Iklan

18 April 2014

180 Hours Trans Borneo Backpacking : Brunei Darussalam

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.


Kita berhenti sekejap cerita Indochina 'Long Way Back' Overland Project sebab gambar album Hanoi dah hilang ! 

Sementara tu, apa kata kita cerita tajuk lain pulak. Diberi tajuk '180 Hours Trans Borneo', pengembaraan ber-backpaking serta bermotosikal ini berkisahkan tentang perjalanan abang merentasi bumi Borneo bermula dari negara Brunei Darussalam sehinggalah ke Tips of Borneo, iaitu tanah terhujung Borneo di utara Kudat negeri Sabah.

Rancangan asalnya trip backpacking Trans Borneo ni abang jangka dapat dibuat dan dihabiskan dalam masa dua minggu. Bukan main lama. Mulanya, gua ingat nak jelajah seluruh negeri Sabah bermula dari Kota Kinabalu hingga ke Sandakan, Lahad Datu dan juga Tawau dengan motosikal sewa. 

Pada masa yang jugak hati gua berbelah bahagi sama ada nak pergi atau tidak kerana ada hal-hal lain seminggu sebelum bertolak. 

Nak dijadikan cerita 2-3 hari sebelum bertolak, gua dapat mesej dari Airasia menyatakan penerbangan pulang dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan dan ditukarkan ke waktu lain. Oleh kerana itu, Air Asia bagi beberapa pilihan. Sama ada nak pilih destinasi lain ataupun tukar tarikh penerbangan pulang dari Kota Kinabalu.

Perancangan Allah, perancangan manusia. Perancangan Allah yang terbaik. 

Maka gua tukar tarikh balik dari Kota Kinabalu seminggu awal. Asalnya perancangan dua minggu tapi dipercepatkan perjalanan balik kepada seminggu sahaja. Sebenarnya gua tengah hadap FYP waktu tu. Banyak benda yang tak selesai lagi. Kalau dua minggu nak travel rasanya macam lama sangat pulak. 

Eloklah tu dapat backpacking ke Brunei dan Sabah seminggu sahaja. Tengok, betapa gigih abang cari masa dalam waktu FYP semata-mata nak pergi kembara. Hiks.

Tiket penerbangan Airasia telah dibeli tujuh bulan awal sebelum bertolak pergi lagi. Ada promosi waktu tu kita sebat la dulu. Pergi ke tak pergi belakang cerita. Janji beli dulu.

Harga tiket penerbangan Airasia dari Kuala Lumpur ke Brunei Darussalam hanya berharga RM52.00 sahaja sehala. Harga tiket balik pulak dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur pulak cuma berharga RM26.00. 

Campur tiket pergi balik naik kapal terbang ke bumi Borneo baru bermodalkan RM78.00 sahaja ! 

Tiket bas ekspress pergi balik Sungai Petani gua rasa mahal lagi. 

Siapa kata dengan bajet rendah anda tidak mampu keluar mengembara ? Anda harus cuba !


Arrival Card yang akan diberikan semasa penerbangan Air Asia dan perlu diisi sebelum mendarat di negara Brunei Darussalam.

Lapangan Terbang Bandar Sri Begawan. Tidak sesibuk mana.

Backpack kecil sebagai peneman kembara bermula dari negara Brunei Darussalam.

Turun di Lapangan Terbang Bandar Sri Begawan Brunei, dah nampak gambar masjid Omar Ali Saifuddin.

Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Sri Begawan, Brunei. Banyak tulisan jawi.

Perkhidmatan teksi di lapangan terbang Brunei. Dikhabarkan terdapat hanya 40 buah teksi sahaja di sekitar Brunei.

Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Sri Begawan, Brunei yang agak lengang.

Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Sri Begawa tidak sesibuk seperti KLIA2.

Tulisan jawi digunakan secara meluas dan boleh dilihat di mana-mana sahaja di sekitar negara Brunei.

Sampai di Lapangan Terbang Bandar Sri Begawan Brunei, aura ketenangan dapat dirasai di sini. Rakyatnya ramah dan dan tidak tergesa-gesa. Gua melilau mencari jalan keluar dari lapangan terbang. Ada seorang pemandu teksi (makcik) yang menanyakan gua mahu perkhidmatan teksi untuk ke bandar atau tidak.

Mengikut kajian sebelum ini, kos untuk menaiki teksi ke bandar agak mahal jika hendak dibandingkan dengan pengangkutan lain seperti bas. Kadar tukaran asing bagi Ringgit Malaysia kepada Brunei Dollar adalah bersamaan dengan $ 1 BD = RM 2.60 ketika itu. Memang terasa kos tinggi bila berada di Brunei ni.

Tanya pada seorang abang guard di mana boleh dapatkan bas untuk ke bandar. Rupanya kena naik tangga tunggu di bahagian atas, di balai ketibaan. Katanya bas sejam sekali baru ada. Katanya orang di Brunei kebanyakan ada kereta sendiri, maka dengan itu perkhimatan awam seperti bas dan teksi kurang popular.

Gua pun cari jalan ke balai ketibaan. Suasana lapangan terbang Brunei ini agak sunyi. Tulisan jawi boleh dilihat di merata tempat. Kebanyakan pekerja seperti penolak troli bagasi adalah pekerja warga asing.

Gua tunggu hampir setengah jam baru bas tiba. Bas berwarna ungu dengan tertera perkataan 'laluan keliling'. Sebelum tu tanya makcik konduktor dulu sama ada bas ini menuju ke Terminal Bas di Jalan Cator atau tidak. Tambang sebanyak $ 1 BD dikenakan untuk setiap penumpang. Bersama-sama gua dalam bas adalah warga asing dari Indonesia dan Filipina. Berhimpi-himpit jugaklah dalam bas waktu itu.


Dari lapangan Terbang Bandar Sri Begawan, naik bas berwarna ungu dengan tambang $1 BD yang tertulis 'Circle Line' yang akan membawa anda ke Terminal Bas Jalan Cator.

Makcik konduktor yang mengutip tambang bas mini. Perkhidmatan bas dipenuhi dengan warga asing di Brunei ini.

Bas mini pelbagai warna di Terminal Bas Jalan Cator, Brunei.

Di Terminal Bas Jalan Cator ni anda boleh cari bas untuk ke bandar lain sekitar negara Brunei.

Bas berwarna ungu ini yang gua naiki dari Lapangan Terbang ke Bandar Sri Begawan.

Terminal Bas Bandar Sri Begawan, yang terletak di Jalan Cator berhampiran Tamu Kianggeh.

Selain bas, perkhidmatan teksi juga ada disediakan di Terminal Bas Bandar Sri Begawan di Jalan Cator ini.

Gua sampai di Terminal Bas Jalan Cator lebih kurang jam 10.30 pagi. Sampai-sampai sahaja gua keluar melilau kawasan sekitar terminal bas. Maklumlah pertama kali jejak negara Brunei Darussalam. Selalu tengok TV dengan dengar cerita orang ja. Suasana aman dan tenang dapat dirasai di sini. Tidak seperti di Kuala Lumpur yang mana orangnya berkejar-kejar untuk sampai di sesuatu tempat, di negara Brunei semuanya nampak santai sahaja. Bahkan kereta pun semua bergerak perlahan. Mat rempit ? Langsung tak nampak.

Jarang orang backpacking ke Brunei kerana bajet dan kosnya yang tinggi. Tengok panduan di internet pun susah nak jumpa penginapan bajet atau pun guesthouse di Brunei ni. Negara kaya macam Brunei sektor pelancongan bukan menjadi keutamaan. Ada tu memang ada pelancong mat saleh, tapi hanya boleh dibilang dengan jari. Selalu yang datang ke Brunei adalah dari golongan pelancong-pelancong dan bukan pengembara.

Rancangan pagi itu bila sampai di Bandar Sri Begawan adalah untuk mencari tempat penginapan. Gua ingat nak menginap di Pusat Belia sebab di situlah tempat paling murah penginapan di Brunei ni. Pusat Belia Brunei ni macam pusat aktiviti golongan belia di mana kalau ada kursus ke apa mereka akan tinggal di sini. Mereka juga menerima tetamu luar dengan bayaran yang minimum. Duduk dalam asrama yang disediakan. Ok apa.

Sebelum gua pi jenguk Pusat Belia, gua singgah melawat Tamu Kiangge yang tak jauh dari Terminal Bas Bandar Sri Begawan di Jalan Cator. Masa gua melawat Tamu Kianggeh, pasarnya dah nak tutup. Tak ada apa dah yang tinggal, peniaga-peniaga semua dah kemaskan barang untuk pulang. Mungkin waktu tu dah agak lewat hamir jam 11.0 pagi.

Yang hanya kelihatan bot-bot kecil di terusan pinggir Tamu Kianggeh. Mereka menawarkan perkhidmatan meronda ke Kampung Ayer denagn bot mereka. Depa semua boleh cam gua ni orang luar. Harga biasa untuk satu sesi rondaan ke Kampung Ayer $10 BD depa mintak. Ramai jugak yang panggil-paggil gua naik bot mereka, tapi gua tolak dengan baik disebabkan kekangan bajet.

Gua terjumpa seorang brader ni orang tempatan Brunei yang bercerita berkenaan pekerjaannya membawa bot ni sehari-hari. Jangan hangpa pandang lekeh kat depa ni, bagi yang tak tahu satu hari brader ni boleh kaut $100 BD senang-senang. Cuba tukar dalam RM. Kalah eksekutif woi !


Tamu Kianggeh di pinggir terusan.

Tamu Kianggeh yang dah nak tutup. Kalau pagi-pagi ni rancak ni.

Sungai Kianggeh yang menjadi nadi pengangkutan utama penduduk berulang-alik dengan bot.

Pengusaha bot sekitar Tamu Kianggeh yang mengambil dan menurunkan penumpang.

Makcik ni berniaga di Tamu Kianggeh dengan gaya tersendiri.

Harga di Tamu Kianggeh lebih kurang macam pasar di Malaysia. Tapi dalam Brunei Dollar lah. 

Hasil laut yang dijual di Tamu Kianggeh

Peniaga di Tamu Kianggeh kebanyakkan adalah muslim tempatan. 

Sembang dengan brader bawa bot berhampiran Tamu Kianggeh.

Bot ini juga menawarkan perkhidmatan membawa pelancong dari Tamu Kianggeh pusing-pusing Kampung Ayer.

Banyak bot yang membawa penumpang sehari-hari ke Tamu Kianggeh.

Brunei yang juga dikenali dengan nama gelaran 'Venice of the East.'

Bot tambang Brunei. Boleh ke Kampung Ayer dari Tamu Kianggeh.

Pusat Belia di hadapan sana tak jauh dari Tamu Kianggeh.

Pusat Belia berhampiran Tamu Kianggeh.

Puas meronda Tamu (pasar) Kianggeh, masa untuk mencari tempat penginapan. Lokasi yang dituju adalah Pusat Belia. Mengikut maklumat yang diterima, penginapan di Pusat Belia ini adalah yang termurah boleh didapati di Brunei ini. Satu malam $10 BD sahaja (kira-kira RM 26). Bilik jenis asrama (dorm) dengan tandas di luar. Dorm lelaki dan perempuan berasingan. Nak dijadikan cerita waktu gua pergi hari Khamis waktu tu, Pusat Belia Brunei ni ditutup untuk orang awam. Ada program untuk budak-budak sekolah. 

Melilau la pulak cari guesthouse lain. Tak banyak guesthouse murah-murah di Brunei ni. Bilangan hotel juga boleh dibilang dengan jari. Gua tanya makcik jual keropok di Terminal Bas Jalan Cator di mana hotel murah-murah. Gua boleh agak harga mesti tinggi punya. Dalam duit Brunei pulak. Makcik tu tunjuk Hotel KH Soon berdekatan situ. Gua pun terus ke sana bertanyakan bilik termurah yang ada. Ada la bilik dorm dikongsi 5 orang dengan harga $18 BD semalam. Oleh kerana tiada pilihan lain, gua pun sebat sajalah. Dalam bilik ada 2 orang lain, masing-masing orang luar. Rasanya dari Thailand. Tak sempat tegur berikutan masing-masing tengah tidur.

Gua lepak mandi dan solat dulu sebelum tidur sekejap melelapkan mata. Dah seharian gua tak tidur. Sedar-sedar dah pukul 4.00 petang. Nak berjalan ke luar sekejap menikmati susana petang di Brunei. Gua menuju ke jeti berhampiran bandar untuk menaiki bot tambang ke Kampung Ayer. Bot akan bawa kita ke seberang sungai hingga ke jeti Kampung Ayer. Hanya $1 BD sehala. Kalau nak pusing satu Kampung Ayer dikenakan tambang $30 kalau tak silap. Tak sampai 5 minit dah sampai di seberang sana.

Kampung Ayer di seberang sana.

Tempat istirehat dan memancing waktu petang di Bandar Sri Begawan.

Papan tanda perniagaan juga dalam tulisan jawi di Brunei.

Papan tanda jalan di Brunei. Semua pun mesti ada tulisan jawi.

Pemandangan indah di waktu petang menghadap Kampung Ayer.

Bot tambang menyeberangi sungai ke Kampung Ayer.

Gua naik bot tambang seberang ke Kampung Ayer.

Setiap rumah di Kampung Ayer ada bot kecil di bawah rumah.

Kampung Ayer versi moden. Semua rumah batu.

Kampung Ayer versi moden. Ada nama setiap lorong dan jambatan. Macam ni Jambatan Padian.

Kampung Ayer yang menarik. Dibina di atas air.

Anak-anak penduduk tempatan Kampung Ayer bermain basikal.

Jambatan Laila Menchanai di Kampung Ayer. Ada nama bagi setiap jambatan yang menghubungkan kawasan perumahan Kampung Ayer ini.
Budak-budak kecil di Kampung Ayer ni semua sempoi sempoi belaka.

Oleh kerana ruang bermain yang terhad, anak-nak kecil bermain di atas laluan Kampung Ayer.

Adik manis Kampung Ayer ni cukup petah berkata-kata. Cerita pasal Kampung Ayer dan keluarganya.


Meronda ke Kampung Ayer versi tradisional.

Kampung Ayer yang terbahagi kepada dua versi. Moden dan tradisional.

Jmabatan kayu yang menghubungkan rumah-rumah di Kampung Ayer.

Perkampungan di atas air diberi nama Kampung Ayer ni juga sangat bersih.

Senja melabuhkan tirai di Kampung Ayer. Bot penduduk kampung yang pulang ke rumah masing-masing.

Brunei Darussalam. Aura tenang dan tidak tergesa-gesa boleh dirasai di Kampung Ayer ini.

Kampung Ayer menghadap Bandar Sri Begawan di seberang sana.

Bot yang berulang-alik melintasi Kampung Ayer.

Pemandangan indah di waktu senja di Kampung Ayer.

Di Kampung Ayer, rumah-rumah penduduk hadir dengna pelbagai warna.

Antara surau yang terdaapt di Kampung Ayer. Gua singgah solat Maghrib di sini.

Tengok bukan main cantik rumah di Kampung Ayer ni.

Taman mini di rumah penduduk Kampung Ayer.

Surau atau juga dipanggil Balai Ibadat Kampung Peramu.

Gua meronda sekitar kawasan perkampungan Kmapung Ayer ni hingga ke waktu Maghrib. Ada perkampungan dengan rumah moden dan ada yang mengekalkan ciri tradisional. Tak cukup waktu untuk meronda keseluruhan kawasan Kampung Ayer ini. Ada sekolah-sekolah  dan surau-surau kecil dibina di atas air di kawasan ini. Kebanyakan penduduk menggunakan bot sebagai pengangkutan utama untuk bergerak.

Bot tambang kelihatan berulang alik setiap masa. Gua tanya penduduk tempatan katanya perkhidmatan bot tambang ini beroperasi 24 jam sehari. Setiap masa ada saja bot untuk ke bandar. Penduduk di sini ada kereta masing-masing yang diletak di pinggir bandar berhampiran sungai Brunei. Kalau nak guna baru mereka ke bandar.

Berkesempatan menunaikan solat Maghrib berjemaah di surau atau dipanggil balai ibadat merupakan satu saat yang istimewa. Kebanyakan jemaah mengalu-ngalukan kedatangan dan bertanya dari mana asal. Oleh sebab gua orang Malaysia, soalan mengenai MH370 selalu diajukan. Jenuh jugak nak menjawab. Kebetulan pula malam Jumaat. Ada sesi bacaan Yassin selepas selesai solat Maghrib diikuti dengan majlis menjamu selera. Terasa sungguh diraikan disini.



Gua kembali semula ke bandar setelah solat Isyak di Kampung Ayer. Tambang balik pada waktu malam hanya 50 sen sahaja. Pakcik bot tambang menurunkan gua di jeti berhampiran Yayasan Sultan Hassanal Bolkiah. Perut pun dah lapar. Kebetulan ada KFC di sekitar kawasan ni. Pekena ayam goreng dulu oleh kerana seharian tak jamah nasi. 



Menunggu bot tambang di jeti 3 Sungai Kebun untuk kembali ke bandar.

Masjid Omar Ali Saifuddin yang kelihatan dari Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Hassanal Bolkiah.

KFC pun ada di Brunei ni.

Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Hassanal Bolkiah yang tersergam indah.

Kompleks bangunan Yayasan Sultan Hassanal Bolkiah di malam hari.

Pantulan cahaya malam Masjid Omar Ali Saifudin.

Suasana malam di Brunei boleh dikatakan amat selamat kalau nak dibandingkan dengan di Malaysia. Kalau di Kuala Lumpur misalnya, cuba jalan kaki sorang-sorang tengah-tengah malam apa yang akan anda rasa. Mesti perhati kiri kanan jalan kot-kot ada orang nak rompak dan samun. Namun di Brunei apabila anda berseorangan berjalan kaki tengah-tengah malam tak terasa takut diragut perompak. Entah kenapa ada semacam aura yang meyakinkan bahawa di negara Brunei Darussalam ini keadaannya amat selamat.

Gua lepak dan melawat Masjid Omar Ali Saifuddin dulu sebelum kembali pulang ke hostel untuk tidur. Pemandangan masjid ini sangat menarik pada waktu malam. Patutlah banyak jurugambar-jurugambar di sini pada waktu malam. Tasik yang ada di sekitar Masjid Omar Ali Saifuddin memberikan pantulan cahaya yang menarik.Lama jugak gua lepak di sekitar kawasan masjid menikmati suasana malam.

Bersambung ke 180 Hours Trans Borneo : Brunei ( Tamu Kianggeh & Masjid Omar Ali Saifuddin )


// Catatan Travelogue 180 Hours Trans Borneo //

3 ulasan:

  1. wah...beg kecil aje...boleh hidup ye....saya mesti beg besar kalau pi seminggu ...hihihi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yup. Beg kecil saja untuk jimat kos. Kalau besar kena bayar yuran bagasi pulak naik Air Asia. :)

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...