Berbasikal ke Air Terjun Kubang Gajah (Air Terjun Sofea Jane), Kemensah
السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.
Setelah sekian lama memboroikan perut, terlintas di fikiran untuk mencuba sesuatu aktiviti mingguan yang baru. Terjahan mengejut ke Air Terjun Kubang Gajah yang terletak di Kemensah, Hulu Klang dengan menggunakan basikal bukit. Lokasi pilihan adalah Air Terjun Kubang Gajah atau juga dikenali dengan nama Air Terjun Sofea Jane.
Kenapa ia dinamakan dengan nama Air Terjun Sofea Jane? Adakah kerana ianya persis pelakon pupular Sofea Jane? Sebenarnya Air Terjun Kubang Gajah ini dikhabarkan suatu ketika dulu pernah menjadi lokasi penggambaran filem lakonan Sofea Jane. Filem apa gua pun tak pasti. Tapi oleh kerana kisah itulah Air Terjun Sofea Jane mendapat nama. Kalau abang berlakon ? Pasti tak lekat nama.
Kayuhan dimulakan dari Segambut menuju ke Kampung Kemensah, berhampiran dengan Zoo Negara. Sepanjang perjalanan mata disajikan dengan pemandangan hutan yang redup menghijau dan sungai yang menderu laju di sebelah bawah jalan. Untuk ke Air Terjun Kubang Gajah ini, bermula dari Zoo Negara ikut jalan belakang yang akan membawa anda melalui perkampungan Kemensah hingga ke penghujung jalan. Anda akan melintasi kawasan perkelahan di mana ada banyak chalet-chalet berhampiran Sungai Kemensah. Sebelum sampai di penghujung jalan anda akan melalui kawasan rekreasi ATV Kuala Lumpur sebelum tiba di Institut Budaya Baru Melayu. Kalau bawa kereta, parking di sini.
Perjalanan off-road bermula dari Institut Budaya Baru Melayu ini. Dari situ akan ada denai kecil yang menghubungkan anda ke air terjun tersebut. Anda boleh hiking, ber-mountainbiking, ber-scrambler ataupun ber-ATV untuk menuju ke air terjun tersebut. Ikut sahaja laluan denai hutan yang ada. Tak sesukar mana trek-nya. Lebih mudah berbanding trek Air Terjun Lata Medang mahupun Air Terjun Sungai Chilling. Tapi keadaan sedikit mendaki hingga ke air terjun. Sepanjang perjalanan, anda akan terserempak dengan orang asli tempatan dan konvoi ATV yang turut menggunakan jalan sama untuk masuk ke dalam hutan. Jangan pulak pelik.
Kedai runcit jalan menuju masuk ke Kg Kemensah.
Sungai Kampung Kemensah. Ikut sahaja jalan ini untuk ke denai menuju Air Terjun Sofea Jane.
Boleh terjun mandi kalau tak kena gaya. Air Sungai Kemensah yang dingin memanggil.
Sungai Kemensah yang mengalir melalui deretan chalet.
Denai hutan Kemensah yang sedikit berselut.
Denai hutan menuju Air Terjun Sofea Jane di Kemensah ini.
Berhenti rehat sebentar. Tayar dah jadi donat.
Kesan tayar ATV yang melalui jalan yang sama ke Air Terjun Sofea Jane.
Melintasi rimbunan buluh di awal perjalanan ke Air Terjun Sofea Jane.
Selut tebal sepanjang perjalanan ke Air Terjun Sofea Jane. Tidak mampu mengayuh lagi. Hanya menolak sepanjang perjalanan.
Simpang ke Air Terjun Kubang Gajah. Ikut papan tanda untuk ke Air Terjun Sofea Jane. Air Terjun Kubang Gajah dan Air Terjun Sofea Jane adalah dua air terjun yang sama.
Tuan basikal turut terbenam dalam selut hutan Kemensah.
Tayar basikal dah jadi 'donat' bila masuk selut. Jangan ingat 'donat' lain ye.
Keadaan basikal ketika menuju ke Air Terjun Kubang Gajah.
Keadaan jalan yang sedikit berselut menyukarkan kayuhan sepanjang perjalanan ke air Terjun Sofea Jane. Mungkin akibat hujan sewaktu hari sebelumnya atau pun trek yang semakin tenggelam akibat dari aktiviti ATV. Gua hanya berjaya sampai ke simpang yang tertera tulisan "Air Terjun Kubang Gajah". Masih belum kedengaran bunyi air terjun. Dari simpang tersebut untuk ke air terjun masih jauh lagi perjalanan. Dengan hari yang semakin gelap menghampiri waktu Maghrib, gua ambil keputusan untuk berpatah balik sahaja.
Sesampainya di muka denai, kelihatan salah seorang pekerja ATV sedang membetulkan parit di kawasan berhampiran. Saja gua buat ayat tanya jauh lagi ke air terjun dari simpang yang ada signboard Air Terjun Kubang Gajahtu. Katanya kalau dari situ jaraknya lebih kurang sama dari signboard tu turun ke muka denai tu balik. Rupanya gua baru habiskan separuh perjalanan ! Rasanya dah puas gua kayuh nak sampai. Takpalah. Hari pun dah petang. Kita cuba lain masa pulak. Takut tak sempat keluar kalau dah senja. Dah la kayuh secara solo pulak tuh.
Selut hutan Kemensah menyelaputi setiap penjuru basikal yang dinaiki.
Basikal dah berselut masa naik Air Terjun Sofea Jane tadi. Masa untuk pulang.
Jambatan yang merentangi Sungai Kemensah.
Sungai mengalir melalui Kampung Kemensah.
Sesi berendam bersama basikal di Sungai Kemensah.
Acah-acah bawa basikal menyeberangi Sungai Kemensah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan