Iklan

04 September 2016

Trip Berbasikal Lipat Balik Hari : Bukit Mertajam-Kuala Sepetang

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu
Peace be upon you

P/S : Ketika catatan ini ditulis, masih lagi di bulan Syawal.

Masih belum terlambat rasanya abang nak ucap selamat hari raya walaupun bulan Syawal dah hampir ke penghujungnya.

Abang syak semua sibuk ke hulu ke hilir memenuhi jemputan rumah terbuka di sana sini. Macam mana dengan azam bulan puasa dulu? Abang pun tidak terkecuali.

Dengan badan yang semakin 'melemang', baru hangpa nak rasa bersalah. Yang abang perhati di Facebook, ramai yang mula share video-video senaman. Mula terasa insaf.

Bertitik tolak hal tu, abang pun jadi insaf jugak. Maka abang tengok basikal mak abang tu lama dah tak kayuh. 

Cuti hujung minggu bermacam plan atau rancangan yang bermain di minda. Gelisah tak tentu arah kalau takda apa-apa aktiviti.

Nak pi mana ni?

Dalam kepala abang dok nampak nak bawa basikal naik KTM Komuter. Destinasi sampai ke minit akhir tak dapat kepastian. Ingat nak lajak ke Padang Besar. Tapi dah selalu sangat pulak pi Padang Besar. Baru dua bulan lepas dah pi.

Tak boleh selalu sangat pi Padang Besar ni. Tahu-tahu sat lagi kendong Narita bawa balik naik basikal siapa tahu. Asal nampak jersey bola lawa-lawa ke apa sat lagi mesti teringin pulak.

Tiba-tiba abang dapat satu idea.

Cepat-cepat abang periksa Google Maps. Nak sukat tengok jarak yang abang boleh cover dalam masa sehari.

Jom kita ke Kuala Sepetang nak ?


Abang kayuh dari rumah abang ke pekan Kubang Semang. Isi angin apa dulu.

Siap bawa ayaq masak sebotol. Kot-kot dahaga.

Abang bergerak dari rumah jam 7.30 pagi. Lepas-lepas Subuh abang dah siap dah berkemas. Bukan packing apa sangat pun, abang bawa la kain pelikat sehelai bubuh dalam beg beserta air masak sebotol. 

Nak kayuh touring balik hari ni tak payah bawa barang banyak-banyak. Bawa barang sikit-sikit dan benda yang ringan-ringan ja.

Sebelum bergerak, ada baiknya kalau kita sarapan pekena nasi lemak ke apa dulu. Yang syok duduk di Penang ni tak susah nak cari warung nasi lemak kampung. 

Kalau di kawasan rumah abang di Kubang Semang menghala ke Bukit Mertajam, banyak ja warung-warung kampung di tepi jalan. Roti canai ka, nasi lemak ka, kuih ka semua ada. Pilih ja mana yang ada ikut selera.

Bila dah bantai nasi lemak sambal kerang, mula la rasa mengantuk. Malas la pulak rasa nak sambung kayuh. Macam nak patah balik la pulak. Tadi sebelum sarapan bukan main semangat nak kayuh.

Berhenti untuk sesi bergambar lagi di Kubang Semang
Mai lambat kuih pun dah nak habis dah.

Warung nasi lemak kampung di Tanah Liat. Tak dan makcik ni nak melayan, sibuk duk bungkus nasi lemak tak berhenti-henti.


Hasil tangkapan abang pagi tersebut. Nasi lemak beserta telur mata disulam dengan sambal kerang. Teh panas cawan kopitiam saling melengkapi.

Sedang orang lain naik motor, kelihatan seorang pemuda parking elok basikal lipat sampai masuk dalam kedai nasi lemak.

Tiba-tiba jumpa cermin tepi jalan masa tengah kayuh. Ambik gambaq tak berapa nak nampak, cermin kecik sangat.

Abang singgah dulu sat dekat pekan Bukit Mertajam sebelum sambung kayuh basikal ke stesen KTM Komuter. Saja la nak usya tengok pasar pagi Bukit Mertajam. Lama dah kiranya tak meronda pagi-pagi nih. Asyik dok tidoq ja hari minggu. Huhu.

Antara tempat tumpuan di Bukit Mertajam pada hujung minggu adalah pasar pagi Bukit Mertajam atau juga dikenali Market Bukit Mertajam. Meriah suasana  di sini dengan hingar bingar peniaga memperdagangkan hasil jualan mereka. Macam-macam benda hangpa boleh cari kat sini dari barang basah hinggalah ke alatan hardware.

Abang takda benda apa pun nak dibeli sebenarnya. Nak kayuh pi Taiping takkan nak beli ikan sekilo dua kot. Saja la meronda tengok.



Sampai di pekan lama Bukit Mertajam.

Gaya orang lama di pekan Bukit Mertajam.

Nostalgia pekan Bukit Mertajam.

Pekan klasik Bukit Mertajam yang masih tidak banyak berubah dari dulu.

Ada 5-6 biji durian pun dah boleh buat meniaga.

Pasar pagi Bukit Mertajam. Tempat orang ramai mencari barang-barang keperluan harian.

Parking basikal dulu, baru boleh meronda tengok pasar pagi Bukit Mertajam.

Bersempena dengan musim durian sekarang ni, banyak pulak orang jual durian kat Bukit Mertajam ni.

Buah-buahan bermusim seperti manggis pun ada sama.

Buah manggis, buah salak dan satu lagi buah apa abang tak dapat kenalpasti.

Keharmonian kaum terserlah di pasar pagi Bukit Mertajam.

Petai mendapat sambutan hangat pembeli. Siap ada yang dah booking berpuluh tangkai.

Pakcik ni tenggek lori dia jual buah-buahan. Pisang ada dan segala macam lagi buah.

Suasana pagi yang sibuk di pasar Bukit Mertajam.

Saudagar telur dengan pelbagai variasi gred telur.

Puncak Bukit mertajam yang berkabus. Cuaca gelap mula-mula tu macam nak hujan.

Dari pekan Bukit Mertajam nak ke Stesen KTM Bukit Mertajam di Permatang Rawa dah tak berapa jauh dah. Untuk pengetahuan, kalau dulu stesen keretapi terletak di pekan Bukit Mertajam, tetapi stesen keretapi di Bukit Mertajam sekarang ni dah berpindah ke Permatang Rawa. Stesen baru ni.

Abang kayuh terus ke Stesen KTM Bukit Mertajam. Hari nak hujan la pulak. Apa lagi, kemain laju la abang kayuh. Alhamdulillah sempat sampai sebelum hujan.

Pelik jugak abang tak berapa ramai orang kat stesen Bukit Mertajam ni padahal hari Sabtu. Kalau dulu abang pernah naik nak ke Padang Besar bukan main ramai orang. Takkan serik dah kot semua naik pengangkutan awam ?

Bayak mata-mata yang memerhati pelik seorang lelaki dewasa menaiki basikal Alibaba dalam stesen keretapi. Abang terus bawa basikal naik lif ke tingkat 1 untuk beli tiket komuter.

Tambang tiket komuter sehala dari Bukit Mertajam ke Kamunting berjumlah RM6.40. Nak pulak bawa basikal kena caj lagi RM2.00. Jumlah keseluruhan RM8.40. Peraturan baru sekarang ni. Nak bawa basikal naik KTM Komuter kena caj. Kalau dulu abang bawa basikal dari KL ke Kuala Kubu Bharu nak naik Fraser Hill tak kena caj lagi.

Ramai juga penumpang lain yang bertanya kat abang boleh ke bawa basikal naik tren KTM komuter masa abang tengah tunggu tren. Ramai lagi yang tak tahu sebenarnya. Boleh je kalau nak bawa basikal naik komuter, tetapi bukan pada waktu puncak. Tak semestinya basikal lipat. Basikal biasa pun boleh. Tak kisah apa jenis basikal pun.


Selamat tiba di Stesen Keretapi Bukit Mertajam.

Model keretapi lama yang dipamerkan di Stesen KTM Bukit Mertajam.

Abang kayuh basikal sampai dalam stesen keretapi, naik lif kemudian keluar parking tepi. Penumpang-penumpang lain semua usya pelik. Kenapa tak pernah tengok orang naik basikal ka?

Jadual perjalanan komuter dan keretapi lain di Stesen KTM Bukit Mertajam dipaparkan dengan jelas macam nak naik flight. Disertakan sekali platform apa yang patut kita turun.

Menunggu dengan tenang ketibaan tren komuter untuk ke Kamunting dari Stesen KTM Bukit Mertajam.

Cukup masa, platform akan dibuka. Ada abang petugas KTM akan bagi kita turun ke platform waktu ni. 

Tren komuter yang ditunggu-tunggu telah tiba. Abang dan basikal lipat siap sedia nak terjah masuk.

Untuk bawa basikal naik KTM komuter, pastikan basikal diletakkan di tempat yang betul dan tidak mengganggu penumpang lain keluar masuk tren. Di hujung gerabak terdapat ruangan khas untuk meletakkan basikal. Perhatikan ada papan tanda berwarna hijau dengan logo basikal. Kat situlah patutnya kita letakkan basikal.

Masa perjalanan dari Bukit Mertajam ke Kamunting dengan menaiki KTM Komuter mengambil masa lebih kurang sejam. Laluan yang paling menarik sudah tentulah semasa melintasi jambatan keretapi yang seupamanya di Malaysia yang melintasi tasik di Bukit Merah.

Tak ramai sangat pun orang dalam keretapi ke Kamunting ni.Banyak ja kerusi-kerusi kosong. Kalau laluan ke Padang Besar boleh tahan ramai.


Mana semua orang ni? Mujur KTM Komuter dari Bukit Mertajam ke Kamunting tidak semeriah seperti mana KTM Komuter di Kuala Lumpur.

Ada ruangan khas di belakang gerabak tren KTM Komuter untuk meletakkan basikal.

Sendal basikal elok-elok takut jatuh. Kemudian barulah boleh cari kerusi, duduk dengan tenang.

Ini dia tiket KTM Komuter. Dah takda kaler merah ke biru ke macam dulu. Disertakan sekali satu resit lain untuk bawa basikal. Sebuah basikal dicaj RM2.00. Tambang dari Bukit Mertajam ke Kamunting pulak RM6.40. Jadi jumlah kos keseluruhan adalah RM8.40 sehala.

Geng kasut roda pun ada. Tapi depa tak main la dalam gerabak KTM Komuter ni. Nak bawa pi mana tak tau.

Pemandangan yang dinikmati sepanjang perjalanan dari Bukit Mertajam ke Kamunting menggunakan KTM Komuter.

Jika terlihat seorang jejaka gigih berbasikal lipat, maka jangan lepaskan. kahwinilah dia.

Antara 'highlight' sepanjang perjananan ke Kamunting. KTM Komuter merentasi Tasik Bukit Merah.

Tasik Bukit Merah. Satu-satunya tasik di Malaysia yang mana jambatan keretapi dibina merentasinya.

Selamat tiba di Stesen KTM Kamunting. Parking dulu ambik gambar.

Sampai di Kamunting, abang berehat sat sebelum merancang strategi kayuhan dari Kamunting ke Kuala Sepetang. Cuaca pulak macam tak nak bagi kayuh. Matahari terpacak atas kepala waktu tengahari ni. Dah sampai dah ni mulalah terasa malas nak kayuh bila dok lama pekena sejuk air-cond dalam tren tadi.

Abang bukak Google Maps cari jalan terdekat. Selalunya abang akan guna mod 'jalan kaki' dalam Google Maps tu. Dapat jimat jarak perjalanan berbanding kalau lalu jalan biasa dengan kereta.



Jarak kayuhan dari Kamunting ke Kuala Sepetang ikut jalan kampung abang tengok takdalah jauh sangat, lebih kurang 16 KM ja. Dalam lingkungan jarak yang boleh dicapai. Tapi perlu diingat abang dah kayuh tadi dari rumah abang ke stesen KTM Bukit Mertajam.

Panas pun panas lah, abang nekad memulakan kayuhan.

Elok baru kayuh tak sampai 2 KM, terjumpa pulak pakcik jual ayaq tebu. Berhenti beli ayaq tebu apa dulu. Kayuh santai sambil singgah beli makan minum ni memang best ! Tapi sat lagi cepat lemau bila dok kendong ayaq banyak sangat !


Bukti dah sampai di Kamunting. Baru sedang berkira-kira bukak Google Maps tengok laluan mana yang terdekat untuk ke Kuala Sepetang.

Singgah sebentar pekena ayaq tebu. Sambil-sambil tu tanya pakcik jual air tebu mana jalan yang terdekat nak ikut ke Kuala Sepetang.

Pantang abang kalau jumpa air tebu. Kalau tak air tebu, air kelapa.

Berpandukan Google Maps, abang cari jalan ke Kuala Sepetang. Melalui kawasan perumahan yang tak banyak kereta.

Masuk kawasan kilang pulak. Waktu panas terik macam ni mujur ada pokok-pokok. Teduh la sikit, tak la panas sangat.

Abang buat-buat tanya pakcik yang jual ayaq tebu jalan nak ke Kuala Sepetang. Pakcik tu kata jalan yang abang ikut salah ! Katanya jalan yang abang ikut ni salah. Jalan kilang katanya. Tapi tengok Google Maps dah betul dah jalan ni. 

Dilema abang dibuatnya. Nak ikut kata pakcik tu ke atau pun nak ikut peta Google Maps. Abang nekad dan percaya jalan abang ni betul.

Abang lalu kawasan kilang-kilang yang ada banyak pokok. Jadi takdalah panas sangat masa kayuh basikal tu. Sesekali lalu jugak jalan besar. 

Masa tengah kayuh, darijauh abang tengok ada pakcik ni dengan kereta yang berhenti di bahu jalan gamit-gamit tangan dikejauhan. Abang syak tayar pancit dah kereta ni. Cepat-cepat abang kayuh pi kat pakcik tu.

"Ada pa pakcik? Tayar pancit ka?"

"Dak, dak. Ni haa nak tanya kat mana ya Hotel Honeydew? Nak pi makan kenduri"

Garu kepala sat abang. Mana pulak hotel dengan nama buah-buahan ni. Abang pun bukan orang sini. Tapi takpa, kita cuba jugaklah selesaikan masalah pakcik ni.

Abang buka Google Maps dan cari lokasi Hotel Honeydew. Memang dah betul dah jalan pakcik ni. Tak jauh dah dari sini. Abang cerita la pung pang pung pang kat pakcik tu macam mana nakpi hotel tu. Selesai satu masalah.

Abang teruskan semula kayuhan.

Pakcik yang naik Toyota Vios ni gamit-gamit abang dai jauh lagi suruh abang berhenti. Ingatkan kereta rosak ka tayar pancit ke apa. Rupanya nak tanya jalan nak pi makan kenduri !

Masuk jalan besar sikit, sebelum masuk jalan kampung lepas tu.

Jalan besar yang menjadi jalan utama ni bahaya sikit kalau nak kayuh basikal. Kereta laju-laju.

Abang ikut ja panduan Google Maps untuk ke Kuala Sepetang. Abang ada lalu kawasan perkampungan india dalam satu estet. Terpikirjugak abang betul ke ni? Ladang kelapa sawit je ni, tapi ada la rumah-rumah orang. Jalan pun tak berapa nak cun. Abang gagahkan jugak kerana abang yakin abang mengikut jalan yang benar.

Jumpa pulak lebuhraya PLUS lepas tu. Kena ikut jalan bawah lebuhraya untuk ke seberang sana. Jumpa pulak perkampungan Melayu lepas tu. Oklah tu ikut jalan camni. Kereta pun tak banyak. Boleh tengok suasana kampung sambil-sambil tu.

Abang berhenti sat tengok budak-mengail tepi parit di kampung mereka. Boleh tahan ramah budak-budak ni temuramah abang.

"Beli basikal tu berapa duit bang?"
"Abang mai dari mana? Nak pi mana?"

Abang dengan selamba & tenang menjawab soalan-soalan mereka. Nasib baik la depa tak sibuk tanya bila nak kahwin. Balik awal abang.

Sampai di hujung kampung, abang keluar di jalan besar. Ya, jalan besar ni abang cam ! Kalau terus ni jumpalah pekan Kuala Sepetang ! Maka benarlah abang di jalan yang benar.

Dengan perjalanan yang masih berbaki 5 KM, abang tak kayuh teruih. Sebaliknya abang singgah sat solat Zuhur di Masjid Al-Hadhari, Matang. Kebetulan bateri fon nak habis, siap tumpang caj bateri fon di masjid. Seriau jugak takut kena halau tumpang caj fon ni. 

Yang peliknya, solat Zuhur takda orang masjid ni. Mana pi tok imam & tok bilal abang pun tak tahu.


Jalan kampung & estet yang masih belum berturap sepenuhnya.

Bagus jugak Google Maps ni tolong carikan abang jalan kampung yang teduh dan tak banyak kereta. Sesuai untuk kayuh basikal.

Tembus tepi Lebuhraya Utara-Selatan PLUS. Ikut je jalan kecik ni dia akan cross lebuhraya untuk ke seberang sana.

Jumpa budak-budak kampung tengah mengail tepi parit.

Boleh tahan ramah budak-budak kampung ni. Siap buat sesi soal jawab dengan abang.

Bukan budak laki yang dok mengail ni ja yang ramah, mai kawan dia budak perempuan naik basikal ni pun sama ramah. Abang syak nama kampung mesti nama 'Kampung Ramah' ni.

Keluaq dari kampung, hujung jalan ada masjid. Berhenti rehat & solat dulu. Panas hangat terang tang tang ni.

Parking kunci basikal apa dulu. Bahaya jugak dok pikir kalau tak kunci walaupun dalam kawasan masjid.

Selesai solat, abang terus kayuh semula dalam panas terik tu. Jalan lurus lagilah buat psiko. Tinggal 5 KM lagi nak sampai Kuala Sepetang memang azab. Punggung pun dah ada tanda-tanda berdenyut-denyut ni. Huhu.

Banyak rumah-rumah kampung lama yang boleh diperhatikan sepanjang perjalanan ke Kuala Sepetang. Sesekali berselang-seli dengan warung mee udang yang ada di tepi rumah. Memang port mee udang la di Kuala Sepetang ni. Siapa yang mai Taping mesti pi Kuala Sepetang cari mee udang.

Destinasi pertama yang abang singgah di Kuala Sepetang adalah Kilang Arang Kuala Sepetang. Kalau hangpa perasaan di sepanjang jalan ada tertulis 'Charcoal Factory' dengan lambang air mineral Spritzer. 'Charcoal' di sini bermaksud arang, bukan tempat orang buat kuih cakoi. Ada beza ya.


Rumah-rumah kampung lama sepanjang jalan lurus Matang-Kuala Sepetang.

Yang seksa nak kayuh basikal bukan sebab letih, tapi bahang panas waktu tengahari macam ni. 

SJCAM SJ4000 abang bagi merakamkan detik-detik penting berbasikal lipat ke Kuala Sepetang.

Jalan lurus macam ni boleh buat psiko & berhalusinasi. Tiba-tiba ayat macam santifik sangat ni. Kilang arang Kuala Sepetang tak jauh dah tu.

Papan tanda 'Mee Udang Mak Jah' yang dah nak reput di tepi jalan.

Abang singgah masuk 'Charcoal Factory' atau kilang arang dulu di Kuala Sepetang ni.

Pantang ni kalau geng-geng hipster nampak kayu-kayu bakau camni. Mesti jadi port bergambar dengan caption-caption ala-ala deep gitu. Kalau jenis nak melawa-lawa dan sekadar syok-syok selfie tangkap gambaq abang nasihatkan toksah masuk la dalam kilang arang ni. Buat muka berdebu ja kena habuk arang nanti. 

Masuk dalam ni bawak-bawak la belajar camna cara penghasilan arang. Ni tak dok syok buat BBQ horay sana-sini, macam mana arang dibuat pun hangpa tak tau. Nampak remeh tapi bukan senang woo nak buat arang.

Kalau di luar kawasan kilang arang kita boleh tengok arang-arang yang dijual untuk dijadikan cenderahati. Bukan itu sahaja air wap rebusan arang pun ada dijual. Boleh buat ubat katanya.

Abang sempat meronda kawasan kilang arang Kuala Sepetang ni sebelum hujan turun. Boleh tengok ada relau pembakar berbentuk 'igloo' yang digunakan untuk membakar kayu bakau untuk dijadikan arang. Bukan sebuah tapi berpuluh buah relau.

Nak bakar pulak bukan sejam dua jam tapi sampai sebulan lamanya !

Hangpa tau tak kenapa kayu bakau dijadikan arang, dan bukan kayu getah? Ini kerana kayu bakau lambat terbakar dan lebih tahan lama berbanding kayu getah. Kalau kayu getah buat arang, tak dan nak bakaq satay dah jadi abu.

Kebanyakan pekerja di kilang arang Kuala Sepetang ni adalah orang Pakistan. Ada yang baru kerja, ada yang dah jadi senior. Kalau yang tahap senior tu boleh la cakap Melayu sikit-sikit.

Kesion woo tengok depa kerja. Ada yang tugas potong kayu bakau sampai berbirat lengan luka-luka. Bila abang tanya dulu kerja mana, katanya kerja kedai perabot di pekan Taiping tapi gaji sikit. Kerja kat kilang arang ni lumayan sikit. Gaji RM50 sehari. Tapi teruk la sikit.

"Saya ingatkan abang ni polis"

Kata seorang bro Pakistan yang dok kerja di sini. Ah sudah. Bila masa abang naik pangkat jadi polis ni. Saja acah-acah buat muka serius sikit mula la orang ingat abang polis.


Ini dia 'Charcoal Factory' Kuala Sepetang. Kalau cari char kuey teow kat sini memang tak jumpa. Bukan sini tempat dia.

Longgokan kayu bakau yang siap dipotong untuk dijadikan arang.

Terusan kecil yang dibina di pesisir kilang arang untuk memudahkan bot yang membawa bekalan kayu bakau masuk.

Bekalan kayu bakau akan diturunkan di sini sebelum proses pembuatan arang bermula.

Bila sebut bab arang, tak semua orang tahu bagaimana ianya dihasilkan dan dari mana datangnya arang tersebut. Salah satu lokasi pembuatan arang yang terkenal di Malaysia adalah di Kuala Sepetang ni la.

Serkam atau habuk-habuk kayu bakau yang telah dipotong. Abang kayuh basikal pakai kasut Crocs Asadi je.

Pekerja kilang arang Kuala Sepetang berehat sebentar. 

Kayu-kayu bakau yang ditebang dari hutan paya bakau sekitar Kuala Sepetang.

Kesian abang tengok pekerja-pekerja kilang arang ni yang banyaknya dari Pakistan.

Basikal lipat Raleigh Ugo abang turut sama tak nak kalah bergambar.

Pekerja Pakistan yang ditugaskan memotong kayu bakau sebelum dimasukkan ke dalam relau untuk dijadikan arang.

Gigih sangat nak bergambar dengan relau. Inilah dia yang dipanggil relau.

Pakcik ni tugas dia mengawal api relau. Selalunya kayu bakau jugak digunakan untuk membakar. Kalau tak ada, kayu getah pun depa guna.

Tak larat guna kudrat manusia, jadi forklift digunakan untuk mengangkut kayu bakau.

Kayu-kayu bakau yang telah siap dipotong.

Bot pengangkut kayu bakau yang digunakan untuk menghantar bekalan kayu bakau ke kilang arang.

Sebelah sana pun ada lagi.

Boleh ronda-ronda kawasan sekitar kilang arang. Tak ada sapa pun nak halang.

Masih lagi belum move on dengan kapal pengangkut kayu bakau ni. Minat sungguh.


Pelancong-pelancong luar yang berkunjung ke kilang arang Kuala Sepetang.

Arang-arang hiasan yang dijual di sekitar kawasan kilang arang Kuala Sepetang.

Dalam ni lagi meriah depa jual koleksi arang.

Pelancong-pelancong yang dah nak balik dengan hasil tangkapan masing-masing.

Di tepi jalan besar pintu masuk kilang arang Kuala Sepetang pun ada lagi orang jual arang.

Pilih la nak bentuk macam mana semua ada.

Kayuh dari kilang arang Kuala Sepetang ke Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang.

Pintu masuk ke Pusat Eko Pelajaran Kuala Sepetang.

Papan tanda alu-aluan ke hutan paya laut Matang. Banyak info yang hangpa boleh dapat bila baca kat sini.

Inilah dia pokok bakau dari jenis bakau minyak.

Boleh kayuh atas jejambat pejalan kaki yang merentasi hutan paya bakau di Pusat Eko Pelajaran Matang ni.

Ada gazebo atau wakaf-wakaf kecil sebagai tempat berehat.

Guruh dah mula berdentum masa abang nak mula kayuh dari kilang arang ke Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang. Abang ingat nak kayuh terus tapi ternampak pulak pusat ni.

Abang singgah sat dekat Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang nak tengok apa yang ada dekat situ. Selalu pernah tengok dengan dengar ja kat TV & majalah.

Nak masuk dalam tu kat luar pintu pagar tulis kena bayar. Tak ingat pulak abang berapa Ringgit. 2-3 kali jugak abang pikir nak masuk ke tak nak. Kalau masuk pun rasa macam rugi pulak bayar sebab nak masuk sat ja pusing-pusing dalam tu. Kalau tak masuk rugi pulak. Dah alang-alang sampai Kuala Sepetang ni.

Abang masuk jugaklah akhirnya. Dekat pintu pagar dia ada pakcik guard. Sampai kat pakcik jaga, abang angkat tangan dan baru abang ingat nak turun basikal daftar masuk, dia suruh abang masuk ja. Tak payah daftar & bayar apa pun. Mungkin dah lewat petang ke camna dia saja bagi masuk. Tak pun memang tak payah bayar dah sekarang ni abang pun tak pasti.

Risau abang guruh dok berdentum tanda hari nak hujan ni. Abang baru nak kayuh masuk dalam laluan pejalan kaki berkayu yang disediakan di hutan paya bakau ni, hujan pulak dah menitik-nitik. Abang tak tunggu lama, terus kayuh laju-laju keluar balik ke jalan besar.

Nak lari mana ni? Elok abang kayuh depan tu sikit ada Restoran Mee Udang Mak Jah. Sebenarnya abang nak cuba gerai mee udang yang lain yang ada di Kuala Sepetang ni, tapi rezeki Mak Jah la kot hari tu. Elok abang sampai kedai Mak Jah, hujan turun selebat-lebatnya.

Takkan dah sampai kedai Mee Udang Mak jah nak duduk melangut tunggu saja-saja kan? Nak tak nak kena la pesan makanan.

Datang hakak pelayan ambik pesanan. Amboi kemain pekerja kedai mak Jah sekarang, pakaian kemas-kemas belaka.

Abang belek-belek menu yang diberi. Abang tengok dekat bahagian minuman. tK nampak pulak celah mana minuman tradisional ni.

" Kak, bagi teh ais satu kak. Kurang manis"

Dengan yakinnya abang pesan teh ais.

"Teh ais takda"

Ish takkan takda kot. Biar betul.

" Bagi teh'o la kalau camtu"

" Teh'o pun takda. Kita ada air buah-buah je"

Punggah. Kedai Mee Udang Mak Jah takda teh ais. Semua air buah ja. Hipster habis Mak Jah!

Betul ke abang duduk Kuala Sepetang ni?

Nak tak nak dengan suka paksanya abang pun pesan la jus epal. Jadi western kau minum air buah hujan-hujan ni !

Untuk makanan pulak, abang cuba mencari kelainan upaya dengan memesan nasi goreng order. Lain dari yang lain !

Saja la nak tengok macam mana dia boleh pergi.

Tak sampai 10 minit, sampai lah makanan & minuman yang abang pesan tadi.

Tara ! Meh kita rasa tengok nasi goreng udang dia. Nama nasi goreng udang tapi tak nampak udang pun ! Mana udang dia menyorok ni?

Kais-kais nasi baru la jumpa udang yang dikatakan itu. Ada la dalam 6-7 ekoq. Nak kata besar udang dia, takdalah besar mana. Kira bolehlah bagi abang. Sesuai dengan harga dekat RM10 sepinggan.

Yang abang kecewa sangat awat nasi goreng dia sejuk ! Patut la cepat sampai pun. Ni mesti dah ready made ni. Takkan alasan hujan kot nasi goreng cepat sejuk.

Takpalah. Kecewa dalam bercinta pun tak sekecewa makan kat kedai Mee Udang Mak Jah woo ! Dah la teh ais takda, datang pulak nasi goreng sejuk.

Abang tahu sat lagi mesti ada yang kondem abang ni kata nak menjatuhkan perniagaan orang Melayu.

Takpalah. Abang cuma cerita apa yang abang lalui.


Mee Udang Mak Jah di Kuala Sepetang dah semakin hipster !

Kedai Mee Udang Mak Jah yang lebih banyak kerusi berbanding pelanggan.

Abang parking basikal lipat abang sebelah meja !

Yang abang tak puas hati kat kedai Mee Udang Mak jah ni dia tak ada teh ais ! Mak Jah nak cepat pi haji kot !

Menu abang di kedai Mee Udang Mak Jah. Nasi goreng udang beserta air epal. Motif letak kuah mee udang sebelah nasi goreng?

Sebelah sana ada orang jual cucur udang.

Kalau Teluk Intan dikenali dengan nama Teluk anson suatu ketika dulu, Kuala Sepetang pulak dikenali dengan nama Port Weld.

Kak Long Seafood pulak dah. Semakin menjadi-jadi trend shellout ni.
Hujan dah berhenti, abang terus menyambung perjalanan yang dari pagi tadi tak sampai-sampai lagi. Dari Restoran Mee Udang Mak Jah dah tak jauh dah nak sampai pekan Kuala Sepetang.

Apa yang menarik di pekan Kuala Sepetang? Kalau hangpa cari hiburan macam Genting Highland ke memang tak adalah kat sini. Tapi banyak pelancong luar yang datang berkunjung ke pekan Kuala Sepetang yang majoritinya dihuni oleh masayarakat cina ni.

Di pekan Kuala Sepetang, terdapat batu tanda asal stesen keretapi pertama di Tanah Melayu suatu ketika dulu iaitu stesen Port Weld. Kalau dulu Kuala Sepetang dikenali dengan nama Port Weld dan terdapat landasan keretapi yang menghubungkan Port Weld hingga ke Taping. Tapi sekarang landasan tu dah tak ada. Yang tinggal sekarang adalah stesen keretapi Port Weld yang telah menjadi kedai kopi dan batu tanda stesen telah dijaga rapi oleh pemilik kedai kopi tersebut.

Kalau sampai di pekan Kuala Sepetang boleh la cari batu tanda stesen keretapi Port Weld tersebut. Abang pun sesat jugak nak cari pada mulanya, tapi terjumpa jugak akhirnya. Lagi satu, kalau sampai di Kuala Sepetang jangan lepaskan peluang cari jambatan Sungai Reba. Boleh tengok pemandangan menarik woo dari situ !

Yang abang perasan pekan Kuala Sepetang ni banyak orang guna basikal tak kisah budak-budak atau orang tua sekali pun. Sama jugak di mana-mana perkampungan cina seperti di Pulau Ketam atau pun di Pontian. Baguih sungguh !


Selamat tiba di pekan Kuala Sepetang.

Pekan lama Kuala Sepetang majoritinya didiami oleh kaum cina.

Batu tanda asal Stesen KTM Port Weld. Dulu ada landasan keretapi yang menghubungkan Port Weld hingga ke Taiping.

Keunikan dan rumah-rumah menarik yang terdapat di pekan Kuala Sepetang.

Syahdu pulak lebih-lebih lagi bila hujan dah berhenti.

Tong-tong minyak ni banyak kat pekan Kuala Sepetang.

Ada sebuah masjid besar di Kuala Sepetang ni.

Tu dia burung helang nak sama macam Langkawi dah.

Bot yang boleh disewa untuk ronda-ronda hutan paya bakau Kuala Sepetang.

Pusat Pelancongan Port Weld Eco Tourism

Bot tengah siap-siap tunggu penumpang untuk dibawa melihat hutan paya bakau sekitar Kuala Sepetang

Haaa yang bangunan warna hitam tu hotel, bukan bangunan tempat sarang burung.

Rumah penduduk di Kuala Sepetang rapat-rapat. Jalan pun cun-cun je sebuah kereta boleh lepas.

Salah jalan pulak. Depa buat kenduri.

Tengah sibuk cari jambatan Sungai Reba. Tanya orang sana sini tak jumpa jugak.

Sama seperti Pulau Ketam, penduduk di pekan Kuala Sepetang mesra menggunakan basikal.

Pemandangan Kuala Sepetang a.k.a dari Jambatan Sungai Reba.

Bot-bot nelayan yang baru pulang.

Jambatan Sungai Reba ni yang abang dok cari. Ingatkan jambatan besar, rupanya muat motor dengan basikal ja.

Biar kalah berlumba, jangan kalah bergambar.

Sekaler je semua bot-bot nelayan kat Kuala Sepetang ni. Satu tema sehati sejiwa ke apa.

Dah nak balik dah. Ada pasar malam baru nak buka dekat pekan Kuala Sepetang.

Abang sampai sekarang dok pikir 'Ayam Raye Port Weld' ni apa dia

Masa nak balik, abang singgah semula kat Pusat Pelajaran Eko Hutan Paya Laut Matang. Cerah sikit lepas hujan ni.

Sapa tau kat mana nak cari payung yang boleh lekat kat motor ni? Nak jugak cari sebiji buh dekat basikal.

Mencari jalan pulang. Iklan Zoo Taiping pulak dah !

Masjid Al-Hadhari, Matang.

Selamat tiba semula di Stesen KTM Kamunting dengan keadaan basah kuyup.

Mujur bawak dry beg. Barang-barang penting tak basah.
Singgah minum dulu dalam perjalanan balik ke rumah. Makcik pakcik ni teruja dengar cerita abang kayuh basikal ke Kuala Sepetang.

Abang berkayuh balik semula ke Kamunting dari Kuala Sepetang dekat pukul 6.30 petang jugak. Nak kena kejar tren KTM Komuter pukul 7.30 malam. Kalau terlepas yang tu kena tunggu yang pukul 9.00 malam la pulak.

Masa kayuh balik hujan lagi la pulak. Kayuh tetap kayuh walaupun dalam kebasahan. Abang ikut jalan yang sama sewaktu abang mai tadi. Balik tak payah guna Google Maps dah, sebab dah hafal jalan.

Elok sampai Stesen KTM Kamunting dah waktu Maghrib. Cepat-cepat beli tiket tren, naik lif dan terus tunggu kat platform. Elok 5 minit lepas tu tren pun sampai.

Sampai di Bukit Mertajam, abang solat dulu dan kemudian berkayuh balik. Lebam punggung woi nak berkayuh balik pulak malam-malam ni !

Hujan renyai-renyai malam masa abang balik tu. Dari Kamunting tadi hujan renyai sampai la ke Bukit Mertajam. Nak tak nak abang terpaksa kayuh jugak balik rumah. Singgah sat makan masa kayuh balik. Pakcik kedai nasi ayam yang abang singgah teruja sungguh dengaq abang cerita kayuh basikal ke Kuala Sepetang. Tak pasti dia paham ke tak cerita abang naik KTM Komuter dari Bukit Mertajam, bukan kayuh dari Bukit Mertajam. Huhu.

Alhamdulillah abang sampai rumah pukul 11 malam. Keluaq rumah pagi tadi pukul 7.00. Cukup seharian berkayuh ke Kuala Sepetang hari ni. Jadi jugak plan nak berkayuh ke sana.

Kadang-kadang plan minit-minit akhir yang selalu menjadi. Dok plan awal selalunya tak jadi. Ada hal lah, apalah. Lebih-lebih lagi kalau dengan kengkawan. Sebab tu abang suka bergerak secara solo. Senang nak buat keputusan.

Dok rancang pulak nak kayuh basikal lipat naik KTM Komuter pi Kuala Perlis. Kalau jadi, jadilah. Doakan abang istiqamah dalam perjuangan. Huhu.

'Trip Berbasikal Lipat Balik Hari : Bukit Mertajam-Kuala Sepetang' tamat !

*Gambar & video dirakam sepenuhnya menggunakan SJCAM SJ4000 & Lenovo A7000 Plus

# Kalau takut dengan risiko jangan bicara soal perjuangan. Kalau takut kulit hitam & punggung lebam jangan sesekali kayuh basikal.

30 ulasan:

  1. kubang semang tu area rumah saya, rindu pulak kampung halaman bila baca post ni hehehe.

    BalasPadam
  2. pergh. lama tggu post terbaru bro!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pergh ! Terharu ada orang tunggu post terbaru abang !

      Padam
    2. haha. rsenye sume post ko aku bace. xde wt ride g belah selatan ke?

      Padam
  3. Rakaman pengalaman yg jujur dan menarik. Tahniah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih!

      Tiada yang sejujurnya melainkan yang jujur-jujur belaka.

      Padam
  4. Balasan
    1. Yang inilah cerita yang paling terbaru pun. Cerita banyak, tapi tak dan nak menulis !

      Terima kasih sudi melawat blog abang !

      Padam
    2. Yang inilah cerita yang paling terbaru pun. Cerita banyak, tapi tak dan nak menulis !

      Terima kasih sudi melawat blog abang !

      Padam
  5. hurmm.. kubang semang tak jauh dah tu dengan kepala batas.. ride seterusnya bila dan ke mana.. kalau sabtu ahad, boleh join..haha

    BalasPadam
  6. Bro, try pi Pulau Belitung.. Layan..

    https://backpacksempoi.wordpress.com/2015/12/05/kembara-palembang-pulau-belitung-indonesia/

    BalasPadam
  7. Bang nak tanya..basikal lipat nie muat x sumbat dalam kereta myvi?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Emm tak berapa nak pasti bonet MyVi besar mana. Saya rasa lepas kot kalau letak menegak.

      Padam
  8. jalan yang straight tinggi tu yang ada rumah orang india kiri kanan adalah laluan keretapi lama port weld ke taiping

    BalasPadam
    Balasan
    1. Oh. Terima kasih. Baru tau info ni.

      Padam
  9. tuan, boleh bawak beskal lipat naik LRT tak?

    BalasPadam
    Balasan
    1. LRT setahu saya tak boleh. Hanya KTM Komuter je yang dibenarkan.

      Betulkan saya kalau salah

      Padam
  10. Pakai kamera apa tu..? cantik gambar

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam.

      Abang guna SJCAM SJ4000 dengan kamera telefon Lenovo ja. Huhu

      Padam
  11. x sabar nak tunggu post baru bro....jgn biarkan peminat anda tertunggu-tunggu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam.

      Dalam proses mengarang lagi. Terima kasih atas sokongan bro !

      Padam
  12. seronok baca, teringin sangat nak berbasikal begini... saya pernah ke kuala sepetang masa sekolah dulu... lebih 20tahun dulu kot...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih !

      Fuh lama dah tu ! Boleh berjinak-jinak balik kayuh basikal tu. Huhu

      Padam
  13. beslah catitan saudara ni.lawak pulak tu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih tuan atas penghargaan sebegini !

      Kembang kempis kembang kempis pula rasanya sampai ke malam ni !

      Padam
  14. seronok baca blog ni.ia ulasan yg jujur seolah spt aku yg kayuh dan terasa penatnya sb aku pun jenis solo rider jg..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih tuan.

      Main sebat ja tulis ni. Haha.

      Keep pedalling !

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...