Iklan

27 Februari 2014

Indochina 'Long Way Back' Overland Project | Part 2 : Mui Ne (Day 1)


السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.


Masih berkisarkan tentang Indochina 'Long Way Back' Overland Project. Sambungan kisah semalam di Saigon. Pagi ini kami bangun awal bersiap untuk menaiki bas ke Mui Ne. Bas dijadualkan berangkat jam 9 pagi berhampiran Jalan Pham Ngu Lao. Kalau ikutkan ada sarapan percuma yang akan disediakan oleh Ms Thu Guesthouse, tapi bila kami nak check-out dia takda. Kami tinggalkan kunci bilik di atas meja lobi guesthouse dan berlalu pergi. Tak sampai 5 minit terdengar suara sayup-sayup memanggil kami. Rupanya Ms Thu. Dia betul-betul tak ingat kami nak ke Mui Ne pagi tu. Kalut dia cari sarapan untuk kami. Dia belikan roti french crossant yang banyak terdapat di sekitar Vietnam ni buat bekal sarapan kami dalam bas. Memang terbaik layanan dia. Sangat disyorkan untuk menginap di sini.

Kami menaiki bas yang dijanjikan dari Saigon ke Mui Ne dengan tiket open bus tour yang dibeli semalam dari Ms Thu. Kali pertama merasa naik sleeping bus. Sebelum naik, penumpang diminta menanggalkan kasut dan diberi plastik bag untuk menyimpannya. Sleeping bus di Vietnam memang layan jugak, ada dua tingkat katil dan selimut. Gua pilih katil atas, maka kena memanjat sikit untuk naik. Pandangan dari dalam bas memang menarik untuk disaksikan. Banyak yang naik pun mat saleh 2-3 kumpulan buat riuh belakang bas.

Jarak perjalanan dari Saigon ke Mui Ne lebih kurang 5 jam perjalanan. Lebih kurang jam 2.00 petang kami tiba di pesisir pantai Muine. Bas akan menurunkan penumpang di hadapan pejabat syarikat bas tersebut. Di pejabat inilah kita boleh menempah perjalanan kita untuk hari berikutnya. Rancangan kami bermalam di Muine 2 malam sebelum ke Hoi An. Maka di sini kami tempah perjalanan bas ke Hoi An untuk hari lusa. Operator bas akan reserve-kan tempat duduk untuk kita dalam bas yang menuju ke Hoi An dari Mui Ne pada hari tersebut. Mudah kan?

Naik bas dari Saigon ke Muine. Semua pun geng backpacker jugak.

Keadaan dalam sleeping bus Vietnam.

Roti ni liat-liat sikit, banyak terdapat di Vietnam. Mana-mana tempat pergi mesti jumpa. French croissant.

Akak katil bawah merenung masa depan.

Lebuhraya di Vietnam

Lalu bandar Phan Thiet dulu sebelum tiba di Mui Ne.

TV macam-macam channel ada di Vietnam ni. Semua alih bahasa.

Duy Vu Guesthouse, Mui Ne.


Selasai satu urusan, urusan mencari penginapan pula di Mui Ne. Konsep kami mudah. Redah sampai ke sudah. Tak pernah tempah (booking) apa-apa guesthouse pun secara online. Cuma riki-riki sikit harga pasaran sesuatu tempat tu. Dari pejabat syarikat bas, kami berjalan kaki meninjau kawasan sekitar Mui Ne. Ada banyak hotel-hotel mewah di sini. Sampai di suatu kawasan, kami di sapa oleh orang tempatan yang menanyakan adakah kami mencari guesthouse untuk menginap. Kami ditunjukkan satu guesthouse yang menarik di celah-celah lorong berhampiran jalan besar Mui Ne. Duy Vu Guesthouse namanya. Harga dia pun menarik. $12 USD semalam dengan aircond, bilik air dalam semua siap. Nampak macam baru guesthouse ni, rasa macam kami yang rasmi dulu. Kami ambil terus 2 malam di sini.

Jalan pesisir pantai Mui Ne.

Hotel dan resort mewah di kiri kanan jalan Mui Ne.

Resort kami bermalam. Duy Vu Guesthouse.

Sesi berjalan bila bangkit dari tidur.

Resort di hadapan guesthouse kami.

Pantai Mui Ne yang mengalami hakisan ombak.

Angin kuat selepas hujan. Air surut.

Tebing dan tembok batu dibina bagi menghalang hakisan.

Main pasir.

Kerja-kerja pembinaan tebing bagi menghalang hakisan ombak.



Ala-ala drama gitu.

Berjalan dari hujung ke hujung pantai Mui Ne.


Takda apa pun sebenarnya ni.


Tolong ambil gambar mat saleh melompat.

Nak belajar main layang-layang di pantai Mui Ne? Sini la tempatnya.

Mui Ne Kiteboarding School.

Mui Ne Baywatch.

Risiko mandi manda di pantai Mui Ne.

Bola tampar pantai.

Main pasir, cari kepah semua ada.

Dah sampai hujung berjalan di pantai Mui Ne, keluar ikut resort ni. Nak mandi kat swimming ni pun takda masalah rasanya.

Resort mewah di Mui Ne.

Sempat main buai lagi.

Ok, kami dah nak keluar.

Di tepi-tepi jalan Mui Ne ada kedai-kedai cenderamata.



Lepas check-in Duy Vu Guesthouse di Mui Ne ni, apa lagi keluar barang untuk memasak la. Masak dalam guesthouse la seperti biasa. Menu yang sama. Sardin dan telur goreng. Akibat kekenyangan, sampai petang kami terlelap. Petang di Mui Ne dihabiskan dengan berjalan di pesisir pantai Mui Ne. Kebetulan lepas hujan pulak lepas tu. Angin memang kuat sungguh. Kami berjalan sampai ke hujung sebelum keluar melalui resort mewah yang ada di pesisir pantai. Berhampiran jalan besar Mui Ne ada kedai yang menjual cenderamata. Sempat membeli 2-3 ketul fridge magnet buat kenangan.

Beli pinggan plastik di kedai serbaneka.

Dengan modal hanya 200, 000 Dong ( ~ RM 30), hasilnya sangat puas hati.

Lobster.


Ratah udang dulu.

Kepah ke apa nama gua tak tau. Perah limau sikit, asa dia memang cun.

Sotong belum sampai lagi.

Makanan laut yang boleh dipilih di Mui Ne.


Waktu dah nak hampir Maghrib, kami masih berjalan mencari kedai serbanika untuk membeli kelengkapan memasak yang kurang. Nak cari pinggan mangkuk plastik. Mujur ada. Oleh kerana jalan pesisir laut Mui Ne yang panjang, kami terlajak berjalan hingga ke hujung jalan satu lagi. Patut rasa pelik semacam. Dekat-dekat situ pulak ada kedai menjual makanan laut. Bau dia memang terangkat. Kami disapa oleh salah seorang pelayan kedai makanan laut yang mengajak untuk mencuba makanan laut bakar di kedainya. Plan asalnya memang dah nak lari, tapi macam mana entah boleh terjebak untuk mencuba. Kedainya macam warung tepi jalan dengan suasana angin laut menderu laju. Mulanya agak was-was untuk mencuba, tapi setelah diyakinkan pelayan terbabit yang tahu kami ni muslim, apa salahnya kan. Bajet kami pun agak terbatas, jadi kami tanya apa yang kami boleh dapat dengan 100,000 Dong (dikongsi 2 orang). Katanya apa-apa pun boleh. Kami suruh dia campur semua makanan laut yang ada disitu untuk dibakar. Udang, sotong, kepah, macam-macam lagi lah. Hasilnya memang sangat-sangat puas hati. Siap dapat nasi percuma lagi, hasil muka 20 sen kami. Makan malam sudah, nak cari kopi ais Vietnam tak jumpa. Apa lagi balik tidur dengan tenang. Kroh ! kroh ! kroh !

Bersambung ke Indochina 'Long Way Back' Overland Project | Part 3 : Mui Ne (Day 2)


// Catatan Travelog Indochina 'Long Way Back' Overland Project //


26 Februari 2014

Indochina 'Long Way Back' Overland Project | Part 1 : Saigon

Sambungan dari Preview : Indochina 'Long Way Back' Overland Project

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.


Bermulanya kisah pengembaraan backpacking dua sahabat di bumi asing Indochina. Kisah kembara musafir ini bermula di Ho Chi Minh City yang juga dikenali sebagai Saigon suatu masa dulu. Dengan bermodalkan tiket penerbangan sehala Airasia ke Saigon yang hanya berharga RM 52, kami memulakan langkah tanpa tiket balik.

Memang dah menjadi kelaziman gua suka membeli tiket penerbangan murah-murah dan selalunya tiket dibeli sewaktu promosi 'Free Seat' Airasia. Hanya perlu bayar kos cukai lapangan terbang sahaja oleh kerana tempat duduk adalah percuma.

Tapi promosi 'Free Seat' ini berlangsung awal 7-8 bulan sebelum tarikh perjalanan kita. Jadi kena rancang betul-betul tarikh yang sesuai. Bagi yang bekerja mungkin ada sedikit masalah, namun bagi kami yang bergelar pelajar, tiada masalah dan bebas untuk memilih !

Ok. Nak cerita pasal trip Indochina tapi dah melalut cerita pasal 'Free Seat' Airasia pulak dah. Selepas dapat tiket murah ke Saigon, baru gua merangka pulak laluan perjalanan atau route mana yang akan dipilih nanti.

Niat dalam hati sebelum ini memang nak menjelajah negara Vietnam dari selatan hingga ke utara. Dah alang-alang dekat utara Vietnam, takkan nak balik pulak ikut Hanoi. Maka, kami lintas masuk ke Laos dan Thailand dulu sebelum pulang ke Malaysia melalui jalan darat.  Maka terjadilah trip Indochina 'Long Way Back' Overland ini.


Gambar wajib kalau kembara. Sayup-sayup kota Ho Chi Minh City di bawah.

Dah nak sampai dah Saigon a.k.a Ho Chi Minh City. Sungai punya besar di bawah.

Alhamdulillah. Selamat mendarat di Tan Son Nhat International Airport, Saigon.

Pegawai imigresen Vietnam yang acah-acah sombong. Muka tak mau senyum langsung dengan gua !

Bagpack Deuter tiruan Vietnam kembali ke tempat asalnya.

Jadual perjalanan kami ke ibunegara Vietnam di sebelah selatan iaitu Saigon bermula seawal pagi. Jam 6.45 pagi, kapal terbang yang kami naiki berlepas dari LCCT menuju ke bumi komunis Vietnam.

Lebih kurang 2 jam kemudian kami tiba di Tan Son Nhat International Airport, Ho Chi Minh City. Maaf kadang-kadang gua sebut Saigon dan kadang-kadang Ho Chi Minh City. Tapi keduanya-duanya merujuk kepada bandar yang sama.

Keadaan lapangan terbang HCM agak lengang. Mungkin masih awal pagi kot. Sejurus tiba di balai ketibaan, kami telah menukar sejumlah matawang Ringgit yang dibawa dari Malaysia di deretan money changer yang terdapat di Airport Saigon ni. Berlonggok pengurup wang ada dekat airport ni. Boleh pilih yang mana satu.

Tiada caj dikenakan untuk menukar duit atau matawang Ringgit kepada nilai matawang Dong Vietnam (VND) di sini. Selesai urusan penukaran duit, kami keluar dari Airport Saigon mencari bas untuk ke Jalan Pham Ngu Lao, di mana terletaknya banyak backpacker hostel dan berdekatan dengan Pasar Benh Tanh atau Benh Tanh Market yang terkenal di kalangan makcik-makcik dari Malaysia.

Untuk ke Jalan Pham Ngu Lao, anda harus menaiki bas bernombor 152 di luar Airport Saigon. Bas akan bergerak bila penumpang hampir penuh. Tambang untuk setiap orang adalah sebanyak 10, 000 Vietnam Dong. Bagi kami yang membawa backpack dikenakan sedikit caj. Lebih 2,000-3,000 VND. Mungkin bag besar kot.

Pada mulanya kami tercari-cari bas bernombor 152 ini di luar kawasan lapangan terbang Saigon. Salah satu masalah yang dihadapi adalah untuk berkomunikasi dengan masyarakat Vietnam yang kurang fasih berbahasa Inggeris. Mujur depa paham kami nak ke Pham Ngu Lao Street. Bagitahu sahaja pemandu bas anda ingin ke Benh Tanh Market, tempat di mana bas ini akan berhenti menurun dan mengambil penumpang.

Kebetulan dalam bas ada geng-geng anak dara dari Alor Setaq yang turut menuju ke destinasi yang sama. Jumpa geng utara la kita !

Menaiki bas mini dari Airport Saigon ke Jalan Pham Ngu Lao, di mana terletaknya Benh Tanh Market.

Keadaan jalanraya sekitar Saigon.

Motorsikal mendominasi bandar Saigon.

Hon merupakan benda wajib di Vietnam.

Tak macam Thailand, di Vietnam semua penunggang motorsikal memakai topi keledar.

Gesel motor sikit-sikit tuh perkara biasa.

Saigon, bandar motorsikal.

Bas mini bernombor 152 dari Airport Saigon tadi akan berhenti betul-betul depan Ben Tanh Market berhampiran bulatan besar. Dari sini kami berjalan kaki ke Pham Ngu Lao Street. Dinasihatkan membawa peta atau bertanya pada orang tempatan untuk mengelakkan dari kesesatan oleh kerana terdapat banyak simpang-siur di sini. Di Pham Ngu Lao Street terdapat banyak hostel dan hotel untuk menginap. Oleh kerana bajet kami ciput, kami berjalan kaki mencari Ms Thu Guesthouse di celah-celah lorong berhampiran Pham Ngu Lao Street. Mula-mula memang tak jumpa oleh kerana ianya tersorok di celah-celah lorong antara bangunan. Tanya awek mini market berhampiran, tapi dia agak keliru dengan cerita kami. Dia hubungi kawan-kawan lain tanya di mana lokasi Ms Thu Guesthouse, baru jumpa lokasi yang betul, siap bawa kami depan pintu Ms Thu Guesthouse lagi. Suka sangat dengan layanan awek-awek Vietnam. Hiks ! ;-)

Ms Thu Guesthouse yang dimaksudkan rupanya seperti rumah orang, masuk melepak di depan lobi guesthouse sambil dilayan oleh Mr Thu sendiri. Katanya masih awal pagi dan kena tunggu 15 minit untuk dia siapkan bilik. Kami tak buat tempahan apa-apa sebelum itu, hanya redah sahaja ke sini. Harga bilik untuk semalam adalah sebanyak $12 USD, lengkap dengan katil kembar, bilik air di dalam, TV dan Air cond. Sementara menunggu bilik disiapkan, Ms Thu siap jamu kami dengan kopi Vietnam. Memang ramah Ms Thu ni. Sangat disyorkan bagi sesiapa yang berkunjung ke Saigon.

Sambil-sambil itu kami bertanyakan open tour bus tiket untuk ke Muine, Hoi An dan Hanoi. Dengan adanya open tour bus tiket ni, anda boleh berhenti di mana-mana destinasi di Vietnam yang anda suka sebelum menyambung perjalanan kembali dengan bas yang sama. Contohnya, di Vietnam dari selatan ke utara ada banyak bandar-bandar menarik di pesisir pantai seperti Mui Ne, Na Thrang, Hoi An, Hue dan Hanoi. Jadi anda boleh berhenti sesuka hati 2-3 hari, sebelum sambung naik bas ke tempat berikutnya. Cuma kena booking sehari awal destinasi yang dituju di pejabat bas tersebut di bandar anda singgah. Tak paham? Tak apa. Baca cerita Indochina ini dengan lebih lanjut untuk lebih pemahaman.

Kami beli tiket open tour bus ini dengan harga $40 USD seorang. Bas ini akan bergerak hingga ke Hanoi yang merupakan destinasi terakhir. Di antara Saigon dan Hanoi, kami memilih untuk berhenti di Mui Ne dan Hoi An sebelum menuju ke Hanoi. Antara syarikat open tour bus yang popular di Vietnam adalah seperti Sinhcafe. Gua tak ingat pulak nama syarikat bas yang kami naiki ni. Oleh kerana jarak dari satu tempat ke tempat lain yang jauh, setiap bas di Vietnam adalah jenis sleeping bus atau dikenali sebagai 'bus tidur' dalam bahasa Melayunya. Ada katil untuk setiap penumpang dimana penumpang boleh melunjurkan kaki untuk tidur dengan selesa. Nak tengok gambar sleeping bus kena tunggu next entry. ;-)
Mr Thu Guesthouse.

Rules.

Jessica Alba dalam bilik air woi !!

$12 USD semalam. Ada TV, Aircond dan katil twin siap.
Dah siap check in bilik, kami berehat dulu sejam dua. Tiduq dulu apa yang patut. Yang gua musykil memang tiap bilik air kat Vietnam ni ada gambar perempuan ka? Bilik air di Ms Thu Guesthouse ni ada Jessica Alba. Nak mandi pun serba salah. Haha. Petang sikit kami keluar meninjau kehidupan di kota Saigon. Jalan-jalan tengok senibina kolonial Perancis yang menjajah negara ini suatu ketika dulu. Antara tempat yang menarik untuk di lawati adalah seperti Saigon People Committee Hall, Benh Tanh Market, Post Office Saigon dan taman-taman sekitarnya. Mula-mulal haruslah jalan-jalan dalam Benh tanh Market dulu. Kawasan makcik-makcik Malaysia membeli belah. Jalan sikit dengar orang cakap Melayu. Ingatkan orang Malaysia ja cakap Melayu, orang Vietnam pun boleh cakap Melayu ! 'Bang beli kain bang" atau " masuk dulu tengok kain ". Ada yang sampai tarik-tarik tangan gua suruh masuk ke kedai dia. Maaf. Bajet pun ciput. Tak boleh la nak shopping sesuka hati. Mak gua pesan kain apa pun gua tak tahu nak beli. Rimas dengan acara tarik-menarik lengan gua yang sasa ini !

Jauh jugak kami berjalan petang tu. Maklumlah hari ni ja kami nak berjalan. Keesokan hari kami akan bergerak ke Mui Ne. Sempat lagi beli jambu untuk mengunyah sambil-sambil jalan tu. Melepak di taman-taman awam tengok aktivit petang. Jalan sedikit sesak mungkin kerana orang baru balik kerja. Nak dekat Maghrib baru sampai balik di Ms Thu Guesthouse. Mandi-mandi dan siap untuk makan malam. makan di mana? Makan di dalam guesthouse ja. Sebenarnya ada banyak restoran makanan halal di Saigon ni, tapi kami tak sempat pergi pun. Nak jimat sikit, kena masak sendiri lah. Menu ringkas kami malam tu adalah sardin, telur dan kicap. Memang selera betul setelah seharian tak makan nasi. Baru rasa nikmat dapat makan nasi di negara asing. Masak pakai apa? Kami bawa mestin, dapur kecil camping (camping stove) dan 2-3 tin butane untuk memasak. Barang mentah seperti sardin dan beras kami bawa dari Malaysia. Yang masalah sebenarnya nak cari telur kat Vietnam. Gua tanya telur, lain pulak yang dia baginya. Akhir sekali dapat jugak gua beli kat makcik jual pancake tepi jalan telur 10 biji.

Bahagi dengan 7000 dapat la nilai duit ringgit Malaysia.

T-Shirt dan singlet di jalanan.

Cermin mata.

Mana-mana pun memang banyak buah-buahan kandar ni.

Origami ke bahasanya ni ? betulkan gua kalau salah.


Air kelapa Saigon. Bagus !

Singlet Saigon lagi. Mat saleh minat la jenis begini.

No plat Vietnam.

Bandar Saigon yang bersih dan indah. Setiap kawasan ada tukang sapu yang berpakaian begini.


Benh Tanh Market.

Saigon People's Committee Hall. Senibina kolonial Perancis yang masih terpelihara.

Duong bermaksud jalan. Dong Khoi nama jalan.

Pejabat pos besar Saigon. Masih mengekalkan senibina kolonial.


Bahagian dalaman Saigon Post Office

Polis ada banyak polis. Yang baju hijau ni polis pelancong kalau tak silap.

Ok. Tak paham langsung.

Melepak di taman sambil memerhatikan susana petang.

Petang-petang orang Vietnam memang suka beriadah.

Vietnam Reunification Palace a.k.a Independence Palace.

Jambu merah jambu.

Kat Saigon pun wayar berselirat sama seperti di Thailand.

Akak jual jagung yang pemalu.

Tiap-tiap petang, taman mesti penuh dengan aktiviti riadah masyarakat setempat di Saigon. 



Badminton 3 sebelah. Pernah nampak orang Vietnam gemuk? Tak ada kan.

Menu makan malam kami.

Saigon di waktu malam.

Taman di malam hari.

Asal melepak je mesti didekati dengan ayat " Sir, you want a girl? See first. It's ok if you don't want. "
Lepas makan, kami berjalan lagi. Di belakang kawasan Pham Ngu Lao Street ni rupanaya ada suatu kawasan penuh dengan mat saleh melepak minum. Gua tak pati apa nama kawasan tu. Kelab malam pun banyak yang hidup di kawasan ni. Kami juga berjalan ke Saigon Night Market. Makcik Malaysia memang sangat biasa dah jumpa di Saigon ni. Ada yang cakap Kelantan. Oleh kerana gua tak shopping apa-apa, jadi tak ada tips apa pun nak dicerita. Asal berjalan je mesti didekati pemuda-pemuda tempatan bertanyakan nak urut ke, nak tu ke nak ini ke. Gua kira malam tu tak kurang dari 10 orang menghampiri gua tanya benda yang sama. Yang peliknya awat tanya gua seorang ja, member gua si Izz yang jalan depan gua tak mau pulak depa tanya. Nampak desperate sangat ka gua ni ? Si Izz duk tersengih-sengih. Tak cukup dengan di jalanan, balik buka wechat pun ada lagi. Pui !

Bersambung ke Indochina 'Long Way Back' Overland Project | Part 2 : Mui Ne (Day 1)


// Catatan Travelog Indochina 'Long Way Back' Overland Project //


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...