Iklan

02 Jun 2015

Ride Menjejak Salasilah Selatan Thai : Satun - Songkhla

Sambungan dari Ride Menjejak Salasilah Selatan Thai  : Satun - Kg Tammalang


السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.


Selepas selesai sesi perpisahan mata masuk habuk dengan abang Rasad di jeti Kampung Tammalang, gua bawa diri ke Terminal Feri Tammalang. Terminal Feri Tammalang dan juga jeti ke Kampung Tammalang adalah dua tempat yang berbeza. Terminal Feri Tammalang atau lebih dikenali dengan nama 'Tammalang Port' ni lebih besar dan lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk penumpang.

Apa yang menarik di sinilah feri-feri ekspress yang berulang-alik antara Satun dan Langkawi berlabuh mengambil dan menurunkan penumpang. Lengkap dengan imigresen dan kastam Thailand untuk urusan pengecopan passport. Bagi pelancong atau mereka yang dari Langkawi nak ke bandar Satun, di Terminal Feri Tammalang inilah mereka akan turun. Jarak dari Terminal Feri Tammalang ini ke pekan Satun dah tak berapa jauh. 

Gua masuk ke dalam bangunan Terminal Feri Tammalang ni meninjau keadaan sekitar. Sakit perut pulak pagi tu. Cari tandas dulu. Nak masuk tandas pun kena bayar 3 Baht di sini. Tapi tandas memang cun. Kalau di Malaysia bayar nak masuk bilik air bukan main mahal, tandas bau hancing memanjang.


Tammalang Port atau juga dikenali sebagai Terminal Feri Tammalang.

Pengurup wang berlesen atau 'money changer' yang ada di Terminal Feri Tammalang.

Balai ketibaan  penumpang feri di Terminal Feri Tammalang.

Kaunter informasi Terminal Feri Tammalang dan tempat beli tiket feri Satun - Langkawi.

Pelancong Thai yang baru tukar duit Baht ke duit Ringgit Malaysia. Ambik gambar duit dulu.

Ada 2-3 premis 'money changer' di dalam bangunan Terminal Feri Tammalang ni. Yang ni paling dapat sambutan.

Pengurup wang ni menawarkan kadar tukaran wang Baht ke Ringgit yang bagus.

Kadar tukaran wang semasa dipamerkan di cermin kaunter pengurup wang. THB 1000 bersamaan RM 108.

Jam menunjukkan waktu antarabangsa bagi Malaysia dan Thailand. Untuk makluman, waktu Thailand lewat sejam dari Malaysia.

Kebetulan pula hari tu hari Sabtu, ramai pelancong-pelancong dari Thailand yang datang ke Terminal Feri Tammalang ini untuk menaiki feri ke Langkawi. Backpacker-backpacker mat saleh tak nampak pulak. Ada yang datang dengan bas ekspress, minivan dan sebagainya. Mungkin telah diaturkan oleh agensi pelancongan masing-masing. 

Dengan nilai duit Ringgit semasa yang lemah ketika ini, memang syok la depa orang Thailand bershopping di pulau bebas cukai Langkawi. Depa tukar duit kita dapat banyak. Kita yang nak berjalan dan melancong di Thailand pula yang siksa, tukar duit Ringgit ke Baht dapat sikit.

Untuk pengetahuan, tiket feri dewasa berharga THB 300 untuk perjalanan sehala dari Satun ke Langkawi. Trip feri bermula sewal jam 9.00 pagi dan terakhir sekali pada jam 5.00 petang. Kalau tak salah ada 3 trip dalam sehari.

Kalau di Kuala Perlis dan Kuala Kedah kena beratur seawal pagi untuk membeli tiket ke Langkawi. Tapi tidak di sini, kaunter pembelian tiket Terminal Feri Tammalang sangat lengang dan lancar. Gua saja buat-buat beratur nak beli tiket padahal nak tanya harga tambang feri je pun. Pekerja di sini semuanya muslim tempatan. Akak-akak muslimah. 


Kaunter tiket feri Satun-Langkawi di Jeti Tammalang.

Nak beli tiket ke Langkawi tidak sesibuk seperti di Kuala Kedah atau Kuala Perlis di Jeti Tammalang, Satun ni.

Bas-bas ekspress menurunkan penumpang di Jeti Tammalang.

Bas dua tingkat cara Thailand.

Di Jeti Tammalang ini ada juga imigresen dan kastam Thailand.


Dah puas tengok gelagat orang dalam Terminal Feri Tammalang, gua keluar ambik skuter Nouvo LC dan beredar. Sebenarnya gua pun tak tahu nak ke mana lepas tu. Sebelum tu gua lepak sat di Terminal Feri Tammalang ni. Sempat periksa peta Google Maps di smartphone Lenovo gua kot ada tempat menarik dekat-dekat Satun ni.

Takkan nak keluar balik Malaysia dah hari ni ? Cetus hati gua. Bajet masih ada. Rasanya boleh lagi kalau nak bermalam sehari dua di Thailand ni. Kalau nak keluar balik Malaysia boleh terus keluar ikut pintu masuk Wang Prachan-Wang Kelian macam waktu masuk sebelum ni. Tak jauh dah dari pekan Satun.

Nak disedapkan cerita, tengah godek-godek peta ternampak pulak wilayah Songkhla yang nun terletak di sisi laut yang berbeza. Nak bagi jelas nampak kalau Satun lautnya sederet dengan negeri Perlis dan Kedah, laut di Songkhla pula sederet dengan negeri Kelantan dan Terengganu. Pantai timur la orang panggil lebih kurang. 

Haih. Jauh jugak tu. Nampak dalam peta jauh semacam. Bila periksa balik jarak macam KL ke Tapah ja. 120 KM. Nak pi ke tak nak ni. Dua-tiga kali jugak dok pikir. Dah alang-alang sampai gerak terus la ke Songkhla !

Ayuh kita ke wilayah Songkhla !

Tumpang pam tayar Nouvo LC di stesen minyak Caltex Thailand. Isi minyak 'spare' yang dibawa dari Malaysia.

Persimpanagn lampu isyarat di bandar Satun.

Jalan lurus dari Satun menghala ke Songkhla.

Papan tanda arah ke Masjid Ban Khuan. Nama melayunya adalah Masjid Kampung Guar. 

Berhenti sat tengok pertandingan burung merbah jambul dalam perjalanan dari Satun.

Setiap minggu ada sahaja tempat yang menganjurkan pertandingan burung merbah jambul di Satun.

Simpang kanan kalau nak balik semula ke Wang Prachan-Wang Kelian.

Nak masuk pukul 11.00 pagi, bahang panas mula dirasai sewaktu ride. Mungkin tak kena musim waktu tu. Panas terik memanjang di selatan Thai. Gua tak bawa laju. Sekitar 60-70 KM/J ja. Lagi perlahan anda bergerak, lagi banyak anda dapat lihat. Bila agak-agak dah kebas punggung duduk lama atas skuter, gua berhenti sat berehat meregangkan otot-otot yang terlibat. 

Kebetulan pula terjumpa sebuah warung kecil yang menjual minuman. Tak sah kalau tak pekena teh ais Thai atau disebut 'cha yen' ni. Rasanya sedikit berbeza dengan teh ais di Malaysia. Pekat semua cukup teh ais dia. Minum sekali pasti ketagihan lagi.

Secawan besar 'cha yen' berharga 20 Baht. Lebih kurang RM 2.00 tapi gua minum tak habis. Siap boleh buat bekal minum sepanjang jalan ke Songkhla. Gua lepak sat kat kedai belakang warung 'cha yen' caj bateri telefon Lenovo gua yang nak habis. Tuan kedai pun baik belaka, bagi gua guna plag dia. 

Walaupun begitu, komunikasi dua hala agak terbatas di sini. Pekan kecil ini penduduk muslimnya dah tak boleh berbahasa Melayu dengan baik seperti di Satun. Kena cakap bahasa Siam baru depa paham. Semakin kita jauh dari Satun, penggunaan bahasa Melayu turut semakin kurang.

Dalam perjalanan dari Satun ke Songkhla kita akan jumpa banyak pekan-pekan kecil di sepanjang jalan. Antara satu pekan yang gua ingat nama dia Rattaphum. Lain-lain pekan gua tak ingat nama. Tak sempat nak mencatit.

Gua isi minyak di salah sebuah stesen minyak PTT Thailand di sini. Ini merupakan pengalaman pertama kali gua isi minyak sepanjang empat hari perjalanan di bumi Thailand. Selama ni gua guna minyak simpanan yang dibawa dari Wang Kelian tempoh hari. 

Kalau kita di Malaysia ada 3 jenis minyak, diesel, RON 95 dan 97, di Thailand pula terdapat hampir 6 jenis perisa minyak. Gua bukan faham sangat pun bahasa Siam sebenarnya tapi bila nak isi minyak gua cari yang ada tertulis '95'. Gua agak yang tu lah kot RON 95. Yang lagi rendah pun ada seperti RON 92.

Harga minyak di Thailand berubah-ubah setiap hari dan harganya berbeza di antara satu stesen dengan stesen yang lain. Contohnya Shell dan Caltex harga minyak mereka berbeza walaupun jenis RON 95 yang sama. Gua isi di stesen minyak PTT Thailand oleh kerana harga minyaknya yang lebih murah. Setakat ni yang paling mahal gua tengok adalah minyak Shell. Beza 2-3 kupang jugak.

Gua cakap kat jurupam minyak nak isi sebanyak 100 Baht. Sebenarnya minyak masih ada di dalam tangki Nouvo LC gua, tapi gua saja nak isi penuhkan tangki oleh kerana jarak perjalanan Songkhla yang masih jauh berbaki. 

Isi 100 Baht sama macam isi RM 5.00 di Malaysia oleh kerana harga minyak di Thailand yang sekali ganda mahal harganya. Nasib baik waktu tu harga minyak di Malaysia menjunam pada tahap RM 1.70. Pada masa yang sama harga minyak di Thailand boleh dikatakan murah dengan harga hanya 28 Baht seliter. Biasanya minyak di sini boleh cecah 35-38 Baht kalau harga pasaran minyak dunia naik.


Berhenti rehat di pekan kecil pekena 'cha yen' atau teh ais Thai.

Warung minuman di Thailand yang kemas. Di Malaysia kenapa tak ada jenis macam ni ?

Mencatit 'travelogue' catatan perjalanan sedang mengecas telefon di kedai belakang warung 'cha yen'

Berhenti sebentar di stesen minyak PTT Thailand. Harga minyak RON 95 ketika itu dekat RM 2.80 seliter.

Tunjuk minyak mana yang kita nak. Jurupam akan tolong isikan. Gua isi miyak RON 95 sebanyak THB 100.

Berderet-deret motor lain nak isi minyak jugak. 

Bermacam perisa minyak yang boleh dipilih di Thailand. Ada dekat 5-6 jenis.

Lepas isi minyak lepak 7E yang ada dekat stesen minyak PTT Thailand ni.

Buat-buat sibuk jugak nak beli air mineral dalam 7E Thailand.

Berhenti rehat lagi. Kali ni periksa Google Maps sebab banyak simpang dalam pekan Siam ni.

Jalan atau laluan '4014' yang disenggara oleh Department of Rural Road Thailand. Kalau buka Google Maps hangpa akan nampak la jalan 4014 ni sebagai panduan.

Jambatan panjang yang merentangi sungai bila hampir tiba di Songkhla.

Songkhla ni banyak tasik yang bercantum antara satu sama lain. Semua besar-besar belaka. Itu yang banyak jambatan.

Ambik kanan ke Songkhla. Depan sana tu laut. Lampu isyarat ni tunjuk ke mana ?


Apa yang menarik di Songkhla ni ?

Songkhla merupakan sebuah wilayah di selatan Thai yang berjiran dengan wilayah Pattani dan Yala. Terletak 1000 KM di selatan Bangkok, Songkhla atau juga dikenali dengan nama Singgora dahulunya merupakan sebuah wilayah Kerajaan Melayu Langkasuka yang kuat dengan pengaruh Srivijaya. 

Nampak? Macam cikgu sejarah bukan? Hakikatnya gua tak pandai pun nak sembang sejarah-sejarah lama ni.

Untuk maklumat lebih lanjut pasal sejarah Songkhla hangpa boleh Google tengok. Sebenarnya Songkhla ni sebuah bandar pelabuhan yang mempunyai bentuk muka bumi yang agak menarik. Di sinilah terletaknya Tasik Songkhla yang merupakan tasik semulajadi terbesar di Thailand. Jangan pelik kalau tengok banyak kapal-kapal dagang dan kontena berlabuh di Songkhla ni. Memang ini kawasan dia.

Selalu pelancong luar yang datang ke Songkhla mesti depa tuju ke Pantai Samila atau Samila Beach dulu. Tugu ikan duyung emas tu juga depa cari dulu nak bergambar punya pasal. Depa kata tak sah la kalau datang ke Songkhla kalau tak mai Samila Beach. Betul. Tapi sebenarnya ada banyak tempat-tempat lain yang menarik di Songkhla ni selain Samila Beach.

Antaranya adalah Tang Kuan Hill. Dari puncak Bukit Tang Kuan ni anda dapat lihat pemandangan seluruh bandar Songkhla. Nampak rumah-rumah orang dan laut yang terbentang luas. Saja la promosi sebab gua dah pernah sampai hari tu. Hiks.

Nanti gua sambung cerita pasal Tang Kuan Hill.

Gua gigih ikut Google Maps potong jalan sana sini. Alhamdulillah dengan izin Allah sampai jugak ke Songkhla ini dari Satun pada awalnya. Asal anda faham peta dan tau guna GPS dah cukup sebagai panduan. Insyaallah boleh sampai ke sini. Sebenarnya banyak jugak papan tanda arah tunjuk ke Songkhla. Tak usah takut sesat. Kalau sesat pun dalam Thailand lagi. Tak terlepas ke Myammar atau India.

Nak bagi nampak jelas gua lampirkan sekali peta Google Maps Songkhla.




Jarak dari Satun ke Songkhla tak jauh mana, lebih kurang dalam 120 KM ja. Ada banyak jalan boleh dipilih untuk sampai, tapi masa nak sampai bandar Songkhla kita boleh pilih sama ada untuk menyeberang membawa kenderaan bersama dengan feri atau pun mengikut jambatan panjang melintasi Pulau Ko Yo yang terletak di Tasik Songkhla.

Kalau ikut peta, gua nak cuba naik feri ke bandar Songkhla. Awalnya, gua tak boleh bayang langsung keadaan bandar Songkhla ni macam mana oleh kerana ini adalah rancangan minit akhir untuk ke sini. Tapi yang gua pasti Songkhla ni mesti di tepi laut.

Dalam pukul 2.00 petang baru gua tiba di jeti tempat menaiki feri di Songkhla. Ada la kereta berderet duduk bersusun beratur bersama geng motorsikal. Untuk menaiki feri ni, setiap penumpang dikenakan tambang atau pun bayaran sebanyak 3 Baht sahaja termasuk motorsikal. Kalau kereta lain pulak harga. Ada kaunter tiket macam feri Penang la lebih kurang. Bila dah bayar baru kita boleh masuk beratur di laluan yang disediakan.


Jeti feri Songkhla di depan sana. Nouvo LC 'touchdown' di Songkhla jam 2.00 petang.

Kenderaan yang menghala ke jeti feri Songkhla untuk ke seberang.

Kota pelabuhan Songkhla. Kapal-kapal kontena di hadapan sana.

Laluan pesisir pantai Songkhla. 

Feri Songkhla yang tiba di jeti membawa kenderaan dari seberang sana.

Bot-bot nelayan kawasan sekitar pantai Songkhla.

Nouvo LC gua di barisan hadapan menunggu feri Songkhla.

Beratur bersama anak-anak muda Songkhla.

Dah masuk ke dalam feri Songkhla.

Feri Songkhla bergerak ke seberang. 10 minit perjalanan lebih kurang.

Duduk atas motor masing-masing ketika feri Songkhla sedang bergerak membelah ombak.


Jarak masa perjalanan bila kita naik feri menyeberangi Teluk Songkhla ni sekejap sahaja, dalam 10 minit macam tu. Kalau nak kira dekat sangat ja, kalau naik feri dari Geogetown ke Butterworth di Penang tu berkali ganda jauhnya.

Kereta diberi keutamaan untuk masuk dahulu selepas selesai semua kenderaan yang dibawa dari seberang sana keluar. Kemudian baru motor boleh masuk berhimpit-himpit di bahagian belakang. Feri Songkhla ni tidak berbumbung dan tak ada bahagian penumpang berjalan kaki. Kalau nak jalan kaki naik pun boleh, tapi lepak sekali dekat bahagian motor.

Lawa pemandangan semasa menaiki feri Songkhla. Laut yang membiru dan kelihatan kapal-kapal besar yang berlabuh di pelabuhan Songkhla. Kita bebas nak turun motor tengok pemandangan ke apa masa atas feri tu. Banyak juga mata-mata Siam memandang pelik kelibat lelaki asing dengan skuter Yamaha Nouvo LC bernombor pendaftaran plat Malaysia di atas feri. Iyalah tak reti dok diam, batak ambil gambar sana sini.

Destinasi pertama yang dituju apabila turun dari feri sudah tentu ke Samila Beach. Cuaca panas membahang sepanjang hari tu dari pagi sampai ke petang. Mahu terbakar kulit rasanya. Mujur pakai jaket motorsikal, tapi terlupa nak bawa sarung tangan. Akhirnya, berbelang-belang tangan.

Gua ingat kot-kot la ada penginapan yang sesuai dengan bajet di sekitar Pantai Samila ni. Cari jugak chalet-chalet murah di kawasan sekitar tapi tak ada. Mungkin jarang orang yang backpacking ke Songkhla ni. Yang ada pun hotel-hotel besar dekat Samila Beach ni.

Dia tak sama macam Pak Bara yang ada chalet-chalet di tepi laut. Angin laut yang bertiup di sini juga terlalu kuat. Pokok-poko kelapa lentok hanbis. Angin Laut China Selatan barangkali. 

Gua meronda sat di kawasan sekitar Pantai Samila meninjau keadaan sekeliling.


Selamat tiba di Pantai Samila, Songkhla. Ronda-ronda sat.

Pokok-pokok bunga kertas yang menghiasi jalan-jalan besar di sekitar bandar Songkhla.

Berhenti lagi di tepi pantai. Boleh nampak angin kuat yang bertiup di pantai Songkhla ni?

Tengah-tengah hari buta ni tak ada sapa nak lepak pantai Songkhla. Panas.

Angin kuat. Ombak pun kuat menghempas pantai.

Yamaha Nouvo LC jumpa geng. Honda Spacy Thailand.

Laluan pesisir pantai Songkhla yang bersih. Senget-senget motor sebab angin kuat.

Berhenti lagi. Kali ni di kawasan lain pulak. Masih di tepian pantai Songkhla.

Pantai Songkhla yang jauh memanjang. Tak ada sapa-sapa mandi pun sebab ombak kuat.

Kanak-kanak tempatan Songkhla bermain layang-layang di pantai.

Dah puas merayap tengok pantai Songkhla, baru terhegeh-hegeh nak cari tempat penginapan. Setakat ni belum nampak lagi bajet guesthouse ke chalet murah-murah ke. Badan pun dah melekit habis bila peluh bersimbah panas-panas ni. Jumpa hotel lepas ni abang nak mandi puas-puas.

Dari Pantai Samila tadi, gua susur keluar balik ke jalan besar. Di Songkhla ni hangpa jangan tak tahu ada jugak nama jalan Khaosan Road. Kawasan Khaosan Road ni terdapat deretan warung-warung makanan halal muslim tempatan. Bagi mereka yang mencari tempat makan halal bertaraf warung sinilah tempatnya. Waktu gua lalu petang tu depa tengah rancak bakar ikan. Fuh harum semerbak.

Dari Khaosan Road, gua keluar ke Karnjanavanit Road pulak. Jalan Karnjanavanit ni la yang kita akan ikut kalau nak ke bandar Hat Yai. Disepanjang jalan lurus Karnjanavanit Road, terdapat hotel-hotel bajet di tepi jalan. Gua pun cuba la pusing tengok, tapi semua nampak macam mewah-mewah ja gaya apartment. Tak berani la nak tanya tengok berapa rate untuk semalam.

Di sekitar bandar Songkhla ni jugak ada banyak universiti dan pusat pendidikan tinggi tempatan. Antaranya adalah Songkhla Rajabhat University dan Thaksin University yang terletak di tepi jalan Karnjanavanit Road. Oleh itu banyak la pucuk-pucuk muda di sini.

Sedang mencari bajet guesthouse, entah macam mana gua boleh termasuk salah satu lorong di Karnjanavanit Road. Kot-kot la ada hotel bajet belakang-belakang ni. Tapi sayangnya, semua yang gua jumpa bangunan tinggi-tinggi. Di bawah bangunan gua tengok macam ada kaunter receiptionist. Tergerak pula hati untuk bertanya.

Dekat kaunter gua tengok ada sorang awek bertudung. Dengan tiba-tiba jantung berdegup kencang. Eh eh kenapa pulak ni. Mungkin inikah yang dinamakan cinta ?

" This is hotel ? " 

Terpacul perkataan Inggeris dari mulut. Terkelu sekejap tak ada idea nak cakap apa dah lepas tu.

" Haa ? " Awek tu pulak pandang pelik dekat gua. Mungkin dia tak faham kot cakap gua.

Bersemangatlah gua pung pang pung pang cakap Inggeris dengan awek tu. Gua cerita la gua dari Satun pagi tadi dan baru sampai Songkhla petang ni. Tengah cari hotel bajet.

" Abe dari mano ? Boleh kecek Melayu ? "

* Tutup muka lari laju-laju.

Bersusah payah gua susun ayat dengan grammar berterabur nak bercakap dengan dia tadi. Rupanya dia boleh kecek Melayu ! Senanglah lagu ni.

Rupanya kaunter yang dia jaga tu tempat karaoke ! Mati-mati gua ingatkan hotel. Maklumlah tak pernah berkecimpung dalam bidang nyanyian lagi. Awek ni sebenarnya pelajar universiti dekat-dekat situ. Dia asal dari Pattani. Tu yang boleh cakap Melayu. Petang-petang buat kerja sambilan jaga pusat karaoke.

Dia panggil kawan dia yang dekat-dekat situ tanya mana hotel murah-murah di Songkhla ni. Pung pang pung pang cakap Siam. Kawan dia pun bagitahu hotel sekian-sekian, tapi harga dekat 800 Baht semalam! Gua nak cari yang lagi murah kalau boleh.

Entah kenapa boleh lajak bersembang lagi lepas tu. Masa terasa sangat singkat. Tulang rusuk vibrate tak berhenti-henti dari tadi. Ada jodoh mungkin. Hiks.


Awek Pattani yang gua jumpa. Bukan tengah posing tu. Gua la kebetulan candid.

Tak apalah. Gua minta diri untuk beredar dulu. Awek tu pun tak berapa tahu kalau ada lagi chalet di bahagian kawasan Tasik Songkhla yang tak jauh dari situ. Gua pernah terbaca yang rider-rider datang ke Songkhla tidur di hostel berdekatan tasik Songkhla. Gua ingat nak pi cari hostel di kawasan yang diperkatakan tu. 

Google Maps banyak membantu sepanjang perjalanan gua di Thailand. Tak ada GPS mahal-mahal pun tak apa. Gua guna telefon Lenovo gua je. Bukan perlu on internet sepanjang masa. Buka Google Maps, periksa di mana kawasan Tasik Songkhla yang terdekat. Kita kena ikut Tinsulanonda Road untuk melalui jalan pesisir tasik. 

Tengah dok merayap naik skuter tengok pemandangan kawasan perkampungan sekitar, jalan terpecah kepada dua simpang. Nak ikut mana ni. Berhenti sekejap buka peta Google Maps. Tidak semena-mena ada sebuah hotel di tepi jalan. Royyim Hotel namanya.

Dipermudah urusan sepanjang perjalanan si musafir. Gua masuk tanya berapa harga bilik untuk semalam. Kata pakcik petugas kauter Royyim Hotel sebuah bilik berharga 400 Baht. Di dalamnya ada penghawa dingin, peti ais, TV, katil besar dan bilik air juga di bahagian dalam. Yang paling syok ada wifi percuma !

Mula-mula tu saja gua acah-acah nak tengok bilik dia dulu. Kot-kot la dalam bilik tu kotor dengan taik lipas ke. Bila dah tengok baru rasa puas hati. Dengan bajet yang masih ada gua tak pikir panjang. Masa nak check-in, Royyim Hotel ni akan minta apa-apa dokumen penting kita untuk disimpan. Gua bagi kad pelajar UiTM warna kuning tu kad pakcik kaunter. Ada gambar muka gua. Dia hangguk boleh-boleh.

Royyim Hotel ni terletak di lorong Mosque Soi 2 lebih tepatnya. Bukan hotel bertaraf 5 bintang pun tapi bagi gua ianya cukup selesa dan berbaloi. Setiap bilik yang disediakan mempunyai kemudahan garaj parking sendiri. Kalau bawa kereta ke apa boleh masuk sampai depan pintu bilik.



Royyim Hotel 
GPS Koordinat : 7.164898, 100.588131


Kaunter receptionist Royyim Hotel Songkhla.

Deretan bilik-bilik yang ada di Royyim Hotel Songkhla.

Kawasan sekitar Royyim Hotel yang luas.

 Royyim Hotel Songkhla. Hotel bajet mampu duduk.

 Royyim Hotel dengan tema merah jambu.

Setiap bilik di  Royyim Hotel Songkhla ada garaj sendiri. Bilik lain parking kereta, bilik 9 mampu parking skuter ja.

Bahagian dalam bilik Royyim Hotel Songkhla. Motif kaler pink ?

Bukan 'rumah merah' Brickfield walaupun nampak macam tu. Hanya 400 Baht semalam.

Ada flat TV lekat kat dinding kot bilik Royyim Hotel Songkhla ni.

Pintu depan Royyim Hotel & Resort di Songkhla. Hangpa ada menginap kat 'resort' ?

Masuk-masuk bilik Royyim Hotel, buka penghawa dingin dan melepak sat tengok TV. Letih seharian menunggang skuter dari Satun ke Songkhla. Nikmat dapat mandi membersihkan diri lepas tu. Gua boleh bantai lena sampai ke petang. 

Lepas Asar, baru gua keluar balik merayap di kawasan sekitar Tasik Songkhla. Ada banyak resort-resort mewah dan chalet yang bertentangan dengan kawasan tasik. Gua berhenti sat ambik-ambik gambar. Tak ada hala tuju.

Mengikut maklumat, ada Pulau Ko Yo di bahagian tengah Tasik Songkhla ni yang dihubungkan oleh Tinsulanonda Bridge dari tanah besar. Kalau hangpa semalam dari Satun tak nak naik feri ke Bandar Songkhla, boleh pusing jauh sikit ikut jambatan ni. Jambatan Tinsulanonda sepanjang 2.6 KM ini merupakan jambatan dengan struktur konkrit yang terpanjang di Thailand. Ia akan melalui Pulau Ko Yo yang terkenal dengan hasil kain tenunan tangannya.

Gua pun teringin nak cuba naik Jambatan Tinsulanonda menghala ke Pulau Ko Yo ni. Masa tu pun dah nak senja. Angin kuat ya amat atas ni. Senget-senget motor.


Salah sebuah resort bertentangan dengan Tasik Songkhla.

Lake View Resort, Songkhla. Yang ni pun depan tasik.

Salah sebuah rumah terapung di Tasik Songkhla.

Jambatan Tinsulanonda yang menghubungkan tanah besar Songkhla ke Pulau Ko Yo.

Dah ikut Jambatan Tinsulanonda, kita akan melintasi Pulau Ko Yo. Tapi dah Maghrib, gua tak singgah pun di Pulau Ko Yo ni. Bila terus lagi lepas jambatan gua tiba di persimpangan tempat gua naik feri Songkhla tengahari tadi. Kalau nak patah balik ke bandar Songkhla ikut jalan Jambatan Tinsulanonda tadi  jauh sangat. Jadi gua naik feri Songkhla buat kali kedua hari ni untuk ke Samila Beach. Lebih dekat.

Gua lepak di Samila Beach ambik-ambik gambar. Malam-malam pun angin kuat lagi. Tapi waku malam kedai-kedai pun tak banyak macam waktu siang. Ada jugak yang dah nak tutup pukul 7.30 malam. Patung ikan duyung Pantai Samila dari siang tadi sampai ke malam ada ja manusia duduk bergambar.

Gua bergerak meninggalkan Pantai Samila melalui jalan pesisir pantai untuk ke Khaosan Road. Perut pun dah lapar. Kebetulan pula malam tu malam minggu. Anak-nak muda tempatan yang gua perasan suka lepak tepi pantai sambil dengar lagu kuat-kuat. Setiap geng 5-6 orang ada sebiji kereta atau pikap. Depa pasang woofer dok dum dam dum dam. Sepanjang pantai tu ada banyak geng-geng lain.


Naik feri Songkhla buat kali kedua. Patah balik ke Samila Beach.

Persekitaran Pantai Samila pada waktu malam. Banyak orang Malaysia gua perasan !

Malam minggu di Pantai Samila. Kenderaan luar dengan plat pendaftran Malaysia pun ada.

Pondok kecil di Pantai Samila. Depan tu la ada tugu ikan duyung.

Warung-warung minuman di sepanjang Pantai Samila di malam hari.

Tak berapa ramai sangat orang.

Chevrolet Thailand buat event dekat tepi Pantai Samila. Tak ada orang.

Awek Chevrolet cakap sorang-sorang, tak ada siapa pun datang roadshow ni.

Gua melilau sekitar Khaosan Road Songkhla nak cari makan malam. Seharian tak pekena nasi lagi. Gua tengok meriah semacam. Gua parking dekat-dekat masjid yang ada di situ. Dalam deretan kedai makan muslim Songkhla ni gua tengok semua menu lebih kurang. Goreng-goreng pun ada.

Gua duduk di salah sebuah kedai makan di Khaosan Road ni. Makcik tuan kedai tengah sibuk dok memasak nasi goreng. Pembantu dia yang layan gua. Nak kata lelaki bukan, nak kata perempuan pun bukan. Jenis kecelaruan identiti ni. Dari jauh dah boleh dengar bunyi hilaian tawa dia. Seram.

Alang-alang dah duduk, gua layankan aja. Takkan nak bangkit pi kedai lain kot. Si 'dia' yang berbaju kurung bawa menu makanan. Dalam tu macam-macam la menu makanan yang ada. 

Masalahnya semua tulis Siam ! Mana gua faham.

Ada gambar-gambar di sebelah makanan. Yang gua cam nasi goreng dan tomyam. Gua ambik keputusan nak cuba makan 'Nasi Goreng Seafood' di Songkhla ni. Nak tengok macam mana dia boleh pergi.

Lagi satu masalah adalah komunikasi. Si 'dia' cakap Siam dengan gua, gua pulak bantai cakap Inggeris. Macam cakap ayam dengan itik. Gua cuba bagitahu dalam Melayu nak makan 'nasi goreng' baru dia faham. Nasi Goreng Seafood. Dia hangguk-hangguk faham. Minum pulak gua minum cha yen malam tu.

Tengah tunggu nasi goreng siap, yang gua perasan 'geng' sana duduk bergosip sambil pandang-pandang gua. Mungkin dok kata ke gua la tu. Tak berapa selesa rasa bila orang sana dok jeling-jeling. Cuak pun ada.

Mana nasi goreng gua ni tak sampai-sampai lagi ni !

Tak nak makan nasi goreng di Khaosan Road Songkhla, boleh beli lauk-pauk yang dibungkus dalam plastik.

Deretan kedai makan muslim di Khaosan Road Songkhla.

Lauk-pauk petang tadi yang tak habis akan dibungkus di dalam plastik untuk dijual.

Menu makanan yang ditulis dalam bahasa Siam. Satu apa pun tak faham !

Aksi pergerakan pantas si 'dia' berjaya dirakamkan.

Suasana malam di kedai makan muslim Khaosan Road Songkhla.


Makan Nasi Goreng Seafood di Khaosan Road Songkhla sambil dihambat perasaan cemas bila 'geng' sana pandang semacam.

Masjid Heedaya di celahan lorong Khaosan Road songkhla.

Gua je skima pakai helmet bagai di Songkhla. Depa rilek ja.


Cara jugak 'Nasi Goreng Seafood' Songkhla ni. Pekena dengan 'cha yen' mengah teruih. Yang gua perasan geng orang Malaysia pun ada yang makan di Khaosan Road ni. Dengar bunyi slang Kuala Lumpur ada, slang utara ada. Sah orang Malaysia.

Harga 'Nasi Goreng Seafood' beserta dengan 'cha yen' hanya 60 Baht. Selesai makan, gua pusing-pusing dulu berjalan kaki di Khaosan Road ni. Gua berhenti solat jama' di Masjid Heedaya, masjid komuniti muslim tempatan berhampiran tempat gua parking motor. Kecik je masjidnya tersorok di antara deretan kedai makan. Masa tu depa baru selesai solat Isyak.

Gua balik semula ke Royyim Hotel selepas itu. Tak tahu nak lepak mana dah. Suasana malam di Songkhla tak pernah sunyi dengan orang ramai. Jalanraya sentiasa sibuk dengan kenderaan siang dan malam. Anak-anak muda tempatan Songkhla melepak malam minggu tapi percayalah anda tak akan jumpa mat rempit di sini.

4 ulasan:

  1. Orang yang membaca pun penat... apa lagi yang mengalaminya sendiri...

    Best juga cara cuti macam ni... free and easy...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Konsep kembara 'Redah Sampai Ke Sudah'. Haha.

      Padam
  2. Haha.
    Mata masuk habuk, jumpe Saiya Sukhapon, jumpe geng-geng iron ladies .
    Terhibur baca.

    -hannan-
    -www.kembaraanakmuda.com-

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kahkahkha ! Terjumpa pulak Saiya Sukaporn di Songkhla !

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...