Iklan

13 November 2014

Kembara Trans Sumatra : Samosir - Medan (Part 7)

Sambungan dari Kembara Trans Sumatra : Menjelajah Pulau Samosir (Part 6)

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.


Hujan lewat petang semalam baru saja reda pagi ini. Balik dari bersembang dengan Uncle Tam dalam kehujanan semalam terus lena dibuai mimpi hingga ke pagi. Dingin pagi di Danau Toba sungguh mencengkam tubuh. Nak saja tarik selimut sambung tidur seusai Subuh. Namun, kami harus meninggalkan Pulau Samosir hari ini untuk ke kota Medan. Tiket trafel telah pun dibeli di Parapat sewaktu kami sampai di sini dua hari lepas.

Memandangkan ini adalah pagi terakhir di Tuktuk, kesempatan ini kami gunakan untuk meronda kawasan sekitar. Dengan hanya berjalan kaki, kami melihat suasana kehidupan pagi. Mungkin masih terlalu awal, tidak banyak kedai atau restoran yang dibuka. Yang kelihatan hanya penduduk tempatan berulang-alik menggunakan jalan Tuktuk yang berlopak. Kabus pagi ini lebih tebal berbanding pagi semalam. Kelihatan juga bot-bot kecil dan feri yang sudah beroperasi di tasik Danau Toba.

Rumah tumpangan atau guesthouse dengan senibina Batak yang terdapat di Tuktuk, Pulau Samosir.

Kebun jagung kecil-kecilan di Tuktuk.

Feri Danau Toba yang bersiap bersedia memulakan operasi di awal pagi.

Jeti-jeti kecil di setiap chalet atau guesthouse, tempat di mana penumpang menunggu feri untuk ke Parapat.

Jalanraya Tuktuk yang masih basah akibat hujan lebat semalam.

Kedai runcit dan sewa motorsikal di Tuktuk yang masih belum dibuka awal pagi.

Bumbung-bumbung melengkung tinggi identiti senibina masyarakat Batak.

Ada pakcik dah berenang di tasik Danau Toba pagi-pagi ni.

Entah mana-mana chalet kami terjah masuk.

Antara chalet gaya Batak yang ada di Tuktuk ini. 

Hotel dan restoran yang terdapat di Tuktuk.

Pemilik chalet melayan kerenah haiwan kesayangannya.

Adik gua sibuk ambil gambar pakcik yang berenang di tasik Danau Toba ni.

Pekerja-pekerja chalet di Tuktuk memulakan tugas membersihkan bilik.

Rumah makan khas Batak. Semuanya tersedia. Baca elok-elok bagi yang muslim.

Nak masuk rumah makan di Danau Toba ni perhatikan betul-betul. Pastikan yang betul-betul halal.

Jalan Tuktuk di Pulau Samosir yang berlopak teruk ditambah dengan hujan semalam..

Kedai kayu dalam proses pembinaan di Tuktuk.

Bermacam jenis guesthouse yang ada di Tuktuk, Pulau Samosir ini.

Tak nak sewa motor ? Nak sewa basikal pusing Danau Toba pun boleh kalau larat kayuh.

Sesi meronda sambil bergambiran di sekitar Tuktuk.

Marroan Accomodation & Restaurant. Ada banyak sangat chalet, tak sempat ronda satu-satu.

Pulau kecil di tasik Danau Toba berhadapan chalet.

Ada feri dalam proses baik pulih di hadapan Rodeo Guesthouse tempat kami menginap.

Feri-feri yang beroperasi di Danau Toba.

Danau Toba yang berkabus.

Feri akan berhenti di setiap jeti berhadapan chalet atau guesthouse untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

Baru gua perasan ada pam air yang menyedut air di tasik Danau Toba ini untuk disalurkan ke guesthouse. Mandi air tasik rupanya selama dua hari ni.

Dah puas meronda pagi itu di sekitar Tuktuk, kami kembali semula ke Rodeo Guesthouse untuk bersiap. Kami perlu segera check-out dari hotel pagi ini untuk menaiki feri kembali ke Parapat untuk ke Medan. Lebih kurang jam 10.30 pagi, kami berjalan kaki semula ke jeti umum menunggu feri ke jeti Tigaraja. Sebenarnya boleh saja kalau nak tunggu di jeti berhadapan guesthouse, tapi kami dah terlewat. Feri dah pun bergerak mengambil penumpang lain di jeti yang lain. Maka terpaksalah kami menapak berjalan kaki ke jeti umum tempat kami turun semalam.

Jadual keberangkatan feri dari Tuktuk ke Tigaraja atau sebaliknya adalah sejam sekali. Kalau dari Tuktuk ke Tigaraja seawal jam 7.00 pagi dan terakhir pada pukul 5.30 petang. Jikalau dari Tigaraja menuju Tuktuk pula bermula sewal jam 8.30 pagi dan terakhir sekali pada jam 7.00 malam. Ada jadual perjalanan feri yang boleh dilihat di jeti Tigaraja. 

Kami berangkat dari jeti umum Tuktuk jam 11.00 pagi. Feri ke Tigaraja datang tepat pada waktunya selepas ianya selesai mengambiil penumpang dari chalet/guesthouse berdekatan. Tambang feri sebanyak Rp 10,000 seorang dikenakan untuk perjalananan Tuktuk - Tigaraja ini, sama seperti sewaktu datang ke Pulau Samosir. Tambang dibayar di dalam feri. Ada seorang konduktor yang ditugaskan untuk mengutip tambang dari penumpang.

Jarak masa perjalanan adalah selama 45 minit dari Tuktuk ke jeti Tigaraja. Feri yang kami naiki kali ini tidak sepadat sewaktu kami datang. Gua duduk di bahagian dek terbuka di bahagian belakang, tingkat atas kapal manakala adik gua duduk di bahagian berbumbung. Ada beberapa orang pasangan mat saleh turut ada di situ. Langit agak mendung menunjukkan tanda-tanda hujan akan turun. Panorama yang cukup indah dan sayu melihat pulau Samosir yang semakin jauh ditinggalkan. Pemandangan seakan-akan dalam filem Jurassic Park apabila awan mendung dan kabus menyelubungi bukit-bukit tinggi di Pulau Samosir.

Selamat tinggal Pulau Samosir ! Insyaallah ada peluang akan ku jejak lagi !


Kemas bag dan bergerak menuju ke jeti umum untuk menaiki feri dari Tuktuk ke jeti Tigaraja di Parapat.

Menunggu feri di jeti umum Tuktuk dengan sabar.

Pakcik tadi dah berenang sampai ke tengah !

Ada satu pasangan lain yang turut menanti feri ke Tigaraja di jeti umum Tuktuk ini.

Feri ke Tigaraja tiba tepat pada waktunya.

Feri yang menghampiri berlatarkan panorama Danau Toba yang berkabus.

Tersedia jam di jeti Tuktuk.



Dah boleh naik feri untuk kembali ke Parapat..

Abam Mat Saleh segak berkaca mata berlatarkan Pulau Samosir..

Dek terbuka untuk penumpang feri menikmati keindahan Danau Toba.

Selamat tinggal Samosir ! Moga ketemu lagi !

Awan mendung yang berarak.

Buritan feri.

Pulau Samosir dengan gelaran 'Pulau Di Atas Pulau'

Tebing-tebing tinggi yang berkabus sepanjang masa.

Danau Toba yang terbentuk dari letusan vulkanik suatu masa dulu.

Air tasik Danau Toba yang menghijau.

Dari jauh baru nampak pekan dan gereja di pinggir tebing tinggi Pulau Samosir.

Di tingkat atas feri ada juga ruangan berbumbung untuk penumpang, takut-takut hujan.

Selepas 45 minit, tiba di jeti Tigaraja di Parapat.

Apabila tiba di jeti Tigaraja di Parapat, kami turun dari feri perlahan-lahan bak diva sambil menjinjing beg. Ada 2-3 orang ejen yang menjual tiket trafel ke Medan di kawasan berhampiran. Salah seorangnya adalah ejen yang menjual tiket trafel kepada kami tempoh hari. Gua tunjukkan tiket yang telah kami beli beberapa hari lepas kepadanya, beliau mengarahkan kami untuk berkumpul di travel agency tidak jauh dari situ.

Kami bergegas menuju ke sana, dan kelihatan ada beberapa buah trafel yang telah bersedia untuk bertolak. Kami tunjukkan tiket kepada seorang kakitangan, dan dengan cepat kami diarahkan untuk menaiki sebuah trafel yang telah cukup dengan penumpang, hampir semuanya adalah mat saleh. Masuk kami berdua, gua dan adik gua dalam trafel menjadikan satu trafel penuh dengan tujuh orang penumpang dan seorang pemandu. 

Gua duduk di kerusi paling belakang bersama dengan dua abam mat saleh, dan adik gua pula duduk di barisan tengah. Pemandu trafel menyusun agar lelaki duduk bersama lelaki dan perempuan bersama perempuan. Tidak lama selepas kami naik, trafel mula bergerak lebih kurang jam 12.00 tengahari. Hujan mulai turun renyai-renyai sedang trafel mendaki jalan yang menanjak meninggalkan Parapat menuju ke Permatang Siantar. Pemandangan yang dapat gua saksikan melalui tingkap trafel amat menarik sekali. Jalan berliku dan menanjak membelah tebing tinggi di samping pemandangan tasik Danau Toba di sebelah kiri jalan amat mengagumkan. Tidak hairanlah ramai yang tidak jemu melancong dan berkunjung ke Danau Toba berkali-kali oleh kerana faktor muka bumi dan pemandangannya yang memukau.

Perjalanan dari Parapat ke Medan yang hanya sejauh 150 KM sahaja mengambil masa lebih kurang 4 jam. Kecut perut jugak apabila trafel melayan selekoh dan cara pemanduan yang agak menakutkan oleh pak supir. Sesi hon meng-hon di wilayah Sumatera merupakan satu kemestian dan kewajiban. Mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi mereka dan sebagai peringatan di mana keadaan jalannya agak sempit dan macet. Walaupun begitu jarang dilihat ada kemalangan walaupun sikap pemandu mereka yang tidak sabar-sabar untuk memotong. Sikap tolak ansur mereka wajar dipuji.


Trafel berhenti rehat di salah sebuah hentian rehat.

Hentian rehat yang menjadi persinggahan bas dan trafel dari/ke Medan.


Partner gua yang sama-sama duduk kerusi belakang dalam trafel.

Berhenti setengah jam untuk rehat dan makan.

Jam 4.00 petang, kami tiba di kota Medan, kota terbesar di Sumatra dalam keadaan hujan renyai-renyai. Trafel akan menurunkan penumpang di hotel penginapan mereka. Bagi kami yang masih belum memutuskan untuk menginap di mana, gua minta diturunkan di Masjid Raya Medan. Memandangkan telah masuk waktu Asar, kami solat jamak di masjid ini dahulu.

Masjid Raya Medan atau dikenali sebagai Masjid Raya Al-Mashun ini terletak betul-betul di tengah kota Medan. Di kawasan sekitar masjid yang berusia lebih 100 tahun ini terdapat hotel-hotel dan pusat membeli-belah. Hujan renyai-renyai tadi menjadi semakin lebat. Kami beriktikaf di dalam masjid sementara menunggu hujan sedikit reda. Jemaah lain yang  juga turut berteduh di kawasan perkarangan Masjid Raya Medan di kala hujan lebat ini.

Apabila hujan sedikit reda, kami menyusuri lorong belakang Masjid Raya Medan mencari tempat penginapan. Mengikut kajian dan panduan yang telah dibuat, ada beberapa buah hotel dan guesthouse terdapat di sekitar sini. Salah satunya adalah Residence Hotel yang mendapar review yang agak baik. Jalan kaki tidak sampai 5 minit dari Masjid Raya Medan, maka jumpalah Residence Hotel ini.

Di kawasan kejiranan ini terdapat beberapa buah kedai makan yang tertera 'Teh Tarik Malaysia.' Mungkin kedatangan pelancong dari Malaysia telah mengubah sedikit sebanyak corak pemakanan dan budaya di sini. Orang-orang di sini juga fasih bercakap dalam 'loghat' Kuala Lumpur bila mana mengetahui kami yang datang dari Malaysia.


Jemaah berteduh di Masjid Raya Medan akibat hujan lebat.

Masjid Raya Al-Mashun atau juga dikenali sebagai Masjid Raya Medan.

Hujan semakin lebat di kota Medan.

Kanak-kanak riang bermain hujan di perkarangan Masjid Raya Medan.

Koridor Masjid Raya Medan.

Seronok depa main gelongsor dalam hujan.

Ruang mengambil wuduk Masjid Raya Medan.

Pintu masuk utama Masjid Raya Medan di sebelah hadapan.

Musafir dari Malaysia. Sekali tengok macam gelandangan.

Hujan dah berhenti. Mencari penginapan di kawasan sekitar Masjid Raya Medan.


Lorong belakang Masjid Raya Medan.

Penginapan di Residence Hotel ini sangat berbaloi bagi kami dengan bajet yang ketat ini. Harga bilik ekonomi bermula dari Rp 70,000 hinggalah ke bilik mewah berharga Rp 160,000. Di hotel ini terdapat hampir 90 bilik dan setiap bilik mempunyai bilik air sendiri walaupun bilik ekonomi. Kakitangannya juga ramah dan ada restoran di tingkat bawah. Kami memilih bilik standard yang harganya Rp 95,000 semalam oleh kerana bilik ekonomi yang telah habis ditempah. Bilik standard ini lebih lapang dan mempunyai televisyen selain daripada kipas. Ini adalah penginapan termurah kami sepanjang berada di Sumatera.

Dari tingkat atas Residence Hotel ini kita boleh nampak Masjid Raya Medan dan kawasan kejiranan setempat. Setiap kali masuk waktu solat, azan yang berkumandang dapat didengari dengan jelas. Selesai urusan check-in, kami keluar semula untuk solat Maghrib berjemaah di Masjid Raya Medan. Selepas Maghrib, kami berjalan di pusat membeli-belah berhampiran. Tak ingat pulak nama tempat itu. Tak jumpa tempat makan yang sesuai, kami kembali ke Residence Guesthouse untuk makan malam. Walaupun namanya restoran, harga makanan di Residence Hotel ini sangat berbaloi dengan pelbagai pilihan menu yang agak kena dengan tekak. 

Hotel Residence, tempat kami menginap di Medan.

Hotel Residence yang betul-betul berdekatan Masjid Raya Medan. Sesuai untuk backpackers. 

Kota Medan, kota ketiga terbesar di Indonesia.

Suasana petang di kota Medan yang sibuk dengan kenderaan.

Masjid Raya Medan.

Pusat membeli belah berhadapan Masjid Raya Medan.

Papan tanda arah tempat wisata menarik di Medan seperti Istana Maimoon.

Kenderaan bersimpang siur di waktu puncak.

Peniaga-peniaga kecil menjual makanan di perkarangan Masjid Raya Medan

Selesai makan, kami melepak bersembang di restoran Residence Hotel hingga larut malam. Ada wifi percuma di ruang makan ini. Boleh la Google apa yang patut. Keesokkan hari kami akan meninggalkan kota Medan untuk bergerak menuju ke Tanjung Balai. Mengikut info, ada pelbagai macam cara yang boleh digunakan untuk menuju ke kota Tanjung Balai, Asahan dari Medan. Sedang gua selak-selak peta ternampak laluan keretapi yang terus menghubungkan Medan ke Tanjung Balai. Oh bboleh naik keretapi rupanya terus ke Tanjung Balai. Gua terus la kaji sikit jadual perjalanan keretapi dan waktu yang sesuai untuk menaikinya. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...