Iklan

26 April 2016

Menjejak Monkey Beach-Rumah Api Muka Head

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu
Peace be upon you


Selama beberapa tahun duduk Penang masa belajaq di UiTM Permatang Pauh dulu hanya beberapa kali ja abang pernah ke Taman Negara Pulau Pinang ni, tapi tu pun sekadar melepak di kawasan perkarangan jeti nelayan Teluk Bahang sahaja. 

Masa zaman jahiliyah dulu tu tak jumpa geng hiking ni lagi. Kebanyakkan masa kalau mai pulau dok ronda lepak di Padang Kota atau Batu Ferringhi ja.

Oleh kerana dah kembali menetap di Penang, maka semakin rancaklah aktiviti hujung minggu abang. Untuk catatan kali ni abang nak kongsi cerita trip hujung minggu abang ke Teluk Duyung atau dengan nama popularnya, Monkey Beach.

Kami bergerak menuju Taman Negara Pulau Pinang seawal jam 8.30 pagi dari USM. Sebetulnya nak gerak pukul 8.00 tapi dah nama janji Melayu macam tulah.

Sebelum terus ke Teluk Bahang, kami singgah dulu di salah satu tempat sarapan menarik di Pulau Pinang ni iaitu Medan Selera Taman Tun Sardon. Memang ramai orang sungguh. Tak sempat abang nak buat review pasal tempat ni. Nantilah abang pi lagi sekali untuk ulasan lanjut.

Abang dan member abang Pak Andak hanya membonceng skuter untuk ke sini. Kami parking skuter di celahan bangunan perikanan yang ada di jeti Teluk Bahang. Mai lambat parking dah penuh !

Untuk pengetahuan, Taman Negara Pulau Pinang merupakan taman negara terkecil di Malaysia bahkan di dunia. Berbeza dengan taman-taman negara lain yang ada di Malaysia, Taman Negara Pulau Pinang terletak di tepi laut !

Antara tarikan menarik di Taman Negara Pulau Pinang adalah Pantai Kerachut, Tasik Meromiktik, Teluk Duyung (Monkey Beach) dan Rumah Api Muka Head.

Terdapat dua laluan hiking utama di Taman Negara Pulau Pinang ini.
  1. Laluan Teluk Duyung (Monkey Beach) - Rumah Api Muka Head
  2. Laluan Tasik Meromiktik - Pantai Kerachut - Teluk Kampi
Abang rasa tak sempat kalau hangpa nak 'cover' kedua-dua laluan sekaligus dalam masa sehari. Seeloknya hari ni hangpa layan satu trek, esoknya trek lagi satu. Kalau jenis yang laju takpa, macam kami yang lengai ni petang baru boleh sampai ke destinasi.

Abang dan member abang si Pak Andak pilih laluan untuk ke Teluk Duyung (Monkey Beach) untuk menuju ke Rumah Api Muka Head.

Apa yang menarik di sana? Nanti abang cerita.

Sebelum memulakan aktiviti trekking di Taman Negara Pulau Penang, kita perlu mendaftarkan diri dulu di kaunter pendaftaran yang disediakan. Kami sampai pun dah dekat pukul 10.30 pagi sedang matahari mula memancarkan bahangnya.

Panas baq hang!

Malas membaca dan jenis yang rajin nak minta itinerary tanpa buat kajian dulu boleh tengok video pendek ni.



Kaunter pendaftaran untuk masuk ke Taman Negara Pulau Pinang. Tiada bayaran dikenakan untuk pengunjung.

Pak Andak sedang bersiap-siap selesai pendaftaran di kaunter.

Panduan trek yang terdapat di dalam Taman Negara Pulau Pinang.

Permulaan trek di Taman Negara Pulau Pinang. Nak pi Pantai Kerachut atau Monkey Beach mula-mula akan lalu laluan yang sama, dan akan berpecah di simpang yang ada di depan.

Uncle ni dah nak balik. Dia pi lepak dekat depan tu je kot.

Haih! Dia patah balik. Siap potong kami!

Trek mendatar dan berturap di awal perjalanan ke Monkey Beach.

Kelihatan pasir pantai yang memutih di sebelah kanan jalan.

Ada 'roadblock' tengah jalan. Budak-budak sekolah tengah dengar penerangan yang diberikan jurupandu.

Sambil-sambil lalu sambil-sambil dengaq apa yang disampaikan jurupandu budak-budak sekolah. Banyak info yang abang dapat.

Papan tanda besar Taman Negara Pulau Pinang.

Sampai Pasir Pandak, keluar dari trek pi pantai sat.

Pasir laut yang memutih. Kelihatan jeti nelayan Teluk Bahang di sebeh sana.

Pak Andak tak melepaskan peluang merakamkan gambar menggunakan GoPro beliau.

Kawasan pantai Pasir Pandak yang terjaga. Kelihatan ada pekerja yang membersihkan kawasan pantai.

Hentian pertama dari pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang, jambatan gantung Pasir Pandak.

Jambatan gantung di Pasir Pandak ni pendek ja. Titian kanopi pulak lain. Jangan salah faham.

Persimpangan Pasir Pandak. Pilih nak pi mana. Kiri atau kanan.

Teduh hutan yang nyaman memayungi kami bila mana mula berjalan santai dari pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang. Masa kami nak mula jalan, berselisih dengan pakcik-pakcik yang dah nak balik. Rasanya depa trekking dekat-dekat ja, tak sampai ke Monkey Beach atau Teluk Kampi.

Ada rombongan sekolah yang terdiri dari anak-anak kecil diiringi guru dan penunjuk arah di tengah-tengah jalan. Abang pun usya la sat sambil-sambil lintas tu. Sambil-sambil tu abang dengar la apa yang diceritakan jurupandu pada budak-budak tu. Banyak jugak info yang abang dapat dari jurupandu tersebut. Hangpa tau tak orang asli kat Malaysia ni ada berapa jenis suku? Mesti tak tau kan?

Setelah 15 minit berjalan lenggang pengantin dari pintu masuk, hangpa akan jumpa titi gantung. Pendek ja pun titi dia. Dekat situlah dipanggil Pasir Pandak. Selepas titi gantung, hangpa akan jumpa pulak suatu persimpangan. Dah nama pun simpang, mesti ada kiri dan kanan. Kalau nama roundabout dah tentu kena pusing.

Di persimpangan janji ni pilihlah jalan yang lurus. Kalau macam abang yang nak trekking ke Monkey Beach dan Rumah Api Muka Head ni ambiklah jalan belah kiri. Kalau nak ke Pantai Kerachut pulak ambik belah kanan.

Jangan salah faham. Ni Pasir Pandak di Taman Negara Pulau Pinang. Ada lagi satu tempat nama di Pasir Pandak jugak, tapi yang tu di Kuching, Sarawak.


Setiap destinasi ditunjukkan arah dan jarak perjalanan. Sebagai contoh, Sungai Tukun sejauh 450 meter lagi.

Lokasi semasa di mana anda berada. Jalan depan sikit jumpa Sungai Tukun.

Jalan hutan menuju ke Monkey Beach.

Jangan risau, jalan dia elok. Bagi abang trek dia mudah.

Selamat tiba di Hutan Lipur Sungai Tukun selepas 15 minit perjalanan dari Pasir Pandak..

Lepak meronda dulu kawasan sekitar Sungai Tukun.

Pemandangan pantai dari Sungai Tukun.


Budak-budak sekolah yang kami tinggalkan tadi dah sampai ke Sungai Tukun.

Depa suka melepak tengah jalan lagi sekali. Abang tumpang lalu dik !

Tak ada ayaq pun.

Sungai halimunan di Sungai Tukun.

Hutan paya bakau di Sungai Tukun dengan ayaq jernih.

"Adik-adik tahu tak macam mana boleh ada hutan paya bakau? Bila ada percampuran air laut dan air tawar"
Kata abang jurupandu dekat budak-budak sekolah.

Budak-budak sekolah kusyuk mendengar penerangan jurupandu sambil memerhati gelagat abang dok ambik gambaq di Sungai Tukun.

Paya bakau merupakan hutan semulajadi di kawasan pasang surut air laut.

Hutan paya bakau menghalang hakisan pantai dan menapis bahan cemar dari laut.

Salah satu ekosistem penting di kawasan pinggir laut.

Pak Andak sedang bermain di tepian air hutan paya bakau Sungai Tukun.

Tiadan penampakan ikan belacak mahupun ketam di hutan payabakau Sungai Tukun. Yang kelihatan cuma budak-budak sekolah dikejauhan.

Munkin nampak kotor dan berserabut, tapi hutan paya bakau boleh menampan tsunami dan angin kencang.

Sungai Tukun terus ke laut.

Geram tengok ayaq jernih macam ni. Tengah-tengah panas ni rasa nak terjun pun ada.

Di Sungai Tukun, kita akan jumpa satu simpang lagi. Di kena pilih betul-betul nak pi mana. Satu menghala ke Monkey Beach dan satu lagi ke Pantai Kerachut.

Jambatan Sungai Tukun. Ada 3-4 orang budak politeknik tengah buat sesi fotografi.

Titian kanopi Taman Negara Pulau Pinang waktu kami pi hari tu ditutup untuk orang awam.

Mengkuang laut di tepian pantai.

Laluan trek hiking ke Monkey Beach. Laut di sebelah kanan.

Trek yang agak mudah sepanjang perjalanan ke Monkey Beach.

Monkey Beach. 2 KM lagi !

Sekali-sekala berselisih jugak dengan pengunjung lain yang balik dari Monkey Beach.

Suasana hutan yang redup memayungi perjalanan kami ke Monkey Beach.

Pokok mengkuang gergasi yang ditemui. Ke saiz dia biasa-biasa je?

Boleh bawa anak-anak trekking sekali di Taman Negara Pulau Pinang. Trek dia mudah ja.

Belum sampai Monkey Beach lagi. Nampak tanjung tu? Monkey Beach di sebelah sana.

Air laut di sini nampak cun sikit berbanding di Batu Ferringhi.

Pak Andak tengah setting GoPro.

Antara beberapa pantai yang terdapat di Taman Negara Pulau Pinang, pantai yang abang duduk ni dinamakan Pantai Teluk Aling.

Lepak jap ambik angin di Pantai Teluk Aling sebelum meneruskan perjalanan ke Monkey Beach.

Di Pantai Teluk Aling, ada jeti untuk ke Pusat Kajian Samudera & Pantai USM.

Formasi batuan berwarna merah di Pantai Teluk Aling.

Ada lapan pantai di Taman Negara Pulau Pinang. Salah satunya adalah Pantai Teluk Aling.

Pantai Teluk Aling yang bersih dan cantik. Banyak jugak pengunjung yang datang menggunakan bot dan turun di jeti yang disediakan.

Bila menjejak masuk kawasan pantai Taman Negara Pulau Pinang, seolah-olah hangpa berada di negara lain.

Jeti pendaratan bot di Pantai Teluk Aling.

Ronda tengok kawasan penyelidikan milik USM di pantai Teluk Aling.

Kawasan penyelidikan USM. Dilarang menangkap ikan, mengutip hidupan laut, berkhemah dan membuang sampah.

Pusat Kajian Samudera & Pantai USM (CEMACS) di Pantai Teluk Aling.

Bukan di Krabi, tapi di Pantai Teluk Aling dalam kawasan Taman Negara Pulau Pinang.

Buaian pun ada. Siapa sangka tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia. Eh.

Pantai Teluk Aling dengan pasir pantai yang memutih.

Pak Andak masih belum 'move on' dengan buaian dia.


Pusat Kajian Samudera dan Pantai milik USM di Pantai Teluk Aling. Monkey Beach jauh lagi.

Lepak bawah pokok dulu di Pantai Teluk Aling sebelum meneruskan perjalanan ke Monkey Beach.

Bot-bot tinggal.

Hammock ke jala? Dapat bantai tiduq pun layan jugak bawah pokok waktu tengahari panas-panas ni.

Alatan menangkap ikan yang dah lama ditinggalkan.

Jaring bubu ke apa nama?

Pintu masuk Pusat Kajian Samudera dan Pantai USM (CEMACS) di Panatai Teluk Aling.

Eh ada orang jual air jugak di jeti Pantai Teluk Aling. Depa bawa naik bot.

Teruskan perjalanan untuk ke Monkey Beach a.k.a Teluk Duyung.

Beransur-ansur meninggalkan jeti Pantai Teluk Aling.

Tak nampak orang pun dalam CEMACS ni.

Apa pun yang berlaku dalam hidup, perjalanan mesti diteruskan ke Monkey Beach.

Panduan ke Monkey Beach memang banyak. Anda tak akan tersesat.

Jeti Pantai Teluk Aling yang telah jauh ditinggalkan.

Jalan punya jalan, maka jumpalah Monkey Beach ni !

Batu-batu besar tanda pengenalan 'selamat datang' ke Monkey Beach.

Ni dia pemandangan menarik di Teluk Duyung. Tang mana Teluk Duyung? Teluk Duyung tu Monkey Beach lah !

Habislah kalau geng-geng hipster nampak pokok kelapa tumbang dengan pemandangan macam ni di Monkey Beach.

Ok ok. Dah boleh 'move on' dengan pokok kelapa tumbang.

Tahukah anda? Monkey Beach merupakan tanah milik persendirian dan bukannya sebahagian daripada Taman Negara Pulau Pinang.

Tanah-tanah di Teluk Duyung atau juga dikenali dengan Monkey Beach sebahagiannya adalah milik Boon Siew, saudagar kaya yang menjadi pengedar tunggal kapcai Honda di Malaysia.

Melepak dulu di bawah sebuah podok makan di Monkey beach.

Monkey Beach haruslah terkenal dengan monyet-monyetnya yang terdapat di sekitar pantai. 

Bagi pak-pak Arab dari Timur Tengah, dapat tengok monyet pun dah kira cukup seronok dan bertuah. Bukan senang woi nak jumpa kat negara padang pasir !

Buah mengkuang laut. Ada sesetengah panggil pandan laut. Lawa buah dia !

Abang tak tahu pun buah mengkuang laut ni boleh makan atau tidak. Tikar mengkuang abang tahu la.

Panas-panas macam ni semua dahagakan air. Pekena ayaq nyoq sambil menghadap laut di Monkey Beach baru chara !

Gazebo tempat kami melepak minum air kelapa di Monkey Beach. Romantik bukan?

Kedai minum di Monkey Beach yang dijaga oleh pekerja Myammar. Yang sebelah tu Pak Andak, bukan Myammar.

Sambil minum air kelapa sambil menyembang dengan pekerja Myammar. Rancak punya sembang !

Air kelapa penghilang dahaga. Pasir-pasir halus bermain di kaki.

Redup-redup pokok mengkuang Monkey Beach.

Abang Myammar yang rancak bersembang dengan kami. Dah lama duduk Malaysia.

Kata abang Myammar, di Monkey Beach hangpa duduk la di hammock ke kerusi ke apa di sini tak payah kena bayaq.

Fe-feeling Bora-Bora.
Pak Andak dan abang dah siap minum ayaq nyoq. Nak teruskan perjalanan ke Rumah Api Muka Head.

Geng-geng yang tengah tunggu nak naik bot balik.

Dibelakangnya ada kandang kuda.

Sesi melawat kandang kuda Monkey Beach la pulak.

Ada la 2-3 ekoq kuda di belakang ni. Dari kuda padi sampai la ke kuda besar. Yang musykil awat depa bubuh unggun api depan tu?

Bukan di Krabi. Tapi di Monkey beach.

Dari Monkey Beach menghala pula ke Rumah Api Muka Head.



Geng-geng hijabista turut tidak melepaskan peluang menikmati keindahan Monkey Beach.

Nak sewa main jetski pun ada.

Laut yang membiru di Monkey Beach.

Jumpa hammock tempat lain pulak.

Pondok-pondok kecil di Monkey Beach yang menjadi tempat sewaan jetski.

Bagi abang, pantai di Monkey Beach ni cantik sikit dari Batu Ferringhi.

Kakak-kakak ni tengah tunggu bot kot. Kita boleh booking siap-siap bot di pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang sebelum trekking ke Monkey Beach.

Pak Andak dah sedap duduk di hammock. Dengan angin sepoi-sepoi macam ni syok nak tiduq !

Abang ni sibuk menyapu daun yang gugur di sekeliling kedai dia. Parut la sentiasa bersih.

Sukan air Monkey Beach.

Nak naik ATV pun ada di Monkey Beach. Tapi masa abang pi tak nampak sangat orang main ATV ni.

Setiap pengendali bot ada pakej da stesen mereka tersendiri di Monkey Beach.

Eh boleh bergayut !

Warung makan kecil-kecilan di Monkey Beach. Boleh lepak minum dulu menghadap pantai.

Abang-abang saleh yang baru sampai. Tengah cari port mana nak lepak kat Monkey Beach.

Masalah dia kenapa tak ramai yang nak bermandi-manda di pantai Monkey Beach ini?

Western food pun ada. Harga macam biasalah mahal. Tapi entah bila dia buka. Takkan waktu malam?

Quadbikes atau ATV adalah benda yang sama.

Aksi penyelamat pantai ala-ala Baywatch.

Pengunjung menaiki bot di Monkey Beach untuk balik semula ke Teluk Bahang.

Sesi perbincangan antara Pak Arab dan tokey bot menampakkan ketegangan.

Terpaksa jugak membasahkan kasut.

Tu dia mak-mak Arab dan pak Arab tidoq dalm hammock.

Pak Andak tidak melepaskan peluang yang ada untuk memanjat tali di Monkey Beach.

Bergayutlah anda selama mungkin takda sapa nak halang.

Itu dia Pak Andak !

Berkelah seisi keluarga di Monkey Beach.

Tanah persendirian. Dilarang masuk.

Sebuah rumah tinggal yang terdapat di Monkey Beach.

Suasana indah dan menarik di Monkey Beach.

Pokok-pokok tua yang merendang. Lautan yang membiru.

Nak lepak tiduq bawah pokok dulu pun dah lambat sangat dah. 

Perjalanan abang tidak terhenti di Monkey Beach. Terus berjalan hingga jumpa jalan ke Rumah Api Muka Head.

Kami jumpa 'port' yang didiami penghulu Monkey Beach.

Pondok usang tempat berteduh Tokwan Chris, penghulu Monkey Beach.

Inilah dia Tokwan Chris yang kami gelar penghulu Monkey Beach.

Pak Andak khusyuk mendengar tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Tokwan Chris di pesisiran  pantai Monkey Beach.

Ini dia tempat berehat si Tokwan Chris. Semua barang ni dia jumpa di Monkey Beach.

Tempat berteduh Tokwan Chris dari panas dan hujan. Ada khemah yang dah usang dalam pondok ni.

Tokwan Chris tidak mempercayai hutan. Beliau masih tercari-cari arah tujuan hidup.

Permulaan laluan Rumah Api Muka Head. Dibuka untuk lawatan bermula jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

Dari bawah nak naik ke Rumah Api Muka Head dekat sekilo setengah kilometer jugak.

Laluan bertangga menuju Rumah Api Muka Head.

Berhenti lepak dulu. Jalan sikit rehat, jalan sikit rehat. Pancit woi !

Sampai sudah ke Rumah Api Muka Head dengan ketinggian 226 meter dari paras laut.

Perkarangan Rumah Api Muka Head. Kami sampai dah dekat pukul 3.00 petang.

Keadaan Rumah Api Muka Head agak sunyi sepi.

Info berkaitan rumah api yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

Kena buka kasut dulu sebelum boleh naik ke atas bahagian atas Rumah Api Muka Head.

Tangga sempit dalam Rumah Api Muka Head. 

Hanya boleh selisih sorang-sorang dalam satu-satu masa.

Tangga untuk naik ke tingkat atas Rumah Api Muka Head.

Sampai jugak akhirnya. Ruang yang sempit dalam Rumah Api Muka Head membataskan pergerakan.

Pemandangan dari atas Rumah Api Muka Head.

Orang putih yang banyak dekat atas Rumah Api Muka Head ni. Orang tempatan cuma kami ja.

Ok. Depa duduk pulak.

Tahukah kalian di Pulau Pinang hanya terdapat 3 buah rumah api sahaja? Salah satunya adalah Rumah Api Muka Head yang terdapat di Monkey Beach ni. Dari pantai, hangpa kena panjat bukit pulak untuk sampai ke atas ni. Rumah api mesti la dok atas bukit.

Jarak dari pantai Monkey Beach ke Rumah Api Muka Head tak jauh mana, cuma dalam 1.2 KM sahaja. Kalau jalan rata hangpa rasa jauh, ni bayangkan kena panjat bukit. Rilek-rilek abang dan Pak Andak sejam jugak baru sampai.

Kalau nak naik rumah api ni pastikan hangpa sampai sebelum pukul 3.00 petang. Mai lewat petang memang tutup dah la. Waktu melawat Rumah Api Muka Head adalah bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

Ada penjaga yang setiap masa berada di rumah  api. Maksud abang ada petugas yang akan tinggal di sini setiap malam. Rumah Api Muka Head yang dibina pada tahun 1883 ni agak sunyi dan terpencil. Kalau waktu siang macam abang pi hari tu yang ada hanya geng mat saleh 2-3 orang. Tak nampak pulak penjaga dia.

Pak Andak pun duduk jugak. Abang pun nak duduk jugaklah camni.

Rumah Api Muka Head. Malam-malam lampu di dalam rumah api ni akan dipasang untuk memberi panduan kepada kapal-kapal.

Kelihatan laut yang membiru. Abang dengan Pak Andak dok curi dengar apa yang disembang oleh geng-geng mat saleh ni.

Sebelum naik Rumah Api Muka Head ni kami di paras laut bawah tu.

Di Pulau Pinang hanya terdapat 3 buah rumah api. Salah satunya adalah Rumah Api Muka Head ini.

Pam air manual pun ada lagi. Tak tau boleh guna lagi ka tak.

Selamat turun ke Monkey Beach balik. Masa turun dari Rumah Api Muka Head tak sempat ambik gambaq dah. Masing-masing kelaparan !

Turun dari Rumah Api Muka Head,  masing-masing melancarkan serangan gerila ala-ala nak gila ke atas kedai-kedai makan yang ada di pantai Monkey Beach. Puncanya masing-masing dahaga dan kelaparan.

Sambil-sambil tu buat-buat tanya bot yang nak balik ke Teluk Bahang. Ada sesetengah yang telah ditempah awal oleh segerombolan manusia lain. Jadi kami yang sekangkang kera ini buat la muka tak malu tanya dari satu bot ke bot yang lain. 

Ada jugak abang-abang tekong bot yang tanya, tapi kami cuma berdua. Jatuh mahal pulak kalau ambik satu bot balik. Mana-mana bot pun semuanya tambang RM 40. Tak kisah la hangpa nak naik sorang ka, berdua ka berlapan ka. Janji satu bot hangpa bayar RM 40.

Ada sorang abang tekong bot nasihatkan kami untuk tunggu sekejap, mungkin lepas ni ada orang yang nak balik naik sekali. Sementara tu kami pekena Maggi goreng gaya Monkey Beach dulu apa yang patut. Kos makan macam biasalah agak mahal di pantai persendirian ni. Maggi goreng telur mata diapit bersama teh'o ais jatuh dalam RM 9.00 seorang.


Bergegas mencari bot untuk balik semula ke Teluk Bahang.

Di Monkey Beach pun hangpa boleh naik kuda !

Kuda brader Myammar yang kami sembang tengahari tadi. Makcik Arab ni nak naik kot.

Sementara tunggu bot, lepak makan dan minum dulu.

Tu dia warung makan punya santai di pesisiran pantai Monkey Beach.

Tunggu Maggi Goreng tak sampai-sampai.

Ok. Maggi goreng Monkey Beach dah sampai. Pekena dulu sebelum balik naik bot.


Naik bot kembali ke Jeti Taman Negara Teluk Bahang.

Naik bot dari Monkey Beach dalam 10 minit dah sampai jeti Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang.

Tambang sebuah bot dikira RM40 sehala dari Monkey Beach ke Jeti Teluk Bahang.

Pemandu bot rilek ja hisap rokok bawa bot. 


Hutan sebelah tulah yang kami trekking dalam Taman Negara Pulau Pinang untuk ke Monkey Beach.

Uncle ni naik bot dengan anak dia dua orang. Jadi tambang bot dikongsi dua. Kami RM 20, depa RM 20.

Berkocak dan berlambung-lambung bot laju membelah ombak.
Kami selamat tiba balik ke Jeti Teluk Bahang berhampiran dengan pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang dekat pukul 4.00 petang. Berkejaran abang dan Pak Andak mencari masjid oleh kerana tak sembahyang Zohor lagi.

Tambang bot dari Monkey Beach kembali ke Jeti Teluk Bahang dikongsi dua, abang dan Pak Andak separuh dan uncle dengan anak-anaknya separuh. Satu bot tambang RM 40, jadi kami bayar RM 20 dan uncle bayar RM 20. Ini mengikut persetujuan bersama yang telah dipersetujui sebelum bertolak lagi. Abang bawa bot tak kacau urusan hangpa. Hangpa deal sendiri dengan penumpang bot yang lain.

Secara keseluruhan, abang boleh kata seronok jugaklah dapat hiking ke Monkey Beach dan ke Rumah Api Muka Head walaupun cuaca yang agak panas dan 'pewai' teruk. Modal kerosakan yang perlu ditanggung adalah kos makan dan minum serta tambang bot. Nak jimat lagi, masak siap-siap dari rumah dan berkelah di Monkey Beach barulah syok. Boleh feeling-feeling Krabi sikit.

Lepas ni abang dok agak nak cuba hiking pulak ke sebelah Pantai Kerachut dan Teluk Kampi. Lain kalilah tu tak tahu bila. Nak buat liputan dua-dua tempat dalam sehari memang tak sempat.

Tahukah anda?

Satu-satunya Taman Negara yang mempunyai liputan 3G adalah Taman Negara Pulau Pinang. Jadi yang jenis tak tahan dan berkobar-kobar selfie kekonon dah hiking tu boleh terus upload Instagram ke Facebook ke, boleh berbuat demikian di sini.

Hangpa bukan nak tengok dan belajar pasal hutan pun bukan, nak tunjuk kat kawan-kawan. Tak gitu?

*Segala gambar dan video dirakam sepenuhnya menggunakan SJCAM SJ4000 Wifi

18 ulasan:

  1. Mahal juga tambang bot.. RM20. itu pun setelah berkongsi dua..10 minit perjalanan. buat duit sungguh depa ni.

    BalasPadam
  2. sangat membantu dan berinformasi. tak sabar nak tunggu post trekking ke Pantai Kerachut

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih. Trip Pantai Kerachut akan menyusul tak lama lagi. Haha.

      Padam
  3. Balasan
    1. Takda pun. Kalau sampai sana nanti cari ja pakej-pakej bot yang ada kalau nak suruh pikap waktu balik dari Monkey Beach nanti.

      Padam
  4. Sampai sekarang memang sewa bot still 40 ringgit ka dah mahal?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau ikut harga pasaran sehinga catatan ini ditulis, tambang bot RM40

      Padam
  5. Pantai kerachut ngan monkey beach dah explore. Nak g teluk tampi pulak.. Jommm..

    BalasPadam
  6. Salam..nice pic & info yang lengkap. Baru lepas trekking ke Monkey Beach minggu lepas. 2 minggu sblm tu trekking ke Pantai kerachut..trek ke Pantai Kerachut lebih mencabar;)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam.

      Terima kasih ! Betul. Pantai Kerachut lebih mencabar sikit. Kena naik turun bukit! Pheww !

      Padam
  7. Thanks di atas posting .... saya baru ja pergi Monkey Beach + Rumah Api Muka Head hari ini .... memang adventure betul pengalaman ke sini :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. My pleasure! Tahniah ! Boleh cuba ke Pantai Kerachut pulak lepas ni !

      Padam
  8. Bagus posting, ingat baru nak pi esok! Banyak jugak gambar kau ambik..BTW cantik gambar tak shake, always sharp.

    BalasPadam
  9. Bot tu x sediakan life jaket ke?bahaya tu...

    BalasPadam
  10. monkey beach in penang is one of the most famous beach there is in Penang, Malaysia. If you're heading there, don't forget to head to muka head lighthouse for a short hike too! Then, finish off the trip with a relaxing sunset view at starbucks in batu ferringhi before heading out for dinner in georgetown!

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...