Iklan

22 November 2017

Pantai Timur Monsun Solo Ride Dengan Modenas Elegan 250i



Abang pernah terdengar nama Monsun Ride ni tapi entah dari mana. Dari Facebook ka blog abang tak ingat. Tapi nama tu melekat sampai sekarang.

Saja abang namakan Monsun Ride sebab takut hujan masa pi Pantai Timur ni. Sangkaan abang meleset. Dari Penang sampailah Kelantan ke Terengganu balik semula ke KL pun setitik hujan pun tak kena. Panas lit lit. Rentung lagi ada. Haha.

Abang pi ni waktu cuti Deepavali hari tu yang jatuh pada hari Rabu. Kebetulan dapat cuti tambah pulak 2 hari, Khamis & Jumaat.Campuq Sabtu Ahad dapat la 5 hari.

Cerita asalnya abang nak balik KL ja dengan Modenas Elegan 250i waktu cuti tu. Tapi rasa macam awal sangat la pulak kalau balik KL terus. Ada eloknya kita ikut jalan jauh sikit. Hehehe.


HARI 1: 

PENANG-KOTA BHARU-KUALA TERENGGANU




Tak sembang banyak, tak gebang banyak sehari sebelum tu baru dapat idea nak balik ke KL dari Penang ikut laluan pantai Timur. Jauh memang sekali ganda, tapi apa salahnya sekali sekala dua kali dua kala.

Pagi Rabu, dalam sengal-sengal lepas main badminton malam sebelum tu abang siap-siap packing nak ride ke pantai timur. Bawak baju 2 helai, seluaq 2 helai terus jalan. Dalam motor dah ada dah alatan kecemasan takut pancit ka apa. Baju hujan pun ada. Tak bawak baju takpa lagi, yang paling penting power bank jangan lupa. Haha.


Perjalanan Monsun Solo Ride Pantai Timur dengan Modenas Elegan 250i bermula !

Dimulakan dengan Bismillah. Masa ni di Lunas, Kedah. Abang baru bertolak dari Mengkuang Titi.

Bergantungan plastik dengan ayaq Nescafe 3 tin RM 5.00.

Bahagian bawah seat Modenas Elegan 250i. Boleh letak 2 biji helmet. Tapi abang dah buat tempat letak bagasi. Beg IKEA tetap tak boleh tinggal.

Isi minyak dulu di Petronas Sungai Seluang, Lunas. Modenas Elegan 250i ni abang guna minyak RON95 boleh isi penuh dalam RM 25.00 (lampu warning menyala)

Di awal perjalanan, abang berhenti isi minyak dulu di Petronas Sungai Seluang di Lunas. Sambil-sambil tu beli roti & Nescafe tin promosi 3 tin RM 5.00 sebagai sarapan. Bekalan untuk jalan jauh. Bagi cerah biji mata sikit.Abang ingat dah tak mau berhenti sarapan dah lepas tu. Nak lajak terus sampai Kota Bharu.

Minyak dok ada lagi setengah dalam tangki Modenas Elegan 250i ni. Jadi abang topup jelah bagi penuh.

Lokasi : PETRONAS SUNGAI SELUANG, LUNAS
Jumlah : RM 10.89

Saja abang catatkan perbelanjaan minyak untuk Modenas Elegan 250i ni dalam ni catatan abang sendiri & jugak hangpa yang sedang berkira-kira nak ambik motor ni.





Dalam pukul 8.30 pagi abang dah siap isi minyak di Petronas Sungai Seluang, Lunas. Abang tengok ramai jugak geng-geng motor besar yang ride hari ni. Abang syak semua destinasi sama macam abang ke pantai timur.

Naik skuter Modenas Elegan 250i ni kena jalan menunduk sikit la depan geng-geng motor besaq. Depa geng-geng touring semua naik BMW, Kawasaki semua 1000cc ke atas. Kita pulak budak baru nak belajaq bertatih. Haha.

Destinasi abang set kan pada hari tu mesti sampai ke Kota Bharu untuk pekena Teh Ais Madu Pak Mat di Pulau Pisang. Dok selalu dah pi Kelantan atas urusan kerja tapi tak pernah pun singgah. Waktu pi solo ride ni la nak merasa semuanya. Haha.

Tengok jarak dari Penang ke Kota Bharu lebih kurang 350KM. Lebih kurang macam Penang ke KL jugak. Cuma makan masa jugak nih sebab jalan berbukit-bukau.


Melayan perasaan melalui Lebuhraya Timur-Barat. Baru nak masuk Kupang ni.

Matahari mula meninggi.

Masuk kawasan Jalan Baling-Gerik ni dah hilang mengantuk.

Ada geng-geng kapcai campuran pun sedang elok melayan selekoh Jalan Baling-Gerik.

Terjebak sekali layan kona dengan geng-geng tadi.

Konfiden level tinggi layan kona dengan Modenas Elegan 250i ni. Tayar belakang dia lebar & lembut elok.

"Kita rider tiada beza. Bukan cc jadi ukuran tapi jiwa"

Berhenti sat kat Hentian Lawina simpang 4 Gerik. Nak terkucil minum Nescafe !

Mengepit sat depan motor.

Perjalanan diteruskan dari Gerik melalui Tasik Banding.

Jambatan ikonik Tasik Banding.

Berpintal-pintal getah tayar lepas layan kona Jalan Baling-Gerik-Jeli.

Tayar asal Modenas Elegan 250i ni soft compound, sedap nak layan kona. Tapi kalau buat jalan jauh abang rasa cepat je makan ni.

Singgah isi minyak lagi di Petronas Jeli.

Abang ada jumpa sorang brader ni kat Petronas Jeli. Dia pun ride solo jugak tapi dari KL ikut pantai timur naik Harley Davidson lama. Tak sempat ambik gambaq dia.

Abang berhenti isi minyak semula di Petronas Jeli. Dari Lunas tadi tak berhenti mana dah, cuma sebelum tu berhenti sat ja beristinjak di Hentian Rehat Lawina dekat Gerik.

Panas lit lit keluaq dari jalan kona-kona Baling-Gerik-Jeli. Masa tu dah dekat pukul 12.00 tengahari. Matahari dok terpacak atas kepala.

Ramai jugak orang kat Petronas Jeli ni. Mungkin situ stesen minyak terakhir sebelum nak masuk jalan hutan bagi mereka yang dari pantai timur nak ke pantai barat Semenanjung Malaysia.

Tengok ada jeli kelapa pulak. Sampai Jeli makan pun jeli buat sejuk badan sebelum sambung semula perjalanan ke Rantau Panjang.

Minyak ada lagi. Boleh ja isi kat Rantau Panjang. Saja abang topup lagi bagi penuh.

Lokasi : PETRONAS JELI, KELANTAN
Jumlah : RM 14.42

Dari Jeli nak ke Rantau Panjang kalau bawak santai-santai ada dalam 45 minit.  Abang sampai di Rantau Panjang elok Azan Zuhur. Masa ni lagi panas. Rentung habis.


Dah masuk kawasan Rantau Panjang.

Panas lit lit sampai Rantau Panjang ni !

This is Rantau Panjang !

Tinjau-tinjau tengok apa yang ada di Rantau Panjang ni.

Panas-panas ni cari aiskrim dulu kat Rantau Panjang.

Kesian kat abang ni. Beli aiskrim kat dia. Apa nama entah askrim jenis ni. RM 3.00 secawan. Ada roti bagai.

Panas-panas ni makan aiskrim kat Rantau Panjang memang padu !

Mempelam yang dijual di Rantau Panjang. 2KG RM5.00. Abang tak beli pun. Tengok ramai orang luaq yang mai beli buah pelam ni.

Abang kesian pulak tengok makcik ni. Beli pelam kat dia 3 bungkuih RM5.00.

Abang pun bukan tahu sangat selok belok jalan di negeri Kelantan ni. Semua abang gagau je cari guna Google Maps. Mujur la zaman moden ni ada Google Maps & Waze, akalu tak abang syak tahu-tahu dah ada dekat Thailand ni.

Dah lama dah sebenarnya teringin nak rasa Teh Tarik Madu Pak Mat di Kelantan ni tapi takda rezeki sebelum ni. Mai Kelantan pun salah hari kedai ni pulak tutup.

Mai sendiri ni senang. Masa dan plan tak terbatas. Semua ikut kepala sendiri. Nak pi mana pun pi ja.

Ada yang kata "Best ke jalan sorang-sorang ni bro? Macam lonely je" Haha. 

"Tak syok la jalan sorang-sorang, dengan kawan-kawan lagi syok". Betul. 

Tapi ada kalanya kembara secara bersendirian ni lah kau akan jumpa diri kau yang sebenar. Macam mana kau hadap masalah secara bersendirian & tak bergantung pada orang lain. Ewah !

Entahlah, masing-masing punya pandangan. Ada yang suka secara sendiri, ada yang suka secara berkumpulan.

Tapi jeni sabang paling banyak pun kalau nak bawak kembara ni 2 orang je. Lebih dari itu abang rasa tak berapa enjoy. Haha.


Berehenti jap bukak Google Maps cari jalan ke Kota Bharu dari Rantau Panjang.

Menyinggah sat kat Masjid Al-Ismaili Wakaf Bharu. Macam kat Brunei dah rasa tengok masjid dengan kubah emas ni.

Kebetulan lalu Wakaf Bharu sebelum sampai ke Kota Bharu, abang singgah ler ambik gambaq kat Masjid Ismaili ni. Tengok dari jauh pun dah tertarik.

Selamat sampai di Teh Ais Madu Pak Mat yang terletak di Pulau Pisang, Kota Bharu Kelantan. Nampak detail betul kau bagi !

Punya la ramai orang waktu cuti Deepavali ni. Abang terpaksa duduk di bangsal nak rasa teh ais dia punya pasal.

Dapat la jugak rasa Teh Ais Madu Pak Mat ni walaupun sekadar melepak di bangsal. Memang padu & lain dari yang lain rasa dia !


Sampai di kedai Teh Tarik Madu Pak Mat Pulau Pisang, punya la ramai orang. Tengok meja tak ada tempat nak duduk.

Mana-mana ja tempat-tempat makan menarik yang viral mesti ramai punya waktu cuti sekolah. Kena pulak cuti Deepavali. Ada mak ayah ambik cuti seminggu sambung terus sama macam cuti sekolah.

Abang pun lepak la sat tunggu kot-kot ada yang nak keluaq ka apa. Tapi tengok macam padat lagi. Kalau nak duduk sekali pun rasa macam kekok pulak bila abang mai nak minum Teh Tarik Madu Pak Mat sorang-sorang ni!

Di sebelah kedai Pak Mat ni ada bangsal berhampiran sungai. Abang tengok ramai jugak yang dok melepak minum kat situ. Mana yang tak dapat meja depa dok lepak minum & Makan kat bangsal tu. Abang pun cari la port yang sesuai nak selit-selit sekali duduk. Haa selit bang selagi boleh !

Selain Teh Tarik Madu, di kedai Pak Mat ni jugak dia ada jual makanan. Selalu abang tengok orang yang mai kedai ni dia makan sup. Teringin jugak tapi ramai punya pasal, abang cuma mintak Teh Tarik Madu ja segelas nak cuba rasa.

Memang lain dari yang lain rasa dia. Ada member abang sebelum ni bagitau, kat tempat lain pun ada yang cuba buat Teh Tarik Madu ni tapi lain rasa dia. Alah kt Bangi pun ada, tapi member abang kata memang lain rasa dia. Tak sepadu kedai Pak Mat ni.


Ni dah masuk kampung-kampung jalan pesisir pantai menuju Kuala Terengganu.

Jambatan Tok Bali.

Sampai jugak Kuala Besut, pit stop untuk ke Pulau Perhentian.

Jambatan Kuala Besut.

Selamat tiba di Ombak Pantai Celup Tepung di Pantai Penarik.

Promosi udang celup tepung macam ni memang selalu nampak tepi jalan sepanjang pantai Terengganu.

Ombak Pantai Celup Tepung ni sebelah dia pun ada jiran-jiran dia. Semua pun ramai orang !
Sotong celup tepung di Ombak Pantai. Abang ambik sekoq nak rasa-rasa. Dah mai pun sorang. Haha

Layan perasaan pekena sotong celup tepung sambil tengok ombak. Sotong ni RM10 sekoq.

Close-up sikit gambaq sotong di Ombak Pantai Celup Tepung di Pantai Penarik, Terengganu.

Di pesisiran pantai berhadapan kedai Ombak Pantai Celup Tepung.

Jalan menunduk lagi depan geng-geng Ducati yang mai pekena celup tepung di Ombak Pantai.

Sebelah Ombak Pantai Celup Tepung, ada kedai Trizai Celup Tepung. Kedai ni pun ramai jugak orang. 

Tu papan tanda udang celup tepung merata kat jalan tepi pantai Terengganu ni.

Pantai Rhu 10. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat mengunyit. Ada nostalgia di kedai ni masa abang naik Yamaha Nouvo LC jelajah pantai timur 4 tahun lepas.

Layan ja kawasan pantai Terengganu ni. Ni masa di Pantai Rhu 10.

Masjid Pulau Ketam, Pulau Duyung. Apa ingat dekat Klang ja ka ada Pulau Ketam?

Bermalam di KT Traveller Inn. Musim cuti sekolah banyak bilik penuh. Ni pun satu-satunya bilik yang ada. RM80 semalam untuk katil berkembar macam ni. 

Abang sampai di Kuala Terengganu lebih kurang pukul 8.00 malam. Tak plan pun nak bermalam kat mana malam tu.

Abang Google Maps tengok hotel-hotel bajet yang ada di sekitar Kuala Terengganu. Selalu abang akan tengok review dulu di Google Maps macam mana tempat tu baru abang pi terjah.

Abang jumpa satu hotel bajet ni tak jauh dari Pasar Payang. Hotel ni macam rumah kedai. Nama dia KT Traveller Inn. Aabng terjah tanya memang cun-cun tinggal satu bilik. Itu pun bilik dengan twin bed. RM80 semalam. Abang ambik ja lah, malas dah nak cari lain.

Kawasan sekeliling motel bajet KT Traveller Inn ni ada banyak jugak hotel-hotel lain. Nak makan pun senang. Ada kedai nasi ayam Hainan tak jauh kat bawah tu.

Eh betul ke orang kata kalau ada katil untuk berdua akan ada 'seseorang' lagi yang akan berteman malam tu?

Abang lena semacam ja. Huhu.



HARI 2:

KUALA TERENGGANU-MARANG-PULAU KAPAS-KEMAMAN


Hari kedua ekspedisi (ekspedisi bai!) abang ke pantai timur Semenanjung Malaysia dimulakan dengan Nasi Kerabu Fauzi yang terletak di Kuala Terengganu.

Nasi Kerabu Fauzi ni tak jauh pun dari KT Traveller Inn tempat abang menginap semalam. Abang Google-Google je tempat ni sebelum tu. Hasilan kajian abang rupanya nasi kerabu ni tercalon dalam 50 makanan terbaik di dunia ! Bukan main-main !

Abang panggil kawan abang si Vassili yang duduk di Kemaman mai Kuala Terengganu pagi tu. Tanya dia mana tempat makan menarik untuk sarapan pagi tu. Dia cadang nak pi Nasi Dagang Kak Pah di Pantai Batu Buruk.

Nak tunggu dia nak sampai lama sangat pagi tu, abang round dulu pekan Kuala Terengganu & terjumpa Nasi Kerabu Fauzi ni. Terus jadi sarapan kat sini la. Rasa bersalah pun ada masuk negeri Terengganu ni makan nasi kerabu, bukan nasi dagang.


Sarapan pagi dulu di warung Fauzi Nasi Kerabu.

Si Vassili mai daripada Kemaman menemani abang pekena Nasi Kerabu Fauzi di Kuala Terengganu.

Rasa bersalah pulak masuk negeri Terengganu makan nasi kerabu, bukan nasi dagang.

"Tiada siapa menyangka, kedai makan Fauzi Nasi Kerabu tanpa sebarang dekorasi menarik yang terletak di tepi jalan di Jalan Sultan Sulaiman telah berjaya ke persada dunia dengan mencipta kejutan apabila termasuk antara 50 restoran terbaik di dunia dalam The World Street Food Congress 2017" - Sinar Harian


Tak lengkap pekena nasi kerabu kalau takda solok lada. Tapi abang tak makan pu. Huhu.
Bergerak menuju Jeti Marang untuk ke Pulau Kapas.

Dah selesai pekena Nasi Kerabu Fauzi, agenda kedua di hari kedua ni abang rancang nak pi Pulau Kapas. Ceritanya nak pi Hiking Bukit Singa. Kena racun teruk dengan gambar-gambaq yang ada di Instagram.

Ada jugak abang terbaca pasal trip balik hari Pulau Kapas ni. Selalu biasa dok dengaq Pulau Perhentian & Pulau Redang ja kat Terengganu ni. Pulau Kapas ni jarang la jugak nak dengar nama dia dikomersialkan.

Tak salah kot kalau nak mencuba. Abang ajak Vassili sekali join abang hari tu. Dia dah pernah sekali pi snorkeling Pulau Kapas. Boleh la tu ada geng.







Nah tengok-tengok lah dulu peta Google Maps yang abang bagi ni. Bagi kenal dulu kat mana lokasi Pulau Kapas ni. Ni tak, orang pi Pulau Kapas kau pun sibuk nak pi Pulau Kapas. Masa kelas Geografi dulu panjat pagar sekolah. Huhu.

Dalam perjalanan ke Marang dari Kuala Terengganu, abang singgah sat isi minyak Petronas di Chendering. Kenapa guna Petronas buka Shell? Laju lagi ke? Haha.

Mana-mana pun boleh. Tapi abang banyak guna Petronas sebab ada Kad Mesra. Sambil-sambil isi minyak tu boleh kumpul mata. Tau-tau ja dah boleh tebus minyak satu tank penuh lepas ni. Huhu.

Lokasi : PETRONAS CHENDERING, TERENGGANU
Jumlah : RM 17.71
KM dari Penang : 510.6 KM

Kami parking motor di Jeti Marang sebelum berlepas menuju ke Pulau Kapas. Dalam pukul 12.00 tengahari baru sampai Jeti Marang. Dok lajak sembang kat Nasi Kerabu Fauzi tadi punya pasal.

Sebenarnya cerita pasal Trip Snorkeling Balik Hari Pulau Kapas ni abang dah buat satu catatan lain dah sebelum ni. Hangpa boleh ketik butang link merah menyala yang abang sediakan tu.

Bacaan Lanjut : Trip Snorkeling Balik Hari Pulau Kapas



HARI 3:

KEMAMAN-KUANTAN-KUALA GANDAH-JANDA BAIK-KL


Balik dari Pulau Kapas semalam, abang tumpang bermalam di rumah sewa Vassili di Kemaman. Balik dari Pulau Kapas pun dah nak masuk waktu Maghrib. Sinngah makan udang goreng tepung dulu sebelum tu di Pantai Kelulut.

Malam tu ingat nak keluar melepak lagi dengan Vassili, tapi hujan rahmat turun pulak malam tu. Terus batalkan niat nak lepak & lena sampai ke pagi.

Hari ketiga di pantai timur, pagi-pagi lagi si Vassili dah ajak cari sarapan. Dia nak bawak abang pi satu tempat makan yang popular di Dungun.

Dari Kemaman nak ke Dungun tak dekat weh ! Dungun ni pulak menghala balik ke atas, bukan semakin ke bawah nak tuju Kuantan. Dekat setengah jam jugak kalau santai-santai pengantin naik motor. Nak tengok tempat apa yang dia nak bawak abang sarapan pagi tu.







Rupanya si Vassili ni nak bawak abang pi makan Mee Sup Melayu Champa Mak Wan yang terletak di Pantai Sura, Dungun.

Abang & Vassili sampai kedai Mee Sup Melayu Champa Mak Wan ni lebih kurang pukul 8.00. Ingatkan dah cukup awal dah. Sampai-sampai je tengok dah ramai orang !

Nak duduk pun tak ada tempat dah dalam tu. Abang & Vassili menggu sat kat luaq kedai. Ada jugak orang lain yang baru sampai pun yang sama-sama menunggu. Demi nak rasa Mee Sup Melayu Champa punya pasal.

Makan kat kedai ni memang tak boleh la nak lepak lama-lama. Ramai lagi yang menunggu di luar. Kalau buat menyembang, hisap rokok tak reti-reti nak belah boleh terbalik meja woo !

Kedai mee sup ni sebenarnya tak jauh dari UiTM Terengganu. Abang tak pasti yang ramai-ramai kat kedai Mee Sup Melayu Champa Mak Wan ni semata-mata nak makan mee sup atau nak usya awek-awek UiTM. Tapi memang ramai jugak awek UiTM pun. Boleh jadi serampang dua mata kat sini.

Pagi-pagi lagi dah tercongok dekat kedai Mee Sup Melayu Champa Mak Wan di Dungun.

Orang punya la ramai. Sampai terpaksa tunggu orang lain habis makan baru dapat duduk.

Mak Wan Mee Sup Melayu Champa ni memang popular di Dungun. Kata orang sana la. Abang pun baru pertama kali dengaq tempat makan ni.

Yang mai ramai-ramai ni semata-mata nak makan Mee Sup Melayu Champa Mak Wan ni la. Cabai dia jangan dilupakan. Tak lengkap rasa takda cabai dia nih.

Beza Mee Sup Melayu Champa Mak Wan ni terletak pada mee dia. Bukan mee kuning biasa yang kita jumpa di kedai tu. Mee dia nak macam mee sanggul.

Mee Sup Melayu Champa Mak Wan sama macam mee sup orang Vitenam & Kemboja makan kat belah sana. Tu yang unik dia tu.

Yang membezakan Mee Sup Melayu Champa Mak Wan dengan mee sup yang biasa kita makan adalah jenis mee dia. Mee sup ni dia bukan guna mee kuning yang biasa tu sebaliknya ada mee khas yang berbentuk seperti mee sanggul.

Makan Mee Sup Melayu Champa Mak Wan ni sama la macam makan mee sup di belah Kemboja & Vietnam sana. Ni kot cara mee sup orang Champa.

Hasil pembacaan abang pasal Mee Sup Melayu Champa ni, bahan-bahan nak buat mee sup ni akan disalai & dibakar dulu. Contoh macam bawang besar. Dia akan panggang dulu atas api sat sebelum diproses untuk urusan memasak seterusnya.

Bagi abang rasa dia memang cun. Sup dia boleh buat hirup sampai habis. Kena pulak dengan cabai dia yang pedas-pedas manis tu ! Fuh terangkat beb ! (Tetiba nak jadi ayat brader Vitdaily)

Selesai makan abang cepat-cepat belah. Ramai lagi yang menunggu giliran nak makan mee sup ni.

Abang & Vassili berpisah di kedai Mee Sup Melayu Champa Mak Wan ni. Abang akan meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur manakala si Vassili balik rumah dia di Kemaman.

Depan kedai mee sup ni ada pantai yang dinamakan Pantai Sura. Sebelum bergerak balik, abang singgah sat tengok laut sambil ambik-ambik gambaq kat sini.

Matahari pun dah semakin meninggi. Berpeluh ketiak lepak lama-lama tepi laut Pantai Sura. Lebih kurang pukul 10.00 pagi abang siap-siap bergerak.


Sebelum balik bergambar dulu di Pantai Sura depan kedai Mee Sup Melayu Champa Mak Wan.

"Suasana yang indah & permai. Pohon nyiur pun melambai"

Jalan Pantai Sura Dungun ni tak jauh dari UiTM Terengganu.

Jalan Durian Mentagu-Citrus Valley nak mengahala masuk Leburaya Pantai Timur (LPT)

Masa balik abang terus masuk Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Kuala Dungun. Mula-mula tu abang ingat nak balik ikut jalan pantai sampai la ke Cherating hingga ke Kuantan. Tapi fikir lambat la pulak sat lagi. Abang ni bukan boleh, rajin sangat menyinggah akalau ada tempat menarik. Lagipun saja la nak cuba masuk LPT. Tak pernak lagi masuk LPT dari Terengganu ni.

Naik skuter lama-lama atas highway ni memang buat mengantuk. Duduk pulak atas seat lembut Modenas Elegan 250i. Kena pulak lepas makan. Mata kuyu je jadi.

Bawak santai-santai 100KM/J memang lentok habis. Abang berhenti sat cuci muka kat Petronas RnR Gambang. Pekena Nescafe yang tak habis ada lagi setin. Segaq sikit mata.

Dah alang-alang ada kat Petronas Gambang, abang isi minyak skuter Modenas Elegan 250i abang ni walaupun minyak dok ada setengah lagi. Kali terakhir abang isi minyak adalah di Chendering, Kuala Terengganu masa nak pi Jeti Marang untuk ke Pulau Kapas.

Lokasi : PETRONAS RnR GAMBANG, PAHANG
Jumlah : RM 18.21
KM dari Penang : 815.2 KM

Tapi tak tahan lama. Sampai di Temerloh, mengantuk balik. Singgah lagi di RnR Temerloh pulak. Solat & basuh muka dulu baru segar semula. Punah macam ni, rajin sangat berhenti sebab mengantuk.


Naik motor santai-santai ni boleh mengantuk. Berhenti basuh muka sat kat RnR Gambang. Nescafe masih berbaki satu tin.

Nak buat macam mana ngantuk sangat ni. Di RnR Temerloh, abang selak-selak Google Maps. Kot-kot ada tempat menarik dalam perjalanan ke Kuala Lumpur yang abang boleh singgah dulu buat ubat mengantuk.

Abang terlihat pulak ada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan yang terletak di Kuala Gandah, Pahang. Cantik. Tak pernah sampai lagi ni. Dah alang-alang lalu ni kita singgah la dulu. Boleh tengok gajah dulu. Huhu.

Kalau dari Temerloh nak ke sana dah tak jauh dah. Lagi pun Kuala Gandah ni memang terletak di dalam daerah Temerloh pun.

Dari RnR Temerloh kita kena keluar melalui susur keluar Lanchang baru boleh sampai ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah ni.

Lama betul rasanya tak tengok gajah secara langsung ni. Rasanya last sekali masuk zoo waktu tadika dulu. Huhu.


Mengantuk punya pasal, menyinggah lagi sementara nak sampai KL tu. Kali ni di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang.

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah ni dibuka setiap hari dari 10.00 pagi hingga 4.30 petang. Abang dari RnR Temerloh masa tu dah pukul 3.00 petang. Takut jugak sampai-sampai nanti dah tutup.

Alhamdulillah. Tuhan bagi jugak kesempatan kat abang nak tengok gajah. Aang sampai Kuala Gandah dalam pukul 3.45 petang. Ada la masa sat nak tengok gajah sebelum tutup.

Nak masuk ke sini tiada apa-apa bayaran yang dikenakan. Abang cuma daftar ja kat kaunter pendaftaran di depan dan dia akan bagi kita satu stiker. Terus boleh masuk tengok gajaha kat dalam.

Kebetulan cuti sekolah, ramai la ibu bapa yang bawak anak-anak tengok gajah di Kuala Gandah ni. 


Waktu lawatan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah ni dari pukul 10.00 pagi hingga 4.30 petang. Masuk percuma ja. Cuma kena daftar nama dekat kaunter yang disediakan.

Masuk-masuk ada dua simpang. Kiri pi main dengan anak gajah. Kanan tengok mak pak gajah.

Musim cuti sekolah ni ibu ayah tak melepaskan peluang bawak anak-anak tengok gajah di Kuala Gandah.

Setiap orang yang mendaftar masuk di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan akan diberikan sekeping stiker. Boleh la nak tempek kat baju ke, kat motor ke balik sat lagi.

Gajah pun berarak pagi-pagi. Hang? Tiduq membuta tak sedaq diri.

Kena menapak jauh sikit la dari pintu masuk tengah-tengah panas ni.

Sampai-sampai, anak-anak gajah tengah berendam.

Pengunjung boleh masuk main air dengan anak-anak gajah. Tapi yang ni kira pakej lain.

Ada 3-4 orang pelatih yang akan teman seekor anak gajah sepanjang sesi bersama pengunjung.

Dah cukup masa, pelatih bawak semula anak gajah balik kandang.

Ni pulak kandang untuk gajah dewasa.

Pengunjung boleh membelai belalai gajah. Abang sendiri rasa cuak jugak nak pegang. Haha.

Ada papan tanda perhatian supaya tidak mempermainkan anak gajah semasa memberi makanan.

Orang ramai seronok tak kira la dapat bergambaq dengan gajah. Abang pun turut teruja sebab dah lama tak masuk zoo !

Bawak anak-anak seronok la tempat macam ni. Nak bawak anak, lupa tak kahwin lagi. Hihi.


Tengok gajah terus segar bugar abang. Abang dan gajah sama naik. Terus tak nagntuk dah.

Dari Kuala Gandah perjalanan di teruskan semula melalui Lebuhraya Karak sampai la ke Genting Sempah. Rasa macam bosan-bosan abang menyinggah lagi.

Kali ni singgah minum di Janda Baik Pulak. Kedai Kopi Paklong. Abang tak pasti abang ada cerita tak pasal Kedai Kopi Paklong ni dalam catatan-catatan sebelum ni.

Kedai Kopi Paklong ni abang selalu la singgah bila ride dengan orang tua abang dari KL ikut Jalan Gombak Lama sampai la ke Janda Baik.

Orang lain ride naik motor besaq semua main highway Karak, kami yang motor cc kecik ni main Jalan Gombak Lama ja asah tayar. Motor lahu sedap la layan highway. Motor kecik elok main jalan dalam hutan ja. Tak malu sangat. Huhu.

Yang syoknya Kedai Kopi Paklong ni rasa dia lain dari yang lain. Memang pure la rasa kopi dia, macam minum cafe latte kat kedai mahal gitew. Padahal warung kampung ja pun.

Tapi harga memang standard Starbucks. Haha. Kalau kopi panas mintak dia RM6.00 secawan. Kopi ais pulak RM7.00.

Yang menariknya, kopi ni semua ditanam di kebun tepi Kedai Kopi Paklong ni. Jadi dia la yang petik, kisar semua sendiri. Memang betul-betul 'homemade coffee'.






Bagi hangpa yang nak rasa Kopi Paklong ni boleh la berkunjung ke Janda Baik. Selalu geng-geng motor kecik tau la tempat ni. Geng-geng motor besaq semua pi makan Lemang To'Ki di Bentong.

Bagi yang tak tahu lokasi Kedai Kopi Paklong ni kat mana, boleh bukak je Google Maps dan cari 'Gantok Coffee'. Eja betul-betul 'Gantok' tu. Bukan ngantuk. Yang ngantuk selalu tu abang. Haha.

Selain kopi, kat Kedai Kopi Paklong ni jugak ada beberapa menu makanan yang boleh hangpa cuba. Contoh sup meletop & nasi ayam. Tapi rasa makanan dia rasa biasa-biasa ja.


Singgah lagi. Kali ni di Janda Baik pulak. Pekena 'Kopi Pak Long' pulak.

Ada ladang kopi sebelah kedai Paklong ni. Dia kata dia proses sendiri.

Abang antara pelanggan yang pertama sampai di Kedai Kopi Pak Long petang tu.

Selain 'homemade coffee' atau kopi buatan sendiri, di Kedai Kopi Paklong ni pun ada jugak jual bermacam jenis sup.

Yang istimewanya kopi kat Kedai Pak Long Janda Baik ni.

Kedai Kopi Pak Long Janda Baik.


Abang turun semula dari Janda Baik ke Genting Sempah dalam pukul 6.30 petang. Elok-elok nak senja tu abang tak ikut highway Karak untuk ke KL sebaliknya ikut Jalan Gombak Lama ! Gian nak layan kona !

Layan la kona sorang-sorang abang masa nak masuk senja tu. kali ni tak berhenti mana dah dalam hutan Jalan Gombak Lama tu. Kalau awal lagi mahunya singgah Balai Polis Lama Gombak. Haha.

Naik skuter Modenas Elegan 250i layan kona ni memang sedap sungguh sebab tayar lebaq. Kalau guna SYM VTS 200 rasa gayat lagi ni. Naik Yamaha Nouvo pun sama.

Nak layan kona kat Jalan Gombak Lama ni hati-hati sikit sebab jalan dia ada kawasan yang agak berpasir. Bagi yang kali pertama layan kona Jalan Gombak Lama abang nasihatkan jangan melayan sangat. Perhati dulu bentuk muka bumi dan keadaan jalan tu. Ramai dah kawan-kawan abang yang dah tersungkur menyeret tar kat Jalan Gombak Lama ni kalau tak kena gaya.

Dalam setengah jam dah boleh sampai Gombak ikut Jalan Gombak Lama dari Genting Sempah. Dari Gombak ke Segambut dah tak jauh dah ikut jalan Kuching.

Kali terakhir abang isi minyak penuh balik untuk Modenas Elegan 250i adalah di Petronas Segambut. Sampai memang dah sampai, cuma abang nak tengok balik berapa minyak yang digunakan sepanjang perjalanan dari Penang ikut pantai timur sampai la ke KL semula.

Lokasi : PETRONAS SEGAMBUT, KUALA LUMPUR
Jumlah : RM 14.45
KM dari Penang : 1055.3 KM

Selamat sudah perjalanan kembara terjah segera abang ke pantai timur. 

Alhamdulillah, dipermudahkan segala urusan. Tak ada apa masalah sangat sepanjang abang bawak Modenas Elegan 250i. Asal isi minyak jalan, asal isi minyak jalan.

Meh kita buat kira-kira sikit berapa jumlah keseluruhan minyak yang diperlukan untuk trip Pantai Timur Monsun Ride dengan Modenas Elegan 250i ni :

Harga minyak mengikut pasaran pada 18 Oktober 2017 (RON95) = RM 2.16 seliter
Harga minyak mengikut pasaran pada 19-20 Oktober 2017(RON95) = RM 2.17 seliter


PETRONAS SG SELUANG, LUNAS
RM 10.89

PETRONAS JELI
RM 14.42

PETRONAS CHENDERING
RM 17.71

PETRONAS GAMBANG
RM 18.21

PETRONAS SEGAMBUT
RM 14.45

JUMLAH MINYAK: RM 64.79 (Kiraan bermula selepas isi minyak penuh di Lunas)
JUMLAH JARAK  : 1055.3KM

Secara keseluruhannya, kos penggunaan minyak untuk Modenas Elegan 250i ni secara kasarnya adalah lebih kurang RM0.061 untuk setiap kilometer.

Tak faham? Bermakna untuk setiap 1 kilometer, minyak Modenas Elegan 250i ni dia pakai lebih kurang 6 sen. Tu untuk harga minyak waktu tu lah dalam RM2.16 seliter. Kalau sekarang ni minyak naik harga dah tentu lebih lagi.

Senang kata untuk bergerak 100KM, Modenas Elegan 250i ni akan guna minyak lebih kurang RM6.10 atau dalam kiraan liter bersamaan 2.82 liter.

Ni secara kasarnya tau. Sebab abang malas nak kira minyak naik 1 sen masa 19-20 Oktober tu. Huhu.

Ok. Sekian saja. Terima kasih. Ada apa-apa boleh PM abang kat halaman Budak Letrik.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...