Iklan

21 Jun 2016

Iftar@KL 2016 | Berbuka Puasa di Dataran Merdeka

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu
Peace be upon you


Dalam kemeriahan musim Euro 2016 yang berlangsung sekarang ni, sedar tak sedar dah separuh Ramadhan kita lalui. 

Kalau diperhatikan di separuh Ramadhan, bulan mengambang penuh di langit. Imam dah mula membacakan doa qunut masa solat witir. Jemaah di surau pulak semakin hari semakin berkurang. Tidak seperti malam-malam permulaan Ramadhan.

Saja bagi tazkirah Ramadhan sikit. Huhu.

Hangpa berbuka di  mana bulan puasa ni?

Bab berbuka puasa ni pun ada bermacam jenis. Yang paling syok tentulah berbuka puasa bersama ahli keluarga di rumah. Ada juga yang suka tunjuk-tunjuk di bazar Ramadhan dan ada yang nak 'save' bajet sekadar berbuka puasa di masjid.

Abang pulak berbuka dekat mana? Abang?

Abang pulak hidup secara nomad yakni berbuka puasa di lokasi yang berbeza setiap hari. Selalunya di masjid lah. Tapi setiap hari masjid yang berbeza. Kiranya satu Penang ni abang dah pusing bukak puasa.




Nak cerita pasal Iftar@KL 2016 sebenarnya.

Bagi mereka di Kuala Lumpur yang tercari-cari lokasi untuk berbuka puasa hujung minggu, boleh sahaja turut serta memeriahkan majlis iftar yang berlangsung di Dataran Merdeka pada bulan puasa ni.

Sebelum ni, abang pernah buat liputan program Iftar@2015 yang sama tahun lepas. Nama pun sama. Lokasi pun sama. Tahun ni dia buat lagi.

Program yang dinamakan 'Iftar@KL 2016' anjuran Jabatan Kesenian & Kebudayaan Malaysia (JKKN) ini mengajak orang ramai bersama-sama berbuka puasa di persekitaran Dataran Merdeka. Acara ini merupakan acara tahunan dan kali ini telah masuk tahun kelima ianya berlangsung.

Nak kena bayar apa-apa ke ni?

Tak payah. Hangpa mai ja lenggang kangkong bawa diri sendiri untuk duduk bersama-sama menikmati hidangan iftar bersama rakyat di jalanan.


Program tahunan Iftar@KL 2016 yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Setiap hari ke program Iftar@KL 2016 dalam bulan puasa ni?

Tak. Hanya berlangsung pada hujung minggu iaitu pada hari Sabtu dan Ahad sahaja dalam bulan Ramadhan ni.

Tarikh-tarikhnya adalah seperti berikut :
  • 11 & 12 Jun 2016
  • 18 & 19 Jun 2016
  • 25 & 26 Jun 2016
Hanya 3 minggu ni ja hangpa ada peluang untuk berbuka puasa di sini. Hujung minggu terakhir sebelum raya dia tak buat dah. Semua pun nak balik raya woi !

Agak-agak bagi mereka yang baru balik shopping dari Jalan TAR ke Sogo ke Jakel ke tu, boleh la terus singgah ke Dataran Merdeka memeriahkan majlis iftar ni. Bawa la anak-anak sekali berkelah dekat sini.

Majlis iftar dah tentu-tentu la waktu Maghrib. kalau hangpa mai lepas lepas terawih ka, lewat malam sikit ka, memang takdalah. Yang tu panggil singgah sahur.

Dinasihatkan untuk mai awal. Sebolehnya kalau nak join, pukul 6.00 petang tu kena terpacak dah tunggu. Nak cop tempat lagi, nak ambik ayaq lagi. Kalau hangpa mai lambat memang tak dapat tempat la. Kena bersidai tepi divider la buka puasa.



Orang ramai mula memenuhi program Iftar@KL seawal jam 5.00 petang.

Program Iftar@KL 2016 turut menyediakan kawasan berkhemah untuk orang ramai bersempena dengan musim hujan.

4 dara pingitan sedang bersiap sedia merempuh masuk.

Pelancong dari luar pun turut sama memeriahkan program Iftar@KL 2016.

Orang ramai mula memenuhi Dataran Merdeka untuk program Iftar@KL 2016.

Abang-abang wartawan siap dengan drone untuk buat liputan di majlis Iftar@KL 2016.

Petugas sukarelawan sibuk mengagihkan makanan.

Suasan petang sebelum berbuka puasa di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Sesi mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai.

Setiap orang akan dapat satu set nasi beserta air minuman 2-3 tin.

Suasana sementara menunggu waktu iftar di Dataran Merdeka. Selfie dulu.

Yang hadir di Iftar@KL ni terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Bawa anak-anak kecik berkelah buka puasa sekali.

Khemah besar takut-takut hujan.

Ada yang datang bekeluarga, ada yang datang sorang-sorang macam abang.

Sementara menggu waktu Maghrib, ada alunan ayat-ayat Al-Quran dari budak-budak tahfiz.

Sukarelawan masih sibuk mengagihkan makanan kepada pengunjung.

Hamparan tikar panjang untuk pengunjung Iftar@KL 2016.

Kemeriahan sementara menunggu waktu berbuka puasa di Dataran Merdeka.

Booth 100 Plus. Ingat ada air percuma, rupanya kena beli.

Set nasi beserta lauk, air tin, serta bubur lambuk menjadi hidangan pengunjung Iftar@KL 2016.

Yang berbaju kuning bukan anggota Rela, tapi sukarelawan JKKN.

Mai lambat sikit penuh la tempat duduk. Abang saja la lepak dulu usya pemandangan ni. Huhu

Program Iftar@KL 2016 ni berlangsung hanya setahun sekali, yakni dalam bulan Ramadhan sahaja.

Yang tak bayar zakat fitrah lagi boleh berkunjung ke kaunter zakat bergerak yang terdapat di Iftar@KL 2016.

Abang drone tadi takut-takut nak terbang atas saf jemaah. Main kat padang kemudiannya.

Pengunjung beratur mengambil air minuman sendiri.

"Diminta pengunjung tidak makan dan minum di atas padang !" Jerit abang penguatkuasa DBKL.

Geng anak-beranak dah siap buka tikar bawah khemah.

Orang ramai tidak melepaskan peluang duduk bersama-sama menjayakan majlis Iftar@KL 2016.

Geng-geng tahfiz pun ada sekali mengaji dalam ni sementara menunggu waktu berbuka.

Kawasan pentas utama yang menjadi tempat persembahan dan tazkirah Iftar@KL 2016.

Senja berlatarbelakangkan pencakar langit Kuala Lumpur.

Geng-geng basikal fixie di Dataran Merdeka.

Parking awal hakak-hakak ni.

Pengunjung tidak dibenarkan makan & minum di atas padang Dataran Merdeka. Ada penguatkuasa dah bagi amaran.

Boleh juga bawa makanan sendiri berkelah di pinggiran padang Dataran Merdeka ni.

Iftar@KL 2016, Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

Ni minggu terakhir bagi mereka yang tak pernah rasa lagi pengalaman berbuka puasa di jalanan lebih-lebih lagi di Dataran Merdeka.

Sebelum majlis berbuka puasa, ada pelbagai aktiviti disajikan untuk pengunjung sementara menunggu waktu berbuka tu. Antaranya adalah pertandingan nasyid, tazkirah Ramadhan, alunan ayat-ayat suci Al-Quran dan bermacam lagi. 

Sementara duduk-duk tu tak sia-sialah masa yang terbuang tu kalau dapat dengar ceramah atau tazkirah Ramadhan yang disampampaikan oleh ustaz terpilih.

Program Iftar@KL 2016 ni bukan sahaja berlangsung sampai waktu buka puasa saja, tapi sampai ke lewat malam. Lepas buka puasa, pengunjung boleh solat Maghrib, Isyak serta Terawih berjemaah sekali. Lepas tu pulak ada moreh lagi.

Kalau malam-malam minggu tu boleh la menghidupkan malam di Jalan Tunku Abdul Rahman & Jalan Masjid India. Tak jauh dah dari Dataran Merdeka. 

Minggu lepas abang pergi tu dia bukan main sesak. Bukan takat jalan je yang sesak dengan kenderaan, tapi dalam Jalan TAR pun sesak dengan orang ramai !

Sekian.

09 Jun 2016

Menyibuk di Bazaar Ramadhan Little India Pulau Pinang

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu
Peace be upon you


"Kau tahu apa yang paling menakutkan dalam bulan Ramadhan ni?"

"Bukan. Bukan bubur lambuk habis"

"Tapi bila kau sedar hakikatnya kejahatan tu berpunca dari diri kau sendiri"

Amacam pengenalan? Dalam tak?

Selamat menunaikan ibadah berpuasa abang ucapkan kepada mereka yang berpuasa dan yang pura-pura walaupun dah masuk hari keempat Ramadhan hari ni.

Semua ok ke puasa ?

*yang kedengaran hanya bunyi cengkerik dan ombak menghempas pantai.

Berbuka apa hari ni? Dah pi bergeseran di bazaar Ramadhan ke belum? 

Bab ni ramai yang berkesemangatan. Tahukah anda bulan Ramadhan ni produktiviti meningkat?

Baru pukul 9.30 pagi, masing-masing dah sibuk kongsi resepi di Facebook !

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Illahi baru semalam abang sempat mencemar duli ke Bazaar Ramadhan. Selalu kalau lepas Asar abang boleh bantai tidoq kat masjid sementara menunggu waktu berbuka.

"Abang ni asyik berbuka kat masjid je, takde keluarga ke? Ke save bajet?"

Kedengaran suara-suara sinis tersebut di belakang. Macam ni lah kehidupan abang dik. Jauh dari keluarga. Yang ada keluarga tu seronoklah dapat berbuka bersama. Siapa tahu jodoh pun tengah buka puasa sekali ke kat masjid. Hiks.

Oh ok. Berbalik pada tajuk. Kat mana kita berhenti tadi? Baik. Bazaar Ramadhan.

Ada sesetengah orang sebut 'Pasar Ramadhan' dan abang lebih suka panggil 'Bazaar Ramadhan'. Nak lebih hipster sikit orang sekarang panggil Pasar Ramadhan sebagai 'Param'. Abang mula-mula tak paham, baru je dapat tangkap 2-3 hari ni.

Semalam abang sempat mengunjungi Bazaar Ramadhan Little India yang terletak di Lebuh Queen, Georgetown. Little India ni pun dekat Malaysia ada banyak. Yang abang tahu satu lagi Little India ada di Bricksfield, Kuala Lumpur. Sila ambil maklong yang abang cerita ni Little India di Pulau Pinang.

Dekat mana lokasi Bazaar Ramadhan Little India di Pulau Pinang ni?

Kalau hangpa cari Masjid Kapitan Keling, dia tak jauh dah dari situ. Cari ja Lebuh Queen, maka di situlah terletak Little India. Jalan kaki dari Masjid Kapitan Keling ke Little India tak sampai pun 100 meter.



Apa yang menariknya Bazaar Ramadhan Little India ni?

Majoriti peniaga yang berniaga di sini adalah berketurunan India Muslim. Nak nampak muka Melayu biasa memang payah. Kalau ada pun abang nampak ada setempat. Tu pun jual kuih je.

Yang menjadi keistimewaan bazaar ini adalah hidangan berbuka puasa yang disajikan. Nasi kandar? Macam-macam jenis nasi kandar ada. Tajudin Hussein, Dawood, Sultania semua berkampung dekat bazaar ni. 

Sebab apa? Restoran atau kedai dia pun depan tu ja. Dia buka khemah dan bentang meja untuk mudahkan pelanggan membeli juadah berbuka puasa.

Selain nasi kandar, ada bermacam jenis lagi makanan simbolik Penang ada dijual disini. Antaranya adalah seperti samosa. Kalau samosa ayam seketul RM1.20, kambing pulak RM1.50.

Untuk kategori minuman pulak, macam-macam jugak ada. Bermula dengan air tebu, kelapa, soya panas. Nak special sikit cari air sarbat. Abang beli semalam ayaq sarbat ni. Sedap. Sebungkus RM2.50. Minum sampai ke sahur tak habis.

Kos kerosakan yang abang tanggung semalam di Bazaar Ramadhan Little India? Samosa dua ketul, air soya panas, dan air sarbat sebungkuih. Semuanya RM6.70.




Ini dia Bazaar Ramadhan Little India anjuran Liga Muslim Pulau Pinang. Takda kena mengena dengan Liga Super mahupun Liga Perdana.

Nindia nindia ! Abang murtabak Bazaar Ramadhan Little India tengah beraksi kemas ! Ke ada kamera je buat kemaih?

Tudia tudia pakcik roti jala pulak tengah menghayun ! Gambaq Google ada kopiah ke dah tercabut kopiah pakcik?

Murtabak, roti canai dan roti teluq ! Murtabak pun ada banyak jenis, tak paham abang !

Vadey dalam proses pembikinan ! Ke salah abang eja 'vadey'?

Kuih muih dan manisan tradisional masyarakat India Muslim ! Abang ni orang tanya je samosa seketul berapa duit nak buat muka cengey pasaipa !

Hangpa semua dengan muka tak puas hati pasaipa? Ayaq nyoq sebiji RM 4.00 lagi abang tak puas hati !

Abang ayaq tebu tengah sibuk mesin tebu ! Air tebu sebungkus RM 2.50 !

Lagi kuih muih tradisional masyarakat India Muslim. Nama tiap-tiap satu abang tak tahu !

Ada lagi manisan ni ! Pelancong luar suka la ambik gambar makanan ni !

Pakcik rojak pasemboq Bazaar Ramadhan Little India yang fotogedik ! Eh fotogenik !

Air soya Nasir ! Abang beli ayaq soya gula hitam sebungkuih !

Nasi Kandar Dawood ! Nama sama radio kereta tapi rasanya berbeza !

Pakcik roti jala masih gigih dengan roti jala beliau !

Ini pulak Nasi Kandar Sultania ! Meriah suasana Bazaar Ramadhan Little India ni petang-petang !

Standard la nasi kandar, lauk bermacam jenis. Berkocak nafsu bulan-bulan puasa ni bila tengok !

Bersama jemaah Masjid Titi Papan, Jalan Burma meraikan iftar. 

Suasana iftar di masjid-masjid sekitar Georgetown. Walaupun ringkas, tapi cukup menyenyangkan ! Samosa ada lagi kat motor tak makan !

Selesai meronda Bazaar Ramadhan Little India, masa mencari tempat untuk berbuka puasa !

Abang dok ingat nak pi buka puasa kat Masjid Kapitan Keling, tapi dah pernah rasa dah suasana tu.

Nak cari la kot ada masjid lain yang abang tak pernah sampai lagi. Abang start motor dan terus Masjid Jamek Melayu Lebuh Acheh. Sampai-sampai, ada seorang pakcik dok tengah tecongok tunggu.

"Dik, masjid ni takda buat buka posa ! Adik pi Masjid Kapitan la"

Aduh. Masjid tua sebesar ni tak buat majlis buka puasa pulak. Takpalah. Abang bergerak ke Jalan Penang lepas tu. Abang singgah di Masjid Titi Papan, salah sebuah masjid warisan yang terletak di Jalan Burma 10 minit sebelum masuk waktu Maghrib.

Tidak mengecewakan. Kedatangan abang seolah-olah disambut jemaah lain. Menu berbuka puasa banag hanya buah-buahan dan kuih muih yang dibawa oleh jemaah. Walaupun ringkas tapi cukup mengenyangkan. Malu pulak abang yang datang sehelai sepinggang macam ni !

Siap dapat moreh nasi beriani lagi lepas terawih. Datang kerja dengan tangan kosong, balik rumah malam penuh menjinjing beg plastik ! 

Rezeki bulan puasa !


18 Mei 2016

Menjejak Kesan Kemarau Tasik Beris

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu
Peace be upon you


Ketika mana masing-masing pakat sibuk dok tayang bil tenaga elektrik yang naik hampir dua kali ganda di media-media sosial, abang ambik kesempatan ni nak tayang kesan-kesan musim panas yang berlaku di salah sebuah empangan yang terdapat di utara tanahair.

Dengan fenomena El-Nino sekarang ni kita menyaksikan penyusutan paras air di empangan-empangan utama seluruh negara. Sebelum ni abang ada terbaca tentang Tasik Timah Tasoh yang terdapat di negeri Perlis pun dah kering. Tidak terkecuali Tasik Beris yang terdapat di daerah Sik, Kedah ni.

Bila air dah kena catu, kena angkut baldi ambik air nanti baru hangpa nak concern pasal benda ni. Sebelum ni kalau gosok gigi pun, hangpa dok buka air terbuang macam tu ja. Jimat-jimatlah air. Abanglah yang selalu macam tu.

Abang pernah bercerita pasal Ladang Anggur Tasik Beris ni pada catatan 3-4 tahun sebelum ni. Masa tu baru nak up. Kalau hangpa nak tau lebih lanjut, boleh rujuk di sini.

Bagi yang tak tau jalan nak ke Tasik Beris, boleh buka Google Maps dan cari 'Beris Dam'.




Dari pekan Sik, hangpa akan jumpa Masjid Al-Muhtadeen di Sik Dalam ni dulu. Kemudian baru hangpa jumpa Tasik Beris.

Dekat mana sebenarnya Tasik Beris ni?

Meh abang cerita balik.

Tasik Beris ni sebenarnya terletak dalam daerah Sik, Kedah. Kalau hangpa yang mai dari Penang, nak senang ikut Google Maps.

Kenapa bukan Waze? Sebab abang anti Waze. Huhu

Tak reti guna Google Maps? Boleh ikut Lebuhraya Utara-Selatan PLUS menghala ke utara. Keluar ikut susur keluar Gurun. Cari jalan ke Jeniang/Sik. Teruskan lagi perjalanan cari jalan ke Nami/Gulau/Alor Setar.

Insyaallah hangpa takkan tersesat punya. Kalau tersesat pun sampai Durian Burung bersempadan dengan Siam.

Nanti hangpa jumpa la Tasik Beris ni dalam perjalanan !


Pandangan Tasik Beris yang kering dari hentian rehat RnR Tasik Beris.

Asalnya di kawasan Tasik Beris ni terdapat beberapa buah kampung. Apabila kawasan ini nak dijadikan empangan, penduduk kampung diarahkan berpindah ke kawasan baru yang dinamakan Bandar Baru Beris Jaya yang terletak lebih kurang 10 KM dari pekan Sik.

Masa tu kubur-kubur digali semula dan dipindahkan jugak ke tempat baru. Ada sebuah sekolah jugak yang ditenggelamkan dalam kawasan Tasik Beris ni.

Kawasan penempatan semula tu hangpa akan jumpa masa dalam perjalanan ke Tasik Beris ni kalau dari Gurun. Dekat-dekat pekan Batu Lima. Cari ja Bandar Baru Beris jaya. Ada masa boleh la pi usya.


Paras air Tasik Beris surut teruk berikutan musim kemarau yang berpanjangan.

Apa tujuan utama Tasik Beris ni dibina?

Bukan. Bukan untuk jana tenaga hidroelektrik macam Tasik Kenyir. Tapi lebih kepada membekalkan air dan sumber pengairan untuk kawasan penanaman padi di sekitar Kedah dan juga Pulau Pinang.

Kalau hangpa nampak pulau-pulau yang terdapat di kawasan Tasik Beris ni merupakan bukit-bukit yang tinggi dahulunya. Bila air dialirkan ke dalam kawasan ini, bukit ni jadilah pulau.

Jalan Kampung Telaga Batu yang selama ini ditenggelami air Tasik Beris, kini muncul semula.

Sejak wujudnya Tasik Beris ni, maka berduyunlah orang luar yang datang nak tengok pemandangan indah tasik buatan ni. Bukan tu sahaja sebab orang ramai datang sini, tapi oleh kerana di Tasik Beris ini jugak ada kawasan penanaman anggur masam yang dikatakan terbesar di Malaysia dan juga di Asia Tenggara. Kata mereka.

Kalau dulu masuk ladang anggur Tasik Beris ni tak kena duit, tapi yang terbaru ni dah kena bayar! Seorang RM 6.00 kalau tak salah abang. Budak-budak pulak RM 3.00. Pandai buat duit !

Bukan nak cerita pasal buah anggur sebenarnya tapi terlajak pulak masuk cerita pasal ladang anggur Tasik Beris.

Abang berkunjung ke Tasik Beris dengan skuter. Mata semua lebih tertumpu kepada teh'o ais ikat tepi yang tergantung.

Abang sampai Tasik Beris ni pun dah lewat petang. Panas lit lit nak mai dari Penang ke sini. Terbakaq abang duduk atas motor dekat 2 jam.

Abang tahu pasal Tasik Beris yang kering ni pun melalui Facebook. Tengok ramai yang dok post dekat group 'Panorama Indah Negeri Kedah'. Kaki fotografi yang selalunya kongsi benda-benda alah ni.

Teruja la jugak tengok pemandangan Tasik Beris yang kering. Berbeza apa yang abang pernah tengok sebelum ni. Tu yang bersemangat nak jelajah waktu tu.

Kebetulan pulak ada program keesokkan harinya di SMK Kuala Pegang, Alang-alang nak ke sana singgah Tasik Beris dulu !

Dulu paras air tasik sampai ke takat motor pakcik depan tu.

Mula-mula tu abang lajak melalui jambatan pertama dan jambatan kedua Tasik Beris. Saja la nak tengok pemandangan dari hentian RnR Tasik Beris. Untuk makluman ada sebuah hentian rehat di sini selepas jambatan kedua.

Jikalau hangpa dari Sik nak ke Gulau/Nami atau Alor Setar, hangpa akan lalu la dua-dua jambatan ni. Hentian rehat ada lepas jambatan kedua tu. Jangan dok ingat macam hentian rehat macam di lebuhraya Utara-Selatan PLUS. Hentian RnR Tasik Beris ni sunyi. Tak ada orang sangat pun. Kedai makan pun yang buka ada la sebuah. Tu pun nasib kalau dia buka.

Dari hentian ni hangpa boleh tengok Tasik Beris yang terbentang luas. Sayangnya musim kemarau ni nampak tanah merah ja lah. Kalau kebiasaan boleh nampak bot-bot di tengah tasik. Musim kemarau ni memang tak adalah.

Abang patah balik semula ke kawasan ladang anggur Tasik Beris. Dari atas jambatan pertama, hangpa boleh tengok orang-orang kampung dok berkelah dekat jalan lama tengah tasik.

Macam mana nak pi dekat depa tu?

Abang cari jalan untuk ke sana. Berhampiran dengan ladang anggur Tasik Beris, ada jalan kecik yang menuju ke sana. Dia akan tembus ke jalan lama Kampung Telaga Batu. 

Kalau ikutkan jalan lama ni dah tak digunakan penduduk oleh kerana dah ditenggelami air. Ada sekerat-sekerat jalan yang tengglam, dan ada yang tidak. Jalan yang tenggelam pada dulunya kini dah muncul balik !

Sebelum wujudnya Tasik Beris ni, inilah jalan utama yang digunakan penduduk setempat dan orang ramai dari Sik untuk ke Gulau/Nami atau Alor Setar.

Jalan lama Kampung Telaga Batu yang muncul semula apabila Tasik Beris mengering akibat musim kemarau yang berpanjangan.

Abang pun turun la ikut jalan lama yang abang jumpa tadi untuk bersama-sama penduduk kampung di tengah tasik.
* macam pelik bunyi ayat ni

Batu-batu tanda kilometer masih kukuh berdiri di bahu jalan walaupun dah lebih 12 tahun ditenggelami air. Tak pelik sebab nama pun batu. Huhu

Baru kita boleh tengok permukaaan dasar tasik yang selama ni kita tak pernah nampak pun. Bot-bot lama yang karam pun ada. Pokok-pokok tunggul kayu yang terendam dalam air selama ni di dasar tasik pun dok ada lagi !

Abang pun berhenti la sat ambik gambar guna telefon. Bukan senang nak nampak pemandangan yang unik macam ni. 

Baru hangpa tau betapa seriusnya musim kemarau di negara kita. Macam rasa dekat Afrika pun ada. Masa ni baru hangpa rasa betapa bernilainya setitis air.
*kesat ayaq mata di tikar sejadah

Hangpa tengok-tengok dulu gambaq musim kemarau yang sempat abang rakamkan di Tasik Beris.


Inilah dia keadaan dasar Tasik Beris yang kita tak pernah lihat sebelum ini.

Batang-batang pohon kayu yang terdapat di dasar Tasik Beris sejak sekian lama semenjak empangan ini dibina.

Tasik Beris yang sebelum ini dipenuhi air kini kering kontang.

Objek-objek yang kelihatan bila Tasik Beris mengering. Salah satunya adalah bot dan batu tanda ni.

Jambatan Tasik Beris di kejauhan. Boleh guna jalan lama ni untuk melintas ke kampung diseberang sana.

Empangan Tasik Beris dibina pada tahun 2002 dan siap pada tahun 2004. Asalnya di sini adalah sebuah perkampungan.


Hangpa tau dak dekat 1000 buah kubur terpaksa dipindahkan dan ada sebuah sekolah yang juga terpaksa dikorbankan masa nak bina Tasik Beris ni?

Sebelum ni jalan lama yang terdapat di dasar Tasik Beris inilah digunakanorang ramai untuk ke Gulau atau Nami dari pekan Sik.

Musim El-Nino yang membawa cuaca kering melanda seluruh negara mengakibatkan penyusutan paras air di beberapa empangan termasuk Empangan Beris.

Orang tempatan buat sesi berkelah petang-petang dekat tengah jalan sempena Tasik Beris kering ni.

Dah 12 tahun pun pokok-pokok ni masih berdiri teguh di dasar Tasik Beris.


Kalau dulu dari Ladang Anggur Tasik Beris kita dok tengok bukit ni la dari jauh.

Sesi bergambar kenang-kenangan bersama skuter abang berlatarbelakangkan Jambatan Tasik Beris.

Tanah-tanah yang asalnya adalah dasar Tasik Beris merekah. Baru kau sedar betapa seriusnya musim kemarau yang melanda. 


Budak-budak kampung mengambil kesempatan mengail ikan di tepian Tasik Beris yang mengering.

Dah jadi 'port' lepak pulak petang-petang di tengah Tasik Beris. Meriah dengan pelbagai aktiviti.

Abang-abang ni tengah tunggu geng nak pi menjala.

Tempat menyembang di tengah Tasik Beris sambil mengeratkan silaturrahim sesama penduduk kampung.

Member abang ni dah sampai. Depa dah siap sedia nak pi menjala.

Pemandangan Jambatan Tasik Beris dari tengah tasik.

Tunggul-tunggul kayu yang masih berceracak. Depa-depa ni dah cukup mahir mengemudi bot mengelak tunggul kayu yang terdapat di Tasik Beris.

Bot-bot yang tersadai di pinggir jalan lama yang muncul semula di Tasik Beris.

Pemandangan yang jarang-jarang sekali dapat dilihat semenjak terbina empangan Tasik Beris.

Pandangan Tasik Beris dari jambatan pertama.
Banyak mata-mata yang memerhati pelik seorang jejaka dengan skuter plat Wilayah Persekutuannya. Takkan tak pernah tengok orang luaq kot depa ni.

Sebelum balik, abang lepak dengan orang-orang kampung tengok depa mengail ikan di tepi jalan lama tengah Tasik Beris. Kalau orang tua tengah bersiap-siap naik bot nak pi menjala, yang dok mengail ni semua budak-budak ja. Semua cakap Kedah hulu.

" Banyak ikan dik? "
" Ikan apa yang banyak dik? "

Soalan abang tak berbalas. Yang kedengaran hanya bunyi cengkerik dan ombak menghempas pantai.

Takkan depa tak faham soalan abang. Kalau tak faham takkan budak ni boleh jeling kat abang macam nak tembus dinding.

Takpalah dik. Nanti abang wawancara adik lagi.

*Gambar dirakamkan sepenuhnya menggunakan telefon Lenovo A7000 Plus. Telefon Lenovo lama masuk air. Huhu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...