Iklan

02 Mac 2015

Ride Menjejak Salasilah di Selatan Thai - Pengenalan

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.


Menjejak wilayah Melayu yang hilang di selatan Thai.

Awal bulan Februari lepas sebelum Tahun Baru Cina, gua menjejaki wilayah Satun dan Songkhla di sebelah selatan Thai. Kali ini bukan secara backpacking, tetapi lebih kepada 'bikepacking' atau pun 'touring ride' dan sudah pasti skuter Nouvo LC gua menjadi peneman kembara di bumi Thailand ini. Seperti biasa, idea untuk memulakan tunggangan solo atau 'solo ride' ke wilayah selatan Thai ini adalah perancangan minit-minit akhir. Kalau sebelum ni Kembara Duo Pantai Timur gua ajak member sorang, kali ni memang gua tak ajak sesiapa pun untuk projek kali ni.

One is better, two is the best "

Tiada batasan masa untuk kembara ke wilayah selatan Thai ini, namun begitu perkara yang membataskan perjalanan adalah modal atau bajet. Dengan bajet yang agak ciput, gua cuba untuk meminimakan perbelanjaan sepanjang perjalanan kembara selatan Thai ini. Tujuan utama adalah untuk menjejaki tempat-tempat menarik di selatan Thai di samping menyelami kehidupan masyarakat minoriti muslim Thai wilayah-wilayah yang mempunyai sisi laut yang berbeza, iaitu di wilayah Pak Bara (Satun) dan juga Songkhla.

Rancangan awal pada asalnya adalah untuk melawat dan menerokai kawasan sekitar Pak Bara sahaja, tapi entah bagaimana boleh terlajak menjadi trip kembara 4 hari 3 malam. Kisah kembara menjejak salasilah ini bermula dari pantai Pak Bara  seterusnya menjelajah ke perkampungan muslim Tanyung Po, Kampung Tammalang sebelum ke wilayah Songkhla dan Hat Yai.

Walaupun serba serbi dalam kekurangan dan hidup di dalam kedaifan, layanan masyarakat muslim di sana cukup mesra dan bagus terutama sekali kepada orang luar. Ada yang mempelawa tidur di rumah mereka, ada yang berusaha menunjukkan jalan atau laluan yang betul dan bermacam lagi perkara menarik sepanjang perjalanan di bumi selatan Thai ni. 



Laluan : Sik - Wang Kelian - Pak Bara - Chebilang - Tanyung Po - Tammalang - Songkhla - Hatyai - Sadao - Sik

Jarak : +/- 750 KM


Tempoh : 4 hari 3 malam


Bajet : +/- RM180







Sedikit info dari Wikipedia dan petikan akhbar berkenaan wilayah selatan Thai ;


Berkurun lamanya orang Melayu Nusantara menguasai rantau kepulauan Melayu ini sebelum kekuasaan mereka terhakis menerusi kedatangan penjajah-penjajah Barat. Selain penjajah Barat, kerajaan-kerajaan Melayu juga terpaksa berhadapan dengan kuasa penjajah serantau iaitu Siam yang senantiasa mengambil peluang untuk meluaskan wilayah mereka ke selatan Semenanjung Melayu.

Sebagai contoh, wilayah Satun yang sekarang ini sebahagian daripada Thailand pernah berada di bawah pengaruh kerajaan Kedah sehingga tahun 1813. Kesultanan Kelantan dan Terengganu pernah menjadi sebahagian daripada Persekutuan Pattani Besar sehingga dipecahkan oleh Siam pada tahun 1785. 

Sempadan Malaysia-Thailand yang terbentuk pada hari ini bukanlah sempadan yang memisahkan wilayah sebenar orang-orang Melayu dan Siam. Sempadan ini telah dilukis melalui persetujuan pihak British, selaku pelindung kerajaan-kerajaan Melayu dengan pemerintah Siam, tanpa kerelaan sultan-sultan Melayu sendiri pada tahun 1909.

Bertitik-tolak dari peristiwa bersejarah ini, terpisahlah wilayah-wilayah Melayu di selatan Thailand dengan negeri-negeri serumpunnya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. Wilayah Setul ditukar namanya kepada Satun, Singgora menjadi Songkhla, Terang menjadi Trang, Jala menjadi Yala dan Menara menjadi Narathiwat. Wilayah-wilayah ini kemudiannya menerima perpindahan orang-orang Siam yang agak ramai untuk menyeimbangkan populasi Melayu-Muslim dengan Siam-Buddha. Satun contohnya, mempunyai populasi Muslim melebihi 90% pada awal kurun ke 19 tetapi sekarang ini, populasi Muslimnya berkurangan kepada 65%.


Dasar Thesapiban

Setelah wilayah-wilayah selatan ini menjadi milik mutlak Siam pada tahun 1909, pemerintah Siam pada ketika itu mengenakan dasar Thesapiban kepada penduduk-penduduk di kawasan ini dengan harapan untuk mengasimilasikan orang-orang Melayu Muslim kepada budaya masyarakat majoriti Siam-Buddha. Dasar ini diperkenalkan oleh Perdana Menteri Siam, Pibul Songgram yang memerintah Siam di antara tahun 1939 sehingga 1944.

Penduduk-penduduk Melayu dipaksa untuk menerima adat dan budaya masyarakat majoriti Siam-Buddha untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Bahasa Siam diajarkan di sekolah-sekolah dengan bahasa Melayu tidak diberikan perhatian langsung oleh pemertintah. Mujur sekali Dasar Thesapiban tidak memaksa orang-orang Melayu untuk meninggalkan Islam sebagai agama yang dianuti oleh mereka.

Apabila Siam menjadi Thailand pada tahun 1949, masyarakat Melayu telah dilabelkan sebagai ‘Thai-Muslim’. Jati diri masyarakat Melayu di selatan Thailand berjaya dihakis sedikit demi sedikit, dihakis menerusi Dasar Thesapiban ini. Kini, majoriti generasi muda Thai-Muslim di selatan Thailand tidak lagi fasih berbahasa Melayu dan lebih selesa menuturkan bahasa Thai.



Untuk bahagian pengenalan Ride Menjejak Salasilah Selatan Thai ni kita layan gambar dulu, nanti gua cerita lebih lanjut dalam catatan berikutnya.

Lebuhraya Timur Barat dari Gerik ke Baling berlatarkan Gunung Kenderong.

Beli insurans  Siam di pekan Changlun.

Pintu gerbang memasuki negeri Perlis.

Menuju ke Wang Kelian dalam cuaca panas terik di negeri Perlis.

Persimpangan Kaki Bukit menuju ke Wang Kelian.

Pintu masuk sempadan Wang Kelian-Wang Prachan.

Berhenti untuk pemeriksaan imigresen dan kastam Thailand. Tunjuk salinan geran motorsikal untuk buat surat pelepasan kenderaan.

Kembara Selatan Thai bermula. Nouvo LC menjejaki wilayah Siam menuju ke Pak Bara.

Akak 7E tolong mengkonfigurasi simkad Thailand.

Cari simkad Thailand di 7 Eleven.

Lepak depan 7E Thailand di pekan Chalung guna wifi percuma.

Signboard kegemaran untuk bergambar ala-ala filem Bikers Kental.

Selamat tiba di jeti Pak Bara setelah menempuh perjalanan dengan panas terik dari Wang Kelian.

Singgah solat di Masjid Pak Bara yang bertentangan dengan laut.

Pak Imam Masjid Pak Bara yang boleh kecek Melayu. Dia yang tolong tunjukkan bajet guesthouse di Pak Bara.
Guesthouse bajet di Pak Bara. 200 Baht semalam. Tolong pakcik ni yang hidup susah. Nak berkomunikasi susah sebab pakcik ni tak pandai cakap bahasa Melayu.

Nama guesthouse tak berapa pasti kerana dalam bahasa Siam. Betul-betul tepi pantai Pak Bara. Pak imam masjid Pak Bara yang kenalkan dengan pakcik tuan guesthouse.

Makcik jual aiskrim kelapa di pasar malam Pak Bara. Petang-petang meriah dengan orang ramai.

Aiskrim kelapa di Pak Bara menghadap lautan Andaman. Nimat Allah yang mana kamu dustakan.

Lepak minum Cha Yen (Teh Ais) di Pak Bara di sebelah malam.

Minyak seludup bawah seat Nouvo LC yang diisi di Wang Kelian lagi. Harga minyak Thai mahal.

Sesi bergambar terakhir sebelum meninggalkan Pak Bara untuk ke Chebilang.

Harga minyak di Thailand berubah-ubah tiap hari dan berbeza di antara stesen minyak.

Melalui Pekan Satun untuk ke jeti Chebilang. Payah nak nampak Nouvo LC di selatan Thai ni.

Skuter comel yang popular di Thailand.

Solat Jumaat di Masjid Chebilang. Khutbah dibacakan dalam Bahasa Melayu dan Siam.

Masyarakat muslim Thai di Chebilang bercakap dalam loghat hilir Kedah.

Perkampungan muslim di Chebilang. Walaupun tulisan Thai, kebanyakan masyarakat di sini berkomunikasi dalam bahasa Melayu loghat Kedah.

Perkampungan Chebilang. kedai-kedai kecil yang baru dibuka selepas selesai solat Jumaat.

Hasrat untuk membawa motorsikal ke Koh Sarai tidak tercapai kerana angin kuat. Penumpang menunggu bot di Jeti Chebilang ini  untuk ke Koh Sarai.

Menurut maklumat penduduk tempatan, batu-bata merah yang dihasilkan di Chebilang ini akan dihantar ke Langkawi menggunakan bot.
Tempat membaiki bot dan kapal di jeti Chebilang.
Melepak menyembang dengan makcik di Tanyung Po. Cakap Melayu belah-belah kita di Kedah.

Tanyung Po atau Tanjung Lumpur yang tidak jauh dari Chebilang. Di sini juga terdapat banyak masyarakat Melayu Thai.

Bawa Nouvo LC naik bot ke Kampung Tammalang Hulu.

Bot menjadi pengangkutan utama membawa kenderaan dan penumpang berulang-alik dari Kampung Tammalang ke tanah besar.
Abang Rasad yang mempelawa dan menumpangkan gua tidur semalaman di rumahnya di Kampung Tammalang.

Sekolah kerajaan di Kampung Tammalang Hulu.

Penduduk Kampung Tammalang kebanyakan adalah nelayan yang mencari rezeki dengan bot.

Perkampungan Tammalang Hulu di wilayah Satun dihuni oleh masyarakat Melayu Thai yang rata-ratanya fasih berbahasa Melayu.

Penduduk Kampung Tammalang yang ramah.

Walaupun tiada ikatan persaudaraan, masyarakat muslim di Kampung Tammalang di sini melayan tetamu dengan cukup baik sekali.

Bot yang berulang-alik membawa motorsikal dan penumpang di kampung Tammalang. Setiap motorsikal dikenakan tambang sebanyak 20 Baht.

Kembara bersama Nouvo LC diteruskan ke wilayah Songkhla.

Panas membahang sepanjang perjalanan dari Satun ke Songkhla. Singgah pekena Cha Yen (Teh Ais) dulu.

Singgah mengisi minyak di stesen PTT Thailand.

Kali pertama mengisi minyak di Thailand. Isi 100 Baht belum penuh tangki lagi.

Selamat tiba di wilayah Songkhla.

Pantai di wilayah Songkhla. Angin cukup kuat.

Pemandangan kota Songkhla dari puncak Tang Kuan Hill.

Aiskrim kelapa lagi turun dari Tang Kuan Hill.

Definisi jalanraya sebenar. Walaupun jalan kampung, jalannya cukup rata dan tak ada lubang bersepah di bahu jalan.

Pantai Samila yang menjadi tumpuan ramai hujung minggu. 

Kali kedua mengisi minyak di Thailand. Ada bermacam perisa yang boleh dipilih. Gua nampak nombor 95, yang tu gua pilih.

Singgah di Khlong Hae Foating Market atau Pasar Terapung Khlong Hae tidak jauh dari Hat Yai.

Bekas minuman unik yang terdapat di Khlong Hae Floating Market.

Khlong Hae Floting Market yang berjaya dijejaki berpandukan Google Maps. Mula-mula sesat tanya orang Siam sendiri pun tak faham.

Peniaga di Khlong Hae Floating Market ni kebanyakan adalah muslim. Semuanya bertudung dan berkopiah.

Selamat tiba di Hatyai. Tersesat sehingga Stesen Keretapi Hatyai.
Kembali pulang ke Malaysia melalui sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam.

Untuk kisah lanjut mengenai Kembara Menjejak Salasilah di selatan Thai dengan skuter Nouvo LC gua ni, kena sabaq sat na. Tengah dok pulun habiskan cerita Indochina 'Long Way Back Overland' Project yang terlah tertunggak sekian lama. Hampir setahun tak habis-habis lagi cerita ni. Dah siap cerita Indochina, baru gua sambung cerita kembara selatan Thai ni wokey !

Bersambung ke Ride Menjejak Salasilah Selatan Thai  : Wang Kelian - Pak Bara

25 Februari 2015

Indochina 'Long Way Back' Overland Project | Part 13 : Luang Prabang - Chiang Mai

Sambungan dari Indochina 'Long Way Back' Overland Project | Part  12 : Luang Prabang

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.


Kami melepak di Stesen Bas Luang Prabang menunggu kehadiran bas hingga ke waktu Maghrib. Bas dijadualkan akan bertolak ke Huay Xai (Bokeo) pada jam 7.00 malam. Sebelum tu kami melilau di sekitar kawasan perkarangan stesen bas. Ada kedai-kedai kecil menjual minuman dan makanan ringan. Gua rasa barang di Laos agak mahal jika nak dibandingkan dengan Thailand dan juga Vietnam. Masuk tandas awam dekat stesen bas pun dah kena 2,000 Kip (lebih kurang RM0.80). Kalau minuman atau makanan ke harga dia memang lebih sikit nilai dia bila kita convert ke duit Malaysia.

Bas putih VIP berhawa dingin sampai awal di Stesen Bas Luang Prabang tapi penumpang belum boleh naik lagi. 10 minit sebelum bertolak baru penumpang dibenarkan masuk. Ada mat saleh geng pakcik-pakcik naik sekali. Setiap penumpang dibekalkan dengan selimut. Keadaan bas agak selesa jika nak dibandingkan dengan bas-bas yang kami naiki sebelum ini dari Sapa ke Luang Prabang. Setiap penumpang mempunyai nombor kerusi masing-masing. Kami solat jama' Maghrib dan Isyak di atas bas sahaja.

Lampu bas dipadamkan sebaik sahaja bas bergerak. Gelap gelita jalanraya di Laos. Tak ada lampu-lampu jalan yang menerangi. Di awal perjalanan, jalanraya cukup cantik apabila melalui kawasan perkampungan. Bas berhenti 2-3 kali mengambil penumpang di kawasan kampung. Hampir sejam perjalanan, bas berhenti rehat di suatu kawasan pekan. Nama pekan apa gua pun tak tahu. Drebar dan pembantunya berhenti makan nasi. Siapa yang tak nak turun boleh lepak dalam bas. Gua dengan Maddin turun bas tengok keadaan sekitar.

Akak ni jual buah limau di tepi jalan.

Salah sebuah bas yang turut berhenti rehat. Bukan bas ni yang kami naik di Laos.

Bas menyambung semula perjalanan setelah berhenti rehat. Kali ini dah tak berhenti mana-mana dah sampai la ke destinasi iaitu di Stesen Bas Huay Xai. Ingatkan jalan cantik sepanjang masa, tanggapan gua silap. Melalui lereng-lereng bukit dan dengan keadaan jalan yang kurang elok (bertanah merah), bas terhuyung-hayang sepanjang perjalananan malam tersebut. Ada penumpang lain yang siap muntah dalam plastik beg. Gua tak lena nak tidur bila bas dok  melambung-lambung. Jengok luar tingkap tak nampak apa, gelap gelita sepanjang masa. Yang gua tahu lokasi kami ada di tengah-tengah hutan belantara mana entah. Sat sat jaga pukul 1 pagi, sat sat jaga pukul 3 pagi. Tidur-tidur ayam. 

Bila hari nak cerah, baru gua sedar. Rupanya dah nak sampai. Pembantu bas mengedarkan air mineral dan roti kepada setiap penumpang di dalam bas. Pemandangan desa penduduk tempatan Laos di waktu pagi amat menarik. Budak-budak sekolah berjalan kaki ke sekolah dan ada yang baru bersiap memulakan rutin harian mencari nafkah. Tepat jam 7.00 pagi, bas yang dinaiki tiba di stesen bas Huay Xai. Bas berhenti menurunkan sebahagian penumpang termasuklah kami. Ada setengah lagi penumpang belum turun. Bas tersebut difahamkan akan menyambung perjalanan tapi tak pasti pulak ke mana. 

Huay Xai merupakan satu pekan kecil di wilayah Bokeo yang menjadi transit bagi para pengembara yang ingin melintasi sempadan Laos-Thailand. Lintasan sempadan antara pekan Huay Xai (Laos) dan pekan Chiang Khong (Thailand) ini dipisahkan oleh Sungai Mekong di tengah-tengah. Pengembara perlu menaiki bot kecil menyeberangi Sungai Mekong untuk melintasi sempadan kedua-dua negara.

Apabila turun dari bas tadi, kami menaiki tuk-tuk yang sedia terdapat di Stesen Bas Huay Xai ini. Drebar tuk-tuk dah menjerit-jerit tanya siapa nak ke border. Satu Tuk-tuk dikongsi di antara 6-7 orang penumpang. Setiap penumpang dikenakan bayaran sebanyak 10,000 Kip dan tuk-tuk ini akan terus membawa penumpang ke Border Huay Xai. Hampir setengah jam jugak perjalanan pagi itu dengan tuk-tuk dari stesen bas ke Border Huay Xai.



Drebar tuk-tuk dah siap menunggu di stesen bas Huay Xai untuk membwa penumpang ke sempadan.

Bersempit-sempit dalam tuk-tuk untuk ke border Huay Xai.

Tuk-tuk menurunkan penumpang di pekan Huay Xai berhampiran border.

Pekan kecil Huay Xai yang menjadi pintu masuk/keluar utama pengembara di utara Laos/Thailand.

Wat Buddha di puncak bukit Huay Xai.

Sampai di Border Huay Xai, kami tak terus melulu cop pasport. Kami melepak dulu tengok suasana sekeliling. Kelihatan bot-bot kecil sibuk berulang-alik melintasi Sungai Mekong ke tebing sebelah sana membawa penumpang ke Chiang Khong yang terletak di negara Thailand. Ada juga bas-bas besar yang membawa sekumpulan pelancong dan ejen pelancongan masing-masing melintasi sempadan Huay Xai-Chiang Khong ini. 

Di sebelah Huay Xai ini ada pejabat kecil untuk urusan imigresen dan kastam Laos. Urusan di sini tak berapa sibuk dan sangat lancar kerana tak ramai orang. Sebelum tu, kami isi dulu departure card masing-masing untuk diserahkan kepada imigresen Laos di sini. Banyak yang tanya macam mana nak lintas sempadan Laos-Thailand ni. Prosedur dia mudah sahaja sama jugak macam nak lintas sempadan Vietnam-Laos. Bagi rakyat Malaysia tak perlu buat visa ke apa, tunjuk saja passport merah bersama departure card tadi, sengih-sengih sikit kat pegawai imigresen Laos dan ambil semula passport anda apabila ianya sudah dicop. Kemudian melangkah la anda dengan angkuhnya melintasi sempadan dengan menaiki bot. Gigih nak berenang pun boleh, tak ada sapa nak halang.

Melintas jalan menuju ke imigresen Huay Xai berhampiran tebing Sungai Mekong.

Sungai Mekong yang terbentang luas memisahkan sempadan bumi Laos dan juga Thailand.

Isi dulu departure card Laos sebelum dikepilkan bersama passport untuk diserahkan pada imigresen Laos.

Sekumpulan pelancong luar bersama ejen pelacongan masing-masing menyeberangi Sungai Mekong dari Huay Xai ke Chiang Khong.

Siap ada porter yang angkut beg-beg geng pelancong tadi.

Pejabat Imigresen dan Kastam Laos di Huay Xai.

Geng mat saleh pun turut melintasi sempadan Huay Xai-Chiang Khong ni.


Sesi mengisi departure card di sempadan Huay Xai.

Pikul backpack dengan muatan bahan makanan dari Indochina lagi.

Maddin juga tak mahu kalah gaya ketika proses pengecopan passport di imigresen Huay Xai.

Pegawai imigresen Laos di Huay Xai banyak berehat dari buat kerja.

Bot-bot kecil menunggu penumpang untuk menyeberangi Sungai Mekong dari Huay Xai ke Chiang Khong.

Beli tiket bot ke Chiang Khong di kaunter yang disediakan. Tambang bot sebanyak 10,000 Kip untuk setiap penumpang.

Papan tanda arah tempat membeli tiket bot Huay Xai-Chiang Khong. Gua pun tak pasti siapa salah eja sebenarnya ni.

Kadar kekerapan bot menyeberangi Sungai Mekong dari Huay Xai ke Chiang Khong sangat tinggi. 

Penumpang bot diarahkan menaiki bot dan duduk di tempat yang disediakan.

Tekong bot mengemudi bot di bahagian belakang bot. Kulit berbelang-belang kesan main panas di Indochina.

Satu bot memuatkan 7-8 orang penumpang sahaja. Kami sahaja pelancong, yang lain orang tempatan.

Lebih kurang 10 minit naik bot, sampailah ke sebelah Chiang Khong di negara Thailand.

Dah dekat dah nak sampai.
Sungai Mekong yang lebar.

Kapal-kapal besar yang berlabuh di pinggir Sungai Mekong di sebelah Chiang Khong.

Nampak bendera Thai ? Dah sampai dah Thailand.

Pintu gerbang Welcome to Thailand tersergam indah di sempadan Chiang Khong.

Tadi di sebelah Huay Xai (Laos) di seberang sana, kali ni berada di Chiang Khong (Thailand) pulak.

Dari tebing Huay Xai menaiki bot menyeberangi Sungai Mekong ke tebing sebelah Chiang Khong tidaklah terlalu lama, sekitar 10 minit sahaja. Dalam bot ada 7-8 orang penumpang sahaja. Kebanyakan adalah orang tempatan yang berulang-alik antara dua pekan tersebut untuk membeli barang-barang keperluan harian. Dari kejauhan dah boleh nampak pintu gerbang 'Welcome to Thailand' di sebelah Chiang Khong. 

Turun dari bot, gua dan Maddin mencari pejabat imigresen Thailand pula untuk urusan pengecopan passport. Mujur di Ching Khong ini banyak papan tanda arah mana yang harus dituju. Berbeza seperti di sebelah Huay Xai di negara Laos tadi, kemudahan imigresen dan kastam di sebelah Thailand lebih tersusun dan menarik. Jalan punya jalan jumpa la akak-akak pegawai imigresen Siam dah tercongok tunggu di kaunter. Urusan di sini juga lancar kerana tak ramai orang. Sebelum tu kena isi dulu arrival card yang berwarna putih oleh kerana kita nak masuk negara Thailand. Kalau di Bukit Kayu Hitam depa kata kena selit seringgit dua masa nak cop passport (gua tak pernah selit pun), dekat sini tak payah bayar apa-apa nak lintas sempadan. Cukup dengan senyum dan sengih sikit-sikit. Bag ke apa ke tak payah pun nak kena scan


Mari cop passport di sebelah wilayah Chiang Khong di sebelah Thailand pulak.

Papan tanda arahan pemeriksaan imigresen dan kastam di Chiang Khong.

Banyak papan tanda yang memudahkan urusan pelancong di sempadan Chiang Khong ini.

Terpinga-pinga jugak mencari tempat cop passport di Chiang Khong walaupun banyak papan tanda.

Bendera-bendera kebangsaan Chiang Khong  Immigration Checkpoint.

Pemeriksaan passport di imigresen Chiang Khong.

Isi arrival card Thai dulu.

Keluar dari pemeriksaan imigresen Thailand, ada sebuah restoran di atas bukit. Sebenarnya kami nak cari pengangkutan untuk ke Chiang Mai dari Chiang Khong ini. Gua sebelum tu ada terbaca ada bas yang berulang-alik antara Chiang Khong dan Chiang Mai. Ingat nak cari bas tu la. Kami pun menuju ke restoran Siam atas bukit nak tanya orang-orang situ mana nak cari bas ke Chiang Mai. Pakcik tokey kedai tu pulak ramah sambut kami sambil tanya nak ke mana. Kami jawab nak ke Chiang Mai. Katanya boleh naik minivan yang dah nak bertolak setengah jam lagi. Ada geng-geng Mat Saleh 3-4 orang tengah tunggu minivan yang sama jugak untuk ke Chiang Mai. Kata pakcik tokey kedai lagi cepat naik minivan. Tambang dalam 250 Baht seorang. Kami pun ambil keputusan naik minivan sahajalah dengan geng mat saleh tadi.

Restoran pakcik ni bukan sahaja menjual makanan dan minuman semata-mata, tetapi rupanya menjadi tempat persinggahan pelancong dan pengembara yang melintasi laluan Huay Xai-Chiang Khong. Ada bermacam perkhidmatan di sini antaranya ambil gambar passport buat visa, tukar duit dan bermacam lagi. Lagi pun ada wifi percuma di sini. Pakcik tokey kedai siap suruh kami layan diri minum Nescafe 3-1 percuma. Sementara tunggu minivan sampai, boleh layan baca berita ke apa dulu dari Malaysia. Dah hampir 3 minggu kami di perantauan, tak sempat nak baca berita. Tapi yang gua ingat waktu tu berita popular di Facebook berkenaan minyak naik harga pada hari tersebut.

Sebelum bergerak menaiki van ke Chiang Mai, kami sempat tukar duit Kip lebihan di Laos kepada duit Baht. Duit Ringgit Malaysia nak tukar kepada duit Baht Thailand pun boleh di sini. Gua tukar RM100 kepada duit Baht Thai. Ramah jugak pakcik tu melayan pelanggan-pelanggannya. Boleh la cakap bahasa Inggeris sikit-sikit. Katanya bahasa Thai dan bahasa Laos adalah dari rumpun yang sama. Tengok tulisan pun bukan banyak beza antara bahasa Thai dan bahasa Laos. Macam kita dan Indonesia, dari rumpun yang sama.

Restoran Siam atas bukit selepas imigresen Chiang Khong.

Pakcik tokey kedai. Boleh caj telefon, minum kopi dan main internet percuma.

Pandangan dari atas bukit. Imigresen Chiang Khong di sebelah bawah menghadap Sungai Mekong.

Geng-geng abang sado yang naik minivan dengan kami dari Chiang Khong ke Chiang Mai.

Kuil-kuil Buddha yang banyak terdapat sepanjang perjalanan di Chiang Khong.

Abang sado Maddin tak ada kerja lain selain tidur di dalam minivan.

Jam 10.00 pagi, minivan yang dijanjikan tiba untuk membawa kami ke kota Chiang Mai. Kalau tak salah gua, yang naik sekali dengan kami waktu tu ada la tujuh orang penumpang termasuk geng mat saleh tadi. Kiranya semua dapat duduk dengan selesa dan tak berapa padat la dalam minivan tu. Cuaca panas terik ketika itu. Mujur la kondisi van agak cantik, penghawa dingin sejuk sampai ke belakang. Maddin macam biasa tak ada kerja lain bila naik bas atau van ke. Gua pun tidak terkecuali sepanjang 4 jam perjalanan ke Chiang Mai tu. 

Kroh ! Kroh ! Kroh ! Bunyi berdengkur !


Bersambung ke Indochina 'Long Way Back' Overland Project | Part  14 : Chiang Mai


// Catatan Travelog Indochina 'Long Way Back' Overland Project //




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...