Iklan

Memaparkan catatan dengan label Ride Bachock-Sik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ride Bachock-Sik. Papar semua catatan

12 Disember 2014

Duo Ride Pantai Timur (Hari 3) : Bachok - Kota Bharu - Gerik - Sik

Sambungan dari Duo Ride Pantai Timur (Hari 2) : Gua Musang - Tasik Kenyir - Kuala Terengganu - Bachok





السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.


Setelah dapat tilam dan bantal empuk di Anak Rhu Chalet semalam, gua dan Shahrul terlena tidak sedarkan diri hingga ke pagi. Sedar-sedar dah subuh. Kedengaran bunyi bising-bising di luar bilik chalet kami. Rupa-rupanya rombongan budak-budak sekolah yang menyewa chalet bertentangan dengan bilik kami sedang bersiap menaiki van bersama guru pengiring mereka.

Terdengar deruan ombak Pantai Melawi dari bilik chalet kami. Bergegas kami menyiapkan diri untuk meneruskan perjalanan kembara bermotosikal ini yang telah masuk hari ketiga. Hari ini rancangannya adalah menamatkan perjalanan di kampung gua di Sik, Kedah. Kami akan mengikuti jalan Jeli-Grik-Baling yang menghubungkan pantai timur dan utara semenanjung Malaysia.

Jam 8.00 pagi, kami mulai bergerak meninggalkan Pantai Melawi di Bachok menuju ke ibu negeri Kelantan iaitu Kota Bharu. Dah alang-alang sampai di negeri Cik Siti Wan Kembang, haruslah singgah dulu di Kota Bharu, Bandaraya Islam. Rasanya dah 4-5 tahun tak jejak negeri Kelantan. Kalau pergi pun dengan rombongan universiti. Tak boleh nak teroka sesuka hati bila ikut rombongan ni. Dah ada kesempatan ni, kami jelajah la ikut cara kami sendiri.


Suasana pagi di Anak Rhu Chalet di Pantai Melawi, Bachok.

Bilik Chalet Anak Rhu yang ringkas.

Ada halaman berpasir pantai di Chalet Anak Rhu ini.

Pohon nyior melambai-lambai di Pantai Melawi, Bachok.

Berkejaran dengan Shahrul di Pantai Melawi.

Sesi fotografi di celahan pohon kelapa Pantai Melawi.

Dari Pantai Melawi, Bachok kami menuju terus ke Kota Bharu. Ingatkan nak berhenti cari kedai sarapan pagi, tapi masing-masing sibuk cari stesen minyak yang terdekat berikutan tangki motorsikal masing-masing yang hampir kekeringan minyak. Mujur jumpa stesen minyak berhampiran Masjid Tok Guru di Pulau Melaka. Sebelum kembara ini bermula, gua pernah terpikir untuk melawat rumah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan. Allah pertemukan jalan yang betul kepada kami hingga kami tiba di Pulau Melaka pagi ini. 

Selesai isi minyak, gua dan Shahrul menunggang motorsikal masuk ke dalam kawasan perkarangan Masjid Pulau Melaka atau juga dikenali sebagai Masjid Tok Guru.  Ada beberapa buah bangunan di sekitar masjid. Sebuah tempat pengajiandan juga sebuah kediaman yang sederhana. Yang gua pasti itu adalah kediaman Tok Guru Nik Abdul Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan berdasarkan pembacaan di akhbar dan media sosial sebelum ini. Kelihatan budak-budak Maahad Darul Anuar sibuk berkejaran masuk ke kelas memulakan pengajian. Mata kami melilau melihat suasana persekitaran Masjid Pulau Melaka. Kot-kot boleh terjumpa Tok Guru.

Setelah beberapa ketika menunggu dan bergambar di kawasan sekitar Masjid Pulau Melaka ini, kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Kota Bharu. Mungkin bukan rezeki kami nak berjumpa Tok Guru. Nak ketuk pintu rumah lagi la segan. Lagipun Tok Guru dalam keuzuran. Malas kami nak kacau. Sambil-sambil cari kesempatan nak jumpa Tok Guru, mata jugak meliar mencari si jubah yang boleh dijadikan menantu mak. Hiks.


Masjid Pulau Melaka atau dikenali sebagai Masjid Tok Guru.

Terdapat maahad tahfiz dan kediaman Tok Guru berhampiran Masjid Pulau Melaka ini.

Maahad Tahfiz Darul Anuar berhampiran Masjid Pulau Melaka, Kota Bharu.

Kediaman Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka. Tidak berkesempatan menemui beliau.

Antara destinasi kami di Kota Bharu adalah Pasar Siti Khadijah. Seumur hidup tak pernah jejak masuk lagi dalam ni. Asyik dok tengok gambar member-member dalam Intagram je di pasar ni. Berpandukan Google Maps, jumpalah kami Pasar Siti Khadijah di tengah-tengah bandar Kota Bharu. 

Parking motor di tepi pasar, kami terus berjalan masuk ke dalam. Di sebelah tingkat bawah Pasar Siti Khadijah ni, banyak dijual barang-barang basah seperti sayur dan ikan. Yang syoknya banyak mata-mata yang memerhatikan kami dengan pandangan yang pelik di pasar ni. Gua pun tak pasti kenapa. Adakah penampilan kami yang nampak persis budak bandar? Gua rasa pakaian kami tidaklah menonjol mana. Mungkin ada yang menyangka kami sedang membuat dokumentari di pasar ini. Barangkali.

Di tingkat atas Pasar Siti Khadijah ini pula terdapat kedai-kedai kecil yang menjual pakaian dan kain telekung. Kami naik di tingkat atas bukan untuk membeli -belah, tetapi untuk merakamkan pemandangan dari sisi atas pasar. Berwarna-warni dinding pasar ni rupanya. Dapat la tengok suasana makcik-makcik yang sedang berniaga di bawah. 


Singgah di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu.

Deretan peniaga di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu.

Pasar Siti Khadijah yang berwarna warni.


Sayur dan barangan basah yang terdapat di Pasar Siti Khadijah.

Di Pasar Siti Khadijah ni, peniaga akan duduk di tengah-tengah barang yang diniagakan.

Di tingkat atas Pasar Siti Khadijah, ada kedai-kedai tudung dan busana muslimah.

Makcik jual keropok lekor di Pasar Siti Khadijah.

Dari Pasar Siti Khadijah, kami meronda di sekitar bandaraya Kota Bharu. Gua teringat dulu masa ikut rombongan universiti ke negeri Kelantan, kami ada singgah di Pintu Gerbang atau Menara Rehal Kota Ismail Petra yang menjadi ikon negeri Kelantan. Gua dengan shahrul ada bercadang nak singgah tempat ni. Berpandukan Google Maps, kami ikut sahaja panduan yang diberikan. Tak jauh mana pun dari Pasar Siti Khadijah tadi.

Kami berhenti tak lama di Pintu Gerbang Kota Ismail Petra ini kerana mengejar masa. Yang gua tahu sekitar kawasan ni, ada kedai-kedai kecil yang menjual cenderahati. Dari pagi tadi ingat nak sarapan terlajak sampai masuk waktu tengahari. Gua kata dekat Shahrul, kita singgah mana-mana kedai makan la nanti untuk makan tengahari. Shahrul pun mengiyakan aje, tapi dalam hati dia gua tau dia lapar sungguh tu.

Dari Kota Bharu, kami mengikut jalan ke jajahan Pasir Mas. Betul ke gua dengar Pasir Mas ni banyak melahirkan jelitawan-jelitawan persis Cinderella? Tak sempat kami nak explore dan melawat kawasan Pasir Mas ni kerana kulit kami terbakar dek bahang mentari. Kebetulan terjumpa sebuah warung makan di tepi jalan berhampiran pekan Pasir Mas. Kami berhenti rehat dan makan di sini. Yang syoknya kedai ni ada menyajikan menu nasi kerabu yang menjadi identiti masyarakat Kelantan. Tunggu apa lagi, gua dngan Shahrul balun nasi kerabu la ! Murah pun murah. Nasi kerabu campur teh ais baru RM 4.00.


Ikon Kota Bharu, Pintu Gerbang Kota Ismail Petra.

Pintu Gerbang atau juga dikenali sebagai Menara Rehal Kota Ismail Petra.

Meneruskan perjalanan selepas pekena Nasi Kerabu di pekan Pasir Mas.

Malas nak ikat belakang, letak bag di sebelah depan pulak. Kelebihan skuter.

Shahrul tak sudah-sudah dengan bagnya yang diikat di belakang motorsikal.

Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang.

Cuaca panas terik membakar kulit di Pasir Mas.

Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas-Kota Bharu.
Seterusnya, kami bergerak ke Rantau Panjang dari Pasir Mas. Dalam perjalanan, tak sangka boleh jumpa Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau dengan nama popularnya Masjid Beijing. Ia betul-betul berada di sebelah kanan jalan menghala ke pekan Rantau Panjang. Kami tak sempat menjengah masuk ke dalam dan hanya bergambar di perkarangan Masjid Beijing ini saja. Nampak tak senibinanya? Macam tokong cina kan? Sebelum ni pernah baca dan tengok di TV sahaja Masjid Beijing ni. Kali ni betul-betul depan mata. 

Tak jauh dari Masjid Beijing, kami menghampiri Komples ICQ Rantau Panjang. Rupanya dah betul-betul ada di sempadan Malaysia-Thailand. Kelihatan banyak kereta keluar masuk imigresen. Selalunya pekerja kedai Tomyam berketurunan Pattani selalu berulang-alik ikut border Rantau Panjang ni. Kalau waktu raya ni, memang sesak. Kalau banyak masa, boleh dipertimbangkan nak lajak ke sebelah Siam sana untuk ke Sungai Kolok. Kami berhenti melepak sat melihat suasana lintasan sempadan Rantau Panjang. Tak boleh lama-lama kat sini. Bau sempadan ni betul-betul menggamit. Rindu woo nak border crossing !

Masuk pekan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, cuaca mulai mendung menunjukkan tanda-tanda hari nak hujan. Cepat-cepat kami meredah pekan membeli-belah ni. Orang tak berapa ramai hari tersebut. Kalau dapat ke orang perempuan lalu kawasan beli-belah Rantau Panjang ni, siaplah hangpa. Kami ni pun naik motor, kalau naik kereta ni maunya angkat Narita tak pun Toto balik Kuala Lumpur ni. Sebelum meninggalkan Rantau Panjang, sempat lagi tembak satu gua gambar buat kenangan.


Singgah di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau dengan nama popularnya Masjid Beijing di Rantau Panjang.

Gabungan senibina Cina dan Islam dapat dilihat di Masjid Beijing ini menyerupai Masjid Niujie di negara China.

Berehat sebentar di Kompleks ICQ (Imigration, Custom & Quarantine) Rantau Panjang.

Terus masuk Siam, kanan ke pekan Rantau Panjang. Kalau bawa passport ni boleh lajak ke sebelah Thailand dengan motorsikal.

Memandang Kompleks ICQ Rantau Panjang dengan impian untuk menjelajah bumi Thai dengan motorsikal nanti.

Lintasan sempadan atau border crossing yang tak berapa sibuk di Rantau Panjang.

Tak apa. Kita pusing habis Malaysia dulu, baru kita masuk Thai. Impian nak jejak Mae Hong Son a.k.a 1000 corner di utara Thailand.


Perjalanan masih jauh berbaki. Baru sampai di Rantau Panjang sebelum ke Jeli.

Berhampiran Kompleks ICQ Rantau Panjang ni, ada beberapa buah stesen minyak. Nak masuk Thai dengan kereta boleh isi minyak penuh-penuh dulu.

Pengangkutan awam seperti bas dan teksi juga mudah didapati di pekan Rantau Panjang ini.

Bersiap menyambung perjalanan ke Jeli.

Pekan membeli-belah Rantau Panjang.

Pekan koboi Rantau Panjang yang agak lengang.

Berhenti menyinggah lagi. Kali ini di pekan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.

This is Rantau Panjang !

Peringatan di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.

Eh tak jauh dah Jeli dari Rantau Panjang. 45 KM je lagi. Kalau tengok peta , jalan ke Jeli ni betu-betul di sempadan Thai.

Selamat tinggal Rantau Panjang !

Destinasi seterusnya selepas pekan Rantau Panjang adalah jajahan Jeli yang juga masih terletak di negeri Kelantan. Dari Rantau Panjang taklah jauh sangat nak sampai Jeli ni. Lebih kurang 50 KM sahaja. Kami melalui kawasan perkampungan dan jarang nampak atau berselisih dengan kenderaan lain di jalan Rantau Panjang-Jeli ni. 

Yang gua perasaan kami melalui Bukit Bunga sebelum sampai di Jeli ni. Ada deretan kedai-kedai kecil di bahu jalan yang menjual pelbagai barangan antaranya buah-buahan. Bukit Bunga ni pun gua syak salah satu tempat shopping bagi pengunjung luar yang bertandang ke negeri Kelantan. Macam mereka yang nak menghala ke utara tanahair seperti Penang dan Kedah boleh la singgah membeli belah di Bukit Bunga ini dulu.

Kami berhenti mengisi minyak penuh di stesen Petronas Jeli. Ini kali kedua kami mengisi minyak sejak kali pertama di Kota Bharu tadi. Lepas ni dah tak ada dah stesen minyak di tengah-tengah hutan banat Lebuhraya Timur-Barat sehinggalah ke pekan Gerik. Nak isi minyak memang kena isi di Jeli ini dulu. 

Dari Jeli, kami mengikut Lebuhraya Timur-Barat yang membelah banjaran Titiwangsa hingga ke pekan Gerik di negeri Perak. Dah nama membelah banjaran haruslah naik bukit turun bukit. Naik bukit agak meraung enjin motor, turun bukit bukan main masing-masing meleper tak ingat kawan di belakang. Berharap jugak dapat tengok gajah liar di tepi-tepi jalan Jeli-Gerik ni tapi tak ada rezeki. Seekor pun tak ada. Tapi pemandangan hutan dan bukit-bukau di sini memang lawa. Redup dan sejuk kami sepanjang masa dipayungi rimbunan pohon-pohon kayu.

Sesi mengisi minyak penuh di Petronas Jeli.


Motor masing-masing dah cukup comot bila sampai di Jeli.

Meneruskan perjalanan lagi dari Jeli ke Gerik, Perak.

Menunggu Shahrul mengisi minyak. Permulaan jalan Jeli-Gerik yang melintasi Banjaran Titiwangsa.

Konon-konon batang pancing bila pergi Tasik Kenyir, sebenarnya tripod kamera tu. Guna sekali je pun.

Sedap meleper di Jalan Jeli-Gerik ni.

Kereta pun jarang ada.

Steady ! Kelajuan purata kami sekitar 60-70 KM/J sahaja.

Naik bukit turun bukit meredah Banjaran Titiwangsa melalui Lebuhraya Timur-Barat dari Jeli ke Gerik.

Kami berhenti rehat di Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa yang berada 1000 m dari paras laut. Hentian Rehat Titiwangsa ni selalu menjadi persinggahan bagi mereka yang melalui Lebuhraya Timur-Barat ini dari Jeli ke Gerik. Ada kedai makan minum dan harganya berpatutan. Dari atas ni boleh nampak pemandangan gunung-ganang dan hutan belantara yang menghijau. Sempat lagi pekena Teh Ais di hentian rehat ni.

Masuk waktu Asar, kami meneruskan perjalanan yang tertangguh. Dari Hentian Rehat Titiwangsa tadi, kita akan melalui Empangan Temenggor dan Tasik Banding sebelum tiba di pekan Gerik. Kami berhenti lagi kali ni di Jambatan Tasik Banding. Saja nak tengok pemandangan petang. 

Berehenti berehat di Hentian R&R Titiwangsa, hentian rehat tertinggi di Malaysia.

Pemandangan di Hentian Rehat Titiwangsa dari ketinggian 1000 m dari paras laut.

Nampak pucuk-pucuk pokok ja dari atas ni.

Shahrul dan rokok berpisah tiada. Jantung kedua.

Berhenti rehat dan parking motorsikal di Jambatan Tasik Banding. 

Ada dua jambatan di Tasik Banding ni. Ini jambatan pertama jikalau anda dari Kelantan.

Jambatan Tasik Banding ni agak sempit. Selisih dengan lori-lori besar terasa berayun jambatan ni.

Yang sebenarnya di tengah Empangan Temenggor ada sebuah pulau. Pulau itulah Pulau Banding. Jambatan dibina menghubungkan Pulau Banding.

Empangan Temenggor ini merupakan tasik buatan manusia yang dibina untuk menjana kuasa hidroelektrik.

Jambatan Tasik Banding. Tempat melepak yang popular bagi pelajar-pelajar yang berulang-alik dari Kelantan ke Penang.

Menimati susana petang di Jambatan Tasik Banding.

Kembara bermotosikal kami menuju ke utara Semenanjung melalui laluan Jeli-Gerik.

Jambatan Tasik Banding. Sesekali kenderaan melintasi kami.

Jambatan Tasik Banding berlatarkan air tasik yang kehijauan.

Jambatan pertama dari Pantai Timur ke Pulau Banding melalui Empangan/Tasik Temenggor.

Tak puas lagi tengok Tasik/Pulau Banding.
Jentera masing-masing beraksi cemerlang meredah Banjaran Titiwangsa walaupun tayar depan gua mengalami sedikit masalah.

Tasik Banding dikejauhan.

Ada bot-bot kecil di sekitar kawasan Tasik Banding ni.

Jumpa geng. Kita rider tiada beza. Bukan cc jadi ukuran, tapi jiwa.

Bersedia menyambung perjalanan dari Tasik Banding.

Melepak makan di kedai Siam kampung gua di Sik, Kedah.

Kami tiba di pekan Gerik  hampir masuk waktu Maghrib. Dikesempatan itu. kami solat jamak di Masjid Jamek Gerik berhampiran dengan stesen minyak Petronas. Selesai bab tu, baru kami menyambung perjalanan membelah kegelapan malam dari melalui Lebuhraya Timur Barat jurusan Gerik ke Baling seterusnya ke Sik, Kedah. Dekat-dekat pukul 10.00 malam jugak baru kami sampai di Sik. Penginapan kami di malam ketiga penegembaraan motorsikal ini ditaja sepenuhnya oleh gua iaitu di Kampung Tupai, Sik Kedah. Semalam dah merasa bermalam di tepian pantai di Bachok, malam ni di desa sawah padi di Sik pulak. Letak-letak beg dan mandi apa dulu di kampung gua, sebelum tiduq kami melepak di kedai Siam Pattani dulu pekena tomyam. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...