Iklan

18 Disember 2015

Backpacking Bajet Penang | Street Art, Padang Kota Lama & Nasi Kandar Beratur

Sambungan dari Backpacking Bajet Penang | Taman Negara Pulau Pinang & Jeti Nelayan Teluk Bahang


السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu
Peace be upon you


Selepas abang check-out dari Mutiara Ferringhi Hotel, abang tak naik bas Rapid Penang lagi untuk balik ke Georgetown sebaliknya abang dan adik abang mencari kedai makan di kawasan berhampiran hotel. Dekat-dekat hotel abang duduk ni ada deretan warung dan gerai. Sebelah kedai Mady Char Kuey Teow tempat abang melepak semalam, abang tengok ada gerai yang menjual nasi campur. 

Ini sudah cukup baik. Tunggu apa lagi, mai kita terjah makan dulu !

Baru abang ingat nama kedai makan ni namanya 'Nasi Campur Ummi'. Tak,tak. Tak payah menyanyi pun lagu 'Ummi' nak masuk kedai ni. Ada bermacam jenis lauk-pauk yang ada di kedai ni. Antara lauknya adalah seperti asam pedas ada, masak lemak ada, gulai ada, kerabu mangga ada. Tokey dia pun seorang yang berstatus makcik. Mesra pun mesra. Bahkan orang cina Penang pun ramai yang mai makan kat sini.

Dekat mana kedai Nasi Campur Ummi ni kalau sebetulnya?

Kalau hangpa nampak KFC dekat Petronas Batu Ferringhi, kedai dia betul-betul depan KFC tu di tepi jalan besar. Kedai 'Nasi Campur Ummi' ni baru abang tahu popular bila ternampak keratan akhbar yang tersemat rapi di dalam frame yang digantung di kedainya. Balik Google baru abang tau.

Sedap memang sedap. Popular punya pasai nasi putih, ayam goreng berempah dengan kerabu mangga sikit kena dekat RM 10.00 seorang.

Lepas Zuhur baru kami tunggu bas Rapid Penang di hadapan Petronas Batu Ferringhi. Bas dari Teluk Bahang bernombor 101 akan melalui kawasan Batu Ferringhi ni untuk ke Georgetown atau pun Jeti.


Bas Rapid Penang bernombor 101 laluan Jeti-Teluk Bahang akan melalui kawasan peranginan Batu Ferringhi.

Abang drebar bas layan 'kona' Batu Ferringhi. Tambang dari Batu Ferringhi ke Jeti adalah sebanyak RM 2.70 seorang.

Tambang bas Rapid Penang dari Batu Ferringhi ke Jeti adalah sebanyak RM 2.70. Masa kami naik, ada beberapa orang penumpang ja waktu tu. Semakin menghampiri bandar Georgetown, semakin ramai penumpang. Sampai berhimpit-himpit kena berdiri di dalam bas. Lebih kurang 45 minit jugak baru kami sampai di Jeti.

Nak pi lepak Padang Kota Lama pun panas lit lat lit lat lagi nih. Kami ambik keputusan nak berjalan meronda tengok Penang Street Art dulu. Jadi kami menapak berjalan kaki ke Lebuh Armenian yang tak jauh dari Jeti. Dekat-dekat pun dengan galas bag tengah cuaca panas terik ni, berpeluh jugak ketiak.

Kalau tak larat berjalan kaki, ada juga perkhidmatan sewaan basikal untuk pengunjung pusing tengok Penang Street Art. Penang Street Art ni ada bermacam jenis dan terletak di lain-lain tempat. Tapi bagi mereka yang tak cukup masa nak jelajah semua tempat, boleh ja cari dulu Lebuh Armenian. Di situ pun dah boleh tengok hasil seni air tangan Ernest Zacharevic yang cukup popular di Georgetown ni.


Sebenarnya Penang Street Art boleh dibahagikan kepada beberapa kategori :

  • Hasil kerja Ernest Zacharevic - Ada banyak hasil kerja mural dinding brader ni di Penang. Contoh yang popular adalah mural 'Two Kids on Bicycle' yang terletak di Lebuh Armenian. Datang cuti hujung minggu siap la hangpa beratur ambik nombor giliran. Sampai ranap basikal tu dengan gelagat & ragam pengunjung yang macam-macam.
  • Arca besi 'Marking Georgetown' - Terdapat  52 buah arca besi berbentuk karikatur di sekitar bandar Geogetown. Arca-arca ini diletak di sudut-sudut ikonik di sekitar Georgetown dan menggambarkan penceritaan tentang kehidupan masyarakat tempatan dan asal nama jalan di mana ia diletakkan. Hangpa mesti perasaan arca ni.
  • Mural 101 Lost Kitten - Koleksi 12 lukisan mural dinding berkenaan dengan kucing-kucing jalanan yang terbiar oleh artis Thai, Natthapon Muangkliang and artis Malaysia Louise Low and Tang Yeok Khang.


Jalan kaki dari jeti ke Lebuh Armenian.

Perkhidmatan sewaan basikal untung pengunjung di Lebuh Armenian.

Hangpa nak jenis basikal macam mana pun ada. Ronda la pusing Georgetown tengok Street Art.

Tak ingat pulak nama apa bangunan ni di Gat Lebuh Armenian. Ada lukisan mural dinding di celahan lorong depan tu.

Beratur ambik nombor la hangpa nak ambik gambar kat hasil seni jalanan atau 'street art' di Penang ni waktu hujung minggu.

Kami tak ronda jauh. Dekat-dekat tempat sewa basikal tadi ni ja.

Abang pun tak tahu semua lokasi 'street art' yang ada di Georgetown ni, ikut-ikut orang ja. Mana lorong depa masuk, abang ikut.

Jalan depan lagi baru jumpa Lebuh Armenia atau juga dikenali dengan nama Armenian Street.

Penampakan arca 'Marking Georgetown' di Gat Lebuh Armenian.

Kami tak ronda lama cari 'street art' di Lebuh Armenian. Kami seterusnya ke Jetty Chew iaiatu sebuah perkampungan di atas laut yang terletak tak jauh dari Lebuh Armenian dan beberapa ratus meter sahaja dari Terminal Feri Georgetown. 

Sebenarnya abang dah pernah sampai sekali Jetty Chew ni dengan basikal tak lama dulu, tapi ni saja abang bawa adik abang pulak melawat. Malangnya, Jetty Chew pada hari tersebut ditutup atas kerja-kerja membaik pulih. Kesian hang dik. Lain kalilah pulak kita pi.

Di Penang dengan cuaca panas iklim Khatulistiwa sebegini, jangan terkejut tengok mat dan minah saleh dengan cara berpakaian 'santai' mereka. Sekali nampak rezeki, dua kali nampak dah jatuh dosa. Tundukkan pandangan. Baca astaghfirullah banyak-banyak. Haha.

Kami terus terminal bas Weld Quay yang terletak bersebelahan dengan terminal feri untuk menaiki bas ke Padang Kota Lama. Sudah semestinya kami naik bas percuma CAT (Central Area Transit). Gunakan sepenuhnya kemudahan yang ada.


Terminal bas Weld Quay atau Pengkalan Weld. Bas Rapid Penang menurunkan dan mengambil penumpang di sini.

Bas percuma CAT Penang. Tengok tertulis 'Free Shuttle' itulah dia.

Senang naik bas CAT Penang ni. Toksah risau nak parking kereta kat mana dalam bandar Gorgetown ni.

Untuk berhenti di Padang Kota Lama dengan menaiki bas percuma CAT Penang dari Terminal Bas Weld Quay, kita boleh turun sama ada di hentian nombor 5 iaitu Bank Negara atau pun di hentian nombor 17 iaitu Dewan Sri Pinang. 

Kami terlajak duduk dalam bas dan tak turun di hentian Bank Negara yang berdekatan dengan Padang Kota Lama. Maka bas akan pusing Komtar dulu ambik penumpang sebelum melalui jalan yang sama untuk kembali semula ke jeti. Jadi kami turun di Hentian Dewan Sri Pinang.

Elok-elok sampai di kawasan Esplanade atau Padang Kota Lama, cuaca bertukar redup tanda-tanda nak hujan. Angin bukan main kuat. Abang ingatkan boleh la terbangkan drone dulu sat. Dengan cuaca macam ni hasrat tersebut terpaksa dibatalkan.

Tak sempat nak cari Mee Sotong Pata ke apa kat Padang Kota Lama ni. Langit mulai gelap. Orang yang duduk melepak semua dah lari cari tempat berlindung. Tengok gaya macam nak hujan lebat. Rintik-rintik hujan dah mula terasa.

Replika kapal di Fort Conwallis berhampiran Padang Kota Lama.

Awan berarak mendung tanda hujan akan membasahi Padang Kota Lama.

Ombak menghempas batuan di pesisir pantai Padang Kota Lama.

Kalau cuaca baik dan tak hujan, ramai yang dok melepak di Padang Kota Lama petang-petang ni.

Arah Seberang Perai dah gelap.

Angin bertiup kencang di Padang Kota Lama. Tengok pelepah pokok tu. Kuat tak kuat.

Geng memancing Padang Kota masih setia menunggu dengan jorannya.

Orang ramai dah lari cari tempat berlindung kot-kot hujan sat lagi.

Geng-geng akak ni masih tak berganjak dari tempat duduk menikmati pemandangan indah lautan dari Padang Kota Lama.

Tunggu hujan turun, tak turun-turun pun. Ingat nak bawak drone terbang di Padang Kota Lama ni, tapi angin pulak kuat.

Nak duduk bawah pokok jaga-jaga, burung banyak berak dari atas.

Inisiatif laluan berbasikal di Pulau Pinang.

Bangunan Dewan Bandaran atau juga dikenali dengan nama Town Hall berhampiran Padang Kota Lama.

Surau Bandaraya MBPP yang terletak di belakang Town Hall.

Surau yang baru dibina Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Yang mencari tempat solat atau surau di sekitar Padang Kota Lama boleh ke sini.

Hujan acah-acah nak lebat tapi tak lebat mana pun. Sementara duduk berteduh ni kami tercari-cari surau di kawasan sekitar Padang Kota Lama ni. Nak solat jamak dulu. Kalau dulu nak solat jenuh jugak nak cari surau di kawasan ni. 

Tapi abang tengok sekarang ada sebuah surau yang baru didirikan Majlis Bandaraya Pulau Pinang di belakang Town Hall. Pengunjung muslim boleh la cari surau ni untuk solat lain kali. Hangpa nampak bangunan Town Hall yang berwarna kuning tu, surau ni betul-betul ada di belakangnya.

Bila hujan dah reda, kami keluaq balik lepak tepi laut di Padang Kota Lama. Lepas hujan suasana jadi sunyi dan suram sikit. Pi ronda kawasan medan selera kot-kot jumpa apa yang kena dengan selera, tapi tak nampak apa yang menarik pun.

Waktu pun dah nak senja. Pikir-pikir balik baik kami pi Masjid Kapitan Keling. Boleh pekena Nasi Kandar Beratur lepas waktu Maghrib sat lagi. Dok Penang dah dua hari tapi jamah nasi kandaq lagi nih !

Hujan baru reda sikit di Padang Kota Lama.

Waktu Maghrib di Masjid Kapitan Keling.

Masjid Kapitan Keling dengan konsep senibina Mongul.

Ruang solat Masjid Kapitan Keling. Masjid ni yang ada hanya tiang-tiang batu yang besar dan tiada dinding.

Kolah tempat berwuduk di Masjid Kapitan Keling.

Jemaah memenuhi saf solat Maghrib di Masjid Kapitan Keling.

Ada tazkirah lepas Maghrib. Tapi dalam bahasa dia.

Selesai solat Maghrib di Masjid Kapitan Keling, kami terus terjah Nasi Kandar Beratur yang betul-betul terletak bersebelahan masjid. Oleh kerana Nasi Kandar Beratur ni terletak di tepi masjid, ada jugak orang panggil Nasi Kandar Masjid.

Masa kami mai tak payah beratur panjang pun. Mungkin juga dengan keadaan cuaca yang hujan rintik-rintik waktu tu. Ada la 2-3 orang pelanggan tengah beratur pilih lauk. Kami pun masuk beratur la sekali. Nama pun Nasi Kandar Beratur.

Papan tanda tulis operasi bermula jam 10.00 malam. Tapi petang tadi masa abang naik bas abang tengok kedai Nasi Kandar Beratur ni dah bukak dah. Meja payung semua dah ada depan kedai. Siap ada orang dok makan lagi.

Selama dok pi ronda Penang, ni pertama kali abang pekena Nasi Kandar Beratur ni. Dulu-dulu dok pekena Nasi Kandar 'Line Clear' di Jalan Penang, tak pun nasi kandar di Restoran Hameediyah. Tapi sejak dah tukar pengurusan ni, orang kata Nasi Kandar 'Line Clear' dah kurang 'kaw' tak macam dulu.

Bacaan lain : Jalan Makan Jalan Makan Edisi Penang : Makan Apa & Di Mana?


Nasi Kandar Beratur yang terletak bersebelahan dengan Masjid Kapitan Keling.

Tengah-tengah beratur tunggu giliran di Nasi kandar Beratur ni, siap-siap la pikir nak lauk apa.

Percayakah anda, ada perbezaan rasa kalau kita sendiri yang cedok kuah dan mamak yang cedok campuq kuah nasi kandar ? Kalau kita cedok sendiri tak berapa nak jadi dan sedap.

Hujan-hujan ni baru 'chara' pekena Nasi Kandar Beratur.

Nasi, ayam goreng dengan sayuq kubis sikit. Kuah campur. RM 6.50.

Pemandangan indah Masjid Kapitan Keling di sebelah gerai Nasi Kandar Beratur.

Hujan-hujan ni orang tak berapa nak ada.

Bagi abang, harga yang dikenakan Nasi Kandar Beratur ni berbaloi dengan apa yang dimakan. Abang ambik nasi, ayam goreng, sayur kubis dan kuah campuq baru kena RM 6.50. Harga standard la tu. Jangan hangpa dok pi tambah udang, sotong bagai. Boleh tengok macam mana harga dia.

Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati. Tengok perut memang dah sedia gendut pun. Dah kenyang ni mulalah rasa malas nak bangkit berjalan. Nak tak nak kena bergerak jugak. Masa bercuti dah tamat. Kena balik Kuala Lumpur malam tu.

Kami kena balik semula ke jeti untuk naik feri ke Butterworth. Buat apa pi Butterworth? Nak kena cari bas balik Kuala Lumpur. Tiket tak beli apa pun lagi. Tengok mana yang ada nanti.

Naik la semula bas percuma CAT Penang ke jeti dalam hujan rintik-rintik tu. Nak pi bukan main seronok. Waktu nak balik ni rasa malas ja.


Tunggu bas percuma CAT Penang di Little India untuk ke Jeti.

Dalam pukul 9.00 malam jugak baru kami sampai di Terminal Bas Weld Quay a.k.a Jeti. Waktu nak naik feri ke Butterworth, penumpang dah tak perlu bayar tambang feri sebanyak RM1.20 macam waktu kita naik dulu. Percuma ja. Mungkin dia dah kira sekali kot. Sama jugak untuk kenderaan pun. Sama ada ikut naik feri atau jambatan. Tak perlu bayar apa-apa dah. Tol atau bayaran hanya akan dikutip di tanah besar sahaja.

Waktu operasi perkhidmatan feri Butterworth-Georgetown bermula seawal jam 5.30 pagi hingga 12.00 tengah malam. Bagi yang nak balik ke Butterworth, jangan risau akan sentiasa ada perkhidmatan feri ke sana. Bagi penumpang yang berjalan kaki, disediakan kawasan menunggu yang siap dengan bangku dan wifi percuma. Sementara tunggu tu, boleh lepak kemaskini status Facebook dulu.

Yang abang perasaan, jarang sekali nak nampak orang kita orang Malaysia naik feri berjalan kaki waktu cuti-cuti begini. Tak dinafikan waktu hari bekerja biasa ramai jugak yang berulang-alik pi kerja dari tanah besar ke pulau. Orang Malaysia lebih selesa berkereta atau bermotosikal untuk bergerak. Yang tinggal hanya penumpang warga asing yang menggunakan perkhidmatan feri ni.

Waktu kekerapan feri pun agak lama pada waktu malam macam ni, sekitar dalam 30-45 minit. Mungkin hanya ada dua buah feri yang berulang-alik waktu macam ni. Kalau bagi mereka yang ada kenderaan dan nak cepat, depa dah tak naik feri. Baik ikut Jambatan Pulau Pinang cepat sikit.

Tunggu feri untuk ke Terminal bas Penang Sentral di Butterworth

Kawasan menunggu untuk penumpang feri. Kalau malam macam ni feri lambat sikit.

Orang asing yang banyak naik feri. Orang kita ada jugak, tapi banyak yang naik kereta dan motor.

Feri meninggalkan Terminal Raja Tun Uda untuk ke Butterworth.

Sampai di Butterworth, abang terus bergegas ke kaunter tiket bas di Terminal Penang Sentral. Nak tanya ada tak lagi tiket bas ke Kuala Lumpur. Jawapan dari kaunter tiket kebanyakannya mengecewakan. Semua dah habis. Yang tinggal hanya ulat-ulat tiket yang berkeliaran bertanayakan destinasi penumpang.

Nak tak nak abang beli tiket dari salah seorang ulat tiket yang bertaraf makcik. Tiket bas Butterworth ke Kuala lumpur berharga RM 38.00. Bas yang ada pun pukul 11.30 malam, tak ada yang lagi awal dari tu. Bas pun nama apa-apa entah. Kata dia lagi nanti pukul 11.00 cari dia balik, dia nak bagitahu nombor plat bas dan platform mana kena tunggu.

Dengan masa yang masih berbaki hampir 2 jam ni, abang pun tak tahu mana nak tuju. Abang pi lepak di Stesen KTM Butterworth dulu awal-awal tu. Saja la tengok suasana malam di stesen keretapi sambil guna tandas dia. Stesen keretapi baru, tandas pun mestilah cun !

Kemudian abang berpindah pulak pekena teh tarik di medan selera yang ada dekat-dekat Terminal bas Penang Sentral. Ahad malam Isnin dengan cuti berturutan sempena perayaan Deepavali ni orang bukan main ramai. Pikir balik silap tak beli tiket awal hari tu.

Bas janji pukul 11.30 malam, tapi pukul 12.30 tengah malam baru sampai. Itu pun bas ekspress tambahan. Yang syonya semua hampir kebanyakan penumpang dalam bas tu adalah warganegara Bangla, Myammar dan Indonesia. Tersengih abang.

Lepak Stesen Keretapi Butterworth dulu sementara tunggu bas sampai.

Pekena teh tarik dulu di medan selera berhampiran Terminal Bas Penang Sentral.

Sempena cuti hari Deepavali beberapa hari sebelum tu, banyak orang yang bercuti panjang. Stesen bas sesak dengan orang-ramai.

Tunggu bas ekspress ke Kuala Lumpur yang tak kunjung-kunjung tiba. Janji pukul 11.30 malam, pukul 12.30 tengah malam baru sampai. Tu pun bas tambahan.

Selamat tiba di Hentian Bas Jalan Duta sebelum Subuh.

Tengah syok layan tidoq, abang dengaq bunyi bising-bising. Rupanya dah sampai dah Kuala Lumpur dah. Nasib baik brader Myammar yang duduk sebelah abang kejut.

Kami selamat sampai di Hentian Bas Jalan Duta jam 5.00 pagi. Bas seterusnya bergerak ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk menurunkan penumpang-penumpang lain. Elok pekena Nescafe tarik dulu bagi cerah biji mata sikit sebelum solat Subuh dekat sana.

Itulah sahaja kisah penegembaraan backpacking 2 hari 3 malam kami ke pulau mutiara Pulau Pinang. Dua malam bermalam di atas bas dan semalam di hotel bajet. Mungkin nampak agak sedikit lekeh dan sedikit terkejar-kejar, tapi hanya masa banyak ni ja yang kami ada.

Untuk penutup, abang tinggalkan video yang abang sempat rakamkan sepanjang perjalanan pengembaraan kami di Penang. Abang tak pandai buat video dengan letak lagu. Mohon jangan kecam.


Bajet keseluruhan untuk trip Backpacking bajet Penang ni tak sampai pun RM150 seorang termasuk kos pengangkutan, penginapan dan juga makanan. Kira kena dan boleh la tu. Dah nama pun trip bajet.

Untuk bajet keseluruhan kita cerita lain. Nanti abang buat catatan khusus bajet trip backpacking Penang ni. Boleh jugak rujuk catatan yang sedia ada sebelum ni kalau nak tengok harga tiket bas ka atau jugak tempat penginapan kami di Batu Ferringhi.

Sekian.

Backpacking Bajet Penang. Tamat.


P/s : Gambar banyak dirakam menggunakan SJCAM SJ4000 Wifi. Senang sikit guna kamera aksi ni berbanding telefon. Kalau tengok gambar macam 'wide angle' dan melengkung tu maknanya guna SJCAM SJ4000 Wifi la tu.


Catatan setiap bahagian Trip Backpacking Penang




12 Disember 2015

Backpacking Bajet Penang | Taman Negara Pulau Pinang & Jeti Nelayan Teluk Bahang

Sambungan dari Backpacking Bajet Penang | Mady Char Koey Teow & Pasar Malam Batu Ferringhi

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu
Peace be upon you


Hari ini merupakan hari kedua kami di Penang. Punya lena tidoq semalam oleh kerana keletihan. Liat sungguh nak bangun Subuh bila tiduq dalam air-cond ni rupanya. Rasa sayang nak bangkit awal pagi bila dok dalam hotel ni. Jatuh rugi pulak kalau bantai sambung tidoq tak tengok suasana pagi di Batu Ferringhi ni.

Pukul 8.00 pagi kami keluar dari Mutiara Ferringhi Hotel mencari sarapan pagi. Nak cari apa special pagi-pagi ni dekat sini tapi banyak kedai yang belum buka. Dekat-dekat Petronas situ kami tengok ada sorang adik jual nasi lemak bungkus. Nasi lemak bilis teluq. Sebungkus RM1.50. Lapaq punya pasai, abang pun beli la dua bungkus.

Nak makan di mana ni? Takkan nak lepak mamak lagi. Setiap hari pun di Kuala Lumpur lepak mamak. Kami pun ambik keputusan berjalan kaki ke tepi pantai untuk bersarapan. Ikut jalan ke pantai di celah-celah Lone Pine Hotel dan Golden Sands Resort.

Pantai yang kami tuju tu dinamakan 'Pantai Mas'. Ada sebuah tandas awam dekat-dekat situ. Di sepanjang lorong menuju ke pantai, ada berderet kedai-kedai minum. Tapi semuanya tak buka lagi. Ada la satu-dua kedai jual pelampung yang baru nak bukak.

Di pesisir pantai yang memutih, ada beberapa buah meja kayu atas pasir pantai. Untuk orang awam la kot. Kami terjah salah sebuah meja kayu yang ada di situ. Pagi-pagi ni tak ramai orang. Tengok meja cantik dan pemandangan pantai pun cun, apa lagi buka makan nasi lemak la !


Cukup sekadar sarapan ringkas nasi lemak bilis teluq tanpa ayaq.

Waktu pagi di Batu Ferringhi tidak semeriah waktu petang.

Bot nak tarik parasailing dah sampai.

Ambik angin pagi di pantai Batu Ferringhi.

Pasir pantai yang memutih. Ayaq laut Batu Feringhi tak berapa nak jernih.

Sambil-sambil lepak sarapan tu, sambil-sambil jugak abang terbangkan drone di pantai Batu Ferringhi ni. Tak ada orang mandi-manda di pantai lagi waktu ni. Air pun macam biasa la, keruh ja abang tengok. Yang ada pun hanya pasangan berbulan madu yang pegang selipar berjalan di gigi air. 

Pagi-pagi hujung minggu ni operator 'jet ski' dan 'parasailing' dah sibuk dah cari pelanggan. Hari minggu macam ni lah depa buat duit. Pukul 9.00 pagi dah ada dah orang main parasailing

" Bang, bang ! Bawa kak naik jet ski bang. Saya bagi murah ja "

Orang selalu ingat abang dan adik abang ni laki-bini. Abang tolak elok-elok ajakan operator jet ski tersebut. Kalau modal banyak, dah lama kami naik. Ni pun bajet ciput ja, hanya mampu tengok dulu dari jauh.

Oleh kerana tiket bas Hop On Hop Off Penang yang kami gunakan semalam masih lagi sah sehingga pukul 11.00 pagi, kami gunakan peluang ni untuk ke Taman Negara Pulau Pinang. Kami tunggu bas di depan Petronas Batu Ferringhi. Tak sampai setengah jam, bas HOHO Penang yang ditunggu-tunggu pun tiba.

Apakah ini yang dikatakan jodoh tak ke mana? 

Bas yang abang naik ni konduktor bas dia adalah awek Nia semalam! Bagi yang tak tahu siapa Nia ni, boleh baca catatan sebelum ni. Dia terkejut tengok abang dan abang lagi la terkejut tengok dia. Setakat ni dah 3 kali dah jumpa dia atas bas Hop On Hop Off Penang ni ! 

Tak boleh jadi ni, nak kena bawa jumpa mak abang jugak lepas ni !
*bunyi kompang



Bas Hop On Hop Off Penang yang abang naik penuh dengan geng lawatan !

Tingkat atas bas pun penuh, terpaksalah berdiri di tingkat bawah. Walaupun berdiri, selesa !

Bas Hop On Hop Off Penang melintasi Hard Rock Hotel Penang.

Bas Hop On Hop Off Penang menurunkan penumpang di pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang. Yang berbaju kuning itulah dia Nia, awek konduktor bas yang dimaksudkan.

Bukan main ramai yang turun di Taman Negara Pulau Pinang. Berapa orang ja yang tinggal dalam bas Hop On Hop Off Penang ni.

Acah-acah pelancong pulak turun di Taman Negara Pulau Pinang naik bas Hop On Hop Off Penang bersama mat-mat saleh. Hampir semua penumpang turun di sini. Tinggal tak berapa orang dalam bas tu. Bas berhenti sat dalam 5 minit sebelum menyambung perjalanan. Set masa siap-siap, bas Hop On HOp Off Penang yang seterusnya akan tiba dalam masa 30 minit.

Saja la abang buat-buat ramah tanya pada si Nia, kenapa semalam bertugas di laluan 'City', hari ni pulak di laluan 'Beach'. Kata dia konduktor bas Hop Hon Hop Off Penang memang setiap hari bertukar jadual dan tak bertugas di laluan yang sama tiap hari. Berselang-seli dan kena juga jaga kaunter tiket macam di hentian Chowrasta dan Gurney Drive. Betui jugak. Kalau tiap hari dok hadap benda sama mesti cemuih.

Eh eh terlajak ke cerita Nia. Berbalik pada cerita tadi. Kalau nak ke Taman Negara Pulau Pinang ni kita boleh jugak naik bas Rapid Penang bernombor 101 dari terminal bas jeti feri. Bas 101 ni kalau kita tengok tertulis 'Teluk Bahang' tu kira betul dah tu. Bas ni jugak akan melalui kawasan peranginan Batu Ferringhi. Jadi dari Batu Ferringhi nak ke Teluk Bahang pun boleh naik bas Rapid Penang 101 ni.

Untuk masuk ke kawasan Taman Negara Pulau Pinang, tiada sebarang bayaran yang dikenakan. Pengunjung hanya perlu mendaftarkan diri di kaunter yang disediakan Jabatan Perhilitan. Selalunya yang kena daftar ni untuk mereka yang nak hiking ke Pantai Kerachut atau pun Sungai Tukun. Macam abang yang nak lepak di luar ni, tak payah daftar pun tak apa.

Di sekitar pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang ni, ada beberapa buah pondok agensi pelancongan atau travel agent yang beroperasi. Mereka menyediakan perkhidmatan sewaan bot untuk ke Pantai Kerachut, Teluk Duyung (Monkey Beach), Teluk Kampi atau pantai-pantai yang berhampiran. Ada banyak juga pakej-pakej lain yang boleh dipilih seperti trip mengelilingi pulau, memancing dan BBQ.

Tahukah anda, Taman Negara Pulau Pinang merupakan taman negara yang terkecil di dunia dari segi saiz dan satu-satunya taman negara di Malaysia yang dikendalikan oleh kerajaan pusat? Tak tahu kan? Abang pun baru tahu info ni masa naik bas Hop On Hop Off Penang sebelum tu.

Di sebelah puintu masuk Taman Negara Pulau Pinang, terdapat sebuah jeti pendaratan ikan iaitu Jeti Nelayan Teluk Bahang. Oleh kerana kesuntukan masa, kami lepak di jeti ni ja tengok bot-bot nelayan berlabuh. Di sinilah hasil tangkapan laut didaratkan. Ada dua jeti, satu jeti kayu yang agak lama dan satu lagi jeti moden. Hangpa boleh ja nak jalan atas jeti ni sampai ke hujung.

Apa lagi, terbang drone dulu ambik gambaq !

Air laut surut waktu pukul 10.00 pagi ni di Jeti Nelayan Teluk Bahang.

Satu jeti kayu, dan satu lagi jeti moden. Hangpa boleh jalan sampai ke hujung tengah laut kalau berani.

Pemandangan Taman Negara Pulau Pinang dari Jeti Nelayan Teluk Bahang.

Jeti tempat bot-bot nelayan yang besar berlabuh dan tutunkan ikan.

Kalu nak naik bot ke Pantai Kerachut di Taman Negara Pulau Pinang, bot akan ambik penumpang di tepi pantai bersebelahan jeti nelayan Teluk Bahang inilah.

Masa kami tak banyak di Taman Negara Pulau Pinang dan Jeti Nelayan Teluk Bahang ni. Pukul 12.00 dah kena check-out dari hotel. Kalau tak, sampai ke petang boleh lepak sini.

Kami tunggu bas Hop On Hop Off Penang balik di hentian bas tempat dia turunkan penumpang tadi. Dah bajet masa dah tadi siap-siap, setengah jam ja boleh lepak. Kalau tak kena tunggu bas seterusnya pulak lagi setengah jam.

10 minit kami tunggu, baru bas sampai. Masa kami tunggu tak ada penumpang lain pun. Bila bas mai, berderu penumpang mai beratur naik bas sekali entah dari mana. Geng-geng untie baju pink tadi yang buat ramai.

Seterusnya kami naik bas untuk kembali semula ke hotel kami di Batu Ferringhi. Bas yang seterusnya ni konduktor dia orang lain, bukan Nia. Masa ni penumpang tak padat macam masa nak pi tadi. Bas Hop On Hop Off Penang ni akan habiskan hentian atau checkpoint dia dulu sebelum kembali ke Batu Ferringhi.

Dari Taman Negara Pulau Pinang, bas HOHO Penang ni akan bergerak menuju ke hentian Batik Craft dulu seterusnya ke taman cabaran ESCAPE Penang. Mana-mana penumpang bas yang nak turun boleh turun di hentian ini. Kena bagitahu drebar bas kalau nak turun.

Seterusnya bas akan bergerak menuju ke Taman Rimba Teluk Bahang sebagai hentian terakhir. Patut sebelum tu bas berhenti di Taman Rama-Rama (Butterfly Park) Penang tapi oleh kerana taman tersebut ditutup untuk kunjungan orang awam, maka bas akan terus ke Taman Rimba.


Bas HOHO Penang berhenti rehat sat 5 minit di Taman Rimba Teluk Bahang. Nak pi tandas ke apa semua boleh.

Orang pakat mai berkelah di Taman Rimba Teluk Bahang ni pada cuti hujung minggu.

Baru dapat peluang duduk di bahagian atas bas Hop On Hop Off Penang. Masa mai tadi penuh !

Dari Taman Rimba Teluk Bahang, bas Hop On Hop Off Penang laluan 'Beach' ni akan kembali melalui kawasan peranginan Batu Ferringhi dan seterusnya ke Gurney Drive untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Dia akan ikut laluan yang yang sama setiap masa.

Dengan masa dah hampir pukul 11.00 pagi, kami masih boleh naik bas Hop On Hop Off Penang ni. Sebenarnya bila hangpa dah naik dan duduk di atas bas ni, tak ada sapa dah yang nak periksa tiket hangpa. Duduk la dalam bas pusing sampai ke malam, takda sapa nak heran dan kesah. 

Jangan turun bas dan naik semula masa tiket dah nak expired, nanti mesti konduktor bas akan periksa tiket semula. Tak boleh la naik percuma. Bajet-bajet la masa anda.

*tiba-tiba ajaq jadi jahat.

Kami naik bas ni untuk kembali ke hotel kami yang terletak di Batu Ferringhi. Tiket promosi bas HOHO Penang RM 5.00 yang dibeli semalam digunakan sepenuhnya sehingga ke hari ni. Tak nak rugi sesen pun. Huhu.

Kenapa nak bazir duit naik bas Rapid Penang dengan tambang yang sat-sat RM 1.00, sat sat RM 2.00 bila anda ada pengangkutan yang lebih baik dan lebih murah bukan?


Bas Hop On Hop Off Penang layan 'kona' Teluk Bahang.

Hentian bas Hop Hon Hop Off Penang di Tropical Spice Garden masa nak balik Batu Ferringhi.

Pemandangan langit dan laut pulau Pinang yang membiru dari atas bas.

Beza naik kereta dan naik bas bila melalui pesisir pantai Batu Ferringhi.

Bayu laut Batu Ferringhi bertiup lembut. Tak ada adegan 'Baywatch' di pantai.

Melintasi rumah peranginan kerajaan negeri Pulau Pinang di Batu Ferringhi. Berjemur atas bas tengah matahari semakin meninggi.

Kami berhenti di hentian Golden Sands Resort depan Petronas untuk balik ke Mutiara Ferringhi Hotel. Dah pukul 11.00 lebih. Tak dan nak meronda mana lagi. Nak kemas-kemas beg dan bersiap lagi sebelum check-out pukul 12.00 tengahari.

Lepas ni dah tak boleh dah nak naik bas Hop On Hop Off Penang sebab tiket dah tamat tempoh. Nak balik pekan Georgetown kena naik bas Rapid Penang la sat lagi nih. Rancangan kami seterusnya nak lepak Padang Kota Lama petang ni.

Perut pun lapaq jugak. Takpa, sat lagi kena tengok nak makan apa. Abang nak perhati tengok dah tadi ada gerai dan warung jual nasi campuq dan nasi kandar di tepi Jalan Sungai Emas, luaq hotel kami ni. 

Hang sabaq sat, sabaq sat. Tunggu abang kemaih dulu.

5 minit sebelum pukul 12.00 tengahari, abang dapat satu panggilan telefon dari nombor yang tak dikenali.


" Hello, ya abang ! Bila mau check-out? Sudah dekat pukul 12.00 ! "

Suara disertai 'slang' ni memang abang cukup kenal. Receptionist hotel. Tak dan-dan.

Hang tak boleh tunggu sat ka? Belum pukul 12.00 lagi la woi !


P/s : Gambar banyak dirakam menggunakan SJCAM SJ4000 Wifi. Senang sikit guna kamera aksi ni berbanding telefon. Kalau tengok gambar macam 'wide angle' dan melengkung tu maknanya guna SJCAM SJ4000 Wifi la tu.


03 Disember 2015

Backpacking Bajet Penang | Mady Char Koey Teow & Pasar Malam Batu Ferringhi



السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu
Peace be upon you


Letih berjalan mengendong backpack dan berpanasan seharian di Pulau Pinang hari ni. Panas sungguh. Hujan tak turun langsung. Naik bas turun bas. Naik turun Bukit Bendera. Sampai jugak Batu Ferringhi.

Tempat makan mana kami dah cuba di Penang ni? Untuk hari ni dari pagi sampai ke petang baru sempat rasa Roti Bakar Transfer Road & Ais Kacang Penang Road. Nasi kandar tak dan nak sentuh lagi. Sibuk naik bas.

Dah alang-alang bermalam di Batu Ferringhi ni, meh cari tempat makan mana yang menarik di sini.

Nak dijadikan cerita, abang pernah terbaca perihal Penang Char Koey Teow yang sedap di Batu Ferringhi ni. Ada satu tempat depa kata wajib cuba. Nama dia "Mady Penang Char Koey Teow"

Mula-mula tu abang tak ambik kisah sangat. Petang tadi masa berjalan kaki turun dari bas Hop On Hop Off Penang untuk mencari hotel di sekitar kawasan Petronas Batu Ferringhi, abang terpandang satu kedai makan. 

Dalam deretan kedai-kedai makan di Jalan Sungai Emas ni, ada satu kedai makan yang abang perasan macam pernah dengaq nama dia.


"Mady Penang Char Koey Teow"


Ya Allah nak ! Kat sini rupanya kedai tu ! Tak sangka boleh jumpa depan mata. Ingatkan dok belah atas lagi, jalan ke Teluk Bahang nu ! Ni orang panggil rezeki. Cantik dah tu.

Begitulah kisahnya. Hotel bajet Mutiara Ferringhi yang kami duduk pun depan deret kedai makan ni ja. Yang syoknya kalau duduk sini turun-turun keluaq hotel ja boleh terus nampak berderet kedai makan.

Dalam pukul 8.00 malam, baru kami memulakan sesi keluaq cari makan. Haruslah pi jenguk Mady Penang Char Koey Teow dulu. Nak tengok macam mana rasa dia boleh pergi.

Lokasi Mady Penang Char Koey Teow menurut Google Maps.

GPS Koordinat : 5.475794, 100.252195




Inilah dia kedai Mady Penang Char Kuey Teow di Batu Feringghi.

Abang pesan Char Koey Teow Special. Ada teluq mata sebiji.

Kami dah nak gerak, baru ramai orang kat Mady Char Koey Teow ni.

Kesimpulannya ? 

Abang bagi rating 7.5/10 pada Mady Penang Char Koey Teow ni. Tak menyesal. Boleh cuba mai lagi lain kali.

Sepinggan char koey teow 'special' berharga RM 5.50. Kalau yang biasa punya sepinggan RM 4.00 dan yang besar hanya RM 4.50. Boleh la tu. Kena dengan bajet. Tempat lain kalau di Kuala Lumpur pun kurang-kurang yang biasa RM 5.00 sepinggan.

Selain char kuey teow, nasi goreng pun ada di sini. Tapi bukan semua jenis nasi goreng. Hanya nasi goreng tertentu saja yang ada. Contohnya macam nasi goreng ayam, nasi goreng udang dan nasi goreng cina. Kepakaran dia yang tu. 

Abang tengok orang lain order nasi goreng, mengancam jugak. Mujur char koey teow tadi dah mengembang di dalam perut. Ikut hati mati. Ikut rasa, binasa.

Dah pekena char koey teow tadi, agenda seterusnya bila mana berada di Batu Feringghi ni haruslah merayau dulu. Rugilah kalau naik hotel mereput di atas katil bertemankan penghawa dingin.

Aktiviti malam di Batu Ferringhi? Tak, bukan nak usya minah bermata biru tapi hanya sekadar buat-buat sibuk di Pasar Malam Batu Feringhi atau juga dipanggil 'Batu Feringhi Night Market'.


Batu Ferringhi mula meriah bila menjelang malam.

Kedai sewa motorsikal & skuter di Batu Ferringhi.

Suasana malam minggu di Batu Ferringhi.

Mula-mula tu dok riki dah Lazy Boys Budget Guesthouse ni. Dari jalan besar boleh nampak signboard ni.

Restoran Lebanon di Batu Ferringhi.

Beca ka kapal angkasa ni?

The Ship Batu Ferringhi.

Nak tempah suit? Boleh.

Kenderaan luar banyak yang mai Batu Ferringhi ni.

Rantai, cincin ke keronsang ke semua ada Pasar Malam Batu Ferringhi.

Deretan barang jualan di pasar Malam Batu Ferringhi.

Butang baju Melayu kot. Betulkan abang kalau silap.

Pengamen.

Tak larat jalan naik beca. Bukan di Melaka saja ada beca, Batu Ferringhi pun ada.

Baju-bajuan.

Seluar-seluaran.

Natang ni panggil apa pun abang pun tak pasti.

Hiasan dalam rumah kot.

Turut sama melayan budak kecik ni main belon.


Suasana Pasar Malam Batu Ferringhi ni lebih kurang sama seperti suasana Pantai Chenang di Langkawi dengan deretan kedai-kedai yang menjual souvenior atau cenderahati. Hangpa nak cari apa-apa barang seperti baju ke rantai buat kenang-kenangan boleh la cari di sini. Nama pun pasar malam mestilah beroperasi waktu malam ja setiap hari.

Nak rasa makanan Arab? Berlonggok kedai makanan Arab di kawasan Batu Ferringhi ni. Makanan Lubnanlah, nasi arablah dan segala macam lagi. Kalau masuk tu, kurang-kurang dompet kena tebal.

Kalau hangpa larat jalan bolehlah jalan dari hujung ke hujung. Selagi ada kedai jalanlah hangpa. Tak larat nak jalan boleh naik beca dengan radio dan lampu lip lap lip lap dia.

Jangan terlajak ke Teluk Bahang pulak. Kami tak pusing habis pun Pasar Malam Batu Ferringhi ni. Sekadar tengok-tengok cuci mata sahaja. Tak ada apa yang menarik sangat di mata abang. Barang yang dijual lebih kurang sama ja. 

Dah tak tahu nak kemana dah lepas ronda Pasar Malam Batu Ferringhi, kami saja cari jalan untuk ke pantai. Saja riki-riki jalan untuk ke pantai esok pagi. Dah sampai kawasan Batu Ferrnghi tapi tak jumpa lagi laut.

Ada banyak lorong boleh kita ikut kalau nak cari kawasan pantai. Pastikan anda tahu dulu mana arah kiblat. Baru boleh jumpa pantai. Senang cerita, pantai Batu Ferringhi ni akan berada di belakang hotel-hotel yang besar yang semestinya menghadap laut.

Kami cuba ikut lorong di celah-celah Lone Pine Resort dan Golden Sands Resort. Ada satu lorong menuju ke pantai. Sampai-sampai gelap gelita dan tak ada aktiviti di kawasan pantai malam hari.

Tapi dalam gelap-gelap tu, abang perasan ada orang tengah baring main telefon dalam gelap. Yang kedengan hanya ombak menghempas pantai. Cepat-cepat kami blah.

Kami kembali semula ke hotel lebih kurang pukul 11.00 malam jugak. Berlingkar dalam selimut sambil tengok slot Cerekarama di TV3 pun layan jugak. Tak dan setengah jam, abang dah pasang 'turbo' dulu. 

Kroh kroh kroh !


P/s : Gambar banyak dirakam menggunakan SJCAM SJ4000 Wifi. Senang sikit guna kamera aksi ni berbanding telefon. Kalau tengok gambar macam 'wide angle' dan melengkung tu maknanya guna SJCAM SJ4000 Wifi la tu.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...