Iklan

10 Mei 2015

Ride Menjejak Salasilah Selatan Thai : Pak Bara - Chebilang - Tanyong Po

Sambungan dari Ride Menjejak Salasilah Selatan Thai  : Wang Kelian - Pak Bara

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.






Laluan perjalanan hari kedua : 

Pantai Pak Bara - Jeti Chebilang - Tanyung Po - Pekan Satun - Kampung Tammalang


Tak lena tiduq semalam sebab sakit perut. Dok ulang-alik ke bilik ayaq entah berapa kali. Lepas solat Subuh boleh bantai tidur balik. Rancangan nak meronda di sekitar pantai Pak Bara lepas Subuh tak menjadi.

Sedar-sedar dah pukul 9.00 pagi. Terjaga bila bersimbah peluh dalam bilik bila terik mentari memancar terus ke chalet. Dah lambat ni. Kebetulan pula hari ni jatuh pada hari Jumaat.  Terus cepat-cepat mandi dan bersiap bungkus baju masuk dalam beg.

Rancangan perjalanan pada hari ini adalah untuk Koh (pulau) Sarai, salah sebuah pulau yang terletak di wilayah Satun yang tidak jauh dari pantai Pak Bara. Untuk ke Pulau Sarai atau Koh Sarai ini kita perlu ke jeti Chebilang untuk menaiki bot ke sana.

Sebelum meninggalkan pantai Pak Bara, gua bersarapan dulu di kedai makan milik pak imam semalam. Katanya setiap pagi, dia mengusahakan kedai makan yang menjual roti canai. Bersungguh dia ajak semalam. Serba salah pulak kalau tak pergi. Lagi pun perut pun dah memang agak lapar ni. Maklumlah dok memerut dari semalam sampai ke siang.


Chalet bujang gua di Pak Bara. Ada kipas, katil dan bilik ayaq. Cukup la tu.

Pantai Pak Bara di awal pagi.

Jengkais yang entah dari mana terdampar di Pantai Pak Bara ni.

Pulau-pulau berhampiran Pak Bara.

Suasana desa yang tercinta di perkarangan chalet tempat gua menginap di Pak Bara.

Berjalan kaki ke kedai makan pak imam masjid Pak Bara.

Jalan besar Pak Bara sampai 3 lorong, tapi lengang takda kereta.

Poster Raja Bhumibol Adulyadej di mana-mana di Thailand.

'Ban' dalam bahasa Thai bermaksud kampung.

Pemandangan biasa di Thailand. Naik pikap ramai-ramai.

Langsung tak faham bahasa Siam ni.

Kanak-kanak pra-sekolah Pak Bara dalam sesi persekolahan.

Dari chalet, gua berjalan kaki je ke kedai makan milik pak imam. Tak jauh pun, lebih kurang 200 meter. Kedai makan ni pun terletak di pesisir pantai sama dengan chalet tempat gua menginap. Kedai makan terletak di bahagian hadapan berhampiran jalan besar manakala di bahagian belakang pula adalah rumah kediaman. Boleh rasa angin bayu laut yang bertiup lembut di sini.

Gua duduk dan pesan makanan. Roti canai dan cha yen lagi. Yang ambik order pula orang perempuan, anak beranak pak imam tu barangkali. Tapi depa ni tak pandai sangat cakap melayu. Gua main tunjuk-tunjuk ja pakai bahasa isyarat dan lenggok badan. Pak imam masjid semalam pulak tak nampak. Tak tau pi mana. Mungkin berada di luar kawasan.


Cha Yen (Teh Ais) lagi. 

Roti canai cara Pak Bara. Layan jugak dengan kuah manis dia.

Makcik tukar tebar roti canai.

Tepuk sikit bagi lembut.

Siap !

Abang-abang polis Thai tak makan roti canai. Depa makan apa tak tau.

Layan jugak roti canai Pak Bara ni walaupun dia lain macam sikit dari Malaysia punya. Ditambah pulak kuah manis-manis dia. Sempat pekena sebiji ja. Nak minta lagi segan. Geng makcik-makcik tadi yang buat roti canai ni. Pelanggan lain pun ramai jugak yang bersarapan di sini. Ada pelancong luar dan juga orang tempatan. Dari jauh dengar bunyi orang cakap Melayu. Rasanya dari Malaysia la kot tu. 

Tak susah nak cari makanan halal di Pak Bara ni. Hampir semua kedai makan yang ada dimiliki komuniti muslim tempatan. Dah sudah makan, panggil makcik tu kira. Tup tap tup tap, roti canai dengan cha yen (teh ais) kena THB 40. Lebih kurang RM 4.00. Boleh tahan harga sarapan kat Pak Bara ni pun. Kalau kat Malaysia menu yang sama rasanya tak sampai RM 3.00 kot.

Balik semula ke chalet, angkat bag dan serahkan kunci bilik dekat tuan chalet. Dah pukul 10.00 pagi. Tak boleh lepak lama lagi, kena mulakan perjalanan ke Satun sekarang. Sat lagi kena berhenti solat Jumaat lagi. Sebelum meninggalkan Pak Bara, sempat lagi bergambiran buat kali terakhir di pantai Pak Bara.

Bersiap berkemas untuk check-out dari chalet Pak Bara.

Seludup minyak dari Malaysia 3 botol. Minyak di Thailand harga sekali ganda.

Cuaca panas teruk di Thailand. Bawa air minuman sekali untuk mngelakkan dehidrasi.

Sesi bergambar kali terakhir di pantai Pak Bara.

Yamaha Nouvo LC akan meninggalkan Pak Bara untuk ke Chebilang.

Air laut pasang di pantai Pak Bara.

Pulau-pulau di kejauhan.

Selamat tinggal Pak Bara !

Sebelum memulakan perjalanan, gua periksa dulu peta Google Maps untuk ke jeti Chebilang dari pantai Pak Bara. Jarak ke jeti Chebilang tak lah jauh sangat, lebih kurang 50 KM sahaja. Kalau ikut kelajuan purata Nouvo LC gua bawak dalam 60-70 KM/J, sejam dah boleh sampai. Bila dah tahu tak jauh mana, saja bawa skuter santai-santai melihat suasana desa dan perkampungan di wilayah selatan Thai ni.

Minyak yang diisi di Wang Kelian semalam masih banyak lagi. Bawah seat Nouvo LC gua ada spare 3 botol minyak lagi yang belum digunakan. Bawa perlahan-lahan dan santai-santai ni minyak memang jimat. Nak laju-laju pun nak ke mana. Lagi perlahan anda bergerak, lagi banyak anda dapat lihat.

Dari pantai Pak Bara, kita kena patah balik ke pekan Chalung tempat gua berehat beli simkad di 7Eleven semalam. Kemudian ambil jalan menuju ke pekan Satun. Dari pekan Satun baru boleh cari jalan ke jeti Chebilang untuk ke Koh Sarai.


Jumpa pekan kecil La-Ngu.

Bon Voyage Pak Bara !

Stesen minyak PTT Thailand. Harga minyak berubah setiap hari di sini. 

Lenguh punggung. Nouvo LC berhenti rehat di pekan Chalung.

Kedai telefon Fara.

Tuan kedai telefon pesan makanan dari seberang jalan.

Selamat tiba di pekan Satun. Ada majlis Asean sebelum tu di sini. Bendera Malaysia berkibar megah di sini.

Matahari tegak atas kepala bila sampai di Satun.

Berhenti tengok peta sekejap. Cari jalan ke jeti Chebilang untuk ke Koh Sarai.

Kedai motorsikal di pekan Satun.

Skuter Honda Scoopy. Bentuk begini sangat digemari di Thailand.

Bersedia menyambung perjalanan ke Chebilang.

Dari pekan Satun tak jumpa satu papan tanda arah pun nak ke jeti Chebilang. Mujur la ada Google Maps. Buka GPS dan dia tunjuk la laluan jalan-jalan kampung ke jeti Chebilang. Dalam perjalanan, kita akan jumpa persimpangan ke Tanyung Po. Nanti gua cerita apa yang menarik di Tanyung Po ini.

Jam 12.00 tengahari, elok gua sampai di kawasan perkampungan Chebilang masuk waktu Zuhur. Gua berhenti di masjid berhampiran untuk solat Jumaat bersama penduduk tempatan. Apa yang menarik, khutbah Jumaat di Chebilang yang terletak di wilayah Satun ini dibaca dalam dua bahasa, bahasa Melayu dan juga bahasa Siam. Khutbah berbahasa Melayu dibaca dalam dialek/loghat Kedah Hilir dan kemudian baru disusuli dengan khutbah berbahasa Siam.

Penduduk Chebilang juga majoritinya masyarakat muslim bertutur dalam bahasa Melayu dalam urusan seharian. Jadi tak susah nak bersembang dengan orang di sini. 


Jalan kampung menghampiri daerah Chebilang.

Singgah solat Jumaat di Masjid Chebilang.

Masyarakat muslim di Chebilang juga bertutur dalam dialek/longat Kedah.

Khutbah Jumaat dibaca dalam bahasa Melayu dan juga Siam.

Ada asrama dan pusat pengajian agama di Masjid Chebilang ni.

Masjid Chebilang. Hampir tak perasan kerana tersorok dalam deretan kedai.

Selesai solat Jumaat, gua bertanyakan pada orang tempatan Chebilang bagaimana nak ke Koh Sarai. Jumpa seorang makcik yang menjual kuih di kedai sebelah masjid katanya kena pusing kot mana jauh jugak. Haih. Yang gua tahu jeti dia dah dekat-dekat masjid ni dah. Masih tak berpuas hati dengan jawapan makcik tadi, gua bersiap naik motor terus ke jeti Chebilang.

Sampai di jeti Chebilang, gua turun tanya abang-abang yang ada di situ untuk kepastian bagaimana nak ke Koh Sarai. Gua jumpa seorang abang ni, nama dia Abang Din. Benarlah ini adalah jeti Chebilang yang dicari. Di bangku tempat menunggu, kelihatan beberapa orang penumpang sedang menunggu bot untuk ke Koh Sarai.

Tak lama kemudian datang sebuah bot di jeti Chebilang ni. Para penumpang turun menaiki bot. Rancangan gua nak ke Koh Sarai dengan membawa sekali skuter Nouvo LC gua ni menaiki bo ke sana. Kenapa ingat tak boleh ke ? Gua dapat idea nak ke Koh Sarai ni pun selepas melihat seorang rakan Facebook angkut motorsikal naik bot ke Koh Sarai. Apa yang menarik di Koh Sarai ni ? Mungkin sesetengah orang tak tahu di Koh Sarai ini dihuni oleh masyarakat muslim Thai. Saja gua nak tengok bagaimana keadaan di sana. Dapat bermalam semalam pun jadi la.

Gua tanya Abang Din macam mana nak bawa motorsikal ke Koh Sarai ni. Abang Din tanya pulak tekong bot. Tekong bot kata tak dapat bawa motor naik bot kerana angin yang begitu kuat musim tersebut. Kalau gigih juga bawa takut bot senget nanti dan membahayakan penumpang lain. Kalau takat nak naik seorang boleh la. Perasaan kecewa menyelubungi diri apabila terpaksa menerima kenyataan itu.

Abang Din tanya gua kenapa nak ke Koh Sarai, ada saudara-mara ke di sana ? Soalan yang sama juga diajukan pak imam masjid Pak Bara semalam. Iyalah mesti pelik tengok seorang lelaki muda macam abang ni gigih naik motor ke Thailand. Payah juga nak jawab soalan macam ni. Gua jawab dengan selamba tak ada sedara-mara pun. Saja syok-syok berkembara menaiki motorsikal. Kenapa susah-susah naik motor berpanas berhujan ? Jawapan gua kadangkala agak sukar dihadam oleh mereka yang tidak faham. 

Deret-deret kedai di Chebilang.

Penduduk Chebilang yang mengusahakan kedai makan.

Lori-lori yang mengangkut bata merah ke jeti Chebilang.

Gua tanya arah ke jeti Chebilang kat makcik jual cucq kacang ni.

Masyarakat muslim Chebilang. Kedai makan penuh lepas Jumaat.

Jeti Chebilang di depan. Tak jauh dari masjid.

Nouvo LC 'touchdown' di Chebilang.

Perkampungan nelayan berhampiran jeti Chebilang.

Jeti Chebilang tempat menaiki bot ke Koh Sarai.

Jeti Chebilang yang terletak di muara sungai menghadap lautan Andaman.

Abang-abang tabligh di jeti Chebilang.

Panas sampai ke petang.

Jeti Chebilang ni besar, tapi tidak digunakan sepenuhnya.

Bot di jeti Chebilang yang membawa penumpang ke Koh Sarai.

Bot-bot nelayan yang berlabuh di jeti Chebilang.

Jeti Chebilang yang tidak begitu sibuk. Yang ada hanya penumpang yang berulang-alik antara Koh Sarai ke Chebilang.

Penumpang yang setia menunggu bot ke Koh Sarai.

Kecewa tak dapat ke Koh Sarai, gua pun buntu tak tahu nak ke mana lepas tu. Bersembang dan melepak bersama Abang Din dulu di jeti Chebilang. Memang orang Satun ni ramah-ramah. Cakap pulak dalam loghat/dialek Kedah. Abang Din ni kerja dia sebagai drebar tuk-tuk berulang-alik bawa tuk-tuk dari pekan Satun ke Chebilang. Kerja dia tunggu dan turunkan penumpang di jeti Chebilang. Selain tu kata dia ada juga bawa pelancong Malaysia dalam kumpulan-kumpulan besar ronda Satun dan Tanyung Po yang nak menikmati makanan laut.

Gua sembang dengan Abang Din gua ni dari universiti di Malaysia, tengah buat kajian berkenaan masyarakat muslim Thai di wilayah Satun ni. Itu yang beriya sangat nak ke Koh Sarai. Abang Din cadangkan gua ke Tanyung Po atau pun ke Kampung Tammalang kalau na ktengok gaya hidup masyarakat Islam di sana. Sebelum tu, Abang Din bawa gua ronda-ronda sekitar Chebilang. Tunjuk tempat membaiki kapal dan kilang bata. Acah-acah la pegang kamera telefon ambil gambar bagai journalis.


Bang Din bawa ronda-ronda sekitar kilang bata merah Chebilang.

Bot tunda yang digunakan untuk menarik bata merah ke Langkawi.

Bata-bata merah yang dihasilkan di Chebilang akan dieksport ke Langkawi.

Bata merah akan disusun di atas bot sebelum ditarik oleh bot tunda.

Trip ke Langkawi 3 hari sekali apabila bata merah Chebilang selesai disusun.

Siapa sangka banyak barang binaan yang digunakan di Langkawi adalah hasil dari Chebilang, Thailand.

Ronda atas bot bata merah bagai wartawan membuat liputan.

Bersungguh Abang Din bawa ronda.

Jeti bata merah Chebilang tak jauh dari jeti penumpang.

Tempat membaikpulih bot di Chebilang.

Menurut Abang Din, ada bot mat-mat saleh dari Langkawi turut dibaiki di sini

Warung berhampiran jeti Chebilang.

Penduduk-penduduk di Chebilang ramah-ramah belaka.

Nak ronda-ronda Satun, Chebilang dan Tanyong Po boleh cari Abang Din. Cari tuk-tuk nombor 10.

Abang Din, anak jati Chebilang.

Jeti Chebilang.



Gua buat keputusan untuk ke Tanyung Po dulu lepas melawat kawasan sekitar Chebilang. Lagi pun dari Chebilang nak Tanyong Po tidaklah begitu jauh. Masa siap nak bergerak, Abang Din minta gua tumpangkan seorang orang tempatan yang pada masa sama nak ke Tanyong Po. Kalau ikutkan dia nak naik tuk-tuk Abang Din, tapi kena tunggu lama sementara menunggu penumpang lain. Abang Din hanya akan jalan tuk-tuk dia bila penumpang dah penuh.

Gua pun tumpangkanlah brader ni naik Nouvo LC gua bersama-sama hingga ke Tanyong Po. Brader ni orang Siam betul, tak reti nak cakap Melayu. Abang Din yang jadi penterjemah sebelum tu. Dia bonceng dengan gua tak pakai helmet. Abang Din kata tak apa. Nak bersembang pun tak boleh sebab dia cakap bahasa Siam ja.

Apa yang menarik di Tanyong Po ini ? 

Tanyong Po atau Tanjung Pauh dalam bahasa Melayunya adalah sebuah perkampungan nelayan di wilayah Satun, Thailand. Lokasi Tanyong Po yang menghadap Laut Andaman membolehkan kita melihat Pulau Langkawi dan Pulau Tarutao (Koh Tarutao) yang tidak jauh darinya. Selalunya, pengunjung yang datang ke Tanyong Po adalah penggemar makanan laut segar. Jadi tidak hairanlah terdapat banyak restoran makanan laut di Tanyong Po ini.

Hampir 100 % penduduk di Tanyong Po berbahasa Melayu loghat Perlis. Ini menjadi kelebihan mereka berurus niaga dengan orang di Malaysia. Belacan Tanjung Pauh 100% di eksport ke Perlis dan Langkawi. Kebanyakkan belacan Perlis adalah belacan Tanjung Pauh.Belacan dijual dengan
harga THB80 - THB100 ( RM8 - RM10 ).

Selain belacan , ikan kering sangat popular di sini. Antara ikan kering yang sangat popular adalah ikan pari kering, ikan gelama, ikan tamban dan ikan bilis. Harga yang dijual sangat berpatutan. Kebanyakkan produk ini dieksport ke Perlis dan Langkawi.

Rujukan - Blog Satun Siam


Perkampungan di Tanyong Po.

Aktiviti membina bot dan perahu di tepi rumah penduduk Tanyong Po.

Penduduk di Tanyong Po ada yang bekerja membaikpulih bot.

Tak sangka yang tumpang naik motor dengan gua sekali rupanya tuan bot. 

Deretan rumah kampung di Tanyong Po yang terletak di tepi laut.

Gua turunkan brader tadi di sebuah perkampungan Melayu di tepi pantai Tanyong Po. Dia yang bagi panduan kona kiri kanan untuk sampai ke sini. Di kawasan ni, banyak bot-bot dan perahu sedang dalam proses baikpulih. Gua pun tak tahu nak ke mana lepas tu sebenarnya. Duduk melilau-lilau tengok bot yang depa dok buat.

Makcik-makcik yang ada di kampung ni pakat pandang pelik kat gua bila gua pusing-pusing tengok bot yang dibaiki mereka. Lagi pelik depa tengok mamat ni orang luar naik motorsikal dari Malaysia. Takkan depa ingat gua nak ambik bot depa kot? Bagi mengelakkan syak wasangka, gua pun cuba melepak dengan makcik ni. Sebelum ni gua tak ada idea pun Tanyong Po ni dekat mana dan bagaimana keadaan masyarakat muslim di sana. 

Gua disapa makcik yang duduk di bangku di bahagian beranda rumahnya. Dia tanya dari mana, cari siapa semua. Gua jelaskan satu-satu soalan yang ditanya. Sedap bersembang dalam loghat Kedah dengan makcik ni. Kata dia memang orang Tanyong po ni cakap Melayu dalam urusan seharian mereka. Gua tanya pernah ke belah Kedah atau Perlis ? Langkawi je dia pernah jejak. Selain dari tu tak pernah. 

Ada juga orang-orang Malaysia yang berkahwin dengan penduduk tempatan Tanyong Po ni dan terus menetap di sini. Tengah bersembang, datang jiran makcik ni bersembang sekali. Terasa bagai di kampung halaman sendiri bila jumpa komunti muslim Thai yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Penduduk di Tanyong Po ni rata-ratanya bekerja sebagai nelayan dan ada juga yang menoreh getah.


Bersembang dengan salah seorang makcik di Tanyong Po. Memang tak ada masalah komunikasi kerana depa bercakap dalam loghat Kedah !

Mai pulak jiran dia bersembang sekali. Kot kot la ada ayaq kopi ka apa. 

Rasa bersembang dengan tok nenek sendiri pulak di Tanyong Po ni.

Pemandangan indah jalan Tanyong Po yang menyusuri pesisir pantai.

Hembusan segar angin laut Andaman di Tanyong Po.

Jalan kampung Tanyong Po.

Pondok kecil untuk menikmati makanan laut di Tanyong Po.

Matahari semakin terbenam di ufuk barat.

Modal tak ada nak makan seafood. Dok tenung pondok.

Bawa Nouvo LC lepak tepi laut Tanyong Po.

Salah sebuah papan iklan restoran makanan laut Tanyong Po.

Restoran ni tak ada pondok macam tadi.

Meneruskan perjalanan melayan kona Tanyong Po.

Syok jugak suasana kampung Tanyong Po ni.

Meneruskan perjalanan ke Satun sterusnya ke Chebilang.

Sebelum gua beredar, makcik tu tanya gua nak tidur di mana malam ni. Gua jawab tak tahu lagi. Gua ingat nak cari chalet murah-murah di tanyong Po ni. Kata dia kalau nak tidur kat surau kampung dia tu pun boleh. Tak ada sapa yang marah. Cantik juga tu. Gua minta diri untuk pusing-pusing dulu Tanyong Po petang tersebut.

Di Tanyong Po ini, apabila kita kita mengikut jalan pesisir pantai akan kelihatan kedai-kedai makanan laut yang dibuka sewal jam 5 petang hingga larut malam. Kata orang kalau hujung minggu memang rancak. Orang Malaysia pakat mai sini pekena seafood. Gua sempat menyinggah salah sebuah restoran makanan laut. Tak makan apa pun, saja melepak sat dekat tepi pantai dia. Ada pondok-pondok kecil disediakan untuk mengunjung menjamu selera.  Romantik gitu.

Gua mencari juga chalet-chalet murah di Tanyong Po ni tapi tak jumpa. Mungkin tak kena tempat. Banyak kedai makan ja. Dah lewat petang ni, gua ambil keputusan untuk ke pekan Satun seterusnya ke Tammalang. Tak terpikir pun nak tiduq di mana malam tu.


2 ulasan:

  1. Balasan
    1. Harus cuba jalan-jalan ke Satun terutama sekali Tanyong Po !

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...