Iklan

09 Januari 2015

Indochina 'Long Way Back' Overland Project | Part 10 : Sapa - Dien Bien Phu

Sambungan dari Indochina 'Long Way Back' Overland Project | Part  9 : Sapa (Cat Cat Village)

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.


Hari ini merupakan hari ketiga dan juga hari terakhir kami di wilayah pergunungan Sapa di utara Vietnam. Hari ini kami akan meninggalkan Sapa menuju ke Dien Bien Phu, kota sempadan Vietnam-Laos. Tiket bas dari Sapa ke Dien Bien Phu telah dibeli semalam melalui Jacky, kakitangan Sapa Backpaker Hostel. Bas dijadualkan bertolak jam 5.00 petang waktu tempatan.

Kami masih mempunyai masa seharian lagi di bumi Sapa ini. Bangun pagi, gua dengan Maddin pakat menggigil menahan kesejukan. Dari tingkap bilik, boleh nampak pemandangan gunung-ganang yang berkabus di kejauhan. Mujur ada air panas, boleh tahan sikit nak mandi tu. Dah mandi, harus sarapan pagi dulu sebelum keluar berjalan. Maddin seperti biasa la, dia la chef. Menu tak lain dan tak bukan mesti nasi. Itu saja yang ada.

Pagi ini kami hanya melepak melihat suasana pagi di kawasan persekitaran. Tak ada aktiviti yang dirancang. Gua dan Maddin melilau melihat penduduk tempatan menjalankan aktiviti harian mereka. Puak H'mong seperti biasa boleh dilihat di mana-mana sahaja di pekan Sapa ini. Ada yang meniaga dan ada yang berkumpul bersembang sesama mereka. Di suatu kawasan lapang, kelihatan ramai pemuda berkumpul. Perempuan pun ada dalam ramai-ramai tu. Gua ingatkan ada kes gaduh ke apa. Rupanya pakat main burung. Masing-masing bawa burung masing-masing di dalam sangkar. Tengok burung siapa paling power. 

Bangun pagi jenguk tingkap. Kabus menyelubungi pergunungan Sapa.

Melepak di lobi Sapa Backpacker Hostel. Brader ni pekerja hotel. Nak ajak bersembang tak pandai cakap Inggeris.

Naik atas bumbung Sapa Backpacker Hostel tengok pemandangan.

Rumah-rumah tumpangan dan juga hotel di pekan Sapa.

Pekan Sapa yang berlatarkan banjaran gunung.

Melilau tanpa arah tuju. Tengok makcik-makcik jual buah.


Makcik-makcik puak H'mong jual madu.

Cuaca agak tidak menentu di Sapa ni. Kadang-kadang mendung, berkabus dan panas terik.

Buah-buahan tempatan. 

Ingatkan buat apa dok mengendap-mengendap. Rupanya main burung.

Main burung pun macam nak bergaduh bunyinya.

Burung-burung diletakkan di dalam sangkar.

Gereja yang menjadi ikon Sapa. Ada sesi fotografi.


Waktu tengahari dah tak begitu sejuk di Sapa ni.

Pusing-pusing melilau di kawasan sekitar pekan Sapa, elok nak dekat jam 11.00 pagi. Kami perlu kembali semula ke hostel untuk urusan check-out jam 12.00 tengahari. Cepat-cepat kami balik bersiap kemaskan bag. Jam 12.30 tengahari baru kami check-out setelah selesai solat Zuhur di bilik tadi. Tak ada masalah lewat sikit. Sementara nak tunggu bas sampai petang ni, kami tinggalkan bagpack dulu di kaunter Sapa Backpaker Hostel. Nak usung berat-berat pun nak pi mana.

Dengan masa yang masih banyak berbaki hingga ke petang, kami meronda lagi. Sebenarnya nak ronda pekan Sapa ni sehari pun dah cukup. Pusing-pusing jumpa tempat yang sama balik melainkan hangpa pi trekking masuk kampung-kampung puak H'mong. Gua dengan Maddin berjalan kaki ke Tasik Sapa pulak sebab kawasan ni kami tak pernah sampai lagi. Tasik Sapa ni terletak berdekatan dengan stesen bas Sapa. Semalam tengok Tasik Sapa pun gitu-gitu je masa nak cari tiket bas ke Dien Bien Phu. Hari ni baru melepak puas-puas di Tasik Sapa dengan airnya yang menghijau.

Raptai perbarisan budak-budak sekolah sempena Hari Kebangsaan Vietnam.

Bingit dengan pancaragam mengelilingiTasik Sapa.

Kalau di Malaysia ada pendidikan jasmani, di Vietnam ada subjek bertani yang diajarkan di sekolah.

Semua pelajar sekolah Vietnam didedahkan dengan asas pertanian. Pelajar Malaysia reti guna cangkul?



Melawat kawasan. Antara sekolah yang ada di Sapa ini.

Tasik Sapa yang sunyi. 

Perskitaran Tasik Sapa.

Geng-geng ni tengah tangguk ikan di kawasan Tasik Sapa.

Tasik Sapa. Port melepak remaja petang-petang.

Acah abah-abah layan budak-budak jual souvenior.

Semuanya nak jual souvenior. Bagi buah sorang sebiji pun tak nak. Kesian tapi tak beli pun.

Nak dekat pukul 5.00 petang, kami kembali semula ke Sapa Backpacker Hostel mengambil bagpack yang ditinggalkan sewaktu check-out tengahari tadi. Oleh kerana tiket bas dibeli dari si Jacky, dia menemani kami menunggu bas di hadapan perkarangan gereja Sapa. Katanya bas yang datang dari Lao Cai. Ada 2-3 orang pelancong asing lain turut menunggu bas yang sama ditemani petugas hotel masing-masing. Janji pukul 5.00 petang, bas tak sampai-sampai lagi. Lebih kurang 45 minit kemudian baru bas sampai. Tengok dalam gambar si Jacky tunjuk semalam bas bukan main cantik. Bila dah ada depan mata cukup mengecewakan. Rasa tak harap pulak nak naik bas ni.

Penumpang di dalam bas sudah hampir penuh ketika kami naik. Kebanyakan yang naik dari pekan Lao Cai. Ada la beberapa kerusi kosong. Walaupun jenis sleeping bus, suasana di dalam bas agak kotor dan berbau berbanding bas yang kami naiki dari Saigon ke Hanoi yang lebih bersih dan selesa. Si Maddin kata dekat sebelah seat dia bau arak kuat. Mungkin laluan Sapa ke Dien Bien Phu ini kurang dilalui pelancong luar, bas dia pun sekadar cukup cari makan. Dah la sempit, aircond pun kadang-kadang hidup kadang-kadang tak. Ditambah pulak dengan selimut tebal yang dibekalkan untuk setiap penumpang. Berpeluh jugak satu badan bila kena masanya.

Waktu senja bas baru bergerak meninggalkan pekan Sapa. Yang jadi lambat tu sebab ada penduduk tempatan yang mengirimkan barang yang diisi ke dalam ruang bagasi bawah bas. Urusan tu yang jadi lewat sikit. Dengan hari yang semakin gelap, bas melalui kawasan jalan yang berbengkang-bengkok dan bergunung-ganang. Corner patah ni toksah kira banyak mana. Kalau tak tahan boleh muntah. Jenguk luar tingkap tak ada apa yang boleh dilihat memandangkan hari dah malam. Nampak samar-samar lereng-lereng bukit dan rumah penduduk tempatan. Kalau siang ni pasti lawa pemandangan jalan Sapa ke Dien Bien Phu ni.

Kiri kanan jalan puak H'mong ni meniaga di Sapa.

Feeling-feeling 'backpack' di hadapan gereja Sapa. Ramai yang betenggek di tangga gereja petang-petang.

Lepak tunggu bas ke Dien Bien Phu yang lewat tiba.

Jacky yang peramah.

Si Jacky tukang ambil gambar kami di Sapa sebelum naik bas ke Dien Bien Phu.

Selesa tak selesa boleh bantai lena jugak masa bas melayan selekoh menuju Dien Bien Phu ni. Tak lama kemudian, bas berhenti rehat di suatu kawasan berhampiran Lai Chau. Untuk pengetahuan, Lao Cai dan Lai Chau merupakan dua tempat yang berbeza. Walaupun kedua-dua wilayah Vietnam ini bersempadan dengan negara China, tapi ianya terletak jauh di antara satu sama lain. Kalau dari Hanoi nak ke Sapa kita akan jumpa pekan Lao Cai manakala dari Sapa ke Dien Bien Phu kita akan melalui pekan Lai Chau.

Di perhentian rehat Lai Chau, semua penumpang diarahkan untuk turun. Nak kata hentian rehat pun tidak, cuma ada sebuah kedai makan di pinggir jalan. Semasa kami sampai dah ada sebuah bas lain yang sampai dulu. Di sini tak ada tandas disediakan untuk penumpang bas. Bagi yang nak kencing, boleh tala di kawasan semak berhampiran. Bau hancing semerbak daripada jauh dapat bau. Gua dengan Maddin mula-mula cari la jugak tandas untuk ambik air sembahyang tapi hampa tak ada. Berbekalkan sebotol air paip yang diisi siap-siap di Sapa tadi, boleh la guna buat ambik air sembahyang. Penumpang lain rata-ratanya orang tempatan pandang pelik tengok gelagat kami ambik air sembahyang. Iyalah, basuh muka basuh kaki semua. Mereka pun jarang nampak muslim di sini.

Hampir setengah jam turun rehat, datang lagi sebuah bas membawa penumpang juga turun di Lai Chau ni. Bila penumpang bas tersebut semua sudah turun, drebar bas kami mengarahkan semua penumpang naik balik ke dalam bas. Gua duduk balik kerusi asal di sebelah tingkap. Gua ingatkan dah nak jalan rupanya penumpang yang turun dari bas lain tadi naik pulak memenuhi ruangan lantai bas kami ! Si drebar dan konduktor bas pulak dah macam Spiderman merangkak di antara katil ke katil menyusun penumpang. Bas yang pada asalnya 30 orang dah jadi 60 orang ! Kesian penumpang yang di lantai bas rata-ratanya pakcik-makcik serta dengan anak-anak kecil terpaksa duduk berhimpit di antara satu sama lain. Gua yang duduk di katil atas hanya mampu tengok mereka yang dibawah. 

Drebar bas meneruskan perjalanan menuju Dien Bien Phu setelah selesai menguruskan penumpang tambahan tadi. Lampu bas di bahagian penumpang ditutup bila bas berjalan. Gua dan Maddin solat duduk di kerusi masing-masing. Nak tengok pemandangan luar gelap dan dalam bas pun gelap. Masing-masing pakat lena bila bas berjalan. Risau jugak gua bila bas lebih muatan ni. Jalan pulak dah la tak berapa elok dengan selekoh dan lopaknya. Tengah malam sekitar jam 1 atau 2 pagi gua sedar daripada lena. Terdengar enjin bas meraung dan kadang-kadang mati. Dalam cahaya samar-samar, rupanya bas tersebut tersangkut di dalam selut lumpur. Bas pun dah sedikit menyenget. Pemandu bas berusaha sedaya upaya untuk keluar daripada selut tersebut. Dua tiga kali mencuba akhirnya berjaya juga. Penumpang lain semua sedang nyenyak tidur waktu tu. Tak tahu ada yang sedar tak.

Nak kata lelap tak boleh berapa lelap sangat duduk dalam bas yang bergoncang ni. Sedar-sedar hari dah cerah. Kelihatan pemandangan sawah padi yang menghijau di luar tingkap bas. Dalam perjalanan ke Dien Bien Phu pagi tu, ada sekatan jalanraya yang dibuat oleh polis ! Memang lama la berhenti tepi jalan. Ada seorang pegawai polis masuk ke dalam bas memeriksa para penumpang. Yang kesian penumpang yang duduk di lantai semuanya diperiksa identiti. Tak tahu la macam mana drebar bas nego dengan polis. Sembang pung pang pung pang lepas jugak akhirnya. Tapi gua rasa pemandu bas diberikan amaran oleh pihak polis.

Selepas mengharungi hampir 16 jam perjalanan dari Sapa, kami akhirnya tiba di pekan Dien Bien Phu lebih kurang jam 8.00 pagi. Bas yang kami naiki menurunkan penumpang di stesen bas Dien Bien Phu. Kalau nak ikutkan kalau sampai awal pagi ni boleh saja terus beli tiket bas ke Luang Prabang. Tapi memandangkan perjalanan dari Sapa ke Dien Bien Phu semalam yang cukup memenatkan, kami mengambil keputusan untuk berehat semalam di Dien Bien Phu ini. Boleh jugak meronda di kota yang mana berlakunya peperangan Indochina yang pertama.

Stesen bas Dien Bien Phu. Yang abang-abang pakai uniform tu pengawal keselematan dekat sini kalau tak salah. 

Dengan yakin nak beli tiket bas ke Luang Prabang, duit Vietnam Dong pulak tak cukup.

Dah check-in guesthouse, jam pulak tertinggal dekat tandas stesen bas. Ambik jam, lepak minum air tebu dulu sebelum naik semula ke guesthouse.

Turun dari bas, gua dan Maddin terus ke kaunter tiket bas menanyakan bas yang boleh dinaiki untuk ke Luang Prabang dari Dien Bien Phu ini. Kata kakak yang jaga kaunter, bas baru sahaja berlepas pagi tadi sebelum kami tiba. Dalam sehari ada sekali je perjalanan bas di antara kota Dien Bien Phu dan Luang Prabang. Tiket bas pula berharga 490,000 (lebih kurang RM 82.00) Dong seorang dan bas bertolak pada pukul 8.30 pagi setiap hari. Dalam fikiran baik beli siap-siap tiket bas ke Luang Prabang dah alang-alang tanya ni. Buka-buka dompet, Allah duit pulak tak cukup ! Duit Vietnam tinggal tak sampai 50,000 Dong. Yang ada pun duit Ringgit Malaysia dan duit US Dollar. Boleh je kalau nak beli guna duit USD, tapi harga tiket bas jadi mahal berbanding guna duit Dong Vietnam. 

Tekan-tekan kalkulator, gua dan Maddin pikir baik cari money changer tukar duit USD yang ada kepada duit Vietnam Dong. Lagi untung daripada terus bayar dalam USD. Kami kata dekat kakak kaunter petang nanti kami datang balik beli tiket bas. Yang jadi masalah sekarang nak cari money changer di pekan kecil Dien Bien Phu ni. Sebelum tu kami cari guesthouse bajet yang terdapat di sekitar stesen bas Dien Bien Phu untuk menginap malam tersebut. Ada la sebuah guesthouse ni namanya Nha Nghi Guesthouse yang menawarkan bilik dengan harga 150,000 Dong (lebih kurang RM 25) semalam. Ada dua katil bujang, bilik air di dalam dan juga kipas. Kelambu pun ada. Jadi la buat bermalam.

Dah selesai bab penginapan, kami keluar mencari money changer di pekan Dien Bien Phu ni. Tanya orang tempatan, katanya ada kedai emas yang boleh tukar duit USD kepada Vietnam Dong. Kami pun cari la kedai emas yang dimaksudkan. Menapak la kami sampai ke monumen bersejarah Dien Bien Phu, ada dua buah kedai emas di kawasan tersebut. Kedai emas di Dien Bien Phu ni tak sama macam kedai emas kita di Malaysia yang sunyi sepi, kedai emas di sini meriah macam pasaraya. Setiap ada ja orang keluar masuk kedai. Ada yang beli rantai, gelang itu gelang ini. Kami cuba la masuk dalam kedai, tapi tokey kedai tak layan kami sebab sibuk melayan pelanggan. Bila pelanggan dah surut sikit baru kami tanya. Memang boleh tukar duit di sini. Tapi bukan semua matawang yang diterima. Yang dia terima duit USD, Kip Laos dan Dong Vietnam ja. Kami tukar duit USD kepada duit Dong Vietnam untuk urusan pembelian tiket bas dan selebihnya kepada Kip Laos oleh kerana kami akan menuju ke Luang Prabang keesokan hari.


Kota Dien Bien Phu yang terletak di lembah Muong Thanh yang dikelilingi pergunungan.

Menapak dari hujung ke hujung jalan di antara Monumen Bersejarah Dien Bien Phu ke stesen bas.

Simbol kemenangan pasukan tentera Vietnam ke atas tentera Perancis. Monumen Bersejarah Dien Bien Phu

Lembah sungai yang subur digunakan sepenuhnya untuk bercucuk tanam.

Stesen minyak.


Pasaraya besar yang ada di Dien Bien Phu ini.

Helmet murah-murah di Dien Bien Phu.

Bank tempatan Vietnam.

Jalan lurus menuju ke Monumen Bersejarah Dien Bien Phu.


Kami keluar balik melilau di kawasan pasar sekitar. Kebetulan bekalan beras yang kami bawa dari Kuala Lumpur dah nak habis setelah 12 hari berada di bumi Indochina. Nak kena cari bekalan beras untuk hari-hari berikutnya. Kalu takda tak makan nasi la kami. Ada kedai-kedai di situ menjual barangan runcit seperti beras. Bukan satu jenis beras, tapi berpuluh jenis. Gua pun tak tahu nak pilih yang mana satu. Beras di Vietnam ni tak sama dengan beras kita di Malaysia. Semuanya halus-halus. Mungkin padi bukit kot. Yang gua takut sat lagi tersalah beli beras pulut pulak. Yang jadi masalah utama adalah komunikasi. Payah sebenarnya nak komunikasi dengan dua bahasa yang berbeza. Tunjuk isyarat tangan pun tak paham. Tapi apa pun beras di Vietnam ni memang murah dan berkualiti. Sedap gila nasi dia !

Dah ada duit Dong dalam tangan, kami kembali semula ke stesen bas Dien Bien Phu untuk membeli tiket bas ke Luang Prabang. Hari pun dah lewat petang, nasib baik kaunter tiket tak tutup lagi. Tiket bas dibeli dengan harga 490,000 Dong Vietnam seorang. Di sekitar kawasan stesen bas, banyak ulat-ulat tiket yang akan himpit tanya nak ke mana dan mereka boleh dapatkan tiket untuk kita. Tunjuk saja tiket yang dah beli, mereka akan beredar. Dah beli tiket bas, kami lepak minum air tebu dulu di warung pinggir jalan melihat suasana petang. Air tebu di Vietnam atau Cambodia sama saja, mesti ada perahan limau di dalamnya. 


Makcik-makcik ni pakat gelak kat kami sebab tak tahu nak pilih beras mana.

Komunikasi menjadi masalah utama di Vietnam. Macam ayam cakap dengan itik.

Mungkin dah petang, pasar sedikit sunyi dan tak meriah.

Mercu tanda Monumen Bersejarah Dien Bien Phu. Patung gangsa di atas bukit.

Arca di tengah bulatan.

Nak naik ke atas bukit Monumen Bersejarah Dien Bien Phu ni kena bayar. Terus tak jadi naik.

Ukiran tembok batu yang terdapat di Monumen Bersejarah Dien Bien Phu.

Ukiran figura tentera pada batu di Monumen Bersejarah Dien Bien Phu.

Motorsikal mendominasi jalan di Dien Bien Phu tapi tak sebanyak di Saigon.

Bendera Vietnam dikibarkan di kedai-kedai sekitar Dien Bien Phu sempena Hari Kebangsaan Vietnam yang disambut 2 September setiap tahun.

Melilau melihat kota bersejarah Dien Bien Phu.

Stesen bas Dien Bien Phu. Kaunter tiket disebelah kiri pintu gerbang.

Lepak minum air tebu sambil melihat gelagat budak kecil ni bermain daun terup.

Nha Ngi Guesthouse yang terletak berhampiran stesen bas Dien Bien Phu.

Bas lain yang baru tiba di Dien Bien Phu lewat petang.

Menghampiri senja. Sawah padi di Dien Bien Phu yang terbentang luas.

Pekan Dien Bien Phu ni tak besar mana. Sehari jalan pun dah cukup.

Monumen bersejarah Dien Bien Phu di atas bukit kelihatan dari Nha Nghi Guesthouse.

Pemandangan pekan Dien Bien Phu dari atas Nha Nghi Guesthouse.

Guesthouse kami menginap di Dien Bien Phu. Nampak tak kelambu renda-renda tu ?

Hampir masuk waktu Maghrib, kami balik semula Nha Nghi Guesthouse tempat kami menginap. Masing-masing pakat kelaparan seharian tak jamah nasi. Tengahari tadi sempat masak Maggi ja sebelum keluar tukar duit di kedai emas. Dengan beras yang yang dibeli petang tadi, bergegas kami masak nasi menggunakan dapur camping dan mestin yang dibawa. Malam-malam ni tak ada apa aktiviti yang menarik di Dien Bien Phu ni. Pekan dia agak mati. Mujur ada televisyen tak adalah bosan sangat. Lagi pun malam tersebut hujan renyai-renyai. Sejuk-sejuk macam ni Maddin dah bantai tidur dulu. Gua asyik melayan internet dengan wifi percuma guesthouse. Dekat pukul 2.00 pagi jugak baru tidur.

Bersambung ke Indochina 'Long Way Back' Overland Project | Part  11 : Dien Bien Phu-Luang Prabang


// Catatan Travelog Indochina 'Long Way Back' Overland Project //


2 ulasan:

  1. Hazwan, pihak hotel depa tak kacau ka bila kita masak kat dlm bilik

    BalasPadam
    Balasan
    1. Depa tak tahu pun kami masak. Tak bagitahu pun nak masak. Masak senyap-senyap dalam bilik. Haha

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...