Pages

20 Mei 2015

Ride Menjejak Salasilah Selatan Thai : Satun - Kg Tammalang

Sambungan dari Ride Menjejak Salasilah Selatan Thai  : Pak Bara - Chebilang - Tanyong Po

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.





Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud :

" Lihatlahlah orang yang lebih bawah daripada kamu dan jangan melihat orang yang lebih tinggi dari kamu. Ianya lebih wajar agar kamu tidak memperkecilkan nikmat Allah "

(Riwayat Muslim)



Dari perkampungan muslim Tanyong Po, gua melalui jalan yang sama sewaktu gua datang tadi menghala balik ke pekan Satun untuk mencari tempat penginapan. Cadangnya nak cari guesthouse bajet atau hotel murah-murah kalau ada. Kalau tak ada jugak, kena tidur masjid la ceritanya.

Setibanya di pekan Satun, gua terus bergerak meneruskan tunggangan menuju ke Kampung Tammalang dulu. Waktu tu masih awal petang lagi. Gua cuba mengikut saranan Abang Din yang ditemui di Chebilang sebelum ini. Katanya ada perkampungan Melayu muslim di Tammalang. Bolehlah kalau nak tinjau tengok-tengok kampung yang ada di sana. 

Mula-mula tu gua tak berapa nak faham apa yang diperkatakan Abang Din sebelum ni sebab cara sebutan 'Tammalang' dia lain sikit. Sewaktu tengah naik skuter ni gua asyik dok ulang ajuk cakap dia, baru gua sedar yang dia sebut perkataan 'Tammalang' rupanya. Kali ni gua dah tak pakai Google Maps dah sebab ada signboard di pekan Satun menunjukkan arah ke sana.

Senang cerita kalau jalan-jalan ke wilayah Satun nak cari Kampung Tammalang ni cari sahaja Terminal Feri Tammalang. Dari situ dah tak berapa jauh dah tu. Tak susah sebenarnya nak cari Kampung Tammalang ni.

Apa yang menarik di kawasan sekitar Tammalang ni ? Rasa gua kebanyakkan orang yang datang ke Tammalang ni nak naik feri di Terminal Feri Tammalang untuk ke Pulau Langkawi. Orang dari Langkawi pula yang nak ke Thailand pun akan turun di sini. Di sini kan ada perkhidmatan feri ekspress yang membawa penumpang berulang-alik dari Langkawi ke Satun. Di Jeti Tammalang ni la hangpa akan turun.

Nanti gua cerita lebih lanjut pasal Jeti Tammalang ni di bahagian berikutnya.


Motor roda tiga yang menjadi kegunaan seharian penduduk Satun. Mereka yang tidak mempunyai kereta menggunakan motor roda tiga ini sebaik mungkin.

Masyarakat muslim Satun yang masih menjaga nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.

Jalan lurus dari pekan Satun ke Jeti Tammalang. Ada simpang kanan nanti ke Kampung Tammalang.

Dari pekan Satun nak ke Jeti Tammalang, cari simpang kanan untuk masuk ke Kampung Tammalang. Mula-mula tu gua silap masuk simpang. Abang Din kata cari simpang kanan masuk dan ada jeti tempat tunggu bot untuk ke sana. Dari jalan besar memang tak ada papan tanda apa pun nak ke sana.

Kampung tempat gua tersilap masuk tu ada juga tempat naik bot untuk ke seberang sungai sana tapi yang peliknya dengan anjing bersepah di merata tempat. Takkan kampung Melayu anjing banyak kot. Gua buat-buat tanya ada pakcik yang bawa motor jual aiskrim, sepatah haram tak boleh cakap Melayu. Baru gua tahu rupanya kampung yang gua salah masuk tu kampung Siam rupanya.

Gua keluar kembali ke jalan besar mencari jalan yang betul ke Kampung Tammalang. Banyak papan tanda tunjuk ke Jeti Tammalang. Gua tengok satu simpang ni banyak orang kebanyakkan penduduk tempatan berulang-alik masuk ke sana. Gua pun cuba la masuk ikut simpang yang baru ni pulak.

Memang betul la ni persimpangan yang dicari. Dari sini boleh nampak perkampungan Melayu di seberang sana. Itulah Kampung Tammalang. Orang ramai sedang sibuk menunggu bot di pinggir sungai untuk kembali ke kampung mereka di seberang sungai.


Salah masuk kampung Siam. Ada juga perkhidmatan bot untuk menyeberang ke kampung di sebelah sana.

Pakcik jual aiskrim ni pun tengah tunggu bot nak ke seberang.

Jeti nelayan berhampiran Kampung Tammalang.


Gua berhenti di jeti tempat menaiki bot ke Kampung Tammalang. Gua tengok orang-orang di sini bercakap Melayu dalam loghat Kedah yang boleh difahami. Dalam ramai-ramai orang di situ, nak dijadikan cerita gua jumpa seorang abang ni. Abang Rasad namanya. Dia pun tengah tunggu bot sekali untuk balik ke rumah di seberang sana. Gua buat-buat tanya.

" Bang, bot ni pi mana ? Kampung Tammalang ka ? "  Tanya gua.

" Haa pi Kampung Tammalang, adik nak pi sana jugak ka cari sapa ? " Jawab Abang Rasad.

Begitulah kisah mula perkenalan gua dengan Abang Rasad. Dia tengok nombor plat motor gua pun pelik sebab dari Malaysia. Jarang sekali ada orang nak singgah melawat Kampung Tammalang ni kata dia. Gua bagitahu gua la saja nak meronda-ronda melihat perkampungan muslim yang terdapat di wilayah Satun ni.

 " Jom pi rumah minum 'kape' dulu ! "  Pelawa Abang Rasad.

Ah sudah. Natang apa pulak 'kape' ni. Berkerut muka gua. Selama jadi orang utara tak pernah pulak dengaq perkataan 'kape' ni.

" Minum 'kape' ? " Tanya gua balik kat Abang Rasad.

" Haa minum 'kape'. Mai mai ikut pi rumah. " 

Abang Rasad bersungguh ajak singgah rumah dia di Kampung Tammalang. Gua pun ok ja. Memang dalam perancangan nak ke sana pun. Tapi hari dah semakin petang menghampiri senja. Kena patah balik pekan Satun sat lagi ni cari penginapan sebelum Maghrib. 

Tak lama kemudian, bot yang berulang-alik antara jeti dan Kampung Tammalang pun tiba. Penunggang motorsikal diberikan keutamaan untuk masuk ke dalam bot dulu. Ya, usung motor sekali dengan tuan dia masuk dalam bot. Ada seorang pembantu yang akan menyusun parking motorsikal di dalam bot. Bagi gua ini pengalaman pertama kali bawa skuter gua naik bot. Haruslah berasa teruja dan terasa sedikit kekok. Kalu tidak di Malaysia paling kuat pun bawa motor naik feri pi tanjung (Penang) ja.

Untuk pengetahuan, tak ada jambatan mahupun jalan yang menghubungkan jalan besar ke Kampung Tammalang ini. Urusan seharian penduduk tempatan untuk ke bandar Satun mesti menggunakan bot tambang untuk menyeberang. Operasi bot hari-hari bermula seawal jam 6.30 pagi dan berakhir lebih kurang jam 8.00 malam. Kampung Tammalang ni lebih kurang sama seperti Pulau Ketam di Klang kerana hanya basikal dan motorsikal sahaja menjadi pengangkutan utama di perkampungan ini. Kereta penduduk ada, tapi ditinggalkan siap-siap di seberang.


Baru jumpa tempat yang betul. Ramai orang tengah tunggu bot untuk balik ke Kampung Tammalang. Jumpa Abang Rasad yang naik scrambler kecik tu.

Bot digunakan untuk membawa penumpang dan motorsikal ke Kampung Tammalang.

Abang ni tugas dia susun motor dalam bot. Dah penuh baru bot jalan.

Membelah sungai ke Kampung Tammalang dengan bot.

Jarak perjalanan lebih kurang 10 minit dengan tambang sebanyak 20 Baht.

Bot lagi satu ke Kampung Tammalang Hilir yang lebih dekat.

Selisih dengan bot-bot nelayan sepanjang perjalanan ke Kampung Tammalang Hulu.

Penduduk kampung terpaksa menggunakan perkhidmatan bot untuk berulang-alik dari Kampung Tammalang ke jalan besar.

Antara peristiwa menarik dalam Kembara Menjejak Salasilah Selatan Thai, bawa motor naik bot ke kampung orang.

Jeti-jeti nelayan.


Naik bot nak ke seberang, abang Rasad kenalkan gua kat kawan-kawan dia dalam bot. Tekong bot, pembantu yang jaga parking motor semua gua kenal habis. Ramah-ramah belaka orang Kampung Tammalang ni.

" Bawa orang Kuala Lumpur jalan Tammalang ! " Kata Abang Rasad dekat kengkawan dia.

Tambang bot untuk ke Kampung Tammalang dalam 20 Baht bagi sebuah motorsikal termasuk penunggang. Dalam bot tu boleh isi dalam 15 biji motorsikal. Penumpang biasa pun ada.

Di Kampung Tammalang ini pulak dibahagikan kepada Kampung Tammalang Hulu dan Kampung Tammalang Hilir. Gua ikut Abang Rasad balik ke Kampung Tammalang Hulu yang jauh sikit berbanding Kampung Tammalang Hilir yang lebih dekat. Sebenarnya perkampungan yang sama, tapi tempat turun bot yang berbeza.

Sampai di Kampung Tammalang Hulu, turun dari bot gua ikut Abang Rasad mencilok balik ke rumahnya. Jalan di kampung ni sempit sedikit, boleh la kalau setakat nak selisih dengan sebiji motor. Waktu petang ni banyak geng-geng makcik melepak di luar rumah. Banyak mata memandang pelik suatu susuk tubuh aneh dari Malaysia ni. Jenuh juga tengok Abang Rasad menjawab pertanyaan mereka.


Selamat tiba di Kampung Tammalang. Cilok lorong-lorong di dalam kampung.

Suasana petang di perkampungan muslim Tammalang.



Di Kampung Tammalang ni rumah-rumah dibina agak rapat di antara satu sama lain. Oleh kerana kampung ni terletak di muara sungai yang berselut, tapak rumah penduduk ada yang didirikan di atas tiang dan ada yang terus berada di atas tanah. Menurut Abang Rasad, penduduk Kampung Tammalang rata-ratanya bekerja sebagai nelayan dan golongan muda pula ada yang bekerja di pekan Satun. Abang Rasad sendiri bekerja di luar sebagai pembantu membaikpulih kabinet dapur kapal-kapal besar. Sebab itu beliau setiap hari berulang-alik menaiki bot pulang ke Kampung Tammalang.

Sampai di rumahnya, Abang Rasad ajak pekena 'kape' yang dimaksudkan tadi. Rupanya kopi 3 in 1. Macam Radix lebih kurang. Kalau kita panggil kopi, depa panggil 'kape' dengan longat Kedahnya. Abang Rasad sebenarnya dah berkahwin dan ada dua orang anak, tinggal bersama dengan tok dan tokwannya.

Lepas minum kopi, gua melepak di luar melihat suasana petang di Kampung Tammalang. Di sebelah rumah Abang Rasad ada sekolah kerajaan. Meriah bukan main dengan bermacam aktiviti di waktu petang ni. Yang main bola ada, main sepak raga dan macam-macam lagi. Setiap ruang dan padang digunakan sebaik mungkin penduduk tempatan untuk berekreasi.

Gua berjalan di sekitar kawasan sekolah Kampung Tammalang sambil Abang Rasad bercerita. Tak jauh dari sekolah ada pulak kawasan membaiki bot. Semuanya saudara mara Abang Rasad. Bila air surut, depa naikkan bot ke tepi untuk dibaiki. Ada yang bocor ke apa depa tampal fiber balik.


Sekolah Thai Kampung Tammalang. Ban bererti kata 'kampung'.

Makcik-makcik baru balik meniaga.

Laluan khas pejalan kaki yang terdapat di Kampung Tammalang ini.

Sekolah Kampung Tammalang yang menjadi pusat aktiviti dan rekreasi masyarakat kampung di waktu petang.

Sesi baik pulih bot yang digunakan nelayan Kampung Tammalang bagi menangkap ikan.

Kebanyakkan penduduk Kampung Tammalang bekerja sebagai nelayan.

Inilah dia Abang Rasad yang bawa gua pusing Kampung Tammalang.

Kampung Tammalang ni hanya ada motor dan basikal sahaja.


Gua dibawa meronda sekitar kawasan Kampung Tammalang. Penuh dengan informasi gua dapat dari Abang Rasad. Rasa seperti Yang Berhormat pulak dah bila jumpa orang itu ini Abang Rasad kenalkan. Semua pun tengok semacam ja bila Abang Rasad bagitahu kat depa gua dari Kuala Lumpur. Tapi yang syoknya depa mudah mesra. Senang bersembang.

Abang Rasad tunjuk kawasan penternakan ikan siakap yang diusahakan tokwannya. Kata dia sekarang harga ikan siakap dah murah kalau nak dibandingkan dahulu. Susah sikit nak cari makan sekarang ni. Kalau dulu dapat jual dalam RM 30-40, sekarang ni baru dapat jual dalam RM 20 sekilogram.

Jangan pelik kalau bot-bot di sini ada terpacak bendera Malaysia dan juga Thailand. Nelayan di sini selalu berulang-alik Langkawi menjual hasil tangkapan. Bagi yang tak tau, ikan bilis semua tu hasil dari nelayan Tammalang di wilayah Satun inilah.


Sesi melawat kawasan bersama Abang Rasad di sekitar Kampung Tammalang.

Kedai-kedai runcit.

Kampung Tammalang yang agak bersih.

Abang Rasad bawa tunjuk rumah adik-beradik dia dan rumah mak mertua dia jugak.

Pakcik ni baru lepas baiki bot.

Sesi mesyuarat tingkap makcik-makcik Kampung Tammalang di waktu petang.

Air tengah surut. Antara jeti nelayan di Kampung Tammalang.

Bot-bot disimpan di belakang rumah sahaja. 

Tunggu air pasang baru boleh keluar ke laut.

Kampung Tammalang yang terletak di tanah paya bakau ni memng berselut sikit.

Depan tu ada sangkar ikan siakap kepunyaan tokwan Abang Rasad. Penduduk Kampung Tammalang ada jugak yang ternak ikan dalam sangkar.

Bendera Malaysia dan Thailand berkibar megah. Bot ni selalu ulang-alik pi Langkawi.

Jiran sebelah rumah Abang Rasad.

Kami berjalan meronda Kampung Tammalang hampir ke waktu Maghrib. Sembang-sembang dengan pakcik tu dan makcik ni. Gua ingat nak patah balik ke pekan Satun mencari penginapan bila kembali ke rumah Abang Rasad. Benarlah rezeki itu ada di mana-mana. Abang Rasad pelawa gua tidur di rumahnya malam tu bila dia dapat tahu gua tak ada tempat bermalam malam tu. Kata dia rumah dia bukan ada sesiapa pun, tok dengan tokwan ja.

Alhamdulillah. Pelawaan itu gua terima dengan hati yang terbuka. Abang Rasad kata agak bahaya kalau bergerak solo malam-malam ni di pekan Satun. Dia takut apa-apa terjadi kat gua. Budak-budak Satun sekarang ni semua tengah ketagih daun ketum, lebih kurang sama di wilayah utara Malaysia. Sekurang-kurangnya dapat gua beramah mesra lebih lanjut dengan penduduk tempatan Kampung Tammalang. Mana tahu jumpa jodoh di sini kan. Hiks.

Malam itu selepas solat Maghrib, gua dijemput makan nasi bersama Abang Rasad. Walaupun hidup di dalam serba kedaifan, mereka sangat menghormati dan menjaga tetamu. Kalut la si tok dan tokwan beli telur di kedai, masak sup daging bagai. Serba salah pulak gua. Tetapi masakan asli Siam mereka memang terbaik. Mana taknya, dua pinggan nasi gua hadap malam tu.

Abang Rasad ni dah berkahwin dan mempunyai dua orang anak tapi dah bercerai dengan bininya yang berada di Songkhla kini. Jadi dia la yang membesarkan anak-anaknya bersama tok dan tokwan di Kampung Tammalang ni. Keluarga mak mertua pun dok di kawasan yang sama. Bila malam, anak-anak dia balik rumah mak mertua. Jadi tiap malam tinggal la Abang Rasad, tok dan tokwan. Mak ayah Abang Rasad dah lama tak ada.


Anak-anak Abang Rasad.

Tokwan Abang Rasad yang ramah. 

Bersungguh mereka memuliakan tetamu asing. Siap jamu nasi.

Walaupun mereka tidak senang mana, tapi mereka tiada masalah untuk memerima tetamu luar. Moga Allah merahmati mereka.

Menyandar sat tengok TV bila kenyang makan nasi di rumaha Abang Rasad.


Lepas makan nasi, gua melepak ambik angin di luar rumah Abang Rasad. Siang malam keadaan di Kampung Tammalang tak berubah. Meriah dengan bunyi motor lalu lalang dan anak-anak kecil bermain di jalan. Oleh kerana keadaaan rumah yang rapat antara satu sama lain dan ada yang dibina daripada papan, perbualan rumah sebelah dapat didengari dengan senang. Bunyi budak nangis, sembang laki bini semua dapat dengar dengan jelas.

Waktu malam rupanya sejuk di sini. Gua ingatkan kawasan tepi muara sungai ni panas. Angin dingin bertiup lembut. Abang Rasad keluar teman gua di luar dan ajak ke rumah sebelah untuk menyembang. Rumah sebelahnya pun semua yang ada geng tok dan tokwan. Depa siap hidang teh dan biskut kering buat modal menyembang malam tu. Lama dah tak rasai suasana kampung menyembang ramai-ramai. Bukan kami sahaja,  jiran-jiran yang lain punturut ada sekali bersembang.

Walaupun gua orang asing dari Malaysia, mereka tak pernah menyisihkan gua. Ada sahaja soalan yang ditanya mereka. Walaupun Satun terletak bersebelahan dengan negeri Perlis, namun kebanyakkan mereka belum pernah menjejakkan kaki di Malaysia. Paling biasa depa pi pun adalah Pulau Langkawi. Kalau kita cakap kita asal negeri Kedah pun, ada yang faham dan ada yang tidak. Walaupun bercakap dalam longat utara, bukan semua tahu pasal Malaysia.

Semua pakat kagum dan ternganga bila gua cerita naik motor berjam-jam dari Kuala Lumpur ke Pak Bara. Biasalah banyak yang tanya apa yang dicari. Gua cerita jugak pernah ikut jalan darat naik bas jelajah Indochina sampai Chiang Mai dan Bangkok. Depa kata depa pun ada yang tak pernah sampai Bangkok dan Chiang Mai lagi sepanjang hidup mereka. Iyalah, bukan semua tempat di Thailand mereka pernah jelajah. Sama juga kita di Malaysia, bukan semua tempat kita tahu dan pernah sampai. Inikan pula Thailand yang lebih besar dari Malaysia.


Teh'o cicah biskut kering pulak di rumah pakcik sebelah.

Masyarakat muslim di Satun khususnya di Kampung Tammalang ni bersembang dalam longat Kedah.

Walaupun baru ja kenal penduduk Kampung Tammalang ni, tapi gua selesa bersembang dengan mereka. Terasa bagai berada di kampung sendiri pun ada.

Menyembang bergelak ketawa sepanjang masa dengan pakcik-pakcik Kampung Tammalang ni.

Tempat penginapan gua malam tersebut di Kampung Tammalang. Balik menyembang dah ada Narita terbentang siap.


Selesa sungguh tidur rumah Abang Rasad ni. Depa siap bentang Narita lagi bagi gua malam tu. Semalam balik menyembang pun dekat pukul 11.00 malam. Abang Rasad balik terus tiduq, gua boleh layan internet telefon sampai pukul 1.00 pagi baru tiduq. Abang Rasad kata pagi ni kita gerak la sama-sama. Dia nak pi kerja dan gua tak tahu lagi nak menghala ke mana.

Selesai solat Subuh, gua mandi dan bersiap. Kelihatan tok Abang Rasad dah sibuk pagi-pagi menyiapkan sarapan. Dia pi kedai dekat-dekat rumah beli cucur dan pulut ayam. Sementara tunggu Abang Rasad bersiap, pagi tu gua meronda lagi kawasan sekitar melihat kehidupan masyarakat di waktu pagi di Kampung Tammalang.

Sejuk dan nyaman persekitaran Kampung Tammalang di waktu pagi. Makcik-makcik sebelah rumah dah bangkit jerang air dan sapu sampai di luar rumah. Budak-budak kecik yang taik mata bertepek pun ada yang dah keluar bermain. Kenapa tak nampak budak-budak sekolah pun ? Oh. Hari sabtu rupanya. Hari cuti.

Suasana pagi di Kampung Tammalang.

Tokwan Abang Rasad bangun awal. Kata dia, mesti nak lepak luar pagi-pagi ambik angin.

Helmet-helmet lama buat pasu tanam pokok bunga ja.

Budak budak Kampung Tammalang dah bangun seawal pagi pada hari cuti.

Rumah-rumah penduduk Kampung Tammalang nampak ja luar macam setinggan, cuba hangpa masuk dalam. Bersih !

Sekolah Kampung Tammalang di hujung sana.

Masak air depan rumah ja ikut tepi tingkap.

Kejiranan Kampung Tammalang,

Kampung Tammalang masih sunyi di waktu pagi.

Nouvo LC gua dapat parking khas lagi di rumah Abang Rasad.

Hidup dalam kedaifan. Masak memasak di depan rumah.

Meronda kawasan sekitar Kampung Tammalang sementara tunggu Abang Rasad bersiap.

Motor roda tiga memang banyak di Satun dan Kampung Tammalang ni.

Kedai jual kuih-muih dan pulut ayam Kampung Tammalang.

Berderet makcik-makcik beli cucuq.

Kedai runcit yang dibuka sewal pagi.

Gua dijamu pelbagai juadah makanan pagi tu oleh tok Abang Rasad.Tak sah kalau ke Thailand tak pekena pulut ayam. Pagi-pagi di Thailand dah ada jual pulut ayam. Gua ingat orang sini makan pulut ayam waktu  petang-petang ja. Yang penting 'kape' mesti ada. Kopi 3 in 1. Menu wajib pagi dan petang.

" Ni nak ke mana pulak ni lepas ni ? " Tanya tokwan Abang Rasad.

" Tak tau lagi pakcik, ingat sat lagi nak keluar dah balik ikut Wang Kelian " 

Jawab gua dengan yakin dan selamba.

Sebenarnya gua pun tak ada cadangan nak ke mana lepas ni. Ikut keadaan. Sebenarnya modal bajet masih ada. Boleh la lepak semalam lagi di Thailand ni. Tapi lepas ni gua ingat nak pi tengok dulu  Jeti Tammalang, tempat orang naik feri ekspress ke Langkawi.

" Nanti mai la lagi Kampung Tammalang ni kalau senang ! Kirim salam mak ayah balik nanti "

Tersentuh hati gua bagaimana orang susah melayan tetamu mereka. Orang susah lebih memuliakan tetamu mereka kerana mereka tidak risau harta mereka diambil orang. Hidup itu sekadar tetamu dan harta adalah pinjaman. Tetamu pastilah pulang dan pinjaman haruslah dikembalikan.


Tu dia sarapan ! Cucuq dan pulut ayam.

Tok Abang Rasad pagi-pagi lagi dah keluar beli sarapan. 

'Kape' mesti ada ! Terharu dengan layanan orang susah. Mata masuk habuk.

Naik bot balik pagi ni dari Kampung Tammalang ke jalan besar bersama Abang Rasad.

Ceracak kayu tempat tambat bot.

Kampung Tammalang yang tenang.

Terselit sebuah motor Malaysia di situ. Naik bot meninggalkan Kampung Tammalang.


Membelah ombak meninggalkan Kampung Tammalang.

Waktu pagi tak seramai waktu petang bila naik bot Kampung Tammalang ni.

Pelabuhan nelayan.

Motorsikal keluar dari bot Kampung Tammalang.

Dalam pukul 7.30 pagi waktu Thailand, gua dan Abang Rasad bergerak menuju ke jeti untuk menaiki bot menyeberang ke jalan besar. Sayang untuk meninggalkan Kampung Tammalang ni sebenarnya. Keramahan dan layanan mesra penduduk kampung yang memberikan kesan mendalam terhadap diri. Naik bot nak balik pun Abang Rasad siap tolong bayarkan tambang lagi !

Kami berpisah apabila turun dari bot. Abang Rasad kena pi kerja dan gua bawa haluan sendiri. Terima kasih banyak kat Abang Rasad kerana pelawa gua tidur di rumah dia semalam. Insyaallah ada masa suatu hari nanti gua akan cari balik keluarga Abang Rasad yang telah membantu gua sepanjang di bumi Satun.




Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud :

“Musafir itu adalah sebahagian dari azab yang menghalangi seseorang itu dari makan, minum dan tidur (secara yang sempurna). Maka oleh kerana itu apabila seseorang telah selesai keperluannya dalam pelayaran, hendaklah segera pulang ke pangkuan keluarganya.”



18 ulasan:

  1. salam..


    seronok tengok gambar2 di sini.. i Thailand takat Phuket je dah pegi.. sangat menarik tgk activities di sini..

    thanks sebab sudi datang my blog n comment.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam.

      Terima kasih ! Phuket pun banyak juga masyarakat muslim Thai di sana.

      Padam
  2. dari jeti tammalang boleh dah naik feri ke koh lipe :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Oh boleh ye ? Saya ingat dia pi Langkawi ja :)

      Padam
    2. Saya bace blk entry ni..mmg tersentuh la. Kita ni x tentu dpt memuliakan tetamu asing mcm dia 😢
      Harap Allah merahmati keluarga abg rasad..

      Padam
  3. Orang susah tidak risau harta mereka diambil orang.

    BalasPadam
  4. aku org langkawi pn xpernah pi...baqu 4 5 haqi lepas...tok dan paksu aku cerita pasai adik beradik sebelah atok aku kt tammalang ni....sbb atok aku mmg asai org sana...paksu aku slalu la pi sbb dy kawen dgn adik beradik belah sana jgak...paksu aku cakap seronok pi sana...kalu adik beradik mai...mmg layanan depa kita pn takut...bkn apa takut klu depa mai sini kita xleh nk layan depa mcm depa layan kita disana...depa bab layan adik beradik...org malaysia kalah...jd aku mula buat sikit research....in shaa Allah ...nk kumpul duet sikit pi sana

    BalasPadam
  5. sangat2 berinfomasi, bahasa santai,mudah rujukan, ekonomik sebagai "backpacker" pklah pun harap ikut jejak tuan. Menyelami kehidupan orang2 tempatan, hati budinya diselit dengan unsur2 "humour" x jemu membaca. Foto menerangkan lagi suasana. sangat2 membantu. Cantik sekali jika di selitkan dengan peta2/maps yang "simple"









    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih bang ! Insyaallah akan dikemaskini dengan pet-peta ringkas !

      Padam
  6. Saya bru je blk dr tammalang bln lps..ptama kali pegi melawat sedara mara..mmg betul, pnduduknya ramah tamah. Menitik air mata time blk malaysia..in sha Allah akan ke sana lg

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, betui tu. Tak terbalas keramahan mereka. Kalau tetamu datang rumah kita pun tak mampu nak layan macam tu.

      Padam
  7. Sy pn keturunan sebelah sana tp tak sampai lg.. Moyang asal org sana.. Fuh layanan tip top

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu. Layanan mereka memang terbaik. Kita pun tak mungkin dapat layan tetamu sebaik mereka

      Padam
  8. Aku pun teringin sgt nk pi satun..

    BalasPadam
  9. Do kata org Melayu ini berasal dari Kota Kuala Muda, kedah berdasarkan hubungan kekeluarga saya dari keturunan moyang saya sebelah saya Wan Chik (bapa) Bin Din Bin Mat (Ahmad)

    BalasPadam