Iklan

Memaparkan catatan dengan label Kembara Trans Sumatera. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kembara Trans Sumatera. Papar semua catatan

26 November 2014

Bajet Keseluruhan Kembara Trans-Sumatra

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu
Peace be upon you


Alhamdulillah. Dengan jayanya dapat menghabiskan Kembara Trans-Sumatra melalui jalan darat dan jalan laut bermula dari Padang, Indonesia dan berakhir di ibukota Kuala Lumpur. Perancangan untuk kembara ini sebenarnya dibuat tidak sampai seminggu dan tiket kapal terbang ke Padang dibeli pada minit akhir.

Asalnya nak bergerak secara solo, tapi adik perempuan gua gatal nak ikut jugak merasai aktiviti backpacking ini. Bajet kami memang tak banyak, hanya ada RM 500 dalam tangan. Syukur dipermudahkan perjalanan walaupun bermacam halangan yang ada di Sumatra ini lebih-lebih lagi bila bawa orang perempuan ni.

Aktiviti jalan-jalan di Indonesia khasnya di Pulau Sumatra tidak memerlukan modal yang begitu besar jika hendak dibandingkan jika kita mengambil pakej pelancongan. Jika kena caranya, setiap sen yang dibelanjakan untuk trip ini sangatlah berbaloi. Tepuk dada tanya diri sama ada anda seorang pengembara atau pun seorang pelancong. Ada bezanya.


Laluan Kembara Trans-Sumatra bermula dari Padang dan berakhir di Kuala Lumpur.


Dengan ini gua sertakan rujukan bajet atau 'ground cost' Kembara Trans-Sumatra yang berlangsung selama 8 hari di sana. Bajet tidak termasuk makan dan minum.

Hari Pertama | Kuala Lumpur - Padang - Bukit Tinggi

  • Trafel (minivan) Airport Minangkabau, Padang - Bukit Tinggi : Rp 50,000
  • Kartu + Pulsa (simkad + topup) : Rp 24,000
  • Check-In Asian Hotel, Bukit Tinggi: Rp 125,000 x 2 malam (dikongsi 2 orang = Rp 125,000)
Jumlah : Rp 199,000


Hari Kedua | Bukit Tinggi (Danau Maninjau - Lembah Harau)

  • Sewa skuter : Rp 100,000 (dikongsi 2 orang = Rp 50,000)
  • Bensin (minyak) : Rp 16,000 + Rp 14,000 + Rp 14,000 (dikongsi 2 orang = Rp 22,000)
  • Karcis (tiket masuk) + parking Lembah Harau : Rp 5,000 + Rp 2,000
  • Cenderamata Fridge MagnetRp 15,000 (dikongsi 2 orang = Rp 7,500)
Jumlah : Rp 86,500


Hari Ketiga | Bukit Tinggi - Parapat (Danau Toba)

  • Tiket bas Bukit Tinggi - Parapat : Rp 210,000 + Rp 50,000 (tukar bas kepada trafel)
  • Duit 'paw' Terminal Aur Kuning : Rp 10,000
  • Internet Cafe : Rp 3,000
  • Angkutan Kota ke Terminal Aur Kuning : Rp 2,500
Jumlah : Rp 225,500


Hari Keempat | Parapat - Pulau Samosir  (Danau Toba)

  • Angkut Parapat-Jeti Tigaraja : Rp 3,000
  • Feri Tigaraja - Tuktuk : Rp 10,000
  • Rodeo Guesthouse : Rp 150,000 x 2 malam (dikongsi 2 orang = Rp 150,000)
Jumlah : Rp 163,000


Hari Kelima | Danau Toba

  • Sewa skuter : Rp 90,000 (dikongsi 2 orang = Rp 45,000)
  • Bensin : Rp 27,000 (dikongsi 2 orang = Rp 13,500)
  • Tiket Menara Tinjau Tele : Rp 2,000
Jumlah : Rp 60,500


Hari Keenam | Parapat - Medan

  • Feri Tuktuk - Tigaraja : Rp 10,000
  • Trafel Parapat - Medan : Rp 50,000
  • Check in Residence Hotel, Medan : Rp 95,000 semalam (dikongsi 2 orang = Rp 47,500)
Jumlah : Rp 107,500


Hari Ketujuh | Medan - Tanjung Balai

  • Tiket Keretapi Medan-Tanjung Balai : Rp 20,000
  • Becak Motor ke Stasiun Keretapi Medan : Rp 20,000 (dikongsi 2 orang = Rp 10,000)
  • Becak Motor Tanjung Balai : Rp 15,000 (dikongsi 2 orang = Rp 7,500)
  • Check-in Ananda Hotel, Tanjung Balai : Rp 135,000 (dikongsi 2 orang = Rp 67,500)
Jumlah : Rp 105,000



Hari Kelapan | Tanjung Balai - Pelabuhan Klang

  • Tiket Feri Jetstar Services : Rp 390,000
  • Caj Pelabuhan Tanjung Balai : Rp 20,000
Jumlah : Rp 410,000


Jumlah Keseluruhan :  Rp 1,357, 000 (Pengangkutan dan Penginapan)


Tak sampai RM 400 pun sebenarnya untuk kos pengangkutan dan penginapan sepanjang 8 hari Kembara Trans-Sumatra ni. Kos makan dan minum pun tak mahal di Sumatra. Yang buat mahal gua rasa tiket feri balaik dari Tanjung Balai ke Pelabuhan Klang. Itu pun dah dekar RM 100 termasuk caj cukai pelabuhan semua. Dah nak nama overland kan balik Malaysia. Kalau ikutkan boleh je nak naik kapal terbang balik melalui Medan. Harga pun lebih kurang sama. Tapi sengaja kami beli tiket flight Airasia sehala je ke Padang hari tu. Saja nak melihat dan merasai sendiri perjalanan darat dan membelah lautan Selat Melaka untuk pulang kembali ke Malaysia.



Tips

  • Sebelum nak pergi Indonesia tu mesti hangpa nak kena tukar duit Ringgit ke Rupiah kan? Boleh pi cari money changer atau pengurup wang di sekitar Chow Kit yang menawarkan kadar tukaran matawang yang agak tinggi. Gua pernah terbaca yang di Chow Kit sana kan banyak warga asing terutama dari Indonesia, jadi banyaklah jugak urusan penukaran wang di kawasan tersebut. Tempat yang gua boleh syorkan adalah pengurup wang bersebelahan dengan Maybank Chowkit, berhampiran dengan pasaraya Mydin. Nama apa gua tak ingat pulak.

  • Kalau dah sampai Lapangan Terbang Minangkabau, siap-siaplah hangpa dengan tiket balik. Kalau tak ada tiket balik siaplah hangpa dengan duit pulak. Pegawai imigresen dekat sini rajin 'paw' orang. Kononnya kena tunjuk tiket balik, kalau tak ada kena beli visa. Nanti dia buat la isyarat kena bayar berapa-berapa. Sebab tu yang jem selalu bila beratur cop passport. Saja buat-buat lambat tanya itu ini cari kesalahan. Jangan jadi kes macam kami, kena masuk dalam bilik tahanan dia kena soal siasat sebab degil tak nak bayar. Boleh baca di catatan Kembara Trans-Sumatra bahagian pertama.

  • Di Padang atau pun Bukit Tinggi, gua selalu kena 'paw' duit rokok lah, duit makan lah. Mungkin gua bawa adik perempuan yang pakai lawa-lawa sikit depa dah dok usya dari jauh. Tak lama bila kami jalan-jalan, mesti ada orang luar yang gua tak kenal himpit buat-buat ramah. Ingatkan betul ramah nak tolong, tapi sebenarnya semua ada sesuatu. Kalau gua jalan sorang-sorang dengan pakai hodoh-hodoh takda siapa pun nak dekat. Sebenarnya ada banyak mata-mata liar yang memerhatikan anda terutama jika anda pelancong dari luar. Gua nasihatkan tak perlulah nampak menonjol sangat bak retis kalau nak berjalan-jalan di Sumatera ni. Memang agak bahaya.

  • Pengangkutan utama untuk perjalanan jauh dari satu bandar ke satu bandar yang lain di bumi Sumatera ini bukan bas sebaliknya adalah trafel (minivan). Jarang sebenarnya nak nampak bas di sini. Kalau ada pun tak banyak. Mungkin kerana faktor jalan dan geografi menyebabkan bas kurang digunakan sebaliknya trafel yang digunakan secara meluas. Gua siap tanya orang tempatan lagi, katanya bas agak lamabat kalau nak dibandingan dengan trafel. Betul. Pemandu atau supir trafel di Sumatera atau di mana-mana sahaja di Indonesia ini memang laju dan bahaya cara bawaknya. Boleh kecut perut bila ada dalam trafel ni. Yang gua terkejut masa naik trafel berhimpit-himpit dari Bukit Tinggi ke Parapat, pemandu trafel melanggar seekor kucing sewaktu jam 2.00 pagi entah di kawasan hutan mana. Pemandu tersebut cepat-cepat berhenti dan mengutip bangkai kucing yang telah hancur dilanggar tadi lalu dibungkus dalam bag plastik lalu dicampakkan di ruang penumpang. Bila sampai di kedai makan (hentian rehat), pemandu trafel tadi akan ambil cangkul dan tanam semula kucing tersebut di dalam tanah. Itu harus dipuji. Berbanding dengan kita, bila langgar kucing buat tak tahu sampai ke sudah. Akhirnya mereput bangkai kucing tu tengah jalan.

23 November 2014

Kembara Trans Sumatra (Part 9) : Tanjung Balai - Pelabuhan Klang

Sambungan dari Kembara Trans Sumatra : Medan - Tanjung Balai (Part 8)

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu
Peace be upon you


Hari ini merupakan hari terakhir pengembaraan backpacking bajet kami dua beradik di bumi Sumatra ini. Setelah seminggu mengembara merentasi Pulau Sumatra bermula dari kota Padang, kami akan menamatkannya hari ini di Tanjung Balai. Kami akan menaiki feri pulang kembali ke Malaysia melalui laluan Tanjung Balai (Indonesia) - Pelabuhan Klang (Malaysia).

Jam 7.00 pagi kami dah tercongok di pejabat Jetstar Ferry cawangan Tanjung Balai tempat kami membeli tiket semalam. Ingatkan kami dah cukup awal, rupanya ada lagi yang lebih awal. Dah ramai penumpang lain berkumpul di sini. Meriah sungguh suasana pagi di syarikat feri. Sampai-sampai, kami serahkan passport kami kepada kakitangan yang bertugas di pejabat Jetstar Ferry. Semalam, dia dah ingatkan untuk serahkan passport awal pagi sewaktu tiba ini untuk proses pengisian dokumen perjalanan.

Di atas meja terdapat berlonggok passport penumpang warga Indonesia yang sedang diproses. Berbeza dengan kapal terbang, untuk menaiki feri jurusan Tanjung Balai - Pelabuhan Klang ni penumpang tidak boleh mengisi sendiri dokumen perjalanan. Semua urusan dokumen perjalanan akan diuruskan oleh syarikat feri itu sendiri. Penumpang feri hanya perlu membawa passport masing-masing dan berkumpul di pejabat syarikat feri awal-awal pagi. Dari situ penumpang feri akan dibawa ke jeti Tanjung Balai dengan menggunakan bas syarikat feri pula.


Suasana pagi di kota Tanjung Balai.

Kota Tanjung Balai juga dikenali dengan jolokan 'Kota Kerang'.

Kebanyakan kedai di Tanjung Balai masih belum dibuka awal pagi. Kelihatan kanak-kanak berbasikal ke sekolah.

Tugu kerang di kota Tanjung Balai. Nampak kerang depan tugu tu?

Kakitangan syarikat Jetstar Ferry Tanjung Balai sibuk mengisi dokumen perjalanan penumpang.

Penumpang feri berkumpul di ruang menunggu pejabat Jetstar Ferry sebelum dibawa ke jeti.

Tidak kelihatan passport merah Malaysia di sini. Semua pemegang passport hijau Indonesia. Kami je wakil tunggal naik feri ballik Malaysia.

Penduduk Tanjung Balai rata-rata terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum. Tidak pelik kalau kelihatan masyarakat Cina di sini.

Becak motor yang menjadi sumber pendapatan penduduk Tanjung Balai. 



Di pejabat Jetstar Ferry Tanjung Balai, semua penumpang menunggu dengan sabar sehingga nama setiap dari mereka di panggil untuk menaiki bas yang disediakan. Para penumpang dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan akan menaiki bas yang disediakan ke jeti Tanjung Balai untuk menaiki feri. Gua dan adik gua termasuk dalam kumpulan terakhir yang berangkat ke jeti Tanjung Balai (macam nak pi haji pulak).

Sewaktu di dalam bas sebelum bergerak, pemandu bas mengambil kesempatan menjual simkad Malaysia seperti talian Maxis & Digi kepada penumpang. Rata-rata mereka ada yang pertama kali ke Malaysia, dan ada yang sudah berkali-kali ulang alik ke Malaysia. Ramai juga yang tidak tahu kami ini adalah warganegara Malaysia di dalam bas ini. Tak ada pelancong lain dari luar yang sanggup naik feri melintasi Selat Melaka ke Malaysia.

Keadaan dalam bas agak sunyi sepi walaupun padat dengan penumpang. Mungkin semuanya sayu nak meninggalkan bini dan keluarga masing-masing kot.  Perjalanan menuju ke jeti Terminal Feri Tanjung Balai walaupun dekat memakan masa hampir setengah jam oleh kerana faktor jalan yang agak sempit dan sesak dengan becak motor. Kelihatan pasar di kiri kanan jalan menjual hasil laut yang baru dinaikkan oleh nelayan tempatan. Keadaan nampak tidak terurus.

Setibanya di jeti Terinal Feri Tanjung Balai kami diturunkan di kawasan menunggu. Gua ingatkan boleh masuk terus ke dalam naik feri rupanya tidak. Passport kami dipegang oleh pihak syarikat feri sejak pagi tadi. Penumpang lain pun sama, tiada passport masing-masing di tangan mereka.

Ejen yang bertugas akan membawa passport yang dikumpul tadi untuk dicop di bahagian Imigresen Indonesia. Untuk menaiki feri ekspress ini, para penumpang harus menunggu nama mereka dipanggil oleh ejen yang bertugas. Dengan cuaca panas dan ruangan khemah berteduh yang agak terhad, memang terasa menyeksakan dan boleh buat bertumbuk. Yang lambatnya nama penumpang feri dipanggil sorang-sorang.

Apabila nama dipanggil, passport asal diserahkan semula kepada pemilik asal dan kemudian baru kita dapat masuk ke kawasan dalam jeti untuk menaiki feri. Sebelum pada itu, setiap penumpang harus dahulu  membayar cukai pelabuhan sebanyak Rp 20,000 setiap orang. Ada kaunter cukai di sebelah kiri dewan. Ada passport dan telah membayar cukai pelabuhan baru boleh masuk  ke dalam menaiki feri di Tanjung Balai ini. 

Gua dan adik gua menunggu dengan sabar. Takut jugak terlepas dengar nama yang dipanggil. Ramai sungguh penumpang di jeti Tanjung Balai ini. Adik gua dah mula risau nama tak dipanggil lagi. Penumpang lain yang naik bas bersama kami tadi pun dah tak nampak. Passport hijau (Warga Indonesia) yang kelihatan. Memang jarang orang Malaysia naik feri balik Malaysia dari jeti Tanjung Balai. Tak lama kemudian, nama gua dipanggil diikuti nama adik gua. Orang ramai pakat pandang kami. Passport merah !

Masuk dalam jeti, kena beratur lagi sekali untuk pemeriksaan imigresen. Tak payah check bag apa pun. Cuma tunjukkan passport dan tiket feri yang dikepilkan sekali oleh ejen. kalau macam kami orang Malaysia, imigresen dia tak tanya banyak sangat. Sekadar tengok dan lepaskan. Kalau warga Indonesia lain macam-macam dia soal siasat. Nak ke mana, dengan sapa, buat apa dekat Malaysia. Lega kami dah lepas imigresen, jalan kaki masuk ke dalam feri pulak lepas tu. Feri macam Langkawi. Ada banyak tingkat. Tak ada no kerusi pun. Pilih sesuka hati nak duduk di mana. Adik gua duduk tepi tingkap dan gua duduk sebelah dia. Ada beg-beg plastik digantung di tiang-tiang, kot ada siap-siapa yang nak muntah. Lama jugak urusan penumpang masuk ni. Dekat sejam baru boleh bergerak. Kerusi memang semua penuh sampai ke belakang.

Penumpang dibawa menaiki bas ke jeti Tanjung Balai.

Pandangan kota Tanjung Balai dari dalam bas.

Becak motor yang membuatkan jalanraya di Tanjung Balai sedikit sesak.

Jalan yang sempit dan kotor menuju Tanjung Balai.

Kedai runcit.

Tempat pengumpulan hasil laut.

Oleh kerana lokasinya yang terletak di tepi laut, kota Tanjung Balai merupakan tempat pendaratan ikan segar.

Pasar menjual makanan laut segar di pinggir jalan Tanjung Balai.

Ruang menunggu di jeti Tanjung Balai. Tunggu nama dipanggil.

Peniaga buah salak di sekitar jeti Tanjung Balai.

Selain buah salak, ada penjual simkad Maxis yang sibuk mundar-mandir di jeti Tanjung Balai ini. 


Bas Jetstar Ferry Services yang membawa kami ke jeti Tanjung Balai.

Tiket feri Tanjung Balai-Pelabuhan Klang yang diketip bersama passport.
Feri bergerak meninggalkan Jeti Tanjung Balai.

Keadaan di dalam feri Tanjung Balai-Pelabuhan Klang.

Jam 10.30 pagi, feri bergerak dari Tanjung Balai membelah Selat Melaka menuju ke Pelabuhan Klang. Di dalam feri ini setiap penumpang dibekalkan dengan sebungkus nasi dan air mineral. Kalau agak lapar, boleh la makan buat alas perut memandangkan perjalanan yang agak lama. Di dalam feri penumpang bebas berjalan ke tandas atau membeli makanan. Gua tengok ada yang beli Pop-Mie makan di tempat duduk. Kalau nak hisap rokok pulak, boleh keluar ambik angin di bahagian belakang feri. Boleh lihat laut yang luas saujana mata memandang. Gua sempat jugak keluar ambik angin, tapi tak lama sebab enjin feri yang terlalu bising di belakang ini. Duduk dalam pulak tak boleh nak lena, pening-pening sikit bila feri membelah ombak. Mabuk laut barangkali tapi takda la sampai muntah. Gua tengok ada 2-3 orang yang awal-awal lagi dah muntah.

Dalam feri ini jugak tidak terkecuali dari peniaga. Gua ingatkan dalam keretapi je ada penjaja, dalam feri pun ada jugak. Ada yang menawarkan perkhidmatan tukaran matawang Rupiah ke Ringgit, ada yang menjual simkad Maxis, dan ada yang menjual plastik passport. Apa-apa sahaja keperluan untuk sampai ke Malaysia ada dijual dalam ni. Yang gua perhati, penumpang di dalam feri kebanyakan selalu berulang-alik dari Indonesia ke Malaysia. Ada yang telah lama bekerja di Malaysia. Kami je rasanya dalam feri ni asal dari Malaysia. Yang lain semua dari Indonesia.


Bila feri dah bergerak, muncul peniaga yang menjual plastik passport, tukar duit dan simkad.

Bermacam gaya abang ni lepak.

Melepak di bahagian belakang feri menikmati angin laut.

Brader ni siap boleh baca suratkhabar di bilik enjin feri yang bingit.

Menghampiri Pelabuhan Klang.

Bot bot kecil yang berlabuh di Pelabuhan Klang.

Oleh kerana sesak nak turun feri, gua lepak belakang dengan penumpang lain tengok pemandangan dulu.

Jam 6.00 petang baru tiba di Pelabuhan Klang dari Tanjung Balai.

Ada bot peronda polis sedang buat rondaan.

Bot peronda polis di Pelabuhan Klang.

Buat rondaan ke latihan?

Lewat petang di Pelabuhan Klang.


Penumpang bergerak turun dari feri menuju ke terminal untuk pemeriksaan imigresen Malaysia.

Selamat menjejakkan kaki kembali ke Malaysia setelah seminggu mengharungi perjalanan darat dan air dari Sumatra.


Keluar dari terminal feri Pelabuhan, terus ke stesen Komuter untuk pulang ke ibukota.

Terminal Penumpang Antarabangsa Pelabuhan Klang.

Senja melabuhkan tirai.
Setelah menempuh gelora ombak lebih 6 jam, kami akhirnya tiba di Terminal Antarabangsa Pelabuhan Klang. Sesak waktu nak turun feri. Gua lepak dulu bagi penumpang lain turun. Bila agak dah lengang baru gua dan adik gua turun. Sealin penumpang, feri ini juga membawa muatan makanan dari Indonesia. Boleh nampak pekerja-pekerja memunggah kotak-kotak untuk dibawa turun dari feri. Kiranya kami geng-geng terakhir yang turun dari feri. Memang tak ada apa yang nak dikejar pun. Jalan santai pengantin je. Perasaan sedikit lega bila kembali menjejakkan kaki di Malaysia setelah menempuh perjalanan darat bermula di Padang seminggu yang lalu. 

Turun di Terminal Feri Pelabuhan Klang ini, semua penumpang terpaksa beratur panjang untuk proses pemeriksaan imigresen. Dekat situ ada la pakcik dan makcik Rela yang berjaga mengawal barisan. Penumpang-penumpang feri diarah untuk beratur di dalam barisan yang ditetapkan. Ada la dua barisan tak salah gua waktu tu. Memang panjang la barisan pun. Gua buat-buat tanya pakcik Rela memang hari-hari macam inikah keadaannya. Jawabnya ya. Dia tanya balik, gua dari Malaysia ke sambil memandang passport merah kami berdua. Gua hangguk je lah. Pakcik Rela tu suruh kami ikut dia, tak payah beratur dalam barisan. Dengan megahnya, kami yang berada di belakang tadi memotong barisan yang panjang tu terus ke kaunter imigresen. Yang beratur semuanya warga Indonesia dengan passport hijau tengok kami semacam. Rasa istimewa sekejap bila kena escort pakcik Rela. Kakitangan Imigresen Malaysia terus cop passport kami sambil tersengih. Haha. Kelebihan pemegang passport merah  di Pelabuhan Klang !

Dekat passport kami ada tertulis caj Terminal Penumpang ASA yang harus dibayar RM15. Tapi selepas urusan cop passport, kami terus keluar dari terminal feri tanpa apa-apa bayaran. Mengikut sumber, patutnya kena bayar, tapi gua tak nampak pulak ada apa-apa sekatan suruh bayar caj terminal ni. Dengan selamba je kami keluar jalan laju-laju menuju ke KTM Komuter Pelabuhan Klang yang tak berapa jauh dari situ. Rezeki kami la kot. Haha

Alhamdulillah. Kembara kami berakhir dengan jayanya. Bermula dari impian jadi kenyataan. Tak tau nak cakap macam mana perasaan lega tu, lebih-lebih lagi dengan bawa adik perempuan gua yang teringin sangat nak ikut backpacking merentasi Sumatra ni. Kalau bawa lelaki tak kisah sangat, kalau bawa perempuan ni payah dan leceh sikit. Ditambah pulak dengan pelbagai masalah di awal perjalanan (kena pau oleh Imigresen Padang) yang membuatkan gua sedikit geram. Apa-pun bumi Sumatra menjanjikan pengalaman pengembaraan yang menarik di samping pemandangan alam semulajadi yang cukup memukau.

Kembara Trans-Sumatra Tamat ! 


// Catatan Travelogue Kembara Trans-Sumatra //


18 November 2014

Kembara Trans Sumatra : Medan - Tanjung Balai (Part 8)

Sambungan dari Kembara Trans Sumatra : Samosir - Medan (Part 7)

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.


Selamat pagi kota Medan. Hari baru pagi baru. Hari ini kami akan meninggalkan Medan dan bergerak menuju ke Tanjung Balai yang terletak di wilayah Asahan. Mengapa nak ke Tanjung Balai ? Ada apa di sana ? Sebenarnya kami bercadang untuk pulang kembali ke Malaysia dengan menaiki feri dari Tanjung Balai ke Pelabuhan Klang.

Kenapa susah-susah nak naik feri sedangkan boleh menaiki kapal terbang balik Malaysia di Lapangan Terbang Kualanamu, Medan ? Tak payah nak ke Tanjung Balai dah. Cepat pun cepat. Bagaimanapun persoalan itu sukar dijawab. Setiap orang ada misinya yang tersendiri. Bagi gua, bukan tempat atau destinasi yang dituju menjadi keutamaan, tetapi bagaimana kita menikmati perjalananan itu sendiri.

Hasil kajian dari Google semalam sebelum tidur, gua memutuskan untuk menaiki keretapi dari Medan ke Tanjung Balai. Sebenarnya terdapat bermacam cara untuk ke Tanjung Balai dari Medan. Boleh naik trafel, bas dan sebagainya. Sengaja gua naik keretapi untuk merasai suasana dan keadaan keretapi di Pulau Sumatra ini. Tambahan, penggunaan keretapi lebih effisien dan cepat berbanding kenderaan darat yang lain. Kalau naik trafel pasti macet.

Pagi-pagi hari lagi kami bangkit bersiap untuk membeli tiket keretapi di Stasiun Keretapi Medan. Sebelum itu, kami sempat bersarapan di Restoran Residence Hotel. Walaupun tiada sarapan percuma, set-set promosi yang cukup murah boleh dipilih. Dengan hanya Rp 10,000, dapat kami bersarapan nasi goreng dan teh panas.

Bicara pagi Indonesia yang berkisarkan kenaikan harga bensin.

Masjid Raya Medan atau juga dikenali sebagai Masjid Raya Al-Mashun.

Panduan memasuki Masjid Raya Al-Mashun, Medan.

Petugas Masjid Raya Medan di pintu hadapan.

Senibina menarik Masjid Raya Medan.

Gabungan senibina Timur Tengah, India dan Sepanyol dapat diliat di Masjid Raya Medan ini.

Masjid Raya Medan yang mempunyai lapan penjuru.

Becak motor di perkarangan Masjid Raya Medan.

Becak motor yang menjadi ikon kota Medan.

Dari Residence Hotel, kami keluar berjalan kaki melintasi Masjid Raya Medan. Untuk ke Stasiun Keretapi Medan, kita boleh menaiki becak motor yang menjadi ikon kota Medan ini. Becak motor ada di mana-mana sahaja. Pantang berdiri tepi jalan, ada sahaja becak motor yang menanyakan tujuan kita. Gua check Google Maps, jarak perjalanan dari Masjid Raya Medan ke Stasiun Keretapi Medan lebih kurang 2KM sahaja. Oleh kerana bajet yang ketat, kami memutuskan untuk berjalan kaki sahaja membelah kota Medan menuju ke stasiun. Dalam perjalanan, ternampak Istana Maimoon yang tersergam indah. Masa yang terhad membataskan kami untuk singgah di Istana Maimoon. 

Kami melalui deretan-deretan kedai di bahu jalan utama kota Medan ini. Gua pernah terbaca yang makcik-makcik dari Malaysia banyak yang menghabiskan masa membeli-belah di Pajak Ikan atau Pasar Ikan. Dikesempatan itu, kami pun cuba la mencari di mana lokasi Pajak Ikan tersebut. Tanya pak polisi dan orang tempatan, jumpalah kami Pajak Ikan ni. Kawasan Pajak Ikan ini merupakan deretan kedai yang menjual kain baju, kain bidang, telekung dan pelbagai lagi barangan tekstil. Kalau di Malaysia lebih kurang Jalan Tuanku Abdul Rahman la gitu. Nama je Pajak Ikan, barang basah tak dijual di sini.

Kami tak singgah pun di Pajak Ikan ini. Sekadar melaluinya sahaja. apa-apa pun tiket keretapi yang menjadi keutamaan dan harus diselesaikan terlebih dahulu. Lebih kurang 9.30 pagi, kami tiba di Stasiun Keretapi Medan. Kelihatan ramai penumpang di perkarangan stesen. Ada yang menunggu dan membeli tiket keretapi. Terdapat perkhidmatan keretapi laju yang yang dikenali sebagai ARS yang menghubungkan Lapangan Terbang Kualanamu dan Stasiun Keretapi Medan ini. Gua suruh adik gua beratur beli tiket keretapi ke Tanjung Balai. Untuk warga asing seperti kami yang berasal dari Malaysia diwajibkan menyerahkan passport semasa urusan pembelian tiket. Harga tiket jurusan Medan-Tanjung Balai berharga Rp 20,000 setiap seorang dan waktu keberangkatan pada pukul 12.40 tengahari.

Kedai buaian.

Bersungguh makcik ni bagi panduan ke Pajak Ikan. 

Deretan kedai baju di kawasan Pajak Ikan.

Pelbagai jenis kain, tudung dan telekung. Orang perempuan syok la mai sini.


Bermacam jenis kain.

Tiba di Stasiun Keretapi Medan.

Jadual keretapi pelbagai jurusan di Stasiun Keretapi Medan.

Kaunter pembelian tiket.

Harga tiket keretapi Medan-Tanjung Balai berharga Rp 20,000 atau lebih kurang RM 6.00 seorang. 

Selesai urusan pembelian tiket, kami balik semula ke Residence Hotel. Kami singgah semula ke Pajak Ikan dalam perjalanan pulang. Adik gua sibuk nak tengok kain la bagai. Jiwa orang perempuan memang macam ni bila jumpa syurga membeli-belah ni. Belek sana-belek sini last-last beli baju sepasang je. Kalau gua sorang-sorang memang tak berhenti dah Pajak Ikan ni. Nak beli fridge magnet tak jumpa sampai ke sudah di Medan ni.

Jalan pergi 2 KM dan jalan balik 2 KM, keseluruhan 4 KM kami berjalan hari ini. Berpeluh jugaklah satu badan. Balik-balik hotel dah lebih kurang jam 11.00 pagi. Waktu untuk check-out adalah pada jam 12.00 tengahari di Residence Hotel ini. Dah siap mandi dah berkemas kami check-out jam 11.45 pagi. Dah mandi wangi-wangi dengan galas backpack takkan nak jalan kaki lagi ke Stasiun Keretapi Medan. Kami mengambil keputusan untuk menggunakan bcak motor. Keluar dari Residence Hotel, ada banyak abang-abang becak yang sedang menunggu. Tanya pada sorang abang berapa harga tambang ke Stasiun Medan, katanya Rp 25,000. Nego punya nego dapat la Rp 20,000. Katanya jalan ke Stasiun Keretapi Medan agak jauh. Kena pusing sana-sinilah. Padahal dia tak tahu kami dah jalan kaki pergi balik tadi dari sana.




Kembali ke Pajak Ikan pulang dari Stasiun Keretapi Medan.

Pilih kak pilih. Bermacam pilihan kain.

Tuan kedai yang berbangsa India. Jangan pelik kalau depa cakap Indonesia.

Baju kelawar.

Abang tu dah tenggelam dalam lautan kain. 

Jangan tanya gua tu kain apa, tu kain apa. Gua tak tahu.

Mereka tetap bercakap bahasa Indonesia walaupun sesama bangsa. 

Jenis borong. Kena beli lebih 3 helai.

Pak polisi.

Kelab Penyokong Barisan Nasional cawangan Medan.


Istana Maimoonyang tak sempat singgah.

Residence Hotel. Room for backpackers, Rp 70.000 sahaja.

Naik becak motor ke Stasiun Keretapi Medan. Boleh nego harga punya.

Bag sumbat sekali di ruang kaki.

Kedai buaian tadi.

Abang becak motor yang ramah. 

Persaingan perkhidmatan becak motor yang agak sengit di kota Medan ini.

Becak motor menurunkan penumpang di hadapan Stasiun Keretapi Medan.

Becak motor yang menjadi nadi pengangkutan utama di kota Medan.

Pintu masuk Stasiun Keretapi Medan yang agak bersih dah tersusun.

Kedai-kedai kecil berhampiran stesen.

Kaunter pemeriksaan tiket keretapi.

Tak jemu duduk lama-lama dekat Stasiun Keretapi Medan ni. Hiks.
Sampai di Stasiun Keretapi Medan, kami terus ke kaunter pemeriksaan tiket untuk masuk ke terminal keretapi. Ada banyak jalur atau jurusan dari stesen ini. Antaranya menuju ke utara seperti Belawan dan Tanjung Balai di arah selatan. Seperti biasa, tanya orang itu ini baru jumpa keretapi Putri Deli yang dicari. Setiap tiket sudah tertulis nombor gerabak dan tempat duduk. Jadi tak boleh lepak duduk sesuka hati dalam keretapi ini. Setiap bangku dikongsi dua orang dan keseluruhan gerabak adalah berhawa dingin. Tidak seperti keretapi Tanah Jawa semasa trip Trans-Java, walaupun kelas bisnes tapi berpeluh satu badan terperap bertemankan tingkap sahaja.

Keretapi ini akan berhenti dari satu stesen ke satu stesen yang lain untuk mengambil dan menurunkan penumpang seperti Komuter di Malaysia. Pada awalnya memang tak penuh satu gerabak, tapi bila dah berhenti di stesen lain, penumpang mulai masuk dan memenuhi setiap ruangan kerusi. Satu benda yang gua suka berkenaan keretapi di Indonesia ini adalah bila berhenti setiap stesen, pasti ada penjaja yang masuk ke dalam keretapi menjual makan dan minuman. Cakap nak makan apa semua ada. Pecal ada, lemang ada, mee segera ada. Puas gua geleng kepala dan mengangkat tangan menolak jualan mereka. Kadang-kadang bila ramai sangat penjaja masuk boleh jem dalam keretapi tu ! 


Keretapi Putri Deli yang berulang-alik di antara Medan-Tanjung Balai.

Jalur 3. Keretapi Putri Deli. Tak ada kelas bisnes atau eksekutif. Semuanya kelas ekonomi.

Memang tak jumpa orang Malaysia yang naik keretapi dari Medan ke Tanjung Balai ni. Kami je yang gigih nak naik.

Awal perjalanan, seat masih kosong.

Keretapi bergerak meninggalkan kota Medan.

Macam-macam gaya ada dalam keretapi ni. Setiap bangku ada soket elektrik sendiri.

Nenek dan cucu.

Nak unjur kaki dan baring pun boleh kalau tak ada orang sebelah.

Promosi peniaga lemang.

Penjaja mulai masuk ke dalam keretapi bila berhenti di setiap stesen.

Dodol pun ada. Makcik depan kami nego sampai setengah harga !

Makcik jual pecal dalam keretapi.

Lepas makan boleh tengok bersepah daun pisang dan bekas makanan di lantai.

Penjaja akan keluar tergesa-gesa bila keretapi bergerak meninggalkan stesen.

Makcik depan gua pun pekena pecal. Macam-macam bau ada dalam keretapi ni.

Gua suka merayau ke sana ke sini.

Dah kenyang, abang tadi baring kembali.

Semua tertidur selepas kekenyangan.

Kami tiba di Tanjung Balai lebih kurang jam 5.00 petang. Walaupun hanya 200 KM sahaja, tapi masa perjalananan hampir 4 jam setengah. Oleh kerana bukan kota tumpuan pelancong, tak banyak yang diketahui berkenaan dengan Tanjung Balai ni walaupun ada berita-berita 'nakal' berkenaan tempat ini. Kota Tanjung Balai selalunya menjadi transit untuk ke Pelabuhan Klang, Malaysia melalui jalan laut. Oleh kerana kos penerbangan yang jauh lebih murah dan cepat, tak ramai yang menggunakan perkhidmatan feri di sini. Selalunya yang berulang-alik melalui jalan laut ke Malaysia adalah penduduk tempatan yang bekerja di Malaysia.

Kami disambut oleh beratus becak motor yang menunggu di hadapan pintu Stasiun Keretapi Tanjung Balai. Macam nak terkam orang gua tengok semua berebut pelanggan. Memang rimas betul masa keluar dari stasiun menepis pelawaan becak motor ini. Kami berjalan kaki dahulu mencari tempat penginapan walaupun tidak tahu arah mana yang dituju. Dah jauh kami berjalan, ada sebuah becak motor menghampiri menanyakan arah tujuan kami. Katanya dia boleh cadangkan tempat penginapan yang murah dan selesa untuk kami pada malam tu. Kesian punya pasal, kami pun naik lah becak motor tersebut. Pemandu becak motor membawa kami ke Ananda Hotel, kira-kira 10 minit dari Stasiun Keretapi Tanjung Balai. Harga tambang becak pula Rp 15,000 selepas nego. Katanya hotel ni sangat bagus padahal gua tahu dia pun ada komisyen bawa pelanggan ke hotel tersebut.

Harga bilik yang dilengkapi katil besar, tandas di dalam, berhawa dingin serta mempunyai TV ini kira-kira Rp 135,000 semalam. Bilik terletak di tingkat atas dan agak besar. Kami sampai di hotel dah nak hampir waktu Maghrib. Bersebelahan hotel terdapat masjid yang agak besar dan menarik. Gua sempat berjemaah Maghrib di sini. Selepas Maghrib kami mencari makan malam. Sebelum itu, gua sempat menanyakan Kak Ija Zahri cara membeli tiket feri di Tanjung Balai. Kak Ija Zahri ni selalu kayuh basikal di Sumatera ni. Datang naik feri dari Pelabuhan Klang. Selalunya mereka yang datang dari Malaysia ke Tanjung Balai akan membeli tiket pergi dan pulang. Kes kami pulak, kami nak beli tiket sehala dari Tanjung Balai ke Pelabuhan Klang. Cari info di internet pun tidak banyak membantu. Kak Ija mencadangkan suapaya menghubungi pejabat syarikat feri malam tersebut. Gua ingatkan boleh beli direct di jeti esok pagi rupanya tidak. Gua cuba la telefon pejabat syarikat feri tersebut, malangnya tidak berjawab. Mungkin dah tutup.

Dalam hati gua esok sajalah gua ikhtiar macam mana nak beli tiket feri balik ke Malaysia. Kami meronda berjalan kaki mencari makan malam tersebut. Kenderaan bermotor masih lagi banyak. Terdapat banyak kedai-kedai kecil yang menjual jus buah-buahan di kota Tanjung Balai ini. Kalau dah di Indonesia tak sah kalau tak singgah di Indomaret, macam 7E di Malaysia. Selalunya gua beli air Mizone 2-3 botol, buat bekal pulang ke Malaysia. Minat sungguh gua air Mizone ni. Murah pun murah.

Selamat tiba di Stasiun keretapi Tanjung Balai.

Sesak dengan orang yang nak keluar dan pemandu becak motor yang merebut pelanggan.

Turun dari keretapi, kami lepak dulu.

Buah-buahan yang dijual di kaki lima jalan Tanjung Balai.

Jalan yang agak kotor di Tanjung Balai.

Pasar Tradisional Tanjung Balai.

Naik becak motor lagi di Tanjung Balai.

Tanjung Balai yang sesak dengan becak motor.

Menikmati kota Tanjung Balai dengan becak motor.

Selamat sampai di Ananda Hotel, Tanjung Balai.

Semua bilik Ananda Hotel di tingkat atas.

Nampak bersih dan terurus di bahagian luar.


Hotel Ananda tempat kami bermalam.

Dorsemer bermaksud cuci kereta.

Hotel Ananda yang menhadap jalan

Waktu hampir senja.

Masjid bersebelahan Hotel Ananda.

Sempat berjemaah Maghrib bersama penduduk tempatan.

Kedai kek dan roti yang terdapat di Tanjung Balai.

Murah-murah semuanya.

Jus buah yang dijual dari atas motor. Rp 5,000 secawan untuk semua jenis buah. Puas hati & murah.

Warung-warung makan yang terdapat di sekitar Tanjung Balai.

makan malam kami. Nasi goreng ayam berempah. Rp 10,000.

Betul kata orang, urusan perjalanan si musafir ini selalu dipermudahkan. Tengah-tengah cari kedai makan, ternampak sebuah premis syarikat Jetstar Ferry Services yang menjual tiket feri Tanjung Balai-Pelabuhan Klang. Sebenarnya ada 2-3 buah syarikat yang menyediakan perkhidmatan feri ulang-alik di antara Tanjung Balai dan Pelabuhan Klang. Syarikat Jetstar Ferry Services adalah salah satunya. Ada sorang petugas dalam tu sedang sibuk menguruskan dokumen-dokumen. Gua pun masuk lah tanya ada jual tiket feri balik ke Pelabuhan Klang tak. Ada katanya. Harga tambang feri adalah sebanyak Rp 390,000 setiap seorang (termasuk caj isi borang+cukai pelabuhan). Kami pun bersetuju. Banyar duit dan patutnya kena serahkan Passport dan Arrival Card untuk disimpan. Di atas mejanya berlambak passport penumpang Indonesia. Di sini mereka akan pegang passport dan tolong isi segala borang yang berkaitan. Tak boleh sesuka hati isi sendiri. Mesti melalui ejen

Gua minta balik passport dan tinggalkan Arrival Card sahaja kepada petugas tersebut. Katanya esok awal pagi mesti datang berkumpul di sini dan serahkan semula passport untuk urusan dokumentasi. Bila mana ditanya jam berapa feri akan bertolak, dia pun tak berapa pasti. Katanya sekitar jam 10.00 pagi tapi wajib berkumpul jam 7.00 pagi di pejabat tersebut. Selesai urusan, kami keluar dengan perasaan sedikit lega. Gua ingatkan boleh main serbu je jeti tempat naik feri. Rupanya kena beli tiket di pejabat syarikat feri.

Bersambung ke Kembara Trans Sumatra (Part 9) : Tanjung Balai - Pelabuhan Klang


// Catatan Travelogue Kembara Trans-Sumatra //


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...