Sambungan dari
Indochina 'Long Way Back' Overland Project | Part 12 : Luang Prabang
السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.
Kami melepak di Stesen Bas Luang Prabang menunggu kehadiran bas hingga ke waktu Maghrib. Bas dijadualkan akan bertolak ke Huay Xai (Bokeo) pada jam 7.00 malam. Sebelum tu kami melilau di sekitar kawasan perkarangan stesen bas. Ada kedai-kedai kecil menjual minuman dan makanan ringan. Gua rasa barang di Laos agak mahal jika nak dibandingkan dengan Thailand dan juga Vietnam. Masuk tandas awam dekat stesen bas pun dah kena 2,000 Kip (lebih kurang RM0.80). Kalau minuman atau makanan ke harga dia memang lebih sikit nilai dia bila kita
convert ke duit Malaysia.
Bas putih VIP berhawa dingin sampai awal di Stesen Bas Luang Prabang tapi penumpang belum boleh naik lagi. 10 minit sebelum bertolak baru penumpang dibenarkan masuk. Ada mat saleh geng pakcik-pakcik naik sekali. Setiap penumpang dibekalkan dengan selimut. Keadaan bas agak selesa jika nak dibandingkan dengan bas-bas yang kami naiki sebelum ini dari Sapa ke Luang Prabang. Setiap penumpang mempunyai nombor kerusi masing-masing. Kami solat jama' Maghrib dan Isyak di atas bas sahaja.
Lampu bas dipadamkan sebaik sahaja bas bergerak. Gelap gelita jalanraya di Laos. Tak ada lampu-lampu jalan yang menerangi. Di awal perjalanan, jalanraya cukup cantik apabila melalui kawasan perkampungan. Bas berhenti 2-3 kali mengambil penumpang di kawasan kampung. Hampir sejam perjalanan, bas berhenti rehat di suatu kawasan pekan. Nama pekan apa gua pun tak tahu. Drebar dan pembantunya berhenti makan nasi. Siapa yang tak nak turun boleh lepak dalam bas. Gua dengan Maddin turun bas tengok keadaan sekitar.
|
Akak ni jual buah limau di tepi jalan. |
|
Salah sebuah bas yang turut berhenti rehat. Bukan bas ni yang kami naik di Laos. |
Bas menyambung semula perjalanan setelah berhenti rehat. Kali ini dah tak berhenti mana-mana dah sampai la ke destinasi iaitu di Stesen Bas Huay Xai. Ingatkan jalan cantik sepanjang masa, tanggapan gua silap. Melalui lereng-lereng bukit dan dengan keadaan jalan yang kurang elok (bertanah merah), bas terhuyung-hayang sepanjang perjalananan malam tersebut. Ada penumpang lain yang siap muntah dalam plastik beg. Gua tak lena nak tidur bila bas dok melambung-lambung. Jengok luar tingkap tak nampak apa, gelap gelita sepanjang masa. Yang gua tahu lokasi kami ada di tengah-tengah hutan belantara mana entah. Sat sat jaga pukul 1 pagi, sat sat jaga pukul 3 pagi. Tidur-tidur ayam.
Bila hari nak cerah, baru gua sedar. Rupanya dah nak sampai. Pembantu bas mengedarkan air mineral dan roti kepada setiap penumpang di dalam bas. Pemandangan desa penduduk tempatan Laos di waktu pagi amat menarik. Budak-budak sekolah berjalan kaki ke sekolah dan ada yang baru bersiap memulakan rutin harian mencari nafkah. Tepat jam 7.00 pagi, bas yang dinaiki tiba di stesen bas Huay Xai. Bas berhenti menurunkan sebahagian penumpang termasuklah kami. Ada setengah lagi penumpang belum turun. Bas tersebut difahamkan akan menyambung perjalanan tapi tak pasti pulak ke mana.
Huay Xai merupakan satu pekan kecil di wilayah Bokeo yang menjadi transit bagi para pengembara yang ingin melintasi sempadan Laos-Thailand. Lintasan sempadan antara pekan Huay Xai (Laos) dan pekan Chiang Khong (Thailand) ini dipisahkan oleh Sungai Mekong di tengah-tengah. Pengembara perlu menaiki bot kecil menyeberangi Sungai Mekong untuk melintasi sempadan kedua-dua negara.
Apabila turun dari bas tadi, kami menaiki tuk-tuk yang sedia terdapat di Stesen Bas Huay Xai ini. Drebar tuk-tuk dah menjerit-jerit tanya siapa nak ke border. Satu Tuk-tuk dikongsi di antara 6-7 orang penumpang. Setiap penumpang dikenakan bayaran sebanyak 10,000 Kip dan tuk-tuk ini akan terus membawa penumpang ke Border Huay Xai. Hampir setengah jam jugak perjalanan pagi itu dengan tuk-tuk dari stesen bas ke Border Huay Xai.
|
Drebar tuk-tuk dah siap menunggu di stesen bas Huay Xai untuk membwa penumpang ke sempadan. |
|
Bersempit-sempit dalam tuk-tuk untuk ke border Huay Xai. |
|
Tuk-tuk menurunkan penumpang di pekan Huay Xai berhampiran border. |
|
Pekan kecil Huay Xai yang menjadi pintu masuk/keluar utama pengembara di utara Laos/Thailand. |
|
Wat Buddha di puncak bukit Huay Xai. |
Sampai di Border Huay Xai, kami tak terus melulu cop pasport. Kami melepak dulu tengok suasana sekeliling. Kelihatan bot-bot kecil sibuk berulang-alik melintasi Sungai Mekong ke tebing sebelah sana membawa penumpang ke Chiang Khong yang terletak di negara Thailand. Ada juga bas-bas besar yang membawa sekumpulan pelancong dan ejen pelancongan masing-masing melintasi sempadan Huay Xai-Chiang Khong ini.
Di sebelah Huay Xai ini ada pejabat kecil untuk urusan imigresen dan kastam Laos. Urusan di sini tak berapa sibuk dan sangat lancar kerana tak ramai orang. Sebelum tu, kami isi dulu departure card masing-masing untuk diserahkan kepada imigresen Laos di sini. Banyak yang tanya macam mana nak lintas sempadan Laos-Thailand ni. Prosedur dia mudah sahaja sama jugak macam nak lintas sempadan Vietnam-Laos. Bagi rakyat Malaysia tak perlu buat visa ke apa, tunjuk saja passport merah bersama departure card tadi, sengih-sengih sikit kat pegawai imigresen Laos dan ambil semula passport anda apabila ianya sudah dicop. Kemudian melangkah la anda dengan angkuhnya melintasi sempadan dengan menaiki bot. Gigih nak berenang pun boleh, tak ada sapa nak halang.
|
Melintas jalan menuju ke imigresen Huay Xai berhampiran tebing Sungai Mekong. |
|
Sungai Mekong yang terbentang luas memisahkan sempadan bumi Laos dan juga Thailand. |
|
Isi dulu departure card Laos sebelum dikepilkan bersama passport untuk diserahkan pada imigresen Laos. |
|
Sekumpulan pelancong luar bersama ejen pelacongan masing-masing menyeberangi Sungai Mekong dari Huay Xai ke Chiang Khong. |
|
Siap ada porter yang angkut beg-beg geng pelancong tadi. |
|
Pejabat Imigresen dan Kastam Laos di Huay Xai. |
|
Geng mat saleh pun turut melintasi sempadan Huay Xai-Chiang Khong ni. |
|
Sesi mengisi departure card di sempadan Huay Xai. |
|
Pikul backpack dengan muatan bahan makanan dari Indochina lagi. |
|
Maddin juga tak mahu kalah gaya ketika proses pengecopan passport di imigresen Huay Xai. |
|
Pegawai imigresen Laos di Huay Xai banyak berehat dari buat kerja. |
|
Bot-bot kecil menunggu penumpang untuk menyeberangi Sungai Mekong dari Huay Xai ke Chiang Khong. |
|
Beli tiket bot ke Chiang Khong di kaunter yang disediakan. Tambang bot sebanyak 10,000 Kip untuk setiap penumpang. |
|
Papan tanda arah tempat membeli tiket bot Huay Xai-Chiang Khong. Gua pun tak pasti siapa salah eja sebenarnya ni. |
|
Kadar kekerapan bot menyeberangi Sungai Mekong dari Huay Xai ke Chiang Khong sangat tinggi. |
|
Penumpang bot diarahkan menaiki bot dan duduk di tempat yang disediakan. |
|
Tekong bot mengemudi bot di bahagian belakang bot. Kulit berbelang-belang kesan main panas di Indochina. |
|
Satu bot memuatkan 7-8 orang penumpang sahaja. Kami sahaja pelancong, yang lain orang tempatan. |
|
Lebih kurang 10 minit naik bot, sampailah ke sebelah Chiang Khong di negara Thailand. |
|
Dah dekat dah nak sampai. |
|
Sungai Mekong yang lebar. |
|
Kapal-kapal besar yang berlabuh di pinggir Sungai Mekong di sebelah Chiang Khong. |
|
Nampak bendera Thai ? Dah sampai dah Thailand. |
|
Pintu gerbang Welcome to Thailand tersergam indah di sempadan Chiang Khong. |
|
Tadi di sebelah Huay Xai (Laos) di seberang sana, kali ni berada di Chiang Khong (Thailand) pulak. |
Dari tebing Huay Xai menaiki bot menyeberangi Sungai Mekong ke tebing sebelah Chiang Khong tidaklah terlalu lama, sekitar 10 minit sahaja. Dalam bot ada 7-8 orang penumpang sahaja. Kebanyakan adalah orang tempatan yang berulang-alik antara dua pekan tersebut untuk membeli barang-barang keperluan harian. Dari kejauhan dah boleh nampak pintu gerbang 'Welcome to Thailand' di sebelah Chiang Khong.
Turun dari bot, gua dan Maddin mencari pejabat imigresen Thailand pula untuk urusan pengecopan passport. Mujur di Ching Khong ini banyak papan tanda arah mana yang harus dituju. Berbeza seperti di sebelah Huay Xai di negara Laos tadi, kemudahan imigresen dan kastam di sebelah Thailand lebih tersusun dan menarik. Jalan punya jalan jumpa la akak-akak pegawai imigresen Siam dah tercongok tunggu di kaunter. Urusan di sini juga lancar kerana tak ramai orang. Sebelum tu kena isi dulu arrival card yang berwarna putih oleh kerana kita nak masuk negara Thailand. Kalau di Bukit Kayu Hitam depa kata kena selit seringgit dua masa nak cop passport (gua tak pernah selit pun), dekat sini tak payah bayar apa-apa nak lintas sempadan. Cukup dengan senyum dan sengih sikit-sikit. Bag ke apa ke tak payah pun nak kena scan.
|
Mari cop passport di sebelah wilayah Chiang Khong di sebelah Thailand pulak. |
|
Papan tanda arahan pemeriksaan imigresen dan kastam di Chiang Khong. |
|
Banyak papan tanda yang memudahkan urusan pelancong di sempadan Chiang Khong ini. |
|
Terpinga-pinga jugak mencari tempat cop passport di Chiang Khong walaupun banyak papan tanda. |
|
Bendera-bendera kebangsaan Chiang Khong Immigration Checkpoint. |
|
Pemeriksaan passport di imigresen Chiang Khong. |
|
Isi arrival card Thai dulu. |
Keluar dari pemeriksaan imigresen Thailand, ada sebuah restoran di atas bukit. Sebenarnya kami nak cari pengangkutan untuk ke Chiang Mai dari Chiang Khong ini. Gua sebelum tu ada terbaca ada bas yang berulang-alik antara Chiang Khong dan Chiang Mai. Ingat nak cari bas tu la. Kami pun menuju ke restoran Siam atas bukit nak tanya orang-orang situ mana nak cari bas ke Chiang Mai. Pakcik tokey kedai tu pulak ramah sambut kami sambil tanya nak ke mana. Kami jawab nak ke Chiang Mai. Katanya boleh naik minivan yang dah nak bertolak setengah jam lagi. Ada geng-geng Mat Saleh 3-4 orang tengah tunggu minivan yang sama jugak untuk ke Chiang Mai. Kata pakcik tokey kedai lagi cepat naik minivan. Tambang dalam 250 Baht seorang. Kami pun ambil keputusan naik minivan sahajalah dengan geng mat saleh tadi.
Restoran pakcik ni bukan sahaja menjual makanan dan minuman semata-mata, tetapi rupanya menjadi tempat persinggahan pelancong dan pengembara yang melintasi laluan Huay Xai-Chiang Khong. Ada bermacam perkhidmatan di sini antaranya ambil gambar passport buat visa, tukar duit dan bermacam lagi. Lagi pun ada wifi percuma di sini. Pakcik tokey kedai siap suruh kami layan diri minum Nescafe 3-1 percuma. Sementara tunggu minivan sampai, boleh layan baca berita ke apa dulu dari Malaysia. Dah hampir 3 minggu kami di perantauan, tak sempat nak baca berita. Tapi yang gua ingat waktu tu berita popular di Facebook berkenaan minyak naik harga pada hari tersebut.
Sebelum bergerak menaiki van ke Chiang Mai, kami sempat tukar duit Kip lebihan di Laos kepada duit Baht. Duit Ringgit Malaysia nak tukar kepada duit Baht Thailand pun boleh di sini. Gua tukar RM100 kepada duit Baht Thai. Ramah jugak pakcik tu melayan pelanggan-pelanggannya. Boleh la cakap bahasa Inggeris sikit-sikit. Katanya bahasa Thai dan bahasa Laos adalah dari rumpun yang sama. Tengok tulisan pun bukan banyak beza antara bahasa Thai dan bahasa Laos. Macam kita dan Indonesia, dari rumpun yang sama.
|
Restoran Siam atas bukit selepas imigresen Chiang Khong. |
|
Pakcik tokey kedai. Boleh caj telefon, minum kopi dan main internet percuma. |
|
Pandangan dari atas bukit. Imigresen Chiang Khong di sebelah bawah menghadap Sungai Mekong. |
|
Geng-geng abang sado yang naik minivan dengan kami dari Chiang Khong ke Chiang Mai. |
|
Kuil-kuil Buddha yang banyak terdapat sepanjang perjalanan di Chiang Khong. |
|
Abang sado Maddin tak ada kerja lain selain tidur di dalam minivan. |
Jam 10.00 pagi, minivan yang dijanjikan tiba untuk membawa kami ke kota Chiang Mai. Kalau tak salah gua, yang naik sekali dengan kami waktu tu ada la tujuh orang penumpang termasuk geng mat saleh tadi. Kiranya semua dapat duduk dengan selesa dan tak berapa padat la dalam minivan tu. Cuaca panas terik ketika itu. Mujur la kondisi van agak cantik, penghawa dingin sejuk sampai ke belakang. Maddin macam biasa tak ada kerja lain bila naik bas atau van ke. Gua pun tidak terkecuali sepanjang 4 jam perjalanan ke Chiang Mai tu.
Kroh ! Kroh ! Kroh ! Bunyi berdengkur !
Bersambung ke
Indochina 'Long Way Back' Overland Project | Part 14 : Chiang Mai
// Catatan Travelog Indochina 'Long Way Back' Overland Project //