Iklan

20 April 2017

Backpacking Bajet Kuching | Part 3: Pasar Serikin & Kampung Boyan



Sambungan dari Backpacking Bajet Kuching : Part 2 | Taman Negara Bako & Pantai Damai Santubong



السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu
Peace be upon you


Hari ini hari ketiga dan merupakan hari terakhir abang dan Ijam berada di Kuching. Penerbangan balik ke Kuala Lumpur dijadualkan pada jam 7.00 malam. Jadi kami ada masa seharian lagi untuk menjelajah kawasan sekitar bandaraya Kuching ni.

Sebelum itu abang dah ada perancangan untuk bermotosikal ke sempadan Malaysia-Indonesia berhampiran dengan Kalimantan hari ini.

Buat apa di sana bang? Nak masuk Indonesia kah? Ada apa di sana?

Rancangan kami hari ni adalah untuk ke Pasar Serikin yang terletak di daerah Bau di dalam negeri Sarawak ini.

Pagi-pagi lagi rutin kami masih lagi sama seperti semalam. Sarapan pagi dahulu di Quiik Cat Guesthouse kemudian baru keluar mencari nafkah.

Motorsikal RG Sport yang kami sewa semalam kami parking betul-betul di depan Quiik Cat Guesthouse. Keluar-keluar ja nak naik motor, satu masalah pulak menimpa. Tayar belakang motor pulak pancit !

Semalam masa dari Kuching Waterfront nak balik ke Quiik Cat Guesthouse abang yang dok bonceng di belakang dah rasa semacam. Patut la bergoncang sikit motor. Masa tu rasa bang tayar motor dah kurang angin.

Keluar pagi-pagi ni tayar belakang motor dah terus pancit. Mujur kedai motor Ah Hui tempat abang sewa motor ni bertentangan dengan Quiik Cat Guesthouse. Mujur jugak dia dah bukak dalam pukul 9.00 pagi tu.

Abang sorong motor yang pancit tu ke kedai Ah Hui. Bagitahu dia tayar belakang dah pancit. Tayar motor ni dia bukan tubeless, dia pakai tiub. Jadi kena la bukak tayar dulu untuk tukar tiub.

Lebih kurang 10 minit macam tu, siaplah tayar motor kami tadi ni. Kena bayaq RM10 untuk tiub. Abang ingatkan percuma. Huhu.

Boleh ler kita siap-siap lepas tu nak pi Pasar Serikin. Kalau ikut peta dalam 60KM. Dekat sejam setengah jugak perjalanan kami ke sana.







Motor RG Sport kami pancit pulak dah. Kena sorong pi kedai Ah Hui depan tu.

Quiik Cat Guesthouse tempat abang menginap di bandar Kuching.

Tolak motor pi kedai motor Ah Hui balik untuk tukar tiub yang pancit. Nak jalan jauh sampai border Indonesia hari ni !

Geng-geng vespa banyak mai kedai Ah Hui ni cari barang spare-part.

Pemandangan sepanjang perjalanan dari bandar Kuching ke Pasar Serikin dengan motorsikal.

Selamat sampai di pekan Bau.

Papan tanda di pekan Bau. Serikin jauh lagi. 23 KM lagi.

Ada orang dok beratuq tunggu bas kat sebelah stesen minyak Shell ni.

Pemandangan di sekitar pekan Bau.

Jalan masuk ke pekan Bau.

Tugu yang terdapat di pekan Bau Sarawak. Meriah jugak pekan dia.
Nampak menarik. Tapi macam risau-risau nak beli.

Abang penjual sate di pekan Bau.

Sate di sini sebatang RM1.00. Tapi isi dia tebal-tebal.

Popular abang ni. Gambaq dia saja kat 2-3 keping.

Meronda-ronda sambil buat-buat sibuk di pekan Bau. Padahal tak beli apa pun.

Pasar basah pun ada.


Bas lama di pekan Bau yang masih masih beroperasi.


Sebelum sampai di pasar Serikin, anda akan melalui pekan Bau dahulu. Apa tak pernah dengar pasal pekan Bau? Alah dulu kalau hangpa amik PMR subjek Geografi kat sekolah mesti pernah dengaq perkataan 'Bau' ni. Kawasan perlombongan emas yang utama di Malaysia !

Pemandangan sepanjang perjalanan ke Pasar Serikin semuanya menarik dan elok-elok belaka. Maksud abang kawasan dia. Jalan pun ada sesetengah tempat yang elok dan ada yang tak. Kebas punggung jangan cerita la bila naik motor ni.

Sebenarnya ada beberapa laluan untuk ke Pasar Serikin. Peta Google Maps kat telefon abang bagi beberapa pilihan dan pastinya dia akan ikut jalan yang terpantas. Kami pun ikut je cadangan jalan yang dia bagi.

Kami singgah di pekan Bau dulu sat sebelum meneruskan perjalanan ke Pasar Serikin. Bukan untuk membau, tapi saja nak tengok kehidupan masyarakat di sini. Kebetulan ada macam pasar hari. Layan la sekejap pusing-pusing buat sibuk tengok apa benda yang dijual di situ.

Bas-bas lama masih kelihatan di sini. Penduduk di sini bukan semuanya orang berada. Banyak yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas untuk ke bandar yang lebih besar seperti ke bandar Kuching.

Dari pekan Bau nak ke Pasar Serikin ada lebih kurang 15 KM lagi. Sedar-tak sedar hangpa semakin menuju ke peratasan Malaysia-Indonesia di Kalimatan. Kalau kita di Semenanjung boleh lintas sempadan masuk Siam, kat sini pulak kita boleh lintas sempadan masuk belah Indonesia.

Elok nak sampai, hujan membasahi bumi Serikin. Lencun jugaklah abang dengan si Ijam. Nak buat lagu mana dah nak hujan. Kami layan ja sampai la ke Pasar Serikin. Parking motor cepat-cepat depan kedai bakso sebelum berteduh bawah bumbung kedai kopi dekat situ.

Pemandangan perjalanan dari pekan Bau ke Kampung Serikin.

Pakcik orang Indonesia yang jual bakso di Pasar Serikin.

Berkesempatan menyembang dengan pakcik yang buat bakso sementara menunggu hujan reda.

Jangan terkejut kalau terlihat motorsikal dengan plat nombor Indonesia dekat Pasar Serikin ni.

Jalan masih basah. Baru lepas hujan.

Kerepek. Bermacam jenis kerepek ada dijual di Pasar Serikin. Menggiurkan bukan?

Pasar Serikin ni memanjang hingga ke hujung.


Agak hujan dah reda sikit baru abang dan Ijam keluaq dari tempat berteduh menuju ke kawasan Pasar Serikin. Depa kata kalau sebetulnya kawasan Pasar Serikin ni kalau waktu tengahari memang panas ya amat.

Kenapa begitu?

Pasar Serikin ni hampir-hampir di garisan khatulistiwa. Kalau nak tahu di bandar Pontianak yang tak jauh dari Pasar Serikin ni di sebelah negara Indonesia ada siap ada tugu Khatulistiwa.

Apa benda pulak dah garisan Khatulistiwa ni?

Garisan khatulistiwa merupakan pembahagi di antara hemisfera utara dan juga hemisfera selatan. Di garisan khatulistiwa, matahari berada tepat di atas kepala pada waktu tengah hari. Maka durasi masa siang hari sama sepanjang tahun kira-kira 12 jam.

Info tu semua abang cedok dari Wikipedia je. Abang tahu hangpa dah belajaq dah benda ni masa belajaq Geografi tingkatan 3 dulu.

Sebab itulah Pasar Serikin ni panas lit lit. Boleh berlecak ketiak dibuatnya. Dinasihatkan pada mereka yang nak pi kalau boleh pakai topi atau penutup kepala jika nak berjalan-jalan di sini pada waktu tengahari. Panas rembang macam ni takut terkena strok haba.

Banyak hasil jualan di Pasar Serikin ni datangnya dari belah Indonesia. Keadaan di sini macam hangpa pi shopping belah Wang Kelian camtu. Nak cari apa semua ada dari periuk belanga sampai la ke kain baju. Tapi abang tengok banyak yang cari tikar dan kain kat sini. Udang galah pun ada dijual di sini.

Pasar Serikin ni dibuka pada hujung minggu sahaja pada hari Sabtu & Ahad. Kalu hangpa pi hari lain memang tak ada rezeki la. Peniaga boleh dikatakan semuanya dari Indonesia. Abang terjumpa ayaq Mizone yang abang selalu dok minum masa Trans-Java dulu kat sini ! Lama tak masuk Indonesia, boleh la lepas rindu kat sini. Huhu.


Ukiran kraftangan kayu.

Topi keledar serta baju-bajuan. Pikir nak beli banyak pun tak boleh, sebab naik flight balik KL. Lain la kalau bawak kereta.

Kopiah & songkok.

Buah naga sekilo RM 6.00.

Udang kering barangkali?

Sotong kering?

Mesin kelapa. Orang Indonesia panggil 'Enjin Kelapa'. Tapi promosi tu nampak konfiden sangat tatabahasa dia.

Buah salak Indonesia tak sah kalau tak ada. Buat jeruk salak pun sedap ni.

Awek-awek segak dari Semenanjung dapat dikenalpasti dengan mudah di Pasar Serikin ni.

Hujan membuatkan suasana Pasar Serikin kurang rancak.

Ubi keledek & halia.

Petai, labu, cempedak dan satu buah lagi abang tak dapat kenal pasti.

Peniga-peniaga kecil meniagakan hasil barangan masing-masing di Pasar Serikin.

Barangan basah pun ada dijual di Pasar Serikin ni. Tapi dia dok di ceruk sikit.

Ubi kayu !

Kebetulan selepas hujan, suasana pasar agak belengaih sikit.

Banyak betui orang Serikin ni jual petai.

Seronok meronda-ronda tengok pasar basah Serikin ni. Tapi nak beli pun tak padan, nak bawak naik flight sat lagi nih.

Peniaga yang majoritinya dari Indonesia. Jadi tak hairanlah kalau banyak motor Indonesia di Pasar Serikin ni.

Jus buah-buahan yang tak berapa nak meriah. Jus alpukat tu nama Melayu dia jus buah avocado.

Kedai yang bertemakan pakaian jeans.

Hujan gerimis masih ada lagi sikit-sikit. Jadi terpaksa la guna payung.

Udang pun ada dijual di Pasar Serikin ni. Depa kata murah-murah.

Bot mainan yang diperbuat daripada tin. Guna lilin ja untuk bergerak.

Kedai yang menjual ayaq minuman dari Indonesia. Kalau hangpa pernah pi Indonesia hangpa tau la ayaq-ayaq apa yang ada dijual ni.

Abang sempat menyambar ayaq Mizone dua botol. Sebotol RM 2.50. Ayaq favourite abang ni masa pi Indonesia. Tak sangka boleh jumpa kat Pasar Serikin ni.

Kerepek lagi. Bungkusan dia nampak elok. Abang tak tanya pulak berapa ringgit sebungkus.
Gelang-gelang kayu.



Lepak pekena bakso dulu dengan si Ijam sebelum bergerak balik ke bandar Kuching.

Kombinasi di antara bakso dan ayaq Mizone. Citarasa asli Indonesia. Padu beb !

Oleh kerana di kawasan lintasan sempadan, maka terdapat pejabat imigresen di Serikin ni.

Waktu balik dari Serikin ke Kuching, si Ijam bawak motor. Maka dapat la abang ambik gambaq.


Sebelum balik, kami singgah semula kedai bakso tempat kami parking motor tadi. Dah penat jalan ronda Pasar Serikin tadi, lepak sat pekena kopi 'o dan juga bakso. Teringin nak merasa bakso asli Indonesia kat sini.

Dalam pukul 1.00 lebih jugak baru kami bergerak balik dari Pasar Serikin ke bandar Kuching. Pukul 7.00 malam sat lagi nak kejar flight balik pulak dari Kuching ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan abang banyak-banyak berdoa tak ada apa yang berlaku. Kena tayar motor pancit lagi ke lepas ni, tak ke naya. Tak balik KL abang hari ni.

Lebih kurang pukul 3.00 petang kami sampai semula di Quiik Cat Guesthouse di bandar Kuching. Ambik balik beg yang kami tinggal pagi tadi terus pulak bergegas ke Kampung Boyan. Motor yang kami sewa tadi kami tak pulangkan lagi. Janji dengan tuan kedai pukul 5.00 baru nak pulang. Rugi woo pulangkan motor sewa awal-awal ni, minyak yang kami isi dok ada penuh lagi.

Sebelum balik KL ni masa masih banyak ni. Ada lebih kurang 4 jam lagi. Takkan nak pi tercongok kat airport dah awal-awal ni. Mesti nak cari jugak buah tangan dari Kuching ni. Tak sah la kalau balik dari Kuching kalau tak bawak balik kek lapis Sarawak & ikan terubok.

Kami naik motor terus ke jeti River Front, tempat nak naik bot penambang ke Kampung Boyan. Bayaq 50 sen kat pakcik bot, dah dia akan bawak lintas sungai ke Kampung Boyan di seberang sana. Bukan pelancong ja yang naik bot ni, orang tempatan pun guna bot penambang ni untuk berulang-alik ke bandar Kuching.

Sampai di sebelah Kampung Boyan, ada beberapa kedai kek lapis yang boleh hangpa masuk tengok. Abang dah pernah terjah dah kedai-kedai kek lapis ni masa hari pertama abang sampai dulu. Mula-mula tu hangpa akan jumpa kedai Kek Lapis Mira yang bertemakan warna merah tu.

Kami tak masuk pun kedai Kek Lapis Mira sebab tengo ramai jugak orang dalam tu. Abang dengan Ijam jalan lagi depan nak pi cari kedai kek lapis Dayang Salhah. Kena masuk celah-celah lorong sikit baru jumpa kedai Kek Lapis Dayang Salhah ni.

Masuk-masuk tu abang tak tunggu lama. Abang borong semua kek lapis yang ada. Nampak? Marah sungguh abang nampak kek lapis.

Ada bermacam jenis perisa kek lapis yang ditawarkan di kedai Kek Lapis Dayang Salhah ni bermula dari RM10 hingga ke berpuluh-puluh ringgit. Naik pening abang nak pilih perisa mana satu. Kalau tak tahu mana yang sedap boleh cuba rasa 'tester' yang disediakan.

Abang ambik serba-serbi satu perisa cukupkan 10 potong. Abang ambik yang paling murah ja yang jenis RM10. Bila kita beli 10 potong kek lapis ni, secara automatiknya kita layak dapat sepotong lagi percuma ! Kiranya beli 10 percuma 1 la ni. Jumlah harga semuanya RM100 untuk 11 potong kek lapis. Huhu.

Hangpa toksah risau nak bawak macam mana kalau beli kek lapis banyak-banyak ni. Akak pekerja kedai yang segak-segak akan tolong susunkan dan packing-kan kek lapis tersebut dalam kotak siap-siap. Cun-cun ja dia balut plastik semua. Tinggal nak bawak ja.

Oleh kerana sibuk membeli kek lapis, maka satu gambaq pun tak ada. Tapi gambaq dia lebih kurang yang macam abang tunjuk masa hari pertama abang sampai Kuching ni.



Bot penambang yang sentiasa berulang-alik dari jeti Kampung Boyan ke jeti Kuching Waterfront. Tak payah tunggu lama. Sat ja dia mai.

Tambang bot penambang Kuching ni bergantung kepada penumpang yang naik. Kalau penuh bot, sorang dia kira 50 sen je. Kalau tak ramai, sorang RM1 sehala.

Bot penambang moden di Kuching sekarang ni dah tak guna dayung dah. Ada enjin tarik di belakang bot.

Orang Semenanjung je kalau jumpa dalm bot penambang Kuching ni. dengaq dari gaya percakapan dah tahu.

Ijam sempat singgah beli ikan terubok masin di Kampung Boyan buat buah tangan bawak balik Kuala Lumpur.

Siap-siap beli kek lapis & ikan terubuk semua, kami menjinjing barang-barang tersebut ke Medan Selera Kampung Boyan yang terletak di tepi sungai. Jeti nak naik bot balik ke Kuching Waterfront pun ada dekat-dekat situ jugak. Saja la abang dan Ijam nak lepak minum dulu sebelum balik.

Abang tengok ramai-ramai orang ni buat apa kat medan selera ni. Rupanya ada pertandingan karaoke lagu-lagu klasik lama. Geng-geng veteran la ahlinya. Saja dok melayan sat tengok depa tarik satu dua lagu sambil pekena ayaq buah & nasi ayam.

Kami naik bot balik semula ke Kuching Waterfront untuk ambik motor yang kami parking tadi dekat-dekat situ. Dah pukul 5.00 petang dah waktu ni. Flight pulak pukul 7.00 malam. Abang dan Ijam bergegas semula ke kedai motor Ah Hui nak pulangkan motor yang abang sewa. Janji dengan tuan kedai pukul 5.00 nak pulangkan.

Kebetulan hari tu pulak jatuh pada hari perayaan Chap Goh Mei, maka kedai-kedai di Kuching ni banyak yang tutup awal petang. Majoriti peniaga di bandar Kuching ni adalah orang cina. Depa tutup kedai awal nak sambut perayaan ni pada waktu malam nanti.

Elok abang sampai kedai motor Ah Hui, dia pun nak tutup dah. Dia lupa nak bagitau dia tutup kedai awal sikit hari tu. Dapat la jugak kami pulangkan motor Suzuki RG Sport yang kuat menketedarah minyak tu kat dia. Dapat balik deposit RM50 yang abang bagi sebelum tu.

Sekarang nak kena pikirkan cara untuk ke Airport Kuching pulak dari bandar ni. Dalam fikiran abang yang abang nampak cara mudah, senang dan cepat naik Uber ja. Cara yang sama sewaktu kami sampai Kuching. Kalau boleh nak berjimat lagi, tapi nak cari bas memang tak nampak langsung.

Abang bukak aplikasi Uber kat telefon abang. Periksa tengok harga Uber dari kedai motor Ah Hui ke Airport Kuching. Tertulis kat situ RM16 !

Permintaan tinggi waktu tu. Mungkin orang ramai sibuk balik rumah nak sambut perayaan Chap Goh Mei. Tapi takpa, kami rileks sekejap. Masih awal lagi. Baru pukul 5.30 petang.

Kami menyembang sat sampai pukul 6.00 petang. Bila periksa balik semula aplikasi Uber, harga dah jatuh jadi RM10 !

Jadi kalau hangpa tengok permintaan tinggi dalam aplikasi Uber tu, cuba tunggu sekejap kalau nak lebih murah.

Balik dari beli kek lapis, lepak makan sat. Ada pertandingan karaoke lagu klasik di Medan Selera Kampung Boyan.

Tu dia peminat punya ramai. Geng-geng veteran semua ni. Budaya depa kot kat Kuching ni.

Medan Selera Kampung Boyan ni dah jadi pusat kemasyarakatan penduduk setempat. Ada ja aktiviti petang-petang.

Sebelum melangkah balik ke Kuala Lumpur. Hidangan terakhir abang di bumi Kuching. Nasi ayam & jus tembikai susu buat lapik perut sementara nak tunggu flight sat lagi.

Lepak makan sambil tengok geng makcik-makcik bergolek menari poco-poco. Tak tahu kenapa tiba-tiba nasi tak habis hari ni.

Naik Uber dari bandar Kuching ke airport. Tambang baru RM 10. Kongsi dua orang baru jatuh RM 5 sorang.

Kena pulangkan semula slip imigresen Sarawak yang kita dapat masa waktu sampai hari tu.

Penerbangan balik dari Kuching ke Kuala Lumpur tergendala sejam. Lepak lagi sementara tunggu flight.



Turun flight, cari tiket bas pulak nak balik Kuala Lumpur. Backpacking Bajet Kuching tamat !

Masa perjalanan dari pusat bandar Kuching ke airport ambik masa dalam 10-15 minit macam tu je kalau tak sangkut dalam jem. Abang tanya drebar Uber, jarang kesesakan trafik ni nak berlaku kalau kat Kuching ni melainkan kalau waktu puncak macam waktu petang orang balik kerja. Hujung minggu jalan 'clear' je walaupun kereta nampak banyak.

Pukul 6.30 petang sampai, tengok jadual flight kena delay sejam lagi. Melepak lagi kami kat situ sambil dok perhati orang. Dok bincang balik apa kami dah buat selama 3 hari 2 malam ni kat Kuching. Menjadi kekesalan terbesar adalah sewaktu ke Taman Negara Bako, tersalah hiking sampai tak jumpa Teluk Pandan Kecil !

Rancangan minit akhit kami untuk menerjah Kuching akhirnya tercapai. Dalam jangka masa waktu yang singkat ni, banyak tempat jugak kami dah jelajah di Kuching ni sampai ke pasar Serikin di sempadan Indonesia sana.

Nanti lepas ni la abang buat perincian bajet untuk hangpa tengok berapa jumlah kerosakan yang diperlukan untuk ke Kuching ni. Kalau ikut cara kami ni tak habis RM300 pun termasuk tiket flight ke Kuching. Yang makan modal paling hangpa tau apa dia? Kek lapis Sarawak!

Backpacking Bajet Kuching tamat !


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...