Pages

23 Januari 2014

Kota Kinabalu Short Escape | Selamat Tinggal Kota Kinabalu !

Sambungan dari Kota Kinabalu Short Escape | Pulau Manukan

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.


Untuk aktiviti hari ketiga atau pun di hari terakhir kami di Kota Kinabalu, awal-awal pagi gua dah bangkit meronda kawasan sekitar selepas Subuh. Gua meronda keseorangan oleh kerana Adib kembali ke katil untuk menyambung tidur pagi itu.

Sebelum meronda-ronda, gua bersarapan di kedai mamak berdekatan dengan guesthouse tempat gua menginap. Suasana kedai mamak di Kota Kinabalau tidak seperti di sebelah Semenanjung Malaysia. Agak suram dan kurang meriah pada waktu pagi. Gua order roti telur dan teh tarik, tapi rasanya agak menghampakan. Tak kena dengan tekak.

Selesai bersarapan, gua berjalan kaki menuju Menara Jam Atkinson yang menjadi mercu tanda di Kota Kinabalu ini berpandukan kepada Google Maps. Untuk makluman, struktur Menara Jam Atkinson ini merupakan salah satu struktur bangunan yang tertua di Kota Kinabalu yang dibina pada tahun 1902 dan siap pada 1905 bagi memperingati Francis George Atkinson, Pegawai Daerah Jesselton (dikenali sebagai Kota Kinabalu sekarang) yang meninggal dunia akibat penyakit 'Demam Borneo' (Malaria) pada ketika usia muda 28 tahun.  

Jam asal di menara ini yang disumbangkan oleh ibu Atkinson telah digantikan dengan yang baru pada tahun 1964. Jam ini telah mula berfungsi pada 19 April 1905 ketika masih dalam pembinaan. Pada asalnya, menara jam ini dibina daripada kayu Mirabau (Merbau) dan berketinggian 157 meter (48 kaki). Selepas dibina dan melalui pembaikan dan pembaharuan yang menyeluruh, bentuk permukaan asalnya telah mengalami perubahan yang besar.

Pada tahun 1979, pihak Muzium Sabah telah mengambil alih penjagaan dan pemeliharaan menara jam ini. Tapak bangunan ini telah diwartakan sebagai Simpanan Kerajaan pada Ogos 1983.

Kawasan Menara Jam Atkinson pagi itu agak sunyi. Tiada orang lain yang melawat kecuali gua sorang. Pengunjung harus menaiki tangga untuk tiba di kaki bukit tapak menara jam ini. Gua sempat ambil 2-3 keping gambar buat tatapan.

Seterusnya gua berjalan lagi menuju ke Signal Hill Observatory Tower atau pun juga dikenali sebagai Menara Pemerhati Bukit Bendera, kawasan tertinggi di Kota Kinabalu ini. Mula-mula tu sesat jugak nak cari tangga untuk naik merentasi hutan ke Signal Hill Observatory ini.

Setelah gua perhati dan bertanya pada orang tempatan, baru gua jumpa tangga untuk naik ke atas ini. Mengah jugaklah nak sampai. Dari atas Signal Hill Observatory ni kita boleh tengok pemandangan keseluruhan bandar Kota Kinabalu. Nampak la Jesselton Point dan kapal terbang berlepas dari lapangan terbang Kota Kinabalu. Setiap 2-3 minit ada ja kapal terbang berlepas.


Jalan Bukit Bendera di Kota Kinabalu, bukan di Pulau Pinang.

Menara Jam Atkinson berdiri megah.

Papan tanda masuk ke laluan pejalan kaki menuju Signal Hill Observatory Tower

Kedai kopi berhampiran Australian Place.

Jalan naik menuju ke Signal Hill dari Australian Place.

Jalan tangga berkayu ke puncak Signall Hill Observartory Tower.

Nampak keseluruhan bandar Kota Kinabalu dari atas menara pemerhati Signall Hill ini.

Signal Hill Observatory Tower

Pandangan dari Signal Hill Observatory Tower. Di bawah sebelah kiri itulah Australian Place.

Langit cerah di Kota Kinabalu.

Boleh nampak laut.

Hutan yang terpaksa dilalui sebelum tiba di Signal Hill Observatory Tower ini.

Suria Sabah.

Gua tak pasti sampai ke mana jalan ini dari Signal Hill Observatory Tower.

Nampak Jesselton Point.

Turun dari Signall Hill, akan ada suatu kawasan dipanggil Australian Place di kaki bukit bersebelahan hutan. Di sini terdapat banyak juga hotel bajet dan rumah tumpangan terutamanya untuk golongan 'backpacker' tegar.

Rumah-rumah kedai dua tingkat yang kebanyakannya kedai percetakan di sini masih lagi ditutup pada awal pagi. Nama Australian Place diambil sempena peristiwa sejarah di mana kawasan ini dahulunya adalah tapak kem tentera Australia, 60 tahun lalu sebelum Perang Dunia Kedua (WW2). Nama tersebut masih tidak berubah hingga ke hari ini.  

Gua lintas jalan ke Jalan Gaya seterusnya untuk berjalan pulang ke guesthouse. Jalan Gaya pun agak padat dengan restoran dan hotel-hotel. Parking di sini pun agak penuh tapi hanya sesetengah kedai sahaja yang dibuka awal pagi.

Kelihatan juga bank-bank di kawasan Jalan Gaya ini. Mungkin pasar pagi Ahad lagi menarik di kawasan Jalan Gaya ini. Gua lintas lorong-lorong demi lorong. Tak perlu peta rasanya dah boleh ingat jalan di sekitar Kota Kinabalu ini.

Matahari sudah meninggi, gua terus ke tapak Pasar Malam Sinsuran di tepi laut. Macam ada benda menarik untuk disaksikan. Ada bot-bot kecil membawa turun penumpang di tebing laut.

Ada seorang makcik dan budak kecil sedang memancing ikan kecil. Saja gua lepak dan sembang-sembang dengan budak kecik ni. Katanya dia berhenti sekolah untuk membantu ibunya di kampung. Dia bukan berasal dari Kota Kinabalu ni, kena naik bas 2 jam untuk balik ke kampung. Sekarang ni tinggal di kampung nelayan di Pulau Gaya dan kerjanya sebagai penolak tong ikan. Sedih jugak dengar cerita budak ni. Dia pancing ikan pun nak dijadikan menu untuk makan malam nanti. Ramah budaknya.

Gua kembali ke guesthouse lebih kurang jam 11.30 pagi. Member gua si Tatep dah bangun dari tidur, dan dah bersiap nak turun bersarapan di kedai bawah. Gua pun ikut sekali melepak di kedai bawah guesthouse.

Di jalan berhampiran berhadapan Pasar Kraftangan, kelihatan si penjual rokok yang menggalas karton rokok lari lintang pukang menyorok di tangga guesthouse. Rupanya ada penguatkuasa melakukan rondaan hari tu. Pada pemerhatian gua, ada banyak penjual rokok sebegini di Kota Kinabalu, sekitar kawasan kaki lima kedai-kedai dan guesthouse. Rokok seludup mungkin.


Australian Place Kota Kinabalu. Hutan di hadapan terletaknya Signal Hill.

Pilihan backpacker hostel sekitar Australian Place di Kota Kinabalu.

Kedai percetakan di Australian Place.

Bulatan Australian Place.

Borneo Backpackers Kota Kinabalu.

Jalan Gaya, Kota Kinabalu.

Sabah Tourism Centre, Kota Kinabalu.

Jalan Gaya, Kota Kinabalu. Setiap hari Ahad akan ada pasar minggu dikenali sebagai Tamu Gaya di sini.

Di pesisir laut berhampiran Pasar Malam Sinsuran.

Bot kecil.

Budak kecil yang bermain di kawasan sekitar Pasar Sinsuran.

Kota Kinabalu, bandar di pesisir laut.

Boleh naik bot untuk ke Pulau Gaya dari sini.

Bermacam aktiviti ada seperti memancing.

Angin laut sepoi-sepoi bahasa.

Bot-bot nelayan.


Bot mewah sikit.




Bot kecil yang membawa penumpang dari pulau-pulau terdekat.

Kapal terbang yang berlepas sentiasa dapat dilihat selang beberapa minit..

Merenung masa depan.

Terbang tinggi.

Bot-bot kecil.

Adik kecil yang memancing ikan untuk menampung hidup.

Borneo kids.

Umpan pisang je.

Budak ni ada bagitahu nama ikan ni, tapi gua lupa.

Bersama hasil tangkapan.

Bersungguh adik ni menunjukkan hasil tangkapan !

Ikan yang dipancing.


Sepetang di Waterfront Kota Kinabalu.

Bot-bot kecil melintasi.

Pelancong luar.

Hari sampai pun ada, hari balik pun ada.

Orang tempatan pasti.

Indah sungguh pemandangan.

Melepak depan Waterfront Kota Kinabalu.

Sunset in Borneo

Petang tu, kami masih meronda Kota Kinabalu. Saja menyusuri lorong-lorong kecil melihat kehidupan masyarakat tempatan. Sempat meninjau masuk ke dalam Pasar Kraftangan atau dikenali sebagai Pasar Filipino untuk membeli sedkit cenderamata untuk dibawa pulang.

Oleh kerana modal yang agak ciput, gua hanya sempat beli 2-3 ketul fridge magnet sebagai kenang-kenangan. Si Tatep member gua pulak rembat 2-3 helai T-shirt dengan keychain. Dalam Pasar Kraftangan Kota Kinabalu ni banyak jugak peniaga yang menjual mutiara Sabah. Selalunya orang perempuan yang gemar tengok mutiara-mutiara ni.

Sesudah itu, kami melepak di hadapan Waterfront Kota Kinabalu. Kelihatan ramai juga pelancong luar dan orang tempatan yang menunggu detik terbenam matahari. Kami tidak berkecuali. Lepak tengok gelagat orang. 

Pulang dari menjelajah pekan Kota Kinabalu, kami mengambil beg yang yang ditinggalkan di A&J Guesthouse semasa proses check-out tengahari tadi. Kami solat Maghrib dahulu sebelum mencari pengangkutan ke airport Kota Kinabalu.

Rancangan kami ingin menaiki bas mini 16C dari Wisma Wawasan ke airport Kota Kinabalu sama seperti yang dilakukan semasa mula menjejakkan kaki di Kota Kinabalu ini. Puas kami tanya orang tempatan, katanya bas beroperasi hingga jam 7.00 malam sahaja.

Oleh kerana hari sudah gelap dan kesuntukan masa mengejar penerbangan yang dijadualkan jam 9.00 malam, kami mengambil teksi berhampiran Wisma Wawasan menuju ke airport. Untuk sebuah teksi menuju airport, harga biasa adalah sebanyak RM 30.00 sebuah. Puas pujuk pakcik teksi tu, dapat la RM 20.00 sahaja. Jimat RM 10.00. Turun betul-betul depan pintu airport Kota Kinabalu. Seterusnya kami selamat tiba di Kuala Lumpur jam 12.00 tengah malam.

Sekian sahaja untuk episod kembara Kota Kinabalu Short Escape ini.

Moga bertemu kembali dalam kembara yang akan datang.

Sekian. ;-)

Bersambung ke Bajet Keseluruhan Kota Kinabalu Short Escape



Travelogue Kota Kinabalu Short Escape :

4 ulasan:

  1. assalam.cantik2nya gmbr.guna camera apa ye?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam. Guna kamera telefon Xperia dan kamera digital Nikon je untuk ambik gambar.

      Padam
  2. Tq...boleh dijadikan panduan ...

    BalasPadam