Pages

23 April 2011

Review Yamaha Nouvo LC

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.


Salam 1 Belting !

Skuter Yamaha Nouvo 135 LC mungkin tidak selaju dan sepopular kapcai Yamaha 135 LC yang menjadi kegilaan ramai namun ada beberapa ciri yang menjadikannya lain daripada yang lain. Gua lebih tertarik dengan reka bentuknya yang segak lebih-lebih lagi lampu depan berkembarnya yang agak garang ala-ala 'Versys'.

"Bro ! Kenapa angkat Nouvo LC bro ! Kenapa tak ambil Yamaha LC 135 je? "

"Skuter susah jaga bro ! Manja !"

Kita lebih mempercayai kata-kata mereka yang tidak pernah menggunakan skuter berbanding mereka yang setiap hari menggunakannya dalam urusan kehidupan seharian.

Sukar menjawab pertanyaan dari orang-orang sebegini. Rata-rata orang lebih menyukai kapcai dari skuter, namun bagi gua baik kapcai mahupun skuter setiap daripadanya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Walau apa pun, gua lebih berminat memilih skuter daripada kapcai atas beberapa sebab.

Kenapa perlu susah-susah tarik clutch sedangkan kau boleh makan aiskrim sebelah tangan mahupun dukung anak sementara sebelah lagi tangan memulas throttle? Hanya penunggang skuter tahu jawapannya.

Ramai yang beranggapan jentera bernama skuter agak manja dan memerlukan penjagaan rapi. Namun mengikut pengalaman, ia tidaklah semanja yang diperkatakan itu. Yamaha Nouvo LC membuktikan bahawa ia juga kenderaan dua roda yang tahan lasak dalam apa jua situasi pemanduan baik kegunaan seharian mahupun untuk perjalanan jarak jauh.

Tak ada istilah 'meraung mintak gear' bila mana menggunakan skuter. Tak perlu risau rantai longgar, tak perlu risau nak tukar 'sprocket' dan tak perlu minyakkan rantai bila mana menggunakan skuter untuk membuat perjalanan jarak jauh.

Belting Yamaha Nouvo LC pulak gua tukar setiap 32,000 KM sekali walaupun ikut buku manual tiap kali 25,000 KM wajib ditukar. Setakat ni baru sekali gua tukar 'belting'.

Tak perlu tukar minyak hitam selalu jika anda menggunakan minyak hitam yang mahal. Sebagai contoh, gua menggunakan minyak hitam Motul Scooter Expert Semi-Synthetic pada skuter Nouvo LC gua. Tiap-tiap 4000 KM atau dekat 5000 KM baru gua tukar. Gunakan sepenuhnya minyak hitam anda tersebut sebaik mungkin.

Minyak gear skuter pula tidak perlu ditukar setiap kali tukar minyak hitam. Dua atau tiga kali tukar minyak hitam, barulah tukar minyak gear. Untuk Yamaha Nouvo LC, dia memerlukan dua botol minyak gear. Biasa gua guna Yamalube sahaja. Harga minyak gear skuter Yamalube dalam RM 10 sebotol.

Yang syok dah paraknya, Yamaha Nouvo LC sahaja yang guna dua botol minyak gear. Skuter lain macam SYM VTS200 pun baru guna sebotol ja. Macam-macam.
Skuter kegunaan Valentino Rossi di luar litar.
Rekabentuk stiker yang terdapat pada Yamaha Nouvo LC GP Edition yang diadaptasi dari Fiat Yamaha MotoGP.


Brochure Nouvo LC GP Edition.
Spesifikasi Yamaha Nouvo LC GP Edition yang sama dengan Yamaha Nouvo LC biasa. Yang membezakan adalah corak stiker pada badan skuter.

Ketika catatan ini ditaip, gua mula menggunakan Yamaha Nouvo LC sebagai mod pengangkutan utama seharian gua. Inilah dia Yamaha Nouvo LC GP Edition. Sebelum beli skuter ni, sudah tentu kena buat kajian dulu di internet. Hasil daripada review yang gua dapat dari internet, skuter ni boleh dikategorikan sebagai 'BAGUS' & 'CEMERLANG'.

Genap 5 tahun dah gua guna Yamaha Nouvo LC ni dan segalanya baik sahaja. Sesuai dengan motto rasminya iaitu 'Setahap Di Depan', skuter ini memang membuatkan hati gua berbolak-balik.

Skuter Yamaha Nouvo LC ni gua gunakan untuk berulang-alik di antara UiTM Shah Alam dan Kuala Lumpur. Dah masuk beberapa kali gua ulang-alik, hanya satu benda sahaja gua boleh kata yang Yamaha Nouvo LC ni memang lancar.

Apabila pendikit dipulas je mencicit pergi. Setakat ni takometer digital Yamaha Nouvo LC gua dah cecah 60,000 KM. Tiada apa-apa masalah setakat ni, cuma kena jaga rajin tukar minyak hitam dan minyak gear sebab orang kata skuter ni jenis manja sikit dengan tuan dia. Orang kata la kan.

Mulanya dulu gua lebih berminat dengan skuter Naza GTR 150. Disebabkan harga yang agak tinggi dan prestasi yang kurang memuaskan serta permasalahan-permasalahan lain yang sering diperkatakan di dalam forum dan dealernya sendiri, maka dengan itu Yamaha Nouvo LC telah dipilih menjadi kenderaan rasmi gua.

Dengan harga RM 6700 cash (on the road) ketika itu (hujung 2010), ditambah pula dengan tempahan nombor kapit legasi keluarga bernilai RM 380 maka Yamaha Nouvo LC GP Edition ini telah sah mendapat tuan baru.

Ramai yang memandang rendah pada keupayaan sesebuah skuter pada hakikatnya mekanisma skuter adalah yang terbaik bagi mengurangkan kadar kehilangan kuasa. Oleh kerana itulah skuter menggunakan CVT (Continuous Variable Transmission) untuk mengelakkan pengurangan kuasa berbanding motosikal konvensional biasa yang akan kehilangan kuasa apabila penukaran gear dilakukan.

Nampak macam mana ayat jurutera?

Pengalaman gua semasa di persimpangan lampu isyarat waktu ketagih handle dulu la katakan, mencicit-cicit motorsikal lain ingin mengejar skuter Yamaha Nouvo LC ni bila lampu hijau menyala. Dah tinggal 2 tiang baru depa dapat potong.

Skuter Yamaha Nouvo LC ni kuat dari segi daya pecutan tapi kurang dari top speed. Sesuai bagi mereka yang ingin bersantai-santai dan senang mencilok di ibukota Kuala Lumpur. Macam gua.

Lagi satu apa yang syok pasal skuter Nouvo LC ini adalah tentang kemudahan atau convenient. Di bawah tempat duduk (seat) ada ruangan tempat menyimpan barang, malahan helmet juga boleh masuk.

Katakan kalau hangpa pi joging, handset, dompet dan sebagainya boleh disimpan dalam ruangan ni. Takkan nak kendong masa joging kot. Tapi hati-hati sekarang ni banyak yang dah tahu pasal ni. Ada Nouvo LC lain yang dah kena pecah bila depa dapat tahu ada barang berharga di bawah seat.

Semasa hujan lebat, barang-barang penting seperti telefon dan dompet pun tak basah. Boleh simpan di bawah ruang tempat duduk. Tak perlu risau kasut basah kerana ianya tidak seperti kapcai kalau hujan pasti kasut lencun terkena percikan air, untuk skuter ruang kaki sentiasa dilindungi.

Kalau ke pasar pun, setakat beras satu beg 5 KG mahupun 10 KG tidak menjadi masalah. Boleh susun cantik-cantik. Siap ada ruang lebih lagi untuk beli sayur dan barang basah. Kalau Perodua Alza dengan taglinenya 'Kereta Juga MPV', Yamaha Nouvo LC pun lebih kurang sama, 'Skuter Juga MPV'.

Nampak macam mana dia punya up ?

Bukan setakat jalanraya tar biasa, jalan-jalan off-road pun abang pernah cuba redah guna Yamaha Nouvo LC abang ni. Skuter dikerah melalui jalan pesisir pantai dari Kapar hingga ke Sekinchan. Tak ada masalah. Off-road yang ringan-ringan la macam masuk ladang tebu dan merentasi pesisir pantai. Menyusuri pesisir pantai utara Selangor memang layan woo ! Walaupun kena main kotoq sikit, harus cuba !

Sebenarnya ada banyak lagi kemudahan kalau anda pakai Nouvo LC ni. Tepuk dada tanya diri. Apa yang anda cari. Yang kena dengan jiwa anda sendiri.



Cameron Highland Ride bersama Nouvo LC.
Beras sekampit 10 KG tak ada masalah nak letak bawah tempat duduk. Kereta juga MPV. Eh tu Alza.

Tambah lagi minyak masak sebotol 5 KG di depan. Pi pasar naik Nouvo LC solo pun boleh, tak payah orang ikut bonceng belakang pegang barang.

Yamaha Nouvo LC lasak buat main off-road masuk ladang tebu.

Minyak hitam Motul Scooter Expert yang digunakan pada Nouvo LC gua. 4000 KM baru gua baru tukar. Kadangkala lajak sampai 5000 KM baru servis.



Nouvo LC di Tasik Banding, Gerik.

Sesi bergambar bersama Nouvo LC di Jalan Felda Aring menuju ke Tasik Kenyir.

Nouvo LC di Kuala Terengganu.

Nouvo LC 'touchdown ' di Kota Bharu.

Nouvo LC melayan Lebuhraya Timur-Barat berlatarkan Gunung Kenderong, Gerik.

Alhamdulillah. Yamaha Nouvo LC diberi kesempatan menjelajah selatan Thailand secara solo.

Selamat tiba di Pak Bara bersama Nouvo LC.

Bawa Nouvo LC naik bot ke Kampung Tammalang, Satun.


Bacaan lanjut tentang aktiviti ride bersama Nouvo LC gua :



Update Ogos 2014 : Kilometer Nouvo LC gua dah mencapai 45,000 KM. Tiada masalah setakat ini.

Update September 2015 : Kilometer Yamaha Nouvo LC gua dah mencecah 60,000 KM. Baru lepas masuk Selatan Thailand bulan Februari lepas. Alhamdulillah. Kondisi masih cun. Belting baru tukar sekali.