Iklan

04 Disember 2014

Duo Ride Pantai Timur (Hari 2) : Gua Musang - Tasik Kenyir - Kuala Terengganu - Bachok

Sambungan dari Duo Ride Pantai Timur (Hari 1) : Kuala Lumpur - Gua Musang





السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.


Kami menyambung semula perjalanan yang tertangguh semalam pada pagi ini dari Gua Musang. Setelah kehujanan semalam, kami mengambil keputusan bermalam di surau RnR Gua Musang. Semalam sebelum tidur, gua dah berkira-kira dengan Shahrul untuk bergerak pada pukul 4.00 pagi tapi kami terlajak sampai ke Subuh. Selesai solat, kami bersarapan dulu di RnR Gua Musang sebelum bersiap menyambung kembara bermotosikal ini.

Cuaca pagi agak berkabus di awal perjalanan. Bukit batu kapur yang terdapat di kiri kanan jalan Gua Musang-Kota Bharu ini dilitupi kabus tebal mewujudkan suasana ala-ala Jurassic Park. Lebih kurang setengah jam dari RnR Gua Musang, kami tiba di Stesen Minyak Petron berhampiran persimpangan Felda Aring. Ini merupakan stesen minyak terakhir sebelum melalui Jalan Felda Aring kerana di dalam sana sudah tidak ada lagi stesen minyak. Kami berhenti bukan untuk mengisi minyak , tetapi untuk mencari tandas bagi melepaskat hajat pagi. Sebelum bergerak tadi, minyak telah kami isi penuh di Stesen Minyak Shell RnR Gua Musang.

Dari Stesen Minyak Petron, kami berpatah balik ke simpang kanan Jalan Felda Aring untuk ke Tasik Kenyir. Kalau terus mengikuti jalan tadi, kita akan sampaii ke Kota Bharu. Pagi-pagi ini tak banyak kenderaan yang melalui jalan Felda Aring ini. Sesekali lori pasir atau bas yang memotong kami. Di kiri kanan jalan pula ladang kelapa sawit. Jalannya agak beralun serta menaik dan menuruni bukit. Terpikir jugak macam mana keadaannya kalau kami gigih jugak tempuh malam semalam. Siang pun dah sunyi tak nampak kelibat manusia, malam lagilah. Ada sesetengah kawasan jalannya agak teruk dengan lubang-lubang besar. Terpaksa kami menunggang motorsikal dengan lebih perlahan dan berhati-hati.

Sarapan pagi RnR Gua Musang sebelum memulakan perjalanan ke Tasik Kenyir.

Jalan utama Gua Musang-Kota Bharu.

Kedinginan pagi Jalan Gua Musang-Kota Bharu.

Kabus pagi yang menyelubungi hutan Gua Musang.


Jalan Felda Aring menuju ke Tasik Kenyir.


Jalan Felda Aring yang sunyi.

Lori pasir yang agak laju melalui Jalan Felda Aring ini.

Jalan yang agak cantik di awal perjalanan melalui Felda Aring.

Ladang kelapa sawit di kiri kanan jalan. Nama pun Felda Aring.

Naik bukit turun bukit Felda Aring.

Terasa agak lama mengikuti Jalan Felda Aring ke Tasik Kenyir ini. Kelajuan purata kami lebih kurang 50-60 KM/J sahaja dengan jalan yang tidak berapa elok.  Semasa perjalanan, kami melalui beberapa sekatan yang dijaga oleh polis. Tengah sedap menunggang, perut buat hal kembali. Mana pulak nak cari tandas tengah-tengah ladang kelapa sawit ni. Kebetulan semasa itu kami melalui Felda Aring 6. Ada jalan masuk ke dalam kawasan Felda yang dijaga oleh polis yang bertugas. Ada papan tanda menunjukkan lokasi masjid lebih kurang 2 KM ke dalam. Kami berhenti di pintu masuk Felda. Gua buat-buat tanya dekat abang polis, ada masjid ke di dalam kawasan Felda Aring 6 ni. Kata mereka, bila masuk ke dalam nanti akan nampak la masjid di sebelah kanan jalan.

Dengan tergesa-gesa, kami memecut masuk ke dalam Felda Aring 6 mencari masjid. Perut sudah tidak tertahan. Akhirnya, jumpa jugak tandas untuk memerut di Masjid Felda Aring 6 ini. Suasana di sini agak sunyi walaupun kelihatan rumah penduduk di kawasan sekitar. Jarang nampak penduduk berulang-alik di jalanraya. Di dalam Felda Aring 6 ini jugak terdapat klinik desa untuk penduduk setempat oleh kerana jarak dari sini ke bandar-bandar besar berhampiran yang agak jauh. Terpikir jugak gua macam mana kehidupan di ladang kelapa sawit jauh di kawasan pedalaman ni.

Masjid Felda Aring 6. Melepaskan hajat yang tertangguh.


Masjid Felda Aring 6 yang terletak agak jauh ke dalam dari jalan besar.


Terdapat perumahan di kawasan sekitar Masjid Felda Aring 6 ini. Suasana agak sunyi.

Klinik desa di Felda Aring 6. Ada polis yang berjaga di laluan masuk.

Kembali ke jalan besar Felda Aring.

Berhenti bertanya di warung kopi. Permulaan jalan lebar yang cantik  ke Tasik Kenyir

Jalan mulai melebar apabila melepasi kawasan Felda Aring. Jalan kali ini agak luas dan cantik. Lebih kurang jalan Grik-Baling atau jalan Sungai Koyan-Ringlet. Di kiri kanan jalan kelihatan hutan yang menghijau. Walaupun jalannya agak besar dan selesa untuk dilalui, tetapi tidak banyak kenderaan yang melaluinya. Jalan besar dari Felda Aring ini akan terus menuju ke Tasik Kenyir. Hanya sesekali berselisih dengan lori besar sepanjang perjalanan. Kesempatan itu kami gunakan untuk bergambar di tengah jalanraya Felda Aring - Tasik Kenyir ini.


Di bahu jalan terdapat tahi-tahi gajah yang masih segar lagi. Memang laluan Felda Aring-Tasik Kenyir ini terdapat banyak gajah-gajah liar. Siap ada papan tanda menasihatkan pemandu berhati-hati dengan kehadiran gajah liar. Bukan rezeki kami hari tu nak tengok gajah liar secara live. Menurut kata abang tuan rumah tempat kami berteduh dari hujan lebat semalam, gajah-gajah liar ni akan keluar dari hutan selepas hujan. Jadi kalau selepas hujan, kemungkinan besar boleh tengok gajah-gajah liar ini. Gua dengan Shahrul pernah jugak terpikir kalau kami redah jugak semalam kemungkinan boleh tengok gajah-gajah liar ni tapi agak berisiko sebab tengah-tengah malam di laluan sunyi ni ! Mau kena pijak dengan gajah !

Dalam perjalanan melayan selekoh naik bukit turun bukit Tasik Kenyir ini, kita akan melintasi beberapa buah jambatan yang merentasi Tasik Kenyir. Tasik Kenyir inikan luas, yang kami jumpa mungkin hanya anak-anak tasiknya sahaja. Pengguna jalan Felda Aring-Tasik Kenyir ini boleh nampak santuari gajah Sungai Ketiar di sebelah kiri jalan yang telah ditutup. Sama seperti santuari gajah Kuala Gandah, pengunjung boleh masuk dan melihat sendiri gajah di sini. Sayangnya ia telah ditutup semasa kunjungan kami baru-baru ini. Harapan kami nak singgah tengok gajah di sini pun tidak kesampaian. Menurut cerita abang semalam, kebanyakan gajah liar telah dihantar ke tempat baru di Tasik Kenyir.

Jalan yang cantik dan lebar selepas Felda Aring ke Tasik Kenyir.

Berhenti melepak sat bila kebas punggung. 

Jalan Felda Aring-Tasik Kenyir yang masih berkabus.



Shahrul mengukur jalan Felda Aring-Tasik Kenyir.


Kenderaan memang jarang-jarang melalui Jalan Felda Aring-Tasik Kenyir ini.

10-15 minit baru ada kenderaan lalu. Nak melepak tidur atas jalan pun boleh.

Jalan Felda Aring-Tasik Kenyir yang lengang.

Kawasan gajah liar melintas di Jalan Felda Aring--Tasik Kenyir ni. Tahi gajah bersepah di tepi jalan.

Tak ada rezeki kami nak tengok gajah liar pagi ni. Seekor pun tak nampak.

Meneruskan perjalanan ke Tasik Kenyir. Lawa pokok tu.

Jalan yang luas dan menghijau. Kalau kami lalu Jalan Felda Aring-Tasik Kenyir ni malam semalam kemungkinan boleh tengok gajah liar.

Berhenti di Santuari Gajah Sungai Ketiar, Hulu Terengganu. Rupanya dah ditutup.

Tak ada harapan nak tengok gajah liar di Sungai Ketiar ni. Semua gajah dah dipindahkan ke Tasik Kenyir.

Pokok-pokok kayu terendam dalam air tasik. Kira daah masuk kawasan Tasik Kenyir dah ni.

Berhenti lagi melihat pemandangan dari atas jambatan.

Hujan semalaman menyebabkan paras air Tasik Kenyir bertambah.

Perjalanan masih jauh menuju ke Pengkalan Gawi. 

Cuaca pun baik ala-ala Cameron Highland.

Tiba di Kenyir Elephant Village tidak jauh dari Pengkalan Gawi.

Kenyit mata tanda kebas punggung.

Kenyir Elephant Village yang baru beroperasi . Untuk masuk ada kadar bayarannya.

Kami tiba di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir lebih kurang jam 12.00 tengahari. Tercapai jugak cita-cita nak jejak Tasik Kenyir ni. Perancangan awal dulu nak bermalam di Tasik Kenyir, tapi faktor cuaca semalam membantutkan perjalanan. Terpaksa bermalam di Gua Musang semalam. Masing-masing perut dah berbunyi bila sampai di Tasik Kenyir ni. Apa-apa hal pun kena cari makan dulu. Ada beberapa buah kedai makan di sekitar Pengkalan Gawi ni. Masa kami sampai, kelihatan geng-geng motorsikal berkuasa tinggi memenuhi salah sebuah kedai makan. Ada sesi mengeteh. Segan nak duduk sekali, kami lari ke kedai sebelah. Iyalah, kami naik kapcai dengan skuter je. Depa naik Versys, BMW semua bagai.

Kalau semalam di Kelantan, hari ini kami di Hulu Terengganu. Bahasa nak kecek pun dah lain. Semalam dok dengar kecek Kelate, hari ni dengar kecek Ganu pulak. Kedai makan di Pengkalan Gawi ni taklah ramai sangat orang walaupun hari Ahad. Menu masakan ada macam-macam. Yang syoknya ada ikan sungai. Baru naik dari Tasik Kenyir kot.

Masing-masing bila dah kenyang, mata pun jadi kuyu. 5 jam dari pagi tadi kami bergerak dari Gua Musang baru sampai Tasik Kenyir. Nak bergerak ke Kuala Trengganu pulak selepas ni. Gua dengan Shahrul cari pondok kosong untuk melepak menikmati pemandangan Tasik Kenyir. Kalau semalam kami sampai pun, kami tak tahu nak bermalam di mana. Mungkin di pondok ini jugak. Dapat rebahkan badan dan lelap seketika pun jadilah. Cuaca yang mulanya panas terik bertukar mendung. Tak lama kemudian hujan turun dengan selebatnya.

Gua berbincang dengan Shahrul nak bergerak meredah hujan atau tidak kerana kami harus sampai di Bachok malam ini. Rancangannya ingin bermalam di Pantai Melawi. Kami tidak boleh menangguhkan lagi perjalananan kerana waktu yang singkat. Hanya ada 4 hari sahaja untuk jelajah pantai timur ni. Kalau ada banyak masa nak saja melepak di Kuala Terengganu semalam, Bachok semalam dan Kenyir semalam. Kalau kami tak sampai Bachok pada hari ini, bermakna masih jauh jarak yang terpaksa kami cover pada keesokkan harinya.

Selamat sampai di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.

Pintu masuk yang mengalu-alukan kedatangan  pengunjung ke Tasik Kenyir.

Persimpangan Pengkalan Gawi.

Pintu masuk Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.

Kedai makan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.

Yamaha 135LC beraksi cemerlang setelah menempuh lebih 500KM dari Kuala Lumpur semalam.

Nouvo LC 135 turut beraksi cemerlang meredah bukit-bukau Banjaran Titiwangsa.

Si Shahrul Nizam, member sama kepala.

Tiket bot atau rumah bot untuk disewa boleh didapati di Pengkalan Gawi ini.

Tasik Kenyir dengan airnya yang biru.

Rumah bot yang sedang dibaikpulih di pinggir Tasik Kenyir.

Terdapat banyak rumah bot yang boleh disewa di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir ini.

Ada kerja-kerja penambakan tanah di Pengkalan Gawi.

Kami tiba di Pengkalan Gawi pun dah pukul 12 tengahari dalam keadaan panas terik.

Sesi melenggang perut lepas pekena nasi di Pengkalan Gawi.

Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.

Jeti tempat menaiki bot di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.

Cari pondok untuk berehat.

Bot-bot kecil di pinggir Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.

Sambil tengok pemandangan Pengkalan Gawi, boleh bantai tidur sekejap.

Penambakan tanah di Pengkalan Gawi menghubungkan pulau kecil di tengah tasik.

Ikonik Tasik Kenyir.

Pengkalan Gawi dalam proses penambakan.

Geng-geng touring yang lain di Pengkalan Gawi.

Papan tanda arah Jeti Pengkalan Gawi.

Berteduh di bawah khemah sementara menunggu hujan reda.

Hujan lebat yang turun tidak menunjukkan tanda-tanda nak reda. Kami mengambil keputusan untuk meredah hujan menuju ke Kuala Terengganu. Sebelum bergerak, kami mengisi minyak tambahan yang dibawa di dalam botol. Jam menunjukkan jam 2.30 petang.Setelah siap-siap pakai baju hujan dan balut bag dengan plastik, kami memulakan perjalanan dari Tasik Kenyir. Kalau kami tak bergerak sekarang bererti kami akan lewat tiba ke destinasi. Gua dah boleh agak kami akan tiba di Bachok malam ini.

Dari Tasik Kenyir ke Kual Terengganu tidaklah begitu jauh, lebih kurang sejam perjalanan. Hujan mengiringi kami hingga ke Kuala Terengganu. Mujurlah cuaca baik selepas itu. Kami berhenti lagi memenuhkan tangki minyak semasa menghampiri Kuala Terengganu. Ini merupakan kali kedua gua berada di Kuala Terengganu dan kali ini dengan menaiki skuter. Sebelum ini bersama keluarga di Kuala Terengganu ini, maka dapatlah agak jalan-jalan dan tempat menarik di sini. Bagi Shahrul pulak, ini merupakan pengalaman pertamanya ke pantai timur khususnya Kuala Terengganu. Tahulah selepas ni mana nak cari keropok lekor Bukit Tok Beng, air buah Seberang Takir dan Pantai Teluk Ketapang.

Kami singgah di Pulau Duyong bilamana sampai di Kuala Terengganu. Untuk ke pekan Kuala Terengganu memang dah tak sempat memandangkan hari sudah menjangkau petang. Sempat lagi buat sesi fotografi berlatarkan Masjid Kristal di Pulau Duyong ni. dari Pulau Duyong kami melalui Seberang Takir sebelum singgah di Pantai Teluk Ketapang untuk pekena sotong celup tepung. Rugilah kalau dah sampai di Kuala Terengganu tidak menyinggah menikmati sajian istimewa celup tepung ini.


Kebetulan ada surau dan tandas awam di sebelah kedai celup tepung di Pantai Teluk Ketapang ni, kami mengambil peluang untuk menunaikan kewajipan. Pakcik-pakcik di situ bertanyakan arah tujuan perjalanan kami selepas kehairanan melihat motorsikal dan skuter kami dengan bagnya. Setelah menceritakan kisah kami dari Kuala Lumpur dan saja menjelajah pantai timur, pakcik tersebut bertambah pelik kerana jarak yang dialui kami agak jauh dan berisiko. Pakcik tersebut menasihati kami agar lebih berhati-hati dalam perjalanan bermotosikal ini. Sebenarnya ramai lagi yang sangsi dengan keupayaan motorsikal dan skuter membelah banjaran Titiwangsa ini. Rata-rata orang ramai yang kami jumpa melahirkan rasa kagum dan teruja bila kami memberitahu kisah kami ini. Ayat biasa " tak sakit pinggang ka ? "


Selamat tiba di Kuala Terengganu.

Pekan Kuala Terengganu di seberang sana.

Menyinggah di Pulau Duyong setelah kehujanan dari Tasik Kenyir.

Jelajah kapcai dan skuter selamat tiba di Kuala Terengganu.

Sesi bergambiran di Pulau Duyong berlatarkan Masjid Kristal.

Shahrul Nizam dan jenteranya. Gaya tak nak kalah.

Posing gaya makwe-makwe di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

Kami menang gaya.


Menu wajib di Kuala Terengganu. Celup tepung !
Sotong celup tepung.

Berhenti dulu pekena celup tepung di Pantai Teluk Ketapang.

Kembara pantai timur bersama Nouvo LC berehat seketika di Pantai Teluk Ketapang.

Menyempurnakan kewajipan di surau Pantai Teluk Ketapang.

Dari Pantai Teluk Ketapang, kami mengikuti jalan pantai Terengganu menuju jajahan Bachok di negeri Kelantan. Kami sengaja menyusuri laluan pesisir pantai negeri  Terengganu untuk melihat keindahan pantainya. Deru angin sepoi-sepoi bahasa dan pohon kelapa melambai-melambai membangkitkan suasana petang itu (*tiba-tiba ayat novel).

Antara pantai yang kami lalui adalah Pantai Mengabang Telipot dan Pantai Rhu 10. Kami gigih membawa motor masuk ke tepi pantai. Berselut habis campuran tanah merah dan pasir. Kami berhenti seketika di Pantai Mengabang Telipot melihat cewek-cewek bermain pasir di tepian pantai. Di sini juga kelihatan warung-warung kecil celup tepung yang dipenuhi pengunjung. Ada juga chalet-chalet di sekitar pantai yang boleh disewa.

Dari Pantai Mengabang Telipot, kami meneruskan perjalanan hingga Pantai Rhu 10. Kami tiba di sini pun sudah hampir waktu senja. Kali ini pun gigih jugak nak bawa motor masuk ke pantai. Nak tengok pemandangan senja kisahnya. Nak dijadikan cerita, motor Shahrul jem teruk bila cuba masuk ke Pantai Rhu 10 ni. Motor gua dah lepas tapi, bunyi tanah kedengaran di mudguard. Tayar motor Shahrul pula dah jadi donat apabila tanah merah melekat teruk. Ditambah pulak mudgurd-nya yang rapat dengan tayar, tanah yang melekat membuatkan tayar depan motor langsung tak boleh bergerak.

Gua cuba la bantu tolak, tapi tak ada kesan. Tanah merah tadi semakin menebal pulak di kasut membuatkan kasut menjadi berat. Ada beberapa orang pakcik menghampiri kami bertanyakan apa masalah kami. Pakcik tersebut mencadangkan suapaya mengambil air dan dijirus ke tayar. Mujur berhampiran kawasan pantai tersebut ada tandas awam. Berpeluh sakan kami waktu Maghrib  tu menjirus tayar motor Shahrul dengan air.

Apabila sudah boleh bergerak, kami membasuh motor di paip air di surau berdekatan. Rasakan. Nak sangat kan masuk tepi pantai. Menurut pakcik yang menolong kami tadi, katanya kawasan itu baru sahaj ditambak dengan tanah. Jadi, tanah tersebut masih baru. Ditambah pulak dengan hujan, memang melekat la siapa yang melaluinya.

Dekat-dekat Pantai Rhu 10 ni, ada macam medan selera. Tapi yang meniaga dalam tu ada la seorang makcik ni. Makcik Jah namanya kalau tak silap. Dia berniaga nasi dagang bersama anak perempuannya, Syafiqah. Gua dengan Shahrul lepak minum di kedai Makcik Jah ni lepas peristiwa tayar tersangkut tu. Pekena laksa Penang sorang semangkuk. Makcik Jah ni agak ramah. Kebetulan memang kami berdua je yang singgah minum di kedainya. Macam-macam la dia cerita. Sampai dekat pukul 8 lebih kami bersembang. Nak tackle anak perempuan kena tackle maknya dulu. Hiks.


Jalan lapangan terbang Kuala Terengganu di pesisir pantai.

Pesawat Air Asia yang hendak berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Terengganu.

Pantai Mengabang Telipot.

Suasana petang di Pantai Mengabang Telipot.

Gigih bawa motor masuk Pantai Mengabang Telipot.

Tayar masing-masing dah berselut ditambah pulak pasir pantai.

Kembara off-road menyusuri Pantai Mengabang Telipot

Masa tak cukup. Kalau tak boleh lepak lama lagi kat Pantai Mengabang Telipot ni.

Merenung macam mana nak bawa motor yang tenggelam keluar dari pasir pantai ni.
Tayar tersangkut teruk di Pantai Rhu 10.

Melepak makan larut malam di Pantai Melawi, Bachok.

Jentera kapcai dan skuter telah mengharungi 800 KM perjalanan dari Kuala Lumpur hingga ke Bachok.

Dari Pantai Rhu 10 kami terus menuju ke Bachok. Dah tak berhenti mana-mana dah. Kami mengikut laluan jalan pantai melalui Kuala Besut, Tok Bali dan terus ke Bachok. Semalam kami bermalam di Gua Musang, tengahari di negeri Terengganu dan malam ini kami bermalam di jajahan Bachok, juga di negeri Kelantan. Bertukar-tukar bahasa dan loghat kami hari ini. Di Bachok, kami menyewa sebuah chalet di Pantai Melawi. Anak Rhu Chalet. Dekat pukul 10.30 malam baru kami tiba di Pantai Melawi ni. Macam biasa, memang tak ada tempah chalet apa, main terjah masuk ja. Kebetulan ada kosong satu bilik bila kami telefon pakcik tuan chalet ni.

Dah malam harga chalet murah la sikit, hanya RM40 sahaja semalam. Ada bilik air di dalam, dua katil bujang dan kipas angin. Boleh la tidur lena sikit malam ni. Masing-masing pun dah keletihan bila dua hari mengharungi perjalanan hampir 400 KM setiap hari dengan motorsikal. Dah check-in chalet, kami keluar cari makan jam 11.00 malam. Tak banyak kedai makan yang ada di sekitar Pantai Melawi ini. Suasana malam di sini pun agak sunyi. Kemungkinan jugak banyak kedai yang dah tutup. Ada la sebuah kedai yang masih beroperasi di persimpangan menuju ke pekan Bachok tak jauh dari chalet kami. Kami melepak makan di kedai tersebut sampai la dia nak tutup.

Kami balik semula ke Anak Rhu Chalet setelah kekenyangan. Mata masing-masing dah kuyu. Tak sempat nak bersembang panjang masing-masing dah lena. Keesokan pagi, kami akan bergerak ke wilayah utara pula iaitu ke negeri Kedah melalui jalan Jeli-Grik dan Grik-Baling.

Bersambung ke Duo Ride Pantai Timur (Hari 3) : Bachok - Kota Bharu - Gerik - Sik



// Catatan Travelogue Kembara Duo Pantai Timur //

4 ulasan:

  1. Respect kamu berdua. Jelajah dengan motosikal.

    Ulasan terperinci hari kedua, dari CH ke KT, dapat bantu saya keadaan jalan raya. Thanks

    BalasPadam
  2. Nice review Bro! Especially keadaan jalan Felda Aring tu sbb tak pernah lalu. Insyaa Allah akan cuba lalu utk ke Terengganu nanti.

    Kawan sehati-sejiwa macam tu susah nak cari Bro.. AlhamduliLlaah syukur pada Allah.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...