Iklan

Memaparkan catatan dengan label Ride Kuala Lumpur-Gua Musang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ride Kuala Lumpur-Gua Musang. Papar semua catatan

10 November 2014

Duo Ride Pantai Timur (Hari 1) : Kuala Lumpur - Gua Musang




Laluan Hari Pertama Kembara Duo Pantai Timur :

Kuala Lumpur - Tapah - Cameron Highland - Kampung Raja - Tanah Tinggi Lojing - RnR Gua Musang.



السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.


Perjalanan kembara bermotosikal ini bermula seawal jam 9.00 pagi dari Segambut, Kuala Lumpur. Gua tunggu member gua si Shahrul datang dulu. 2-3 hari sebelum dah janji nak bergerak awal pagi selepas Subuh. Janji hanya tinggal janji dan janji juga janji Melayu. Biasalah nama pun janji Melayu. Janji pukul 7.00 pagi , jam 8.15 pagi baru sampai.

Dah cukup ahli, mestilah sarapan dulu. Perut mestilah diisi dulu. Tiap-tiap masa pun jaga perut. Tak boleh lapar sikit. Gua dan Shahrul bersarapan di kedai mamak dekat-dekat rumah gua. Pekena teh tarik dan roti telur bawang baru cara. Bersemangat lagi bertenaga nak memulakan penjelajahan duo dengan kapcai dan skuter ni.

Dari kedai mamak terus ke stesen minyak. Makan tadi pun kami tak lepak lama memikirkan jarak perjalanan yang akan kami lalui hari ini. Kami harus tiba ke Tasik Kenyir pada hari ini jugak. Mengikut peta Google Maps, jarak perjalanan melalui Tapah dan Gua Musang tak sampai 450 KM. Mengikut perkiraan Maghrib boleh sampai la kot ke Tasik Kenyir. Moga-moga.

Selesai memenuhkan tangki minyak masing-masing di BHP Jalan Kuching, periksa pulak angin tayar. Awat tayar depan skuter Nouvo LC gua macam kurang angin. Gua ambik pam dan isi angin dulu. Gua dah boleh syak dah ini mesti masalah tayar. Baru semalam gua tukar tayar di Seksyen 24 Shah Alam semata-mata untuk kembara ni.

Tayar terpakai RM15 menjadi pilihan menggantikan tayar lama yang dah botak. Masa suruh Apek kedai pasang semalam, tak suruh dia periksa dulu tayar tu elok ke tak. Gua tengok ada 'cacing' pada tayar tu setempat. Salah gua jugak. Isi angin, tayar tadi gua agak macam ok je. Hai, tolonglah jangan buat hal hari ni wahai tayar. Abang nak ride jauh hari ni.

Kami terus bergerak menuju Tapah melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). Di lebuhraya, kelajuan purata kami adalah sekitar 70-80 KM/J sahaja. Selain menjimatkan minyak, enjin motorsikal juga tidak begitu meraung dalam kelajuan ini. Pada hujung minggu sebegini, geng-geng konvoi motosikal berkuasa besar turut kelihatan di lebuhraya menuju ke utara. Dengan beberapa kali rehat di RnR Tanjung Malim dan RnR Tapah, 3 jam masa yang diambil untuk tiba ke Tapah yang jaraknya lebih kurang 130 KM dari Kuala Lumpur. 

Dari Tapah, kami mengikuti jalan lama ke Cameron Highland. Jalan yang kurang popular ini menuju terus ke Ringlet. Suasana jalan yang berselekoh dan sedikit mendaki ini dilitupi hutan tebal yang agak teduh. Sepanjang perjalanan, kelihatan orang-orang asli menjual hasil hutan di bahu jalan.

Ada sebahagian jalan lama Tapah-Cameron Highland ini yang baru diturap dan sebahagian lagi dalam proses pembaikan. Sebenarnya, ini bukanlah pertama kali gua melalui jalan ini. Sebelum ni, gua pernah berkayuh dari Tapah ke Cameron Highland juga secara berdua dengan seorang rakan. Kayuhan tersebut tidak berjalan lancar sepeti yang diharapkan kerana faktor kesihatan dan keselamatan. Hingga ke malam kami berkayuh di jalan ini. Cerita lanjut boleh baca di Duo Bikepacking : Kayuhan Tapah - Cameron Highland

Kami berhenti rehat di Tanah Rata, Cameron Highland lebih kurang jam 2.00 petang. Kebetulan, hujan turun dengan lebatnya bilamana kami tiba di Medan Selera Tanah Rata.  Alhamdulillah dipermudahkan perjalanan, kami berteduh dan makan di sini. Jam 3.30 petang barulah hujan sedikit reda. Dalam gerimis, kami meneruskan perjalanan melalui Brinchang dan Kampung Raja. Di stesen Shell Brinchang, kami kembali mengisi minyak ke dalam tangki hingga penuh.

Harapan kami adalah untuk tiba di Tasik Kenyir pada hari ini juga. Cuaca agak baik apabila kami tiba di persimpangan Kampung Raja. Di persimpangan ini, ada dua pilihan. Kiri menuju Simpang Pulai dan kanan menuju Gua Musang. Kami berhenti seketika melegakan punggung yang sedikit kebas. Dengan masa yang agak terbatas, kami meneruskan perjalanan melalui Jajahan Kecil Lojing yang terletak di negeri Kelantan.

Suasana di sini sama seperti Cameron Highland oleh kerana ianya bersempadan. Ada ketikanya kami basah oleh kerana hujan yang turun secara tiba-tiba semasa melalui perbukitan menuju ke Gua Musang. Kelihatan juga kanak-kanak orang-orang asli yang berjalan di bahu jalan semasa melalui jalan Lojing-Gua Musang ini.

Jam 6.00 petang, kami tiba di Gua Musang. Kami solat jamak di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang. Entah kenapa gua rasakan pekan Gua Musang waktu itu kelihatan sunyi dan sayu. Mungkin hari Sabtu ini hari cuti barangkali. Langit menunjukkan tanda-tanda hendak hujan.

Gua berbincang dengan Nizam sama ada untuk meneruskan perjalanan atau berehat seketika di masjid ini. Kami mengambil keputusan nekad untuk meneruskan perjalanan walaupun ketika itu hampir waktu Maghrib. Minyak diisi penuh lagi di Petronas Gua Musang. Pada ketika itu, kelihatan burung layang-layang banyak sekali berterbangan di kawasan sekitar. Mungkin gua yang pertama kali berada di Gua Musang ini berasa teruja.

Selesai mengisi minyak, kami mencari jalan menuju ke Tasik Kenyir melalui Jalan Felda Aring. Dalam waktu Maghrib itu, beberapa kali salah mencari laluan yang betul menuju Tasik Kenyir. Salh satunya menuju ke kawasan gua berhampiran. Gua buka Google Maps memeriksa laluan yang betul. Dalam kegelapan malam, kami meredah jalan utama yang menghubungkan Gua Musang dan Kota Bharu. Lori-lori dengan muatan berat cukup banyak di jalan ini. Jalannya hanya mempunyai satu lorong dan agak berbahaya bagi motorsikal bila di waktu malam. 

Tidak semena-mena hujan turun dengan lebatnya tanpa amaran. Nak bawa motor pun dah tak nampak depan ditambah dengan kegelapan malam. Nak berhenti pulak tak ada tempat yang sesuai di bahu jalan. Dalam kebasahan, kami menunggang betul-betul perlahan. Mujur kami ternampak sebuah rumah dan terus berteduh di situ. Hujan memang betul-betul lebat. Gua dan Nizam dah basah kuyup, dari jaket hingga ke dalam. Kami dialu-alukan oleh abang tuan rumah untuk berteduh.

Sementara menunggu hujan berhenti, sempat kami berborak dengan beliau. Dijamu pulak biskut kering dan kopi panas. Fuh ! Macam-macam kami borakkan. Abang tersebut berpesan supaya menangguhkan perjalanan ke Tasik Kenyir pada malam tersebut. Katanya lebih baik bergerak pada esok pagi kerana pada malam-malam begini selepas hujan banyak gajah-gajah liar yang berkeliaran di Jalan Felda Aring menuju ke Tasik Kenyir. Katanya lagi, jalan tersebut agak gelap dan merbahaya jikalau menunggang motorsikal. Beliau menasihatkan kami supaya bermalam di RnR Gua Musang terlebih dahulu.

Kami mengikut cadangan abang tersebut. Hujan reda lebih kurang jam 10.00 malam. Setelah meminta izin, kami meneruskan perjalanan ke RnR Gua Musang yang tidak jauh dari situ. RnR Gua Musang selalunya menjadi tempat perhentian rehat bagi pemandu yang menuju Kota Bharu. Kami melepak makan dan minum sehingga jam 12.00 tengah malam. Setelah difikirkan tempat terbaik untuk bermalam adalah di surau. Kami tidur di beranda surau beralaskan beg baju masing-masing. Penginapan selesa dan percuma malam ini walaupun sedikit kesejukan !

Hentian RnR Tanjung Malim.

Terima kasih kepada saudara Xabilovers, pembaca blog Budak Letrik yang tegur gua di RnR Tanjung Malim ni. Siap periksa IG untuk kepastian !


Hentian RnR Tapah.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah Nizam walaupun kebas punggung.

Jalan Tapah-Cameron Highland bermula.

Jalan baru diturap.

Suasana hutan yang redup dan sejuk dari Tapah menuju ke Ringlet.

Deretan kereta yang bergerak perlahan oleh kerana lori besar di hadapan.

Cuaca panas, tak pakai glove.

Melayan selekoh jalan Tapah-Cameron Highland.

Jalan Tapah-Cameron Highland yang menghijau.


Gigih nak ambil gambar.

Jarak ke Ringlet, Tanah Rata dan Brinchang.

Air Terjun Lata Iskandar, Tapah.

Air Terjun Lata Iskandar, Tapah.


Berhenti sebentar di Air Terjun Lata Iskandar.

Pengunjung yang agak ramai di Air Terjun Lata Iskandar, Tapah pada hari Sabtu.

Selekoh sempit Air Terjun Lata Iskandar, Tapah.

Cepat cepat ambil gambar sebelum kenderaan berat melepasi selekoh Air Terjun Lata Iskandar ini.

Gerai-gerai kecil berhampiran Air Terjun Lata Iskandar, Tapah.

Kraftangan yang dijual di salah sebuah kedai berdekatan Air Terjun Lata Iskandar.

Kembali meneruskan perjalanan dari Air Terjun Lata Iskandar.

Dari Tapah ke Ringlet keadaan sedikit mendaki.

Berhenti rehat di Tanah Rata, Cameron Highland.

Sebelum hujan lebat melanda Tanah Rata.

Angkat bag bawa berteduh di medan selera Tanah Rata..

Mengisi perut semnetara menunggu hujan berhenti di Gerai Kak Nab,Tanah Rata.

Hujan lebat membasahi pekan Tanah Rata.

Stesen minyak Shell Brinchang.

Bersiap bungkus beg untuk meredah gerimis di Brinchang.

Persimpangan Kampung Raja.


Tasik Kenyir yang masih jauh. 252 KM dari persimpangan Kampung Raja.

Kalau sesiapa yang datang dari Simpang Pulai akan melalui simpang ini untuk ke Brinchang atau Tanah Rata.


Berhenti rehat lagi di persimpangan Kampung Raja sebelum menuju Lojing.

Tanah Tinggi Lojing yang terletak di Negeri Kelantan.

Suhu persekitaran yang masih sejuk di Lojing seperti di Cameron Highland.

Jalan Cameron Highland-Gua Musang yang luas.

Jalan Cameron Highland-Gua Musang yang jarang dilalui kenderaan.

Sekejap hujan dan sekejap kering semasa melalui Jalan Cameron Highland-Gua Musang.

Tanda-tanda kebas punggung.

Lebih kurang 80 KM dari Cameron Highland, bertemu Simpang ke Gua Musang.

Isi minyak di stesen Petronas Gua Musang hampir waktu Maghrib.

Terima kasih abang tuan rumah menjamu kopi panas ketika kami berteduh dari hujan lebat di Gua Musang.

Chalet tempat kami berehat. Surau RnR Gua Musang.


Bersambung ke Duo Ride Pantai Timur (Hari 2) : Gua Musang-Tasik Kenyir-Kuala Terengganu-Bachok



// Catatan Travelogue Kembara Duo Pantai Timur //

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...