Iklan

09 Januari 2020

Review Benelli TRK 502 Malaysia : Ok Ke Motor Ni?

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you


Ramai yang bertanya. Ok ke motor Benelli TRK 502 ni bang? Ada apa-apa problem ke?

Jujur abang cakap memang 'Tak OK'. Ini adalah contoh-contoh masalah atau problem yang abang hadapi bila guna motor Benelli TRK 502 ni adalah:

1) Asal berhenti kat lampu isyarat mesti orang semua dok tengok motor Benelli TRK 502 ni. Rimas abang. Kalau tengok sekejap-sekejap je takpa, ni tengok betul-betul punya tak lepas. Naik segan pun ada. Kadang-kadang rasa bangga kejap. Kembang tak kempis pun biasa.

2) Kalau berhenti sembayang di masjid atau surau, keluar-keluar je mesti ada yang dok perhati belek pusing seround dua. Kadang-kadang kalau ada jenis pakcik-pakcik masjid yang berminat tu depa kerumun tanya mai dari mana dan dok tanya motor jenis apa ni. Depa kata motor Benelli TRK 502 ni lawa. Nak try naik kaki pulak tak sampai. Haha

3) Kalau bawak Benelli TRK502 ni pi basuh motor ni di kedai cuci kereta, pekerja-pekerja Rohingya & Bangla semua pakat berebut nak basuh motor ni. Dah siap basuh masing-masing berebut pulak nak bawak pi lap. Nak rasa tolak motor ni punya pasal. Abang sampai tergelak.

Ni semua berdasarkan pengalaman abang sendiri la. Tak ok betul. Haha.





Abang terpanggil untuk membuat sedikit review berkenaan dengan motor adventure touring Benelli TRK 502 edisi Malaysia ni. Kalau cari bab review motor ni biasanya hangpa akan jumpa dalam bahasa Inggeris atau dari luar negara ja.

Abang pun baru ja cuba-cuba guna motor ni. Nak kata lama tak lama lah, baru jugak dalam setahun ni. Takpa biar abang cerita sikitlah pasal motor Benelli TRK502 ni.

Abang rasa elok abang buat penceritaan bergambar & video. Syok sikit tengok. Ni semua gambar-gambar yang sempat abang rakamkan dari mula keluar Benelli TRK 502 dari kedai.







Apa yang dimaksudkan dengan nama 'TRK 502' ni?

Ada yang TRK maksud dia  'The Road King', ada yang kata 'Terrain Road King.

Ada juga yang sebut TRK membawa maksud 'Tak Respek Kawan' sebab salin dari BMW. Tapi sungguh la kalau tengok sekali imbas orang ingat BMW woo!

Bukan salin dari BMW ja, berat pun nak sama berat dengan BMW R1200GS dah cuma kurang 9 KG ja. Berat keseluruhan Benelli TRK 502 ni 235KG.

Bagi yang kaki layan kona, TRK ni boleh jadi 'Teringin Rasa Kona'

Geng konvoi kenduri pulak 'Tunggu Ride Kenduri'

Ok meh abang cerita la.

TRK membawa maksud 'Trekker' atau dalam bahasa kita 'sang pengembara'. TRK adalah singkatan global untuk perkataan 'Trekker'.

GIVI juga ada menggunakan kod singkatan TRK untuk kebanyakan model box/case variasi mereka.

Testing Benelli TRK 502 ni kat Jalan Gombak Lama. Betul ka depa kata kalau naik basikal lipat ikat beg IKEA kat belakang depa tak berapa nak layan? Tapi kalau naik motor besar, mu parking tepi tong sampah pong ada ja orang mari nok berkenalang.

Port biasa tengok Lebuhraya Karak dari atas. Kita rider tiada beza, bukan cc jadi ukuran tapi jiwa.

Ramai yang tertanya-tanya kenapa angka nombor terakhir model Benelli sekarang tidak genap menjadi "0" sebaliknya ada angka 1 atau 2 dibelakangnya?

Sebagai contoh Benelli TRK 502. Orang akan ingat '502' tu adalah cc enjin, padahal bukan pun. Angka terakhir di belakang adalah merujuk kepada bilangan silinder atau piston yang ada pada enjin tersebut. Istilah geng motor la ni depa sebut 'dapur' .

Sebagai contoh,

Benelli TRK 502 = 500 cc dengan 2 Silinder
Benelli TRK 251 = 250 cc dengan 1 Silinder
Benelli 302R = 300 cc dengan 2 Silinder Racing
Benelli 752S = 750 cc dengan 2 Silinder Sport

Tak berapa gemar la nak main laju-laju. Elok layan kona bau hutan dengan Benelli TRK 502 kat Jalan Gombak Lama ja dulu.

Cabaran lintas anak sungai dengan Benelli TRK 502 di Janda Baik. Rasa sayang pulak weh takut tertonggeng tengah-tengah ayaq tu. Bermain di tepian airlah dulu. Haha.

Namun pun begitu, kombinasi angka ini tidak terpakai pada Benelli model TNT dan Leoncino yang mana nama-nama tersebut telah menjadi trademark Benelli sekian lama. Ianya juga tidak diguna pakai pada kategori kapcai dan juga skuter.

Jadi kalau hangpa nampak iklan-iklan motor Benelli keluaran baru hangpa dah boleh agak motor tu ada berapa silinder merujuk pada nombor modelnya. 

Disebabkan angka tersebut jugaklah banyak memberi kekeliruan kepada bakal pembeli atau pemerhati.

Depa dok ingat Benelli TRK 502 ni cukai jalan (road tax) berharga RM 250 sebab dah melebihi 500cc sedangkan kalau sebetulnya road tax bagi TRK 502 cuma RM 180.

Begitu juga dengan model terbaru TRK 251, depa ingat kena ada lesen B Full sebab dah melebihi 250cc sedangkan lesen B2 pun dah boleh bawak TRK 251.

Semoga pencerahan ini dapat membantu bakal-bakal pembeli TRK, mungkin yang minat TRK 502 ada yang terfikir-fikir pasal roadtax RM 250 atau yang nak beli TRK 251 mesti ada yang kecewa sebab fikirkan kena ada lesen B Full.

Benelli TRK 502 dah sampai Penang. Masa ni di Jalan Teluk Kumbar-Balik Pulau. Jangan tanya kenapa blur. Gigih abang ambik gambar guna telefon. Susah weh nak ambik gambaq rupanya naik motor bergear ni kalau nak dibandingkan dengan naik skuter.

Kampung Matahari Naik di Teluk Kumbar Pulau Pinang. Antara penempatan Melatu yang masih terpelihara. Ada kembarnya Kampung Matahari Jatuh di Jalan Sepakat tak jauh dari sini.

Satu benda yang menarik minat abang dengan Benelli TRK 502 ni selain rekabentuk dia yang ala-ala Ducati tak Ducati, BMW tak BMW ni adalah bunyi 'standard' yang keluar darinya. Kalau sekali imbas orang akan kata bunyi enjin 4 silinder. Padahal TRK 502 ni cuma ada 2 silinder sahaja!

Itulah kelebihan dan kepakaran Benelli dalam setup motorsikal. Model-model Benelli sebelum ni lagi kalau kita rajin perhati memang sedap pun bunyi 'standard'nya. Abang tekankan perkataan standard di sini bagi membezakan bunyi kalau hangpa tukar ekzos muffler memang la sedap. Ni bunyi standard keluaq kilang.

Konfigurasi enjin Benelli TRK 502 ni depa panggil 'Parallel Twin'. Maksud dia dua omboh (piston) bergerak sekali bersama-sama turun naik. 'Parallel Twin' = Kembar Selari.

Nak sembang banyak macam mana mekanisma enjin Parallel Twin ni hangpa boleh cuba cari di Youtube. Dia berbeza dengan konfigurasi enjin 'Inline 2' yang mana omboh (piston) bergantian satu kat atas, satu kat bawah. Ni pun hangpa cari la nanti kat Youtube tengok professor dari India ajaq mudah paham sikit.

Nak dengaq bunyi dengung enjin Benelli TRK 502 ni macam mana boleh tengok video Youtube yang abang kepilkan sekali dalam catatan ni. Ada kat bahagian video di atas.


Bawak Benelli TRK 502 masuk offroad sikit di Balik Pulau. Masuk offroad pun tak ada masalah sebab motor ni tinggi. Sama ada hangpa gayat tak gayat ja.

Letih weh bawak motor besar ni kalau nak berhenti sat-sat tengok pemandangan. Senja di Pulau Betong Pulau Pinang. Bukan Bentong di Pahang mahupun Betong di Sarawak. Motor Benelli TRK 502 ni berat weh!

Pulau Betong di kejauhan. Jalan ni kalau terus sampai ke Pantai Pasir Panjang. Masa awal-awal ni box kiri kanan tak dapat lagi. Lepas beli 2-3 bulan baru dapat. Tak ada stok masa tu. 

Masa ni saja buat tunggangan solo Trans Titiwangsa Loop. Bawak ronda Benelli TRK 502 masuk ladang teh Cameron Highland nak naik ke Mossy Forest.

Dari Penang sebelum Subuh. Turun Simpang Pulai. Awal pagi di Cameron Highland. Mujur orang tak ramai lagi pagi-pagi ni.

Pemandangan di Mossy Forest Cameron Highland. Mencanak jugak bawak Benelli TRK 502 nak naik atas ni dengan jalan tak berapa nak elok. Selalu orang naik 4WD ja naik atas ni. Pemandangan tak berapa nak mistik sebab tak ada kabus. Selalu kabus tebal atas ni. Tak ada rezeki.

Tunggangan Solo Benelli TRK 502 selamat menjejakan tayar di Hutan Lumut 'Mossy Forest' Cameron Highland. Boleh je hiking masuk dalam, tapi abang tak hiking pun. Nak kejar masa, jauh lagi perjalanan ni.
Dari Cameron Highland turun ke Ringlet kemudian menghala ke Sungai Koyan. Melalui POS Betau. Saja abang nak try masuk tengok jalan masuk yang boleh sampai ke POS Titom.



Ada papan tanda di tepi jalan POS Betau untuk masuk ke POS Lenjang & POS Titom. Tengok jarak teringin jugak nak cuba. Tapi kurang-kurang mau sehari jugak ni kalau nak jelajah masuk dalam.

Saja masuk sikit dalam POS Betau ni. Jalan tak berturap di sepanjang jalan. Orang asli dok usya ja abang. Mamat mana la mai ni.

Sungai elok lagi jernih di POS Betau. Dok pikir dua tiga kali jugak nak terjun ke tak ni. Tapi jambatan ni jambatan utama orang asli dok ulang alik masuk kampung. Sat lagi depa dok usya pelik pulak.

Kilometer '0' depan  pejabat pos Kuala Lipis. Tahukah anda Kuala Lipis merupakan titik tengah semenanjung Malaysia? Tapi batu tanda ni tak ada kaitan pun dengan itu.

Jajaran 'Jungle Train' Malaysia dari Gemas ke Tumpat antara laluan keretapi terbaik di Asia. Boleh naik tren shuttle Tumpat-Kuala Lipis seawal pagi untuk melihat suasana pelajar sekolah sekitar Dabong naik keretapi ke sekolah. 

Benelli TRK 502 selamat tiba di negeri Terengganu! Negeri cantik budaya menarik. Insyaallah orangnya baik-baik!

Sekali sekala tengok Benelli TRK 502 ni macam Ducati kalau tak ada tong ni. Kalau dua kali tengok macam BMW pulak. Padahal kalau bagitau Benelli orang tak tau kadang-kadang jenama mana ni. Kalau Tipu BMW pun orang percaya ni

Orang tanya mahal tak maintenance & berapa kos servis Benelli TRK 502 ni? Sekali servis dalam RM150 untuk tukar minyak enjin dan oil filter. Minyak enjin dia guna 3 liter sekali pakai.

Masuk kampung jalan tepi pantai di Terengganu pun ada yang mai tanya. Rupanya memang peminat Benelli TRK 502! Ramai yang minat TRK 502 ni cuma ada yang masih ragu-ragu. Kalau jenama Honda ka Yamaha memang laku dah ni.

Tak boleh nak compare Benelli TRK 502 ni dengan BMW. Kena bandingkan dengan geng dia jugak. 

Kalau nak laju cari superbike. Benelli TRK502 ni tak laju. Kalau nak santai & selesa jalan jauh, dia boleh diharap.


Bergambar di pesisiran pantai Terengganu menghala balik ikut Kelantan.

Masa ni tengah ketagih tak sabar nak touring jauh-jauh. Tak ada box pun jalan!

Benelli TRK 502 ni boleh bawak main offroad sikit-sikit sebab tinggi. Pakai ikat beg kat belakang ja waktu ni. Haha

Kena jaga-jaga sebab motor TRK 502 ni berat. Dah dua kali dah jatuh bodoh macam tu ja.

Makan minyak kuat tak Benelli TRK 502 ni? Secara purata untuk 1350 KM trip ni guna minyak RON95 sebanyak RM110. Abang kira lebih kurang 8 sen/ KM.

Ni trip pi makan kenduri di Perlis. Biasa abang ride solo ja. Senang sikit. Tapi masak wei naik Benelli TRK ni kalau slow lalu jalan kampung. Haba keluaq ikut tepi naik ke muka. Haha.

Singgah pekena laksa di Kuala Perlis. Biasa ada orang dia suka pasang tong belakang satu tu ja. Ada yang suka pasang semua. Abang tak pasang sebab box tak dapat lagi masa ni. Haha

Jalan pesisiran pantai Kuala Perlis. Hangat wei kalau pakai jaket apa ni!

Setakat cerita ni ditulis, Benelli TRK 502 abang ni dah jalan 12,000 KM. Alhamdulillah. Tak ada apa masalah lagi.

Sudut pandang Benelli TRK 502 dari pelbagai sudut, Gigih woi bergambar tengah-tengah panas ni!

Satu yang abang tak minat pasal Benelli TRK 502 ni adalah lampu dia. Bila malam kurang terang. Kena buka lampu tinggi baru dua-dua belah menyala. Tu pun abang rasa tak cukup lagi.

Rumah Dato' Hj Wan Ahmad Wan Daud. Figura penting negeri Perlis.

Orang Perlis kenal la kot empunya gerangan Datuk Hj Wan Ahmad Wan Daud. Tahun 1925 dibina, satu peninggalan peribadi yang cukup unik. Bercirikan senibina tradisional Melayu-Perlis, rumah ni dibina dari kayu & berwarna-warni

Iklan raya TNB tahun lepas kalau hangpa perasan buat kat rumah ni la.

Ni kat Selama belah Perak. Saja berhenti tepi jalan ni sat bukak Google Maps. Pakcik rumah sebelah ni berminat pulak. Menyembang sat sini.

Jalan Selama ke Lenggong. View cukup lawa dengan bukit bukau menghijau sepanjang jalan.

Kalau rasa nak berhenti abang berhenti je. Kira apa aku. Tak terkejar-kejar sangat nak sampai destinasi.

Pekena menu selera kampung di Tasik Raban, Lenggong. Semua lauk berasaskan masakan kampung. Ikan pun ikan sungai.

Terasa sungguh kemelayuan bila makan hidangan kampung bertalam macam ni.


Jalan masuk ke Lata Perahu di Lenggong. Sempit jalan dia. Muat-muat satu kereta ja ni. Dah la atas bukit Lata Perahu ni.

Nak bawak Benelli TRK 502 masuk offroad macam ni tak sampai tahap dia lagi kot. Kalalu jatuh payah nak angkat balik. Haha

Mandi ayaq terjun di Lata Perahu, Lenggong. Panas-panas ni syok woo!

Ekspedisi tunggangan solo Jejak Ramadhan Selatan Thai ke wilayah selatan Siam. Di hadapan Masjid Muhammad Al-Hashimi, Satun.


Bersama rakyat Siam balik bazar Ramadhan petang-petang.

Di Jeti Tammalang, Satun. Ada feri pi Langkawi dari sini.

Bawak Benelli TRK 502 naik bot tambang ke Kampung Tammalang di seberang. Geleng kepala pakcik tengok. Menyenget bot.













Alhamdulillah. Dalam masa setahun dok guna Benelli TRK 502 ni banyak tempat jugak dia dah teman abang pi. Belah selatan Siam dah masuk dah masa bulan puasa hari tu. Selatan Malaysia ja tak sampai lagi.

Odometer baru melepasi angka 12,000 KM. Alhamdulillah kalau orang tanya apa masalah dari segi enjin? Abang boleh kata dipercayai. Kuasanya ada bila diperlukan. Walaupun mungkin tak sekuat motor-motor touring lain di luar sana, namun bagi abang 500cc sudah mencukupi.

Layan kona memang tak payah cakaplah sedap dia. Cuma berani tak berani je nak turun habis. Ni bagi pengalaman abang sendiri yang mungkin baru kali pertama guna motor bergear jenis besar-besar ni. Sebelum ni dok naik skuter Nouvo LC & Modenas Elegan 250i ja buat review. Kali ni motor jenis bergear pulak.

Tapi sejujurnya abang rasa naik Benelli TRK 502 ni lagi letih dari naik skuter Modenas 250i. Jiwa skuter lagi yang kena dengan abang ni. Lebih santai dan rilek. Naik Benelli TRK ni dia rasa renyah sikit abang rasa. Ni pandangan peribadi abang la. Setiap orang mungkin lain-lain pandangan dia.

Minyak hitam setiap 5,000 KM baru abang tukar sekali. Abang masih guna minyak hitam asal dia iaitu jenama PJ1 semi-sintetik. Tiap kali servis abang pi Penang nu, dekat Mega Fortune Alma tak jauh dari Mforce Alma.

Hangpa tau dah Mforce tu siapa dia? Pengedar Benelli di Malaysia ni. Kalau nak claim waranti ka apa boleh pi pusat servis Mforce ni. Yang satu ada di Segambut, Kuala Lumpur dan satu lagi ada di Alma Penang.

Servis kali pertama abang pi Mforce Penang ni. Kali kedua pi dekat Mega Fortune Alma pulak. Masa nak pi servis kali kedua di Mforce Alma dia sarankan abang pi Mega Fortune Alma ni sebab kedai adik bos. Kalau nak tunggu servis di Mforce sendiri memang lambat.

Tu yang melekat terus pi Mega Fortune Alma tiap kali servis. Harga servis lebih kurang ja dengan Mforce. 

Sekali servis Benelli TRK502 ni bajet lebih kurang RM150. Tukar minyak enjin 3 Liter + Oil Filter sekali. Cukup. Yang tu je lah servis yang abang buat setakat ni. Yang lain tak pernah usik kacau.

Itu sahaja cerita abang pasal Benelli TRK 502 Malaysia ni. Boleh tengok video-video abang yang abang sambil-sambil buat masa naik motor ni. Kat sana ada review lain lagi yang mungkin abang tak sempat tulis di sini.

Nanti abang sambung kemaskini lain selepas 20,000 KM, 30,000 KM pulak ka kalau ada kesempatan. Jenuh dok buat-buat sibuk naik motor sana sini sampai tak sempat nak menulis. 

Jumpa lain di lain masa. Hidup Benelli TRK 502!

Assalamualaikum.

1 ulasan:

  1. Abg memang bestlah.solo rider. Rajin update n byk ilmu. Tq bro

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...