Iklan

25 Disember 2012

Trans Java Solo Escape - Part 1: Surabaya (Mt Bromo)

Sebenarnya dah 2 bulan cerita perjalanan Trans Java ni berlalu. Tapi baru ada kesempatan untuk dikongsikan kali ini. Ini kisah perjalanan abang merentasi Kepulauan Jawa secara keseorangan dan ini juga merupakan pengalaman abang menaiki kapal terbang.

Hari Raya Haji hari tu abang ke Tanah Jawa atau juga dikenali dengan nama Pulau Jawa yang terletak di negara Indonesia. Seperti yang diketahui, Indonesia mempunyai ribuan pulau yang bertebaran dan Pulau Jawa adalah salah satu pulau yang terbesar di dunia. Pulau-pulau lain di Indonesia adalah seperti Kalimantan dan Sumatera yang menjadi jiran kepada negara kita Malaysia.

Tak tahu dekat mana Pulau Jawa ni terletak? Boleh tengok Google Maps.

Seminggu jugak lamanya abang mengembara 'backpacking' secara solo di Pulau Jawa ni. Bermula dari bandar kedua terbesar di Indonesia iaitu Surabaya dan berakhir di kota membeli belah Bandung. Dari Jawa Timur ke Jawa Barat. Nak habiskan di Jakarta lama sangat pulak dan memakan kos yang agak besar. Jadi dengan modal di tangan sebanyak RM500, abang memulakan kembara Trans-Java ini.

Agenda pengembaraan kali ini adalah untuk melihat keindahan Gunung Bromo & juga Gunung Merapi di Pulau Jawa. Kalau sebelum ini pengembaraan darat pertama abang ke Krabi dan Phuket banyak mandi laut, trip Trans Java kali ini kita banyak main panjat gunung dan bukit pulak.

Kebetulan pulak ada jualan tiket murah Airasia 4-5 bulan sebelum tu. Abang tak tunggu lama. Angkat dan berangkatlah! Tiket penerbangan Airasia pergi dan balik tak sampai RM150 !

Hari Jumaat, Hari Raya Haji gua masih berada di kampung halaman di Kedah. Petang raya tu baru berangkat balik ke Kuala Lumpur dengan bas. Flight ke Tanah Jawa atau khususnya ke Surabaya pula pada hari Sabtu petang. Sempatlah untuk bersiap-siap malam tuh. Tukar duit sikit dengan buat kajian sikit dalam intenet pasal tempat yang dituju.

Bajet gua untuk Trans Java ni tak banyak pun. Dalam tangan mengikut perkiraan ada dalam RM500.


Karrimor Vietnam buat peneman kembara. Action je lebih dengan badge bagai. Last-last simpan dalam bag jugak badge ni.
Petang Sabtu, dah siap-siap semua. Gua bergerak menuju ke Stesen Komuter Segambut sebelum tiba di KL Sentral. Caj dari Stesen Komuter Segambut ke K.L Sentral adalah sebanyak RM1.00. Ada sorang member gua sorang ni temankan gua sampai LCCT. Katanya nak ikut dan hantar sampai LCCT. Tak pernah sampai LCCT seumur hidup dan nak tengok keaadan sana. Canteklah tu.

Dari KL Sentral, kami naik bas ulang alik LCCT-KL Sentral. Ada 2-3 jenis bas bawah ni. Bas kaler merah namanya Skybus dan kalau yang kaler kuning apa nama entah basnya. Kami naik yang kuning sebab tambangnya murah sikit, RM8.00 berbanding bas merah Skybus RM9.00.

Jimat bajet sikit.


Pertama kali naik flight dalam seumur hidup beginilah jadinya. Semua benda nak ambik gambar. 'Perhak' sat.

Sampai di LCCT, waktu dah petang ditambah hujan lebat. Solat Asar apa dulu sebelum masuk dalam check-in bagasi. Gua bawa satu backpack je dah dekat 12 KG dalam tuh. Tak tau apa gua bawa. Kali pertama kembara luar dari Malaysia. Semua benda nak sumbat dalam beg mengalahkan orang perempuan.

Dah selesai urusan check in, gua keluar lepak sembang-sembang dengan member gua yang ikut temankan sekali tadi di McD dulu. 

Dah lepak-lepak, masa pun dah sampai untuk berlepas. Gua beredar ke balai perlepasan, tengok pada skrin monitor penerbangan ke Surabaya boarding gate belum lagi buka. Lepak lagi sembang depan tuh.

Ralit sembang dah terlajak lagi 20 minit gate nak tutup. Berlari kencanglah gua melalui pemeriksaan kastam dan imigresen semua. Maklumlah pertama kali naik flight, masih belum biasa dengan prosedurnya.

Kebetulan pula flight lewat sikit petang oleh kerana hujan lebat dan gate pun belum buka lagi bila gua sampai. Lega.

Antara kejutan budaya yang gua hadapi semasa nak menaiki kapal terbang buat kali pertama ni adalah bila mana waktu nak masuk ke dalam kapal terbang. Memandangkan ini adalah penerbangan ke Indonesia, maka hampir keseluruhan penumpang adalah warganegara Indonesia. Gua tengok semua pakat berebut-rebut masuk ke dalam kapal terbang, sedangkan semua penumpang mempunyai tempat duduk masing-masing. Tak ubah seperti lagak nak naik bas mini. Satu pengalaman baru bagi gua.

Terminal bas Bungurasih di kota Surabaya. 
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Surabaya memakan masa hampir 2 jam setengah. Kali pertama biasalah janggal sikit bila duduk dalam kapal terbang. Masih dalam proses membiasakan diri. Dok tengok ja pramugari/pramugara Airasia lalu lalang jual makanan dalam kabin. Yang syoknya ramai jugak yang beli minuman dalam tu walaupun sekadar Milo 3in1. Kelas kau jah !

Abang selamat tiba di Lapangan Terbang (Bandara) Juanda jam 10.30 malam. Lepas ambik backpack abang di bahagian bagasi, abang keluar dari airport. Cadangan asalnya abang nak ambik bas Damri ke bandar Surabaya tapi dah lewat malam. Tanya pakcik guard yang ada di situ katanya bas pun dah takda bila malam ni.

Nak tak nak kena naik jugak teksi ke bandar Surabaya. Pakcik guard tadi tolong abang carikan teksi. Kalau naik sorang-sorang mahal. Kebetulan ada geng yang sama nak ke sana. Abang naik teksi kongsi dengan 2 orang pakcik yang nak ke bandar Surabaya jugak dan rupanya mereka juga dalam satu penerbangan yang yang sama tadi dan tinggal di Malaysia dekat dengan rumah abang di Segambut !

Malam tu abang menginap di sebuah hotel bajet yang abang sendiri tak ingat namanya di Bandar Surabaya. Abang tak ingat namanya kerana kejutan budaya bila sampai di Indonesia. Bandaraya Surabaya sibuk dengan kenderaan dan hingar-bingar walaupun pada waktu malam. Jadi jakun sat bila sampai di negara orang ni.

Hotel yang abang menginap ni ada disediakan sarapan pagi secara percuma. Cuma tekak ni masih dalam proses peralihan tak dapat lagi nak terima makanan tempatan di Surabaya ni. Abang makan ala kadar saja.

Pagi Ahad tu jugak abang naik ojek (motorsikal yang dipandu) ke Terminal Bungurasih dari hotel tempat abang menginap semalam. Tak jauh mana, sekitar 10-15 minit. Sampai di Terminal Bas Bungurasih, abang cari bas mini ke Probolinggo. Nasib baik tuan ojek tadi tolong tahan bas yang ke Probolinggo. Tambang bas dari Terminal Bungurasih ke Probolinggo sekitar Rp18,000 (~RM 3.00) dan mengambil masa sekitar 3-4 jam perjalanan. Murah !

Jangan ingat bas ni ada penghawa dingin ke apa, ada tingkap ja. Macam bas Rapid di Kuala Lumpur, ia akan berhenti di sepanjang laluannya untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Apa yang syoknya bersusah payah naik bas ni, selain murah macam-macam benda kita boleh lihat sepanjang perjalanan. Antaranya kehidupan masyarakat tempatan.


Di mana-mana pun kelihatan beca di bandar Surabaya di mana ia merupakan nadi pengangkutan utama penduduk di sini.

Pelbagai pihan beca pelbagai warna. Pemandangan dari atas bas menuju Probolinggo.

Pasar macam ni memang banyak kelihatan di Surabaya.

Tarif/tambang bas menuju ke Probolinggo.

Jalanraya di sekitar Surabaya menuju Probolinggo. Macet atau kesesakan adalah perkara biasa.

Kereta lembu pun membawa kepada kesesakan jalanraya di Surabaya.

Tidak pelik di sini kalau peniaga keluar masuk bas menjual barangan mereka. Tiap kali bas berhenti di setiap hentian, akan ada peniaga yang masuk dan turun bas. Macam-macam barang dijual. Telur puyuh, tauhu, kacang, suratkhabar.

Menikmati perjalanan ke Probolinggo dari Surabaya dengan angin tingkap yang agak berdebu.

Air Mizone Lychee Lemon. Sedap woo. Abang jumpa hanya di Indonesia dan Brunei. Awat takda jual kat Malaysia?

Bas ni lalu jugak lebuhraya kemudian masuk jalan kampung balik masa nak ke Probolinggo.

Makcik jual tembikai bawah pokok je.

Lebih kurang jam 12.00 tengahari, baru abang tiba di terminal bas Probolinggo. Untuk pengetahuan, daerah Probolinggo ni terkenal dengan kawasan penanaman mangga terbaik di seluruh Tanah Jawa. Mungkin tanah gunung berapi yang ada di sini kot.

Penumpang bas akan diturunkan di terminal bas di Probolinggo ini. Oleh kerana ini adalah kawasan pelancongan terkenal, di sekitar kawasan ini, ada banyak tour agent atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan ke Gunung Bromo. Turun dari bas je dah kena serbu tanya. Abang malas layan dulu. Abang galas backpack abang dan lepak dulu dekat terminal bas. Pergi tandas dulu apa yang patut.

Selesai urusan, dengan yakin abang melangkah ke sekitar kawasan tour agent bersebelahan dengan kawasan terminal bas Probolinggo. Ada saja yang rapat dengan abang tanya nak ke mana, katanya boleh naik ojek (motorsikal), cepat sikit katanya. Abang buat tak tahu je.

Cadangan abang sebenarnya nak naik Bison (Mitsubishi Colt) seperti yang dirancang sebelum ni. Jumpa satu tour agent , katanya jam 1.00 p.m baru dia akan bergerak naik Cemoro Lawang. Kena tunggu orang penuh dulu baru dia akan bergerak.

Ada la dekat situ sepasang pasangan mat saleh dan cewek Indonesia yang nak jugak naik ke Cemoro Lawang untuk ke Gunung Bromo. Gua pun lepaklah situ dulu sambil bersembang dengan seorang brader ni, Agung namanya ni yang menjadi pembantu pemandu Bison di sini.

Tunggu punya tunggu, tak ada orang lain nak naik ke atas melainkan kami. Dekat pukul 2.00 petang jugaklah, yang ada hanya cuma kami bertiga sahaja (abang, mat saleh dan ceweknya) sahaja yang nak naik ke Cemoro Lawang untuk sampai ke Gunung Bromo.

Pemandu (supir) Bison tanya kami nak tunggu lagi atau pun nak jalan sekarang. Kalau tunggu kos tambang lebih rendah apabila dikongsi beramai-ramai. Kalau nak jalan segera, setiap sorang tambang dekat Rp 80,000 !

Couple tu tanya abang okey ke kalau kongsi bergerak naik ke Cemoro Lawang waktu tu. Kalau ikutkan hati abang memang tak nak sebab mahal, tapi itu sahaja pilihan yang ada untuk ke Cemoro Lawang. Jadi abang pun setuju dan ON je lah. Kalau nak tunggu sampai bila pulak kan. Baik lepak atas sana ambik angin tengok Gunung Bromo.



Inilah Bison (Mitsubishi Colt) yang diceritakan. Kuat van ni buat panjat gunung.

Couple Mat Saleh-Cewek Indon. Cewek dia ada jugak borak dengan gua tanya dari mana semua.

Jalan bengkak-bengkok menuju ke Ngadisari sebelum ke Cemoro Lawang.

Panorama menarik sepanjang perjalanan ditambah dengan suhu yang semakin menurun.

Kawasan sekitar Cemoro Lawang. Dingin sekali dengan tiupan angin.
Jalan raya berbengkak-bengkok dan mendaki sepanjang masa ke Cemoro Lawang dari Probolinggo. Boleh tengok perubahan lanskap yang menarik di sini. Udar pun semakin nyaman dan dingin. Dengan kabus kawasan pergunungan, gua rasa lagi sini lagi sejuk kot dari Cameron Highland.

Lebih kurang sejam perjalanan, sampai lah ke hujung jalan iaitu kawasan Cemoro Lawang. Dekat sini gua menginap di Homestay Pak Yogi atau lebih dikenali sebai Yog Homnestay. Pak Yogi ni ramah dan mesra orannya. Mudah diajak berbual. Ada macam-macam jenis bilik disini. Gua decide nak amik bilik yang telah diberi diskaun berharga Rp150,000 semalam. Ada air panas dan toilet di dalam.

Dah siap check in, lepak jap dan solat kemudian seterusnya merayau sekitar Cemoro Lawang. Dari homestay ini ke Pintu masuk Taman Nasional tak berapa jauh, cuma 5 minit perjalanan. Kat pintu masuk tu banyak jek menunggu dan tanay kalau kita nak turun ke lautan pasir dan seterusnya ke kuil hindu lama berhampiran Bromo. Tapi sebelum tu gua dah beli pakej dengan Agung co-pilot Bison untuk ke Bromo pagi esoknya berharga Rp100,000. Kalu naik ojek petang tu pun buat apa kalau dah esoknya nak pergi tempat yang sama. Gua jalan-jalan je area viewpoint situ sambil buat tak endah pelawaan ojek.
Cemoro Lawang. Kiri kanan jalan terdapat homestay untuk menginap.

Mesyuarat tingkap geng Pakcik Bromo. Memang dingin sekali di sini.

Ronda petang. View cantik disini. Ada budak-budak main bola.


Dari Cemoro Lawang ni boleh nampak Mt Bromo.

Sebelah Yog Homestay tempat gua menginap, ada hotel Cemara Indah.

Pintu masuk Taman Nasional Bromo-Tengger-Semeru. Jalan Kaki 5 minit dari Yog Homestay.

Direction to Taman Nasional di mana terletaknya Mt Bromo.

Inilah Yog Homestay. Simple je.

Bilik air dalam tambah dengan air panas. Rp 150,000.

Panorama menarik sekitar Cemoro Lawang

Menarik pemandangan sini. 


Rumah dalam ladang Cemoro Lawang.


Ronda-ronda petang sekitar Cemoro Lawang.


Bergaya je Mat Saleh ni pakai seluar pendek. Tak sejuk ke.

Pemandangan dari Yog Homestay. Kat depan tu boleh tengok Mt Bromo di tengah lautan pasir.

Nampak budak-budak sekolah baru sampai. Tak diketahui rombongan sekolah atau penduduk sini.

Banyak orang meniaga sekitar kawasan viewpoint Cemoro Lawang nih. Jenuh nak elak.

Kuda di mana-mana.

Kubis, bawang dan segala macam sayur ditanam di Cemoro Lawang. Mungkin sebab tanah gunung berapi yang subur.

Batas terakhir kenderaan. Kena sewa jeep/ojek ataupun jalan kaki masuk kawasan Bromo ni.

Sunset in Bromo. Tepi tebing tinggi Cemoro Lawang.

Penat meronda petang tu, cari makan di sekitar kawasan homestay. Di sekitar sini banyak warung atau restoran yang boleh dikunjungi. Tapi selera tak berapa nak kena dengan tekak. Makan alas perut sahaja sebelum singgah ke kedai runcit membeli mee segera cawan. Balik homestay mintak Pak Yogi air panas dan jamah mee segera pulak.

Malam tu tidor awal sikit memandangkan keesokkan paginya dijadualkan jam 3.30 pagi akan ada orang datang kejut untuk melihat sunrise Mt Bromo. Sejuk woo malam kat sini. Kena 2 lapis selimut baru sedap.

12 Oktober 2012

Senibina Kubah

From my Xperia + Instagram


Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

Masjid Al-Qurtubi, Sri Segambut, Kuala Lumpur

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

SACC Mall, Shah Alam, Selangor.

Masjid Sultan SalahuddinAbdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

Tasik Shah Alam, Selangor.

Masjid bandar Diraja Klang, Selangor.


Masjid Qurtubi,  Kepong, Kuala Lumpur.

Stesen Keretapi Kuala Lumpur.


Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Masjid Kepong, Kuala Lumpur.

Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Masjid Gerik, Perak.

Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...