Iklan

12 Julai 2016

Ceritera Berbuka Puasa di Bukit Bendera

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu
Peace be upon you

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin.

Nak hipster sikit SHRMZB. Dah macam nombor boarding pass Airasia bunyinya.

Ini adalah catatan yang abang peram dari bulan puasa hari tu.

Kalau sebelum ni abang pernah cerita berkenaan program Iftar@KL 2016 di Dataran Merdeka, untuk catatan kali ni pulak abang nak cerita kesinambungan program berbuka puasa abang di sekitar negeri Pulau Pinang pulak.

Abang ni sapa? YB ke? Ke sana ke sini buka puasa lain-lain tempat?

Bukan. Abang seperti mana orang kebanyakan dan rakyat lain juga. Kais pagi makan pagi, kais petang tak makan-makan.

Sauk bubur lambuk & buka puasa pun di masjid tiap-tiap hari. Nak save bajet lettew !

Dalam bulan Ramadhan ni kalau boleh setiap hari abang akan cuba cari tempat-tempat yang mana abang boleh merasai suasana berbuka puasa yang berbeza.

Sedang semua sibuk dengan wishlist masing-masing nak makan 'shellout' dalam bulan puasa ni, abang pulak sibuk nak terjah cari lokasi atau tempat berbuka puasa yang menarik di Pulau Pinang ni.

Salah satu tempat iftar di Penang dalam senarai semak abang adalah Penang Hill ataupun dipanggil Bukit Bendera !

Kenapa susah-susah nak naik buka puasa dekat atas Bukit Bendera tu? Ada apa yang menarik? 

Sebenarnya takda apa yang menarik pun. Saja abang suka-suka explore tempat-tempat macam ni.

Sebelum naik Bukit Bendera tu, jom kita sauk dulu sebungkus dua bubur lambuk di Masjid Negeri Pulau Pinang !

Sesi pengagihan bubur lambuk di Masjid Negeri Pulau Pinang selepas waktu Asar. Budak-budak sekolah agama yang buat-buat sibuk ni. 

Meriah jugak suasana petang di Masjid Negeri Pulau Pinang pada bulan Ramadhan ni. Abang-abang ni agih bubur lambuk dekat jemaah ala-ala drive thru.

Bagi abang la kan, tak sah rasanya tak ambik bubur lambuk bulan-bulan puasa ni. Di Pulau Pinang, banyak masjid-masjid besar mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai selepas waktu Asar 

Antara contoh masjid-masjid yang pernah abang pernah rasa bubur lambuk dia di Penang ni adalah seperti Masjid Al-Malik Khalid di USM, Masjid Jamek Sungai Nibong dan Masjid Negeri Pulau Pinang. Dalam banyak-banyak bubur lambuk yang abang pernah rasa, bubur lambuk Masjid Negeri Pulau Pinang yang abang rasa paling memenuhi citarasa abang.

Pernah jugak abang rasa bubuk lambuk di Masjid Kapitan Keling dan masjid-masjid masyarakat India Muslim di sebelah Georgetown sana, tapi tak kena dengan tekak.

Untuk pengetahuan, orang Penang tak panggil bubur lambuk. Depa panggil bubur lambuk sebagai 'kanji'. Jadi jangan buat-buat keliru bila orang dok sebut 'kanji' di Penang.

Baik. Sudah-sudahlah dengan cerita bubur lambuk tu.

Dari Masjid Negeri Pulau Pinang, ada baiknya kalau kita terjah tengok Bazar Ramadhan Kampung Melayu Air Itam dulu !

Kampung Melayu Air Itam ni sebenarnya terkenal dengan nasi kandarnya. Kalau Google 'Kampung Melayu', pastinya merujuk kepada nasi kandar. Abang masih tak berkesempatan mencuba nasi kandar di sini. Ni kali pertama abang jejak kaki kat sini.

Abang dok usya jugak mana kedai Nasi Kandar Kampung Melayu yang diperkatakan tu tapi hampa tak jumpa ! Rumah flat yang menjadi ikon Kampung Melayu ada la abang jumpa. Nasi kandar tu ada bawah-bawah ni depa kata. Sayang tak jumpa !

Takpa, nanti lepas bulan puasa kita pi buat tinjauan lain. Tujuan utama kita mai Kampung Melayu Air Itam ni nak tengok bazar ramadhan dia sebenarnya !


Flat Kampung Melayu Pulau Pinang yang abang sendiri tak pasti bermotifkan corak batik ke apa ni.

Rumah flat Kampung Melayu Air Hitam.

Tempat parking motor bawah flat kampung Melayu. Abang parking motor di sini dan jalan masuk bazar depan tu.

Bawah rumah flat Kampung melayu Air Itam ni ada kawasan parking kereta. Di situ ada macam-macam orang jual. Maksud abang jual makanan. Tengok tu, orang jual putu mayam.

Walaupun asalnya adalah sebuah perkampungan Melayu, kini Kampung Melayu Air Itam tinggal nama. Tapi masih lagi nampak suasana bercirikan kampung.

Madrasatul Hidayatul Islamiyah, Kampung Melayu Pulau Pinang.

Masuk-masuk bazar, disambut dengan air tebu pulak !

Salah satu menu yang terdapat di Bazar Ramadhan Kampung Melayu. Laicikang buah.

Lama jugak abang duduk kaji buah apa dia letak dalam laicikang ni. Salah satunya buah anggur.

Kamping bakar menjadi menu popular yang wajib ada di bazar Ramadhan sepanjang bulan puasa ni.

Nasi lemak ikan bilis.

Selamat Datang ke RF ! Abang tak pasti RF dia tu apa dia. Dalam istilah kejuruteraan komunikasi, RF ni bermaksud 'Radio Frekuensi'. Tapi macha ni jual nasi beriyani.

Ayaq botol. Pakcik ni bukan amil yang kutip zakat.

Gulai kawah. Campuq ubi kalau tak silap.

Puas meronda satu Bazar Ramadhan Kampung Melayu, haram satu apa pun tak beli.

Cucuq udang. Gambaq bergetaq bila tengok cucuq udang nih.

Tu dia roti john, murtabak, roti canai naina sempoi !

Mujur ada khemah, takdalah nak berpanas terik masa dok tinjau beli juadah bukak puasa.

Cakoi panas-panas dalam proses penggorengan.

Dari Bazar Ramadhan Kampung Melayu Air Itam, abang bergegas menuju ke destinasi berikutnya iaitu Bukit Bendera a.k.a Penang Hill. Tujuan dia abang nak berbuka puasa dekat puncak Bukit Bendera ni !

Gigih kan?

Saja la nak rasa pengalaman berbuka puasa di tanah tinggi pulak. Selalu dok main kawasan paras laut ja. Hari ni kita tukar selera sikit.

Kalau di Pulau Pinang, waktu berbuka puasa selalunya akan disebut sekali dengan kawasan Bukit Bendera. Yang menariknya, waktu berbuka puasa di Bukit Bendera berbeza dengan daerah lain di Pulau Pinang. 

Di sini waktu iftar lewat 3 minit dan imsak pun lewat 3 minit berbanding kawasan sewaktu dengannya. Orang lain di kawasan kaki bukit dah buka puasa, kita di puncak Bukit bendera kena tunggu 3 minit lagi !

Kebetulan waktu abang pergi adalah waktu hari bekerja biasa, maka nampak lengang kawasan pintu masuk ke Bukit Bendera ni. Cuba hangpa pi waktu cuti sekolah tak pun cuti hujung minggu. Berlonggok umat manusia !

Ada parking khas yang dibina berhampiran pintu masuk Bukit Bendera. Kalau dulu masalah utama adalah parking, tapi kini dengan adanya parking bertingkat ini segalanya menjadi mudah. jalan pun tak sesak.

Abang parking motor di parking bertingkat yang disediakan. Ada pakcik Rela sorang ditugaskan menjaga lalulintas di kawasan parking Bukit Bendera ni. Tak pasti la pulak abang berapa bayaran yang dikenakan untuk parking kereta, tapi kalau motor tu percuma.

Bas Rapid Penang pun akan menurunkan penumpang betul-betul di kawasan pintu masuk Bukit Bendera. Jadi tak ada masalah pengangkutan awam di sini. Naik bas dari jeti feri terus boleh mai Bukit Bendera ni.

Jadi tunggu apa lagi?

Berbekalkan semangat Ramdhan untuk berbuka puasa di Bukit Bendera, makan menjinjing la abang seorang diri dengan karipap sardin dua biji berserta air minuman yang dibeli sebelum ni di Bazar Ramadhan Kampung Melayu Air Itam untuk dibawa ke atas.

Dari Bazar Ramadhan Kampung Melayu Air Itam, abang terus ke Bukit Bendera. Tak jauh mana pun.

Pintu masuk Bukit Bendera yang tersergam indah.

Lengang dan sunyi sepi Bukit Bendera.
Tempat pembelian tiket tren Bukit Bendera. Nampak apa yang pelik? Ya, nampak lengang kerana hari abang pergi ni hari waktu bekerja biasa.

Ada sebahagian kawasan perkarangan Bukit Bendera masih dalam proses baikpulih. 

Abang sampai di Bukit Bendera pun dah pukul 6.30 petang. Saja abang lambat-lambat sikit naik tren ni sementara menunggu pukul 7.00 malam.

Kenapa tunggu pukul 7.00? Awat tak naik tren awal sikit?

Elok abang sampai, tren pukul 6.30 dah berlepas naik. Tapi elok jugaklah macam tu.

Untuk pengetahuan, harga tiket tren Bukit Bendera adalah sebanyak RM 10.00 untuk seorang dewasa warganegara Malaysia. Hangpa mai la hari apa pun harga ini tetap sama, seperti mana abang pernah naik masa trip Backpacking Bajet Penang tahun 2015 lepas.

Tapi, tapi, tapi kan,

Berita baiknya ada diskaun harga tiket tren Bukit Bendera ni !

Nak murah kenalah bersayarat. Syarat-syaratnya adalah :
  • Bermula jam 6.30 pagi hingga 9.00 pagi
  • Bermula jam 7.00 malam hingga 10.30 malam
Harga tiket tren Bukit Bendera yang RM 10.00 tadi tu dah jadi RM 3.00 pada waktu-waktu yang abang sebutkan di atas. Abang pun dapat harga promosi RM 3.00 tu untuk perjalanan pergi/balik sekali. Dia tak jual tiket asing-asing.

Promosi yang abang cerita ni berlangsung setiap hari untuk semua kategori peringkat umur kecuali pada waktu cuti sekolah.

Sebelum tu abang cuba riki-riki nak beli tiket awal sebelum pukul 7.00 malam kot-kot boleh dapat murah jugak ka. Rupanya lepas jam 7.00 malam baru automatik kadar harga tiket tren Bukit Bendera ni akan berubah.

Duduk melengung abang sekejap sementara menunggu pukul 7.00 malam. Sementara tu abang buat sesi ramah mesra dengan mana-mana makcik yang dok melepak dekat bawah tu.

Cukup pukul 7.00 malam, abang terus ke kaunter tiket. Masa abang nak beli tiket naik, hakak yang jaga kaunter tiket tanya abang,

"Sorang ka dik?"
"Ya, sorang ja kak"

Atas bawah atas bawah hakak tu pandang abang. Abang syak hakak tu dok pikir 'loser' gila brader ni jalan sorang-sorang

"Nak naik buka puasa dekat atas ka adik?"
"Ya kak"
"Beli makanan siap-siap dik, dekat atas sana tak ada bazar orang jual makanan"
"Ya kak"

Bersungguh sekali akak ni pesan dekat abang bab makanan. Takut abang pengsan kebuluran tak cukup makanan dekat atas ke apa.


Sistem tiket tren Bukit bendera sekarang guna kaedah ala-ala Touch & Go.

Tren dari atas yang baru tiba. Penumpang berasak-asak tak mau kalah nak turun.

Geng hindustani yang tak sabar-sabar naik tren Penang Hill.
Walaupun tren dah sampai, bila pagar dibuka baru boleh naik. 
Pemeriksaan ringkas tren Bukit Bendera oleh kakitangan yang bertugas.

Peta panduan Bukit Bendera yang menjadi tatapan pengunjng sementara menunggu ketibaan tren.

Segerombolan pelancong luar sedang beratur panjang menunggu giliran nak naik tren Bukit Bendera.

Pelancong-pelancong luar tadi naik tren Bukit Bendera sekali dalam satu gerabak dengan abang. Bukan main teruja semua.

Tren abang yang ditunggu-tunggu tiba akhirnya di bawah. Abang ingatkan lepas beli tiket boleh terus naik walaupun tren dah ada. Rupanya tren ni akan bergerak naik pada pukul 7.30 malam !

Punah la harapan nak feeling-feeling buka puasa kat atas Bukit Bendera sana. Abang dok agak buka puasa dalam tren la gamaknya.

Pada hari-hari bekerja biasa, penumpang terpaksa menunggu tren oleh setiap sejam sekali baru dia akan bertolak. Lepas pukul 6.30 petang, tren seterusnya akan bertolak naik pukul 7.30 malam pulak.

Kalau hujung minggu tak adanya macam ni. Asal penuh ja jalan. Nak menjimatkan kos operasi la katakan di hari biasa ni.

Abang rasa abang sorang je Melayu yang naik Bukit Bendera pada waktu tu. Pukul 6.30 sebelum tu abang ada nampak la awek-awek hipster dan geng-geng couple menjinjing plastik bazar masing-masing naik tren. Nak berkelah sambil beriftor di atas la katakan.

Dalam gerabak abang penuh dengan segerombolan pelancong luar dari Taiwan kalau tak silap. Mula-mula tu abang ingat tak ada orang la nak naik tren ni. Yang ada pun beberapa kerat ja. Tiba-tiba berderet-deret geng ni turun dari bas pelancong. Ada pemandu pelancong yang bawa, siap kibar bendera.

Tren Bukit Bendera ni walaupun nampak mencanak naik tapi makan masa lebih kurang 10 minit ja. Laju betul tren eletrik sekarang ni berbanding tren lama yang warna merah tu.

Elok abang sampai dan jejak kaki di puncak Bukit Bendera, azan Maghrib berkumandang menandakan masuknya waktu berbuka puasa bagi kawasan Bukit Bendera dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya.

Apa lagi, buka puasa la abang dekat atas tu dengan karipap yang abang beli sebelum tu di Bazar Ramadhan Air Itam. Alhamdulillah, cukuplah karipap dua biji dengan air botol sebotol. Pemandangn pulak cukup lawa dari atas Bukit Bendera ni.


Elok abang sampai puncak Bukit Bendera, azan Maghrib berkumandang. Terus abang buka puasa dengan pemandangan sebegini.

Sedang pelancong lain sibuk dengan kamera masing-masing ambik gambar, abang pulak sibuk beriftar dengan karipap yang abang bawa.

Waktu Maghrib di Puncak Bukit Bendera 3 minit lewat berbanding dengan kawasan lain di Pulau Pinang.

Geng-geng pakcik pelancong luar sibuk merakamkan gambar pemandangan Pulau Pinang dari puncak Bukit Bendera.

Masjid Bukit Bendera di waktu malam. Awat gelap semacam? Depa ni tak buka lampu !

Dah siap-siap makan, abang terus cari Masjid Bukit Bendera. Di atas ni ada sebuah ja masjid. Berhampiran dengan kuil. Kalau dengar azan tu dari sinilah puncanya.

Selalu dok mai waktu siang, tak pernah pulau tinjau masjid ni di sebelah malam. Ekspektasi abang kot la nampak gah waktu malam Masjid Bukit Bendera  ni dengan kubah emas dia, tapi bila abang sampai, masjid ni nampak pudar & kusam !

Mana menghilangnya semangat Ramadhan ni?

Ekspektasi abang yang lain kot ada la majlis iftar ka dekat Masjid Bukit Bendera ni. Tapi sampai-sampai sunyi sepi. Mana pergi semua orang ni?

Elok abang melilau kawasan masjid, tok imam dan tok siak keluar dari sebuah rumah berhampiran masjid. Depa baru lepas buka puasa rupanya bersama dengan pekerja-pekerja Bangladesh yang duduk di puncak Bukit Bendera ni.

"Dah buka puasa ka?"
"Dah, dah tadi"

Tanya tok imam kat abang. Padahal kalau dapat pekena nasi sedap jugak nih. Hihi.

Solat Maghrib di Masjid Bukit Bendera walaupun pun pada bulan puasa yang ada hanya beberapa orang. Perkiraan abang sekali tok imam ada la 7 orang jemaah. Satu saf pun tak penuh. Setengah darinya adalah pekerja Bangla yang bekerja di atas tu.

Abang ingat nak solat terawih sekali, tapi takut tak sempat pulak nak turun. Lepas solat Isyak, abang terus turun cari tren balik. Tren terakhir dari Bukit Bendera turun ke bawah adalah pada pukul 10.30 malam. 

Abang cari tren yang pukul 9.30 malam untuk turun. Tak dapat turun kena bermalam kat atas ni lah gayanya. Nak turun ikut jalan hutan boleh, tapi sanggupkah tengah-tengah malam gelap gelita ni?

Layan jugak lepak tengok pemandangan malam dari puncak Bukit Bendera ni. Cuaca pun jatuh ke tahap yang mana anda boleh menggigil waktu malam ni. Menusuk ke tulang sum-sum.


Bahagian dalaman Masjid Bukit Bendera.

Jemaah sembahyang Maghrib ada la 7 orang di Masjid Bukit Bendera ni sekali dengan abang dan tok imam.

Lepak luar masjid sat ambik angin sejuk Bukit Bendera lepas solat Maghrib

Kedai apa pun dah tak bukak dah malam-malam macam ni di Bukit Bendera.

Add caption

Masjid Bukit Bendera di malam hari.

Masjid Bukit Bendera a.k.a Penang Hill Mosque yang diasaskan pada tahun 1966 lagi.

Tabung masjid.

Masjid Bukit Bendera mengalami pengubahsuaian drastik baru-baru ni.

Turun balik dari masjid cari jalan balik ke keretapi Bukit Bendera.

Pemandangan dari kawasan Masjid Bukit Bendera.

Pukul 9.00 malam atas Bukit Bendera ni bukan ada orang dah. Sunyi sepi.

Jalan sensorang mencari haluan pulang. Siang-siang meriah la kawaan dataran Bukit Bendera ni.

Pemandangan malam hari di puncak Bukit Bendera.

Kerlipan lampu menerangi bandaraya Pulau Pinang dan Seberang Perai. Kelihatan juga jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang.

Pengunjung tidak melepaskan peluang melihat pemandangan malam yang memukau dari puncak Bukit Bendera.

Elok abang sampai nak beratur sekali, keretapi pun dah ada. Pengunjung Bukit Bendera lain tengah setia menunggu pintu pagar dibuka.

Ah sudah. Geng ni dari waktu nak naik sampai nak turun balik bajet romantik je. Pelancong luar ala-ala hindustani ni.

Tren Bukit Bendera akan melalui  'Middle Stesen' atau stesen tengah yang terletak di antara puncak dan kaki bukit.
Papan tanda Penang Hill menerangi kawasan sekitar di malam hari

Parking bertingkat Bukit Bendera. Bas Rapid Penang tersedia menunggu penumpang.

Abang sampai turun ke bawah pun dah lebih kurang pukul 10.00 malam. Dari atas tadi tren bertolak turun pukul 9.30 malam. Sampai bawah terus rasa hangat. Tadi kemain sejuk dok atas Bukit Bendera.

Ambik motor yang diparkir tadi terus menghala pulang. Nak balik seberang abang lebih suka naik feri kalau dah ada dekat-dekat bandar Georgetown. Jimat sikit duit minyak. Pada masa yang sama boleh rilek-rilek ambik angin laut. Dah cemuih hadap Jambatan Pulau Pinang tu hari-hari.

Feri Pulau Pinang sekarang ni tak seperti dulu perkhidmatannya. Dengan kewujudan jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang, perkhidmatan feri semakin dilupakan. Yang lecehnya nak naik feri ni kena tunggu. Kadang-kadang sampai 45 minit baru feri sampai. 

Yang nak cepat dah tentu dah tak naik feri. Lebih baik ikut jambatan walaupun jauh sikit. Yang naik feri ni selalunya pakcik-pakcik pencen dan orang-orang yang sabar. Mana taknya nak tunggu tu pun satu hal.


Suasana di dalam feri trip terakhir dari Georgetown ke Butterworth pada jam 12.30 malam.

Syahdu layan perasaan naik feri lebih-lebih lagi tengah malam bulan Ramadhan. Kena pulak bila pasang lagu raya.

Pukul 12.30 malam tak ada kereta dah pun nak naik feri. Ruang kosong berlambak. Motor mendominasi keadaan.

Alhamdulillah, Rezeki bulan puasa. Dah 3 malam berturut-turut abang naik feri tepat pada waktunya. Asal abang sampai ja elok-elok feri dah sampai. 

Mengikut pemerhatian abang, kalau nak naik feri dari arah Georgetown balik ke Butterworth seeloknya pada jam 'setengah'. Maksud abang tunggu sebelum pukul 9.30 ke, 10.30 ke, 11.30 ke, janji dekat 'setengah' tu. 

Memang tu timing dia rupanya. Kalau hangpa sampai lepas tu, kena tunggu dekat-dekat sejam la jawabnya.

Feri terakhir mengikut abang pekerja feri yang abang temubual hari tu adalah pada pukul 12.30 tengah malam dari Georgetown ke Bagan. Ya, orang Penang sendiri panggil 'Bagan' tu sebagai Butterworth.

Kalau dari Bagan ke Georgetown pulak feri terakhir pada pukul 12.00 malam. Kalau hangpa nak tunggu naik feri tunggu waktu jam genap dari Butterworth. Tu kisah dia.

Mengimbau nostalgia betul naik feri Pulau Pinang ni. Dulu kecik-kecik orang tua selalu bawa ronda Penang dan tiap-tiap kali jalan Penang tak akan ikut jambatan Pulau Pinang. Naik feri menjadi menjadi salah satu aktitiviti wajib.

Sampai la sekarang. Sorang-sorang pun masih layan lagi naik feri. Moga-moga bertemu jodoh dengan marka-marka orang Penang. Doa-doakan. Huhu.

Tamat kisah ceritara cinta ronda pi Bazar Ramdhan & berbuka puasa di Bukit Bendera.

*Gambar dirakam sepenuhnya menggunakan SJCAM SJ4000 Wifi & Lenovo A7000 Plus
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...