

      Padam
    2. Ada satu lagi Pulau
      ...Pulau Kendi

      Padam
  13. maaf saudara boleh tolong pass no contact restoran mee udang tu tak

    BalasPadam
  14. Cara hang cerita pun lawak... Tersengih Sambei baca...terima kasih noooo... Pantai dia mcm x gebu naaa.. Mcm xleh nk berkelah tpi pantai

    BalasPadam
  15. Pelik bila saudara kata orang pulau aman tak reti makan buah sukun atau jual produk berasaskan buah sukun.. Padahal sejak 10 tahun dulu kalau saya pi pulau aman..kerepek sukun la yang saya cari, kat sana memang terkenal dengan kerepek sukun, sedap depa buat.

    BalasPadam
  16. Terasa macam dah sampai ke Pulau Aman dah ha.. Terbaik dengan gambar2 semua. Cun bersih dan kemas pulau aman ni no..

    BalasPadam
  17. Menariknya! Boleh pergi nanti ni sebab belum pernah sampai sini :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Insyaallah. Boleh cuba pi sini nanti!

      Padam
    2. Saya dah pergi hari tu..tenang je. Kalau memancing mesti best :)

      Padam
  18. terbaik dan terindah pulau amam amat cantek sekali walaupun saya tinggal tidak berapa jauh dri pulau tersebut.sekali pun saya x pernah jejak kaki ke pulau tersebut pasti saya akan sampai suatu masa nanti

    BalasPadam
  19. Saya dah pernah sampai ke Pulau Aman dan tidur satu malam. Memang best

    BalasPadam