Iklan

30 April 2015

Ride Menjejak Salasilah Selatan Thai : Wang Kelian - Pak Bara

Bersambung dari Ride Menjejak Salasilah di Selatan Thai - Pengenalan

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.


Tunggangan solo atau ride menjejak salasilah ke selatan Thai ni bukan berkisahkan perjalanan kembara gua mencari saudara-mara di sana walaupun gua tahu tok moyang gua semua dulunya pun berasal dari belah-belah wilayah Pattani. Kalau hangpa orang Batu Kurau atau pun orang Sik, cuba hangpa tanya tokwan hangpa siapa yang asalnya buka kampung tu. Oleh kerana itu, jangan pelik kalau kampung-kampung di daerah ini bahasa dan loghat percakapan seharian penduduk macam bahasa Siam.

Ok. Kalau hangpa nak gua cerita berkenaan sejarah Kedah Tua ke semua tu semua gua tak berapa nak reti. Sekarang ni gua nak cerita perjalanan kembara bermotosikal berskuter gua ke wilayah Pak Bara di selatan Thai pada hari pertama. Lokasi asal tempat bermula adalah dari kampung halaman gua di Sik, Kedah. Bagi yang tak tahu sebenarnya gua ride dari Kuala Lumpur, dan dah puas melepak dua-tiga malam di kampung. Kalau nak ikutkan jarak perjalanan dari Sik, Kedah nak ke pantai Pak Bara ni kira dah cukup dekat lebih kurang 250 KM sahaja. Kalau kata nak gerak dari Kuala Lumpur terus ke Pak Bara pun boleh asal punggung anda tahan naik motor.

Boleh rujuk peta Google Maps di bawah.




Jentera Nouvo LC yang bekerja keras. Dialah untuk ke pasar dan dialah juga untuk touring jarak jauh.


Demi waktu subuh apabila ia bernafas. 

Berhenti memenuhkan tangki minyak di Petronas Jeniang.

Khamis, 5 Februari 2015. Seusai solat subuh gua terus hidupkan dan panaskan enjin Nouvo LC. Teruja untuk memulakan perjalanan ke bumi Thailand hari ni. Tidur malam semalam pun tak berapa nak lena bila dok pikir apa yang akan ditempuhi nanti. Jam 7.00 pagi dalam kegelapan subuh, gua dah bergerak meninggalkan Kampung Tupai, Sik. Cuaca dingin pagi mencucuk-cucuk sampai ke tulang. 

Pagi-pagi ni memang syok tengok budak-budak jalan kaki pi sekolah di kampung-kampung. Gua berhenti sat di tepi jalan semasa menuju ke pekan Jeniang untuk mengambil gambar. Tiba tiba datang seorang lelaki tak dikenali. Budak pondok tahfiz dekat-dekat situ. Gua ingat dia ada masalah apa datang kat gua. 

" Bang, nak pi mana ni ? "

" Rokok ada bang ? "

Sangap rupanya. Maklumlah dok sekolah pondok terkawal sikit bab-bab ni. Maaf la dik. Bukan abang tak nak bagi. Abang pun tak hisap rokok.

Gua berhenti mengisi minyak di Petronas Jeniang dalam perjalanan menghala ke Gurun. Dengan saki-baki minyak yang masih ada sebelum itu, gua isi RM 5.00 sahaja dah penuh tangki Nouvo LC. Ingat nak isi minyak simpanan dalam botol untuk kegunaan waktu kecemasan tapi rasa sat-sat lagilah. Lagipun sepanjan perjalanan ke negeri Perlis gua rasa tak ada masalah nak cari stesen minyak. Nak masuk Thailand dekat Wang Kelian sat lagi pun boleh isi rasanya.

Dari Jeniang, perjalanan diteruskan hingga ke Gurun untuk masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). Kisahnya nak beli insurans siap-siap di RnR Gurun. Mengikut maklumat yang gua dapat, di Caltex RnR Gurun juga ada khidmat penjualan insurans untuk kenderaan yang ingin masuk ke Thailand. Gua pun berhenti la di RnR Gurun nak beli insurans untuk skuter Nouvo LC gua ni. Mengikut perancangan kalau beli siap-siap di sini, tak perlu dah berhenti di Changlun untuk beli insurans lagi.

Perancangan gua adalah untuk masuk ke Thailand melalui pintu sempadan Wang Kelian. Kalau beli insurans di RnR Gurun ni, gua tak perlu melalui Changlun dan boleh ikut jalan lain yang lebih singkat menuju ke Wang Kelian yang terletak di negeri Perlis. Waktu gua sampai di Caltex RnR Gurun, kiosk untuk buat insurans masih belum buka. Kata pekerja Caltex dalam pukul 9.00 pagi baru dia buka. Gua pun lepak minum dulu di medan selera RnR Gurun sementara menunggu kiosk insurans dibuka.


Kiosk insurans yang masih belum dibuka di Caltex RnR Gurun.

Boleh beli insurans kenderaan untuk masuk ke Thailand di Caltex RnR Gurun ini.

Kecewa insurans motorsikal Thailand bawah 150 cc tak ada di Caltex RnR Gurun.

Hentian berikutnya di Petronas Changlun.

Dah siap minum, gua kembali semula ke Caltex tadi. Kecewa apabila insurans untuk motorsikal bawah 150 cc tak ada ! Kalau ada pun mahal dekat RM 50.00. Tokey kedai insurans suruh gua cari insurans di pekan Changlun. Katanya di sana ada yang lebih murah. Nak tak nak kena juga lalu pekan Changlun. Dari RnR Gurun, gua terus ikut lebuhraya PLUS hingga ke pekan Changlun.

Dalam pukul 10.30 pagi, baru gua tiba di pekan Changlun. Ada banyak kedai-kedai yang menjual insurans di pekan Changlun ni. Dah jadi pit stop bagi mereka yang nak masuk ke Thailand mesti berhenti di sini dulu beli insurans kenderaan. Gua berhenti sekejap di stesen Petronas Changlun tanya-tanya pekerja di situ di mana boleh beli insurans. Kakak yang bertugas kata ada di depan tu, tak jauh dari situ. Memang betul ada deretan kedai yang tak jauh berhampiran dengan simpang empat pekan Changlun. Di sini gua berhenti di salah sebuah kedai yang tertera perkataan 'Insurans' dari jauh. 

Ada seorang makcik bertudung yang jaga kaunter. Gua cakap nak beli insurans dan serahkan salinan geran skuter Nouvo LC kepadanya. Dia isi-sis borang dan tak lama kemudian, siaplah insurans Thailand yang berharga RM 16.00 dengan tempoh sah selama sembilan hari. Gua ingat nak tukar duit Ringgit Malaysia ke duit Baht Thailand, tapi tak ada pulak di kedai ni. Makcik tu syorkan untuk ke kedai depan lagi yang ada khidmat tukaran wang.



Mencari kedai menjual insurans di pekan Changlun.

Nampak signboard insurans Thailand besar-besar tu ? Kedai di tepi jalan besar menghala Bukit Kayu Hitam.

Makcik kedai insurans tengah isi dokumen insurans yang diperlukan untuk masuk ke Thailand.

Sticker-sticker kelab motorsikal yang pernah sampai di sini.

Senarai hotel dan harga.

Kedai insurans Changlun yang turut menyediakan perkhidmatan teksi dan van ke Hat Yai.

Gua pun naik la skuter ke depan lagi melilau mencari pengurup wang di pekan Changlun ni. Ada sesetengah kedai yang belum dibuka pagi ini. Di sebalik lorong ada kedai makan cina yang menyediakan khidmat tukaran wang. Gua tengok ada la 2-3 orang tengah beratur nak tukar duit jugak. Gua pun tukar RM 200 kepada duit Baht Thailand. Oleh kerana Ringgit Malaysia yang susut nilai, dapat pun tak sampai THB 1900. Dengan modal sebanyak ni gua saja nak tengok jauh mana dan berapa lama boleh berada di bumi Thailand.

Dah selesai urusan tukar duit, kebetulan ada jual arrival card Siam atau juga dipanggil white card di kedai uncle cina ni. Untuk masuk ke Thailand kita akan perlukan kad ini nanti untuk diserahkan bersama semasa urusan cop passport. Sebenarnya kad ini percuma kalau ambil di border Thailand nanti. Tapi gua bagi passport dan abang kedai akan isikan maklumat kita dengan komputer ke dalam arrival card ini. Bayaran sebanyak RM 1 akan dikenakan untuk urusan ini. Dah ada insurans, dah ada duit Thai dan dah ada white card, ayuh menuju ke pintu sempadan Thailand sekarang !


White card  Thailand yang telah diisi oleh komputer dengan bayaran RM 1 di kedai uncle cina tadi.

Boleh juga tukar duit Ringgit Malaysia ke Baht Thailand di sini.

Anatar pengurup wang atau money changer yang terdapat di pekan Changlun.

Insurans Thailand yang dibeli dengan harga RM 16.00 tadi 

Jikalau anda dah berada di pekan Changlun, pintu sempadan yang terdekat sudah tentulah Bukit Kayu Hitam. Gua boleh saja nak terus lajak masuk ikut Bukit Kayu Hitam, tapi gua saja tak ikut situ. Bukan kerana apa, pertamanya adalah destinasi yang dituju hari ini adalah wilayah Pak Bara, maka lebih dekat untuk ikut pintu sempadan Wang Kelian. Yang keduanya, pintu sempadan Bukit Kayu Hitam memang telah diketahui umum sangat sibuk dengan kenderaan yang keluar masuk sempadan Malaysia-Thailand. Jadi urusan di sini agak lambat jika nak dibandingkan dengan pintu sempadan Wang Kelian. 

Dari pekan Changlun, cari saja jalan ke Padang Besar ataupun ke Wang Kelian. Banyak papan tanda yang boleh diikut dan tak susah pun. Memang jarak ke sana agak jauh sikit bila dah berada di pekan Changlun ni. Sepanjang perjalanan melalui bumi Perlis anda akana disajikan pemandangan bukit-bukit batu kapur yang tinggi dan ladang tebu yang luas. Angin pun kuat di sini. Boleh senget skuter membelah angin lintang ni.

Pintu gerbang selamat datang ke negeri Perlis.

Wang Kelian 48 KM lagi.

Panas bukan main lalu negeri Perlis ni.

Persimpangan ke Wang Kelian sebelum jumpa bukit-bukit dengan selekoh tajam.

Tak banyak atau jarang kereta melalui jalan Wang Kelian ni pada hari biasa.

Untuk sampai ke Wang Kelian ini, kita perlu melalui jalan berbukit ala-ala Genting Highland. Jalan-jalan berbukit dengan selekoh-selekoh tajam menanti pemandu. Boleh tahan meraung enjin. Tapi jalan ini tidaklah terlalu jauh. Dari puncak bukit, kita boleh melihat pemandangan indah yang berada di bawah. Sejuk dan dingin je lalu jalan ni.

Sebelum melintasi sempadan Thailand di pintu masuk Wang Kelian, isi dulu minyak penuh-penuh di stesen minyak Caltex Wang Kelian. Ia merupakan stesen minyak terakhir yang ada di jalan menuju ke border Wang Kelian ini. Gua isi minyak penuh-penuh tangki Nouvo LC dan ditambah 3 botol 1.5 L sebagai simpanan kecemasan. Setakat nak seludup 5-6 liter minyak Malaysia ke Thailand untuk kegunaan sendiri ada apa hal. Baik isi minyak di sini siap-siap kerana harga minyak di Thailand yang sekali ganda harganya.


Berhenti isi minyak di Caltex Wang Kelian.

Stesen minyak Caltex Wang Kelian merupakan stesen minyak terakhir sebelum masuk ke pintu sempadan Thailand.

Bersiap sedia menyambung perjalanan ke pintu sempadan wang Kelian-Wang Prachan.

Pintu sempadan Wang Kelian agak kurang sibuk jika nak dibandingkan dengan lain-lain pintu sempadan lebih-lebih lagi pada hari biasa. Hanya di waktu hujung minggu sahaja di sini memang sibuk dengan pelancong luar yang datang membeli-belah di sebelah Wang Prachan. Pengunjung bebas untuk keluar masuk tanpa dokumen dan passport pada hari tersebut. Boleh tengok mak-mak ayah dengan hasil tangkapan masing-masing. Pakat usung Narita dan Toto untuk dibawa pulang pada hari tu.

Panduan membawa masuk kenderaan ke Thailand

Mudah sahaja prosedur untuk membawa kenderaan masuk ke Thailand. Meh gua cerita sikit langkah demi langkah yang mudah untuk melintasi sempadan Wang Kelian menuju ke Thailand:

  • Kita akan jumpa Imigresen Malaysia dulu di sini. Turun motor dan cop passport di kaunter Imigresen Malaysia. Tak perlu tunjuk salinan geran ke apa di sini kerana bukan urusan mereka.
  • Bawa motor ke terus ke Imigresen Thailand. Turun motor dan cop passport di kaunter Imigresen Thailand. Serahkan sekali departure card yang diisi tadi.
  • Selesai cop passport, cari kaunter Kastam Thailand. Serahkan salinan geran motorsikal (insurans tak perlu tunjuk). Tunggu sehingga pegawai kastam mengeluarkan surat pelepasan kenderaan atau juga dikenali sebagai 'Custom Declaration Form'. Bayar RM 5.00. Selesai.

Surat pelepasan kenderaan yang dikeluarkan Kastam Thai perlu disimpan sepanjang masa dan jangan dihilangkan kerana ia perlu dipulangkan semula semasa kembali ke Malaysia nanti. Bayaran pula tunggu sehingga diminta oleh pihak Kastam Thailand. Kalau dia tak minta tak perlu bayar. Dah selesai semua urusan di atas bolehlah masuk ke bumi Thailand dengan penuh gayanya.


Selamat tiba di border atau pintu sempadan Wang Kelian.


Pintu sempadan Wang Kelian pada hari biasa. Agak lengang.

Banjaran bukit-bukau batu kapur yang harus dilalui sebelum tiba di pintu sempadan Wang Kelian-Wang Prachan.

Pejabat Imigresen Thailand di sebelah Wang Prachan.

Parking skuter dulu di tepi sementara cop passport dan dapatkan permit membawa masuk kenderaan ke Thailand.

Pegawai Kastam Thailand sedang sibuk isi butir-butir kenderaan. Dia akan bagi satu surat pelepasan. Simpan surat tersebut.

Kenderaan Thailand yang sibuk melintasi border Wang Kelian-Wang Prachan.


Cuaca panas terik tengahari membakar tubuh apabila mula memasuki bumi Thailand bermula di Wang Prachan. Rasa teruja dapat membawa kenderaan lebih-lebih lagi skuter sendiri ke wilayah Siam ini. Di awal perjalanan, perkampungan-perkampungan di Thailand tidak banyak bezanya dengan perkmapungan di wilayah utara Malaysia. Kebun-kebun getah di kiri kanan jalan berselang-seli dengan rumah kampung penuduk tempatan. Banyak mata -mata yang memandang pelik kelibat gua sepanjang melalui jalan-jalan kampung ini. Dressing abang smart sangat ka ?

Ada banyak papan-papan tanda sepanjang perjalanan yang gua sendiri pun tak faham kerana dalam tulisan Siam. Ada juga yang gua dapat faham bila ditulis dalam abjad rumi seperti 'Satun'. Berpandukan peta offline dari Google Maps dan GPS, untuk mencari laluan ke Pak Bara tidaklah begitu sukar. Di jalan besar ada tertera papan tanda ke Pak Bara. Pasti anda tak akan sesat.

Untuk ke Pak Bara, kita akan melalui jalan yang sama ke pekan Satun tetapi tidak melaluinya. Akan ada simpang ke Chalung dan kemudian ke Langu baru tiba di Pak Bara. Di dalam perjalanan, gua singgah minum air tebu dulu di tepi jalan. Ada sorang peniaga muslim yang menjalankan perniagaan air tebu. Dia boleh cakap Melayu sikit-sikit. Air tebu pun murah 10 Baht sahaja. Yang gua hormat bila azan Zuhur, dia tinggalkan perniagaannnya begitu sahaja dan meminta izin untuk berjemaah di masjid.


Pasar Wang Kelian pada hari biasa. Tak ramai sangat pengunjung berbanding hujung minggu.

Deretan kedai-kedai yang terdapat di Wang Kelian-Wang Prachan. Syurga membeli-belah kaum hawa.

Gua ingatkan hari minggu je ada pasar di Wang Kelian ni, rupanya hari biasa pun ada tapi tak serancak hujung minggu.


Selamat menjejakkan kaki di bumi Thailand. Batu tanda jarak perjalanan ke bandar terdekat, Satun.

Definisi jalanraya yang sebenar di Thailand. Tak ada lubang dan longgokkan lebihan tar di bahu jalan.

Teruja dapat masuk bumi Thailand dengan kenderaan sendiri. Sampai juga impian nak bawa Nouvo LC ronda Siam.

Dari Wang Kelian nak ke Pak Bara dah tak berapa jauh dah. Lebih kurang 80 KM sahaja.


Skuter Nouvo LC ok. Penunggang yang tak ok. Berhenti bila lenguh punggung. Pekena air tebu dulu semasa menuju ke Pak Bara.

Kedai air tebu pun bukan main meriah. Mana ada buka payung macam kita di Malaysia.

Air minuman botol Siam ni dalam THB 6 (60 sen) sahaja sebotol.

Panas terang tang tang sebelum sampai pekan Chalung.

Papan tanda ke Pak Bara Pier. Ikut sahaja.


Gua meneruskan perjalanan selepas berehat sebentar dan minum ayaq tebu. Kemudian, gua berhenti lagi di 7E pekan Chalung untuk membeli simkad Thailand. Senang sikit untuk berkomunikasi dengan dunia luar. Saja gua melepak lama sikit dalam 7E ambik angin aircond kerana cuaca panas melampau di luar sepanjang perjalananan tadi. Seperti biasa masalah bahasa membataskan komunikasi dengan awek-awek 7E. Gua yang yang tak berapa pandai bahasa Inggeris dengan tonggang terbalik grammar pun dah terasa cukup power cakap Inggeris dengan orang Thai. Mujur ada supervisor mereka yang paham bahasa inggeris sikit-sikit. Gua minta tolong setup dan settingkan simkad internet yang telah dibeli tadi. Kos untuk simkad internet dan ditambah topup lebih kurang THB 109.

Di sekitar pekan Chalung ni ada banyak kedai-kedai kecil menjual makanan. Di suatu sudut kelihatan juga peniaga muslim. Gua tak beli apa-apa pun di sini. Ada abang polis trafik Thai yang duduk di pondok memerhatikan lalulintas. Gua berehat sekejap memerhatikan susana sekeliling sambil gunakan wifi percuma yang terdapat di 7E. Mana-mana cawangan 7E di Thailand mesti ada perkhidmatan wifi percuma ini. Tapi ada kuota dan  boleh digunakan dalam satu tempoh masa tertentu sahaja dalam sehari.


Pilihan simkad internet di 7 Eleven Thailand. Elok ambik yang jenis traveller tu senang.

Buat-buat ramah speaking English kat awek Siam. Rasa dah cukup hebat. Padahal grammar berterabur.

Supervisor 7Eleven yang boleh berbahasa Inggeris sikit-sikit. Dia yang tolong setting simkad Siam gua tapi tak jadi !

Terselit sebuah Nouvo LC dalam deretan motor Siam.

Abang polis trafik Thai sedang leka berehat di bawah ponoknya.

Datang abang pengakap Thailand 'selalu sedia' memandang pelik skuter Nouvo LC gua.

Peniaga-peniaga muslim menjual makanan halal di pekan Chalung.

Kedai buah-buahan.

Akan jumpa pekan kecil Chalung ni dalam perjalanan ke Pak Bara.

Lambang motorsikal. Tak faham bahasa Siam. Mungkin suruh duduk sebelah kiri jalan kot.

Wayar-wayar yang menjadi ikon Thailand.

Kelajuan purata Nouvo LC dalam 60-70 KM/J sahaja. Lagi perlahan anda bergerak, lagi banyak anda dapat lihat.

Papan tanda wajib bergambar para bikers. Welcome to Satun.

Dalam Bikers Kental ada watak Saiya Sukapon, abang tak jumpa pun sepanjang perjalanan ke Pak Bara. Mungkin ke Krabi ada kot.

Tu dia wayar berselirat di Thailand. Nak cari mana punca pun payah macam ni.

Berhenti rehat lagi. Jarak ke Pak Bara tak berapa jauh, tapi dah berhenti beberapa kali.

Skuter Yamaha Mio yang popular di Thailand. Yamaha Nouvo LC tak nampak langsung.

Lebih kurang pukul 4.00 petang baru gua selamat tiba di pantai Pak Bara. Dari Chalung cari jalan ke Langu baru jumpa pantai Pak Bara ni. Destinasi pertama, gua terus menuju ke jeti Pak Bara, tempat pelancong menaiki bot ke pulau-pulau syurga dunia yang menarik di sekitarnya seperti Koh Lipe dan Koh Tarutao. Di kawasan sekitar jeti Pak Bara pada waktu petang tidak begitu sibuk. Ada banyak tour-tour agent yang menyediakan perkhidmatan bot ke Koh Lipe dan pulau sekitarnya di sekitar sini. Boleh pilih pakej mana yang berkenan. Gua saja lajak ke sini untuk melihat sendiri jeti Pak Bara. Dengan bajet ciput, tak terlintas langsung untuk ke Koh Lipe yag sering menjadi bualan itu.

Tak lama kemudian, azan Azar berkumandang di wilayah Pak Bara. Walaupun di bumi Thai, laungan azan dapat didengari dengan jelas. Wilayah Pak Bara seperti sedia maklum dihuni oleh majoritinya adalah masyarakat Islam. Jadi tidak mustahil masjid dan surau terdapat di mana-mana di dalam kawasan ini. Gua terus menuju ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat Asar. Lagi sekali banyak mata memandang pelik. Pakcik-pakcik di sini bersembang dalam bahasa Thai dan tidak fasih berbahasa Melayu. Jadi nak bersembang dengan orang tempatan Pak Bara agak terbatas.


Selamat tiba di jeti Pak Bara.

Jarak perjalanan dari jeti Pak Bara ke pulau-pulau sekitarnya seperti Pulau Lipe, Pulau Tarutao dan Pulau Adang.

Selalu orang naik bot dari jeti Pak Bara ke Koh Lipe pagi-pagi.

Tour-tour agent yang menyediakan pakej ke pulau sekitar jeti Pak Bara.

Tempat-tempat menarik sekitar Pak Bara yang terletak di dalam daerah La-Ngu.

Jeti Pak Bara pun lengang. Mana semua orang ni woi ! Abnag datang jauh-jauh ni nak tengok hangpa !

Syarikat-syarikat feri yang terdapat di jeti Pak Bara.

Gua tak pi meronda pun dalam kawasan jeti Pak Bara ni.

Kanak-kanak yang baru pulang dari sesi persekolahan.

Singgah solat Asar di masjid berhampiran pantai Pak Bara.

Tabung derma ada bahasa Siam dan Bahasa Melayu.

Suara azan Asar jelas kedengaran di kawasan Pak Bara ini yang majoritinya adalah masyarakat muslim.

Pukul 4.00 petang dah masuk waktu Asar di Pak Bara. 


Seusai solat, gua disapa oleh tok imam masjid Pak Bara tersebut. Dia tengok plat motor gua berbeza dari motor Siam yang lain. Dia syak gua orang luar.  Pak imam tersebut boleh cakap melayu sikit-sikit tapi tak berapa fasih dan lancar. Gua pun kena dengar betul-betul apa yang diperkatakan kerana bunyinya nak jadi bahasa Siam. 

Dia tanya gua dari mana. Gua pun jawablah dari Malaysia. Seorang je ke? Ada saudara mara ke kat Pak Bara ni? Datang sini buat apa? Jenuh jugak nak menjawab pertanyaan pak imam ni. Satu-satu gua jawab. Bila dah jelas tujuan gua ke Pak Bara, pak imam tanya lagi,

" Tidur mana malam ni ? " Tanya Pak Imam.

" Tak ada tempat tidur lagi pakcik. Tengoklah saya cari dekat-dekat sini nanti " Jawab gua.

Memang tak ada perancangan khusus untuk menetap di mana di Pak Bara ni walaupun ada banyak chalet-chalet bajet yang terdapat di pesisir pantai Pak Bara ni. Gua ingat lepas solat Asar baru nak melilau cari guesthouse murah-murah yang ada di sekitar sini.

" Kalau tak ada tempat tidur lagi, mari pakcik tunjuk chalet kawan pakcik. Dekat je dengan rumah pakcik "

Pucuk dicita ulam mendatang. Benarlah kata orang, urusan si musafir selalu dipermudahkan. Pak imam ajak tengok chalet kawan dia yang terletak di tepi pantai Pak Bara tak jauh dari masjid. Katanya boleh tengok dulu, tak mahu pun tak apa. Gua pun bersetuju nak ikut pak imam. Gua start motor dan ikut pak imam.

Sampai di kawasan chalet, pak imam panggil kawan dia tu. Ada seorang pakcik tua keluaq. Tengok keadaan agak daif. Dia tak boleh kecek bahasa Melayu, Pak imam tadi yang jadi penterjemah. Dia tunjukkan kat gua chalet berhawa dingin yang berharga THB 500 semalam. Bagi gua yang dengan bajet ciput ni rasa agak mahal. Kalau berdua tu takpa boleh kongsi. 

Saja gua tanya ada tak lagi chalet yang lebih murah. Pakcik tu tunjuk satu chalet kecil di tepi pantai Pak Bara. THB 250 semalam. Ada kipas dan bilik air di dalam. Itu pun sudah cukup memadai bagi gua. Gua ambik chalet murah ni. Pakcik tu kemas-kemas apa yang patut. Katanya bini dia tak ada, dia yang kemas sendiri. Kesian jugak. Chalet tu nak kata sempurna sangat tu taklah, tapi bolehlah kalau nak melepak semalam dua sambil-sambil tolong pakcik tu.


Kawasan persekitaran chalet gua menginap di Pak Bara.

Pak imam masjid Pak Bara yang banyak membantu gua mencari tempat bermalam.

Pak imam masjid Pak Bara dan kawannya seorang pakcik yang agak daif. 


Parking skuter depan bilik lagi.

Perkarangan chalet bajet tempat gua bermalam di Pak Bara. Pasir pantai sampai ke depan pintu bilik.

Tengok kiri kanan tak ada sesiapa pun menginap. Gua sorang ja kat sini ditemani Nouvo LC gua.

Chalet no 5 berharga THB 250 semalam. Tak tau hangpa nak panggil apa, tapi gua panggil chalet.

Jangan banding dengan hotel-hotel mewah. Cukup sekadar untuk melelapkan mata.


Dah dapat kunci bilik, gua mandi dan bersiap apa yang patut dulu. Seharian tak mandi dah melekit habis satu badan dengan akibat cuaca panas masa ride dari Kedah tadi. Lega bukan main dapat jumpa ayaq. Selesai mandi, dok godek-godek telefon tengok simkad internet yang dibeli di 7E tadi. Awat tak boleh on data ni. Dekat setengah jam dok berlingkar atas katil main telefon. Tak boleh-boleh jugak.

Takpalah, sat lagi kita cuba lain. Petang tu gua meronda-ronda di sekitar pantai Pak Bara sahaja menghirup angin laut kepulauan Andaman. Tak ada arah tuju apa pun, saja naik Nouvo LC gua perlahan-lahan menyusuri jalan pesisir pantai. Jumpa lagi sebuah masjid. Masjid Bantalosai namanya. Lepak sekejap di situ. Ada sekumpulan jemaah tabligh yang menumpang di situ. Depa mai teguq gua bila tengok skuter Nouvo LC gua dengan nombor plat Malaysia. Cakap melayu bukan main fasih, rupanya jemaah dari Malaysia juga. Ada yang dari Klang, Sabak Bernam dan kawasan sekitarnya. Depa kata akan menghala ke wilayah Pattani selepas tu.

Dari masjid Bantalosai, gua patah balik ke tepi pantai Pak Bara. Dalam pukul 5.30 petang, cuaca dah tak berapa panas. Boleh tengok matahari terbenam di kejauhan. Di sekitar kawasan pantai, banyak geng muda-mudi melepak ambil angin. Tidak terkecuali jugak gua. Ada makcik-makcik menjual pelbagai jenis makanan di sekitar pantai Pak Bara ni. Semuanya datang dan berjualan dari atas motor ja. Yang paling terkenal tentulah aiskrim kelapa. Jangan mengada-ngada tanya aiskrim pasu ada ke tidak. 

Kali pertama seumur hidup rasa aiskrim kelapa yang diletak dalam tempurung. Pra-sejarah sangatkan abang? Gua beli kat salah seorang makcik yang berniaga ni. Harga semangkuk dalam THB 40. Macam-macam la dia campur dalam tu, ada roti, kacang goreng, isi kelapa. Yang syoknya masa beli dia tanya gua " campur belaka ? " Dua tiga minit jugak gua nak hadam apa yang diperkatakan tu. 

Nikmat Allah yang mana kamu dustakan. Makan aiskrim kelapa di Pak Bara sambil melihat matahari terbenam dihembus bayu laut sepoi-sepoi bahasa lagi. Walaupun sorang-sorang, layan jugak perasaan macam ni. 



Rondaan petang bersama Nouvo LC di pantai Pak Bara.

Masjid Bantalosai. Salah sebuah masjid di Pak Bara.

Jemaah tabligh kembali ke Masjid Bantalosai selesai membeli barang.

Pulau-pulau terdekat yang kelihatan dari pantai Pak Bara.

Perahu yang ditambat.

Perahu kecil yang terdampar apabila air laut surut di pantai Pak Bara.

Geng-geng gosip di tepi jalan.

Bongkah kayu bagi mengelakkan hakisan pantai.

Alhamdulillah. Dipermudah urusan sepanjang perjalanan ke Pak Bara.

Jalan lurus di pesisir pantai Pak Bara.

Pak Bara yang bersih.

Bot kecil di pantai Pak Bara.

" Campur belaka ? " Tanya makcik aiskrim kelapa. Gua ingat dia cakap Siam.

Saya tak faham sepatah haram pun, tapi saya agak aiskrim kelapa.

Kedai aiskrim kelapa di Pak Bara.

Pasar malam Pak Bara.

Sesi mencanang aiskrim kelapa di merata tempat. Aiskrim pasu abang tak pernah makan.

Teruja bila mana dapat makan aiskrim kelapa. di Pak Bara.

Nikmat Allah yang mana kamu dustakan. Makan aiskrim kelapa menghayati keindahan pantai Pak Bara.

Sesi wajib bergambar sebelum makan.

Air laut surut di pantai Pak Bara di waktu petang.

Geng muda-mudi melepak di pantai Pak Bara.

Pengunjung pantai Pak Bara tidak melepaskan peluang membeli santapan petang.

Suasana meriah dan sibuk dengan peniaga di pantai Pak Bara.

Awek-awek Siam tidak melepaskan peluang beriadah di waktu petang.

Aneka pilihan juadah makanan boleh dipilih.

Aktiviti riadah di pantai Pak Bara menghadap laut Andaman.


Salah sebuah kedai atau warung bergerak di pantai Pak Bara.

Peniaga muslim Pak Bara di mana-mana.

Deretan warung bergerak di pantai Pak Bara.

Makanan-makanan lain seperti somtam turut dijual di sini.

Askrim kelapa Pak Bara yang beroperasi dari atas motor sahaja.

Poohon-pohon nyiur yang melambai-lambai di pantai Pak Bara.

Pantai Pak Bara yang menjadi tumpuan riadah keluarga di waktu petang.

Menghampiri waktu Maghrib di Pak Bara.


Masuk waktu Maghrib, gua kembali semula ke chalet. Nak sebut nama chalet apa pun gua tak pasti sebab tak ada nama di papan tanda. Yang ada pun bahasa Siam. Balik chalet, tak pasal-pasal perut memulas-mulas. Gua syak penangan aiskrim kelapa tadi tu. Tengahari tak makan nasi, terus pekena aiskrim kelapa. Sebelum tu petang tadi sewaktu meronda, gua ada beli pulut ayam dekat-dekat jeti Pak Bara. Sampai ke sudah tak makan akibat sakit perut. 

Gua nasihatkan bagi yang nak berjalan ke Thailand, bawalah ubatan-ubatan ringkas seperti Panadol dan ubat sakit perut dari Malaysia. Bukannya apa, kalau dah sakit satu masalah pulak nak pergi cari ubat. Dah la masalah bahasa membataskan komunikasi. Sat lagi hangpa minta ubat lain, ubat apa pulak dia bagi.

Melihat suasana malam di Pak Bara. Aktiviti sunyi selepas 10 malam.

Warung lepak minum cha yen di Pak Bara yang dibuka hingga larut malam.

Deretan minuman tenaga di 7 Eleven Thailand. Murah pun murah.


Chalet penginapan gua di pantai Pak Bara yang agak bermerah jambu.


Sampai pukul 10.00 malam jugak gua dok melepak dalam bilik tak keluar. Sat-sat ke bilik ayaq ja kerjanya. Ingatkan nak meronda la lagi malam ni melihat keadaan malam di pantai Pak Bara. Tak boleh jadi ni. Gua gigih jugak keluar ronda lepas tu. Terasa nak pekena jugak masakan orang tempatan, nasi goreng ke tomyam ke apa. Malangnya kedai dah pun tutup. Ada la sebuah warung kedai ni yang masih beroperasi. Gua lepak minum cha yen (teh ais) ja. Tengok orang lain dok makan tak berapa nak lalu pulak dah. 

Dari warung cha yen, gua meronda lagi ke 7E berhampiran jeti Pak Bara. Dah nak dekat tengah malam ni suasana agak sunyi di Pak Bara. Nampak la pelancong asing mat-mat saleh 2-3 orang baru keluar dari 7E tersebut. Gua masuk beli air mineral sebotol dan melepak di luar 7E. Pak Bara ni memang sunyi tidak seperti di Krabi yang lebih meriah. Tak lama kemudian, datang la budak-budak Siam bermotosikal masuk 7E beli barang. Saja gua lepak tengok gelagat budak-budak ni. Dah beli barang depa lepak luar macam gua jugak. Risau jugak tengok geng-geng ni. Gua start motor dan balik ke bilik chalet.

Balik bilik, gua sambung mengkonfigurasi simkad internet di telefon yang tak boleh-boleh lagi dari petang tadi. Kakak 7E di Chalung tengahari tadi kata dia dah setting siap, tapi tak boleh on data pun. Jenuh gua rujuk balik manual, tukar bahasa inggeris semua bagai. Akhirnya dapat la jugak main internet seterusnya berhubung dengan dunia luar. Itulah degil, nak beli simkad internet murah bahasa Siam lagi sedangkan simkad internet untuk traveller ada je dijual di 7E tadi. Tapi untuk traveller mahal la sikit.

Nak tidur malam tu pun tak berapa lena sebab perut yang asyik meragam. Dari tengah malam sampai ke subuh dok memerut tak sudah. Yang syoknya tidur di Pak Bara ni dapat dengar deruan ombak dari pantai yang tak jauh dari chalet. Kalau buka pintu, berderu angin masuk.

Sekian kisah kembara bermotosikal hari pertama dari Sik, Kedah ke Pak Bara yang disudahi dengan sakit perut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...