Iklan

29 Ogos 2017

Dengan Basikal Lipat Abang Mengorat | Ke Kuale Ke Kita Yop?



Setelah sekian lama menyepi, kini abang kembali. Ramai yang suruh update blog tapi abang tak dan. Memang dah lama kiranya abang tak kemaskini blog abang ni. Tak dan nak menulis semenjak dua menjak ni. Sibuk dengan urusan duniawi.

Krik krik krik.

Bukan tak nak menulis, tapi tak banyak cerita sangat pun abang nak kongsi. Cara mudah & cepat sekarang nak kongsi cerita melalui Instastory. Dekat Facebook Page Budak Letrik pun ada la abang kongsi sikit-sikit mana yang sempat.

Minggu lepas abang diberi kesempatan ruang & masa untuk mengeksplorasi pekan Kuala Kangsar dengan basikal lipat. Mungkin kerana basikal lipat baru ni kot semangat tu berkobar-kobar. Abang harap bukan hangat-hangat tahi ayam ja.

Eh terlepas cakap pulak pasal basikal lipat baru. Haha.

Kalau ada yang tanya abang mana pergi basikal lipat biru Raleigh Ugo yang abang selalu guna sebelum ni untuk kayuhan ke Bukit Fraser & Kuala Sepetang, basikal tu ada ja. Abang bagi balik kat mak abang sebab tu basikal mak abang punya. Basikal pinjam ja selama ni. Huhu.

Jenis basikal apa dan jenama apa abang tak mau cerita sekarang. Tak berapa penting sangat kot semua tu. Abang bukan nak promote jenis basikal, tapi yang pasti ianya sejenis basikal lipat.

Basikal lipat baru abang ni baru berusia 1-2 bulan. Tu yang dok gigih tiap-tiap seminggu sekali kayuh pi kerja di Penang nu. Nanti la abang buat catatan lain pasal 'Bike To Work' dengan basikal lipat ni. Untuk catatan ni nak cerita pasal trip balik hari naik KTM Komuter dari Bukit Mertajam ke Kuala Kangsar ja.

Ke Kuale Ke Kita Yop?

Sebelum nak pekena sarapan pagi di Kuala Kangsar, kita kena buat kajian sikit dulu berkaitan jadual tren KTM Komuter sektor utara yang beroperasi.

Peta laluan perkhidmatan tren KTM Komuter bagi Sektor Utara dari Padang Besar hingga Padang Rengas.

Jadual waktu perjalanan tren KTM Komuter sektor utara bagi laluan Bukit Mertajam-Padang Rengas.

Jadual tambang perkhidmatan tren KTM Komuter sektor utara.


Untuk ke Kuala Kangsar, kita kena naik tren KTM Komuter dari Bukit Mertajam ke Padang Rengas. Walaupun ada Stesen KTM Kuala Kangsar, tapi hentian terakhir KTM Komuter ni di Stesen KTM Padang Rengas.

Asalnya KTM Komuter sektor utara ni beroperasi dari Padang Besar di negeri Perlis mengunjur melalui Butterworth & Bukit Mertajam hingga ke Taiping. Tapi sejak bulan September 2016, perkhidmatan KTM Komuter ni telah dilanjutkan hingga ke Padang Rengas.

Ya, ya abang tahu korang nak kata Padang Rengas tempat Nazri Aziz bapak Nedim-Nora Danish kan? Oh tak tahu? Nampak sangat hangpa tak ambil tahu perkembangan politik & artis tempatan. Huhu.

Pagi-pagi buta dalam pukul 6.30 pagi abang dah memulakan kayuhan dari rumah abang di Mengkuang Titi ke Stesen KTM Bukit Mertajam yang terletak di Permatang Rawa. Jarak tu takdalah jauh sangat lebih kurang 10 KM camtu.

Ok pecah peluh jugaklah nak berkayuh awal-awal pagi ni.




Tren KTM Komuter yang paling awal dari Bukit Mertajam ke Padang Rengas adalah pada jam 5.42 pagi. Yang seterusnya pulak jam 7.11 pagi. Nak kejar yang pukul 7.11 pagi tu la, kalau tak kena tunggu tren yang pukul 8.42 pagi lebih pulak.

Alhamdulillah. 5 minit sebelum pukul 7.00 pagi abang dah terpacak depan Stesen KTM Komuter Bukit Mertajam. Hujung minggu sama kot, tak banyak orang pulak pagi ni. Ke sebab awal lagi?

Abang sorong basikal abang naik lif ke tingkat atas untuk beli tiket KTM Komuter ke Padang Rengas. Untuk pengetahuan, kaunter tiket di Stesen KTM Bukit Mertajam dijual di tingkat atas.

Keluaq lif, abang kayuh sikit sampai depan kaunter. Bongkak lagi riak pulak bila orang lain dok perhati kita buat kepala naik basikal sesuka hati dalam stesen keretapi ni. Layankan aja. Haha.

Abang beli tiket tren KTM Komuter ke Padang Rengas dengan tambang RM8.00 dan untuk sebuah basikal pulak di akan caj sebanyak RM2.00. Jadi jumlah kerosakan pagi tu untuk ke Kuala Kangsar keseluruhannya berjumlah RM10.00.

Dia akan bagi satu resit khas berkaitan bayaran membawa basikal yang dikepilkan dengan tiket tren KTM Komuter tu tadi. Tapi bila nak masuk kat platform, pakcik yang jaga gate tak tengok pun semua tu.

5 minit sebelum keretapi sampai, petugas stesen akan umumkan penumpang ke Padang Rengas boleh turun ke platform.


Pakcik yang jaga gate akan panggil 5 minit sebelum tren KTM Komuter sampai. Ada jurusan Padang Besar & Padang Rengas. Jangan silap masuk platform.

Untuk turun bawah kat platform, pakcik tadi siap tolong tekan lif untuk abang !

Abang dan basikal lipat dah siap sedia menunggu di platform tren KTM Komuter untuk ke Padang Rengas. Tren dah pun sampai.








Baik punya parking duduk dekat kepala gerabak tren KTM Komuter.

Bawak basikal masuk tren KTM Komuter ni mudah ja sebenarnya. Tapi ada yang masih tak tahu dan takut-takut sebenarnya nak mencuba.

Jarak masa perjalanan dari naik KTM Komuter dari Bukit Mertajam ke Padang Rengas ni lebih kurang sejam jugak. Abang naik pukul 7.11 pagi, dalam 8.11 pagi dah sampai dah. Nampak tak macam mana spesifiknya masa tu. Huhu.

Sepanjang perjalanan, macam-macam jenis view hangpa boleh tengok. Lalu belakang kampung orang, kawasan perumahan, kawasan hutan dan yang menarik sekali merentasi Tasik Bukit Merah & Terowong Bukit Berapit ! 

Nak maklumat lanjut hangpa Google la 'Terowong Berkembar Bukit Berapit' & Jambatan Keretapi Tasik Bukit Merah'. Semuanya rekod Malaysia & Asia Tenggara woo !

Dari Stesen KTM Padang Rengas, kita kena kayuh lagi lebih kurang 10KM baru la sampai pekan Kuala Kangsar.

Nah elok abang buat penceritaan bergambar kot bagi hangpa senang tengok. Tulis banyak-banyak pun bukan siap-siapa nak baca. Haha.




Pemandangan yang dinikmati sepanjang perjalanan ke Padang Rengas dengan KTM Komuter.
Selamat tiba di Stesen KTM Padang Rengas selepas sejam perjalanan dari Bukit Mertajam menaiki KTM Komuter.

Hentian terakhir tren KTM Komuter sektor utara di Padang Rengas. Dari sini kena kayuh ler kita ke Kuala Kangsar.

Tak ada lif pulak kat Stesen KTM Padang Rengas ni. Mengah abang kena usung basikal naik tangga turun tangga.

Tengok ramai orang singgah makan roti canai, abang pun singgah la tengok apa yang special.

Hentian pertama. Baru mula kayuh dari Stesen KTM Padang Rengas, terjumpa pulak kedai roti canai Effa Raziah ni. Ingatkan Effa Raziah, rupanya Effa Biz.

Kereta Proton Wira yang penuh dengan bendera Malaysia. Semangat patriotik sungguh pakcik tokey kedai ni. Abang masuk dalam tengok, baju pun corak bendera Malaysia.
Abang tak melepaskan peluang bergambar dengan kereta Wira patriotik pakcik ni.

Biskut dalam balang yang banyak dijual di kedai pakcik ni.
Pepohon tua yang melindungi dari panas terik mentari.

Eksplorasi pekan Kuala Kangsar dengan basikal lipat. Pohon-pohon redup ada takdalah panas sangat.

Singgah sebentar di Kolej Melayu Kuala Kangsar atau juga dikenali dengan nama 'Malay College Kuala Kangsar'
Pokok getah tertua yang terdapat di Malaysia ada di Kuala Kangsar ! Dah berusia lebih 100 tahun dah ni !

Terletak berhampiran dengan Pejabat Daerah Kuala Kangsar dan satu-satunya pokok getah pertama yang hidup daripada sembilan pokok getah asal yang ditanam.

Menara Jam Kuala Kangsar !




Hari Sabtu macam ni ada pasar tani di pekan Kuala Kangsar. Ikan sungei dari Sungei Perok ada, ayam bakor pun ada kome !
Ayam madu kat Kuala Kangsar ni memang mengundang betul bau dia !

Ayam madu kasih sayang Kuala Kangsar. Harus cuba. Abang sempat beli seketul. Sedap woo !

Menyorong basikal lipat melalui Pasar Tani Kuala Kangsar. Beli ayam madu kat pakcik tu seketui nak rasa.

Pakcik jual jagung di Pasar Tani Kuala Kangsar.



Jeti Dataran Sungai Perak yang terletak di lembah Kuala Kangsar.

Dari Pasar Tani Kuala Kangsar tadi, abang meronda hingga ke tepi Dataran Sungai Perak.

Kalau dulu ada bot penambang yang berulang-alik dari jeti ni ke Pesisiran Sayong di tebing sungai seberang sana.
Bot ni memang ada tapi dia tak digunakan untuk bawa orang menyeberang ke sebarang sana.

Port rakyat marhaen bersembang berhampiran jeti.

Pekena mee kari & teh ais dulu. Ayam Madu Kasih Sayang yang tadi beli pun bedal sekali kat sini.

Mee kari Kuala Kangsar ! Tapi tak berapa nak rasa kari sangat.

Laluan joging di sepanjang Jalan Istana Kuala Kangsar.

Lembah Sungai Perak. Di sebelah sana tu lah Persisiran Sayong.

Rumah lama yang terdapat bersebelahan Masjid Ubudiah Kuala Kangsar.  Orang kata asalnya rumah kerabat diraja jugak ni dulu-dulu.

Kelihatan kubah Masjid Ubudiah di kejauhan dalam proses pembaikan.

Kubah Masjid Ubudiah Kuala Kangsar dalam proses baikpulih masa abang pi tempoh hari.

Senibina Masjid Ubudiah Kuala Kangsar yang dipengaruhi seni bina `Saracenic' (Islam-India).

Risalah untuk pengunjung Masjid Ubudiah Kuala Kangsar.

Masjid Ubudiah yang menjadi ikon Kuala Kangsar.

Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Istana Rasmi Raja Perak.

Nama pun Kuala Kangsar Bandar Diraja. Pengawal istana ada la dok berkawal depan tu. Istana ni tak jauh pun dari masjid Ubudiah tadi.
Lepas lalu Istana Iskandariah, kita akan ternampak pulak Istana Kenangan.



Muzium Diraja Perak Yang juga dikenali dengan nama Istana Kenangan.

Depa kata Istana Kenangan ni sebelum ni tutup untuk proses baik pulih. Tapi abang pi minggu lepas dah bukak pulak.

Istana Kenangan a.k.a Istana Kuning a.k.a Muzium Diraja Perak. Ada jugak yang paggil rumah Adabi.

Istana Kenangan yang juga dikenali dengan nama Muzium Diraja Perak.
Ada jugak yang panggil Istana Kenangan ni Istana Kuning atau pun Rumah Adabi. Depa kata sebelum ni tutup untuk baik pulih. Sekarang dah ada boleh masuk tengok dah, cuma tak boleh masuk naik bahagian dalam istana.
Dinding merah hipster Kuala Kangsar. Dekat-dekat pekan ni.

Habislah kalau budak hipster nampak dininding gini.

Hasil seni jalanan yang terdapat di dinding-dinding bangunan 

Durian Batu Kurau kata makcik ni. Bila abang tanya sekilo RM20. Telan ayaq liuq ja lah abang.

Lepak pekena Cendol Pak Ngah sat kat Lembah pinggir Sungai Perak ni. Abang pesan cendol & teh ais cincau. Dua-dua padu !

Nampak benor kebulurnya kome sampai dua cawan kamu hadap !

Orang ramai melepak minum petang di Laksa Pak Ngah. Selain laksa, char kuey teow pun ada. 

Jeti Dataran Sungai Perak tempat orang tunggu bot persiaran untuk bersiar-siar.

Bukan kenduri kawen. Yang ada khemah tengai sungai tu sebenarnya bot persiaran tu. Boleh naik menyusuri Sungai Perak.

Lepas minum cendol meronda lagi. Tempat melepak di persisiran Sungai Perak.

Jambatan Sultan Abdul Jalil yang menyeberangi Sungai Perak. Dengan adanya jambatan ni orang dah tak naik bot nak menyeberang ke Sayong.

Antara kedai basikal yang terdapat di pekan Kuala Kangsar.

Berderet kedai basikal kat Kuala Kangsar ni. Tak ada masalah kot kalau basikal rosak ka apa.

Ada 3 buah kedai basikal yang duduk sebelah menyebelah di pekan Kuala Kangsar ni. Tengok meriah dengan budak-budak.
Takkan 'setting' basikal main malam minggu kot?
Dalam perjalanan balik, singgah Masjid Ihsaniah Iskandariah sat.

Kalau dari Kuala Kangsar nak ke Padang Rengas, masjid ni ada di belah kiri jalan. Betul-betul tepi jalan besar.

Senibina unik masjid Ihsaniah Iskandariah yang dibina pada tahun 1936 lagi !

Keunikan masjid dua tingkat ini terserlah pada reka bentuk binaannya menyerupai sangkar burung dan keseluruhan dinding yang dibina berasaskan anyaman buluh minyak.

Masjid Ihsaniah Iskandariah ni terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas. Masa abang nak balik ke Stesen KTM Komuter Padang Rengas dari pekan Kuala kangsar,  jumpa la masjid ni di tepi jalan utama.
Ok. Cukup-cukuplah tu dengan gambaq Masjid Ihsaniah Iskandariah. Sedap pulak nama dia bila sebut banyak kali.

Sampai dah destinasi kita. Stesen KTM Padang Rengas. Dah jom balik.

Waktu balik pakcik kaunter KTM yang jaga tiket tak caj pun basikal lipat abang ni. Dia ambik duit tambang tren Komuter ja.

Tren KTM Komuter delay la pulak. Macam ni lah selalu.

'Setup' basikal lipat abang untuk touring. 'Drybeg' tu saja abang bawak kot-kot hujan ke tengah jalan.

Basikal lipat abang beraksi hari ni dengan jarak pusing Kuala Kangsar-Padang Rengas dalam 30KM pergi balik.

Tak ramai penumpang pun yang menuju ke utara naik KTM Komuter ni.

Menunggu dengan penuh setia tren KTM Komuter balik ke Bukit Mertajam.

Waktu balik ni ada ruang khas untuk letak basikal dalam KTM Komuter. Masa pi tadi tak ada. Tapi selalu abang akan pilih untuk duduk di bahagian kepala keretapi.

KTM Komuter bergerak meninggalkan Stesen Padang Rengas menuju ke utara. Mungkin sebab hujung minggu kot, tu yang jadual dok tertunda sedia tu.

Pemandangan dari tingkap tren KTM Komuter sewaktu balik. Tak tentu arah abang nak duduk kat mana. Sekejap duduk, sat berdiri.

Gelap gelita ni bukan sebab malam. Tapi tengah lalu Terowong Keretapi Bukit Berapit yang merupakan terowong keretapi terpanjang di Asia Tenggara.
Tren akan melalui dua buah terowong. Terowong Bukit Berapit yang paling lama pun.

Haa yang ni pulak tengah lalu Tasik Bukit Merah. Dah macam rentas laut pulak abang rasa.

Dalam 2-3 minit jugak tren lalu Jambatan Bukit Merah ni.

Lintas sawah bendang pulak. Layan je pemandangan camni.

Orang tak ramai pun dalam tren ni. Boleh baring lagi.

Alhamdulillah.

Abang selamat tiba semula ke Stesen KTM Bukit Mertajam lebih kurang jam 7.00 malam. Itu pun dengan masalah tren 'delay' lagi mengalahkan flight. 

Abang tunggu dari pukul 5.20 petang lagi, dekat pukul 6.00 petang baru sampai. Berhuhu la kat Stesen KTM Padang Rengas tu. 

Mujur la ada pakcik India sorang ni boleh buat menyembang. Minat betul dia pasal basikal. Takdalah rasa kesunyian sangat.

Sekian saja kisah abang untuk kali ini. Kisah mencari sarapan di Kuala Kangsar dengan basikal lipat.

Pengembaraan adalah pencarian. Dukacitanya pencarian untuk trip ni tak berjaya. Haha.

Pencarian diteruskan..




6 ulasan:

  1. Jambatan Sayong @ Jambatan Sultan Abdul Jalil. Jambatan Iskandar kena mudik ke hulu sungai lagi.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Oh terima kasih. Salah info rupanya. Haha

      Padam
  2. Masjid Ihsaniah Iskandariah tu first time tahu. Boleh cari nanti insyaAllah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Abang pun baru tahu lepas Google. Huhu

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...