Iklan

06 November 2014

Kembara Trans Sumatra : Menjelajah Pulau Samosir (Part 6)


السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.


Pagi baru yang nyaman dan dingin di Danau Toba. Bangkit tidur terus kami bersiap untuk program menjelajah Pulau Samosir ini. Hanya hari ini sahaja kami berpeluang melihat kawasan sekitar Danau Toba sebelum menuju ke kota Medan keesokan hari. Sebelum itu kami bersarapan di Rodeo Guesthouse. Tuan guesthouse menyediakan kami teh manis. Untuk meronda sekitar Samosir, kami telah menyewa sebuah skuter dari tuan guesthouse. Dari semalam lagi dia dah pesan kalau nak sewa motorsikal cari dia. Rasanya bukan skuter dia, tapi diambil dari kedai runcit bertentangan. Untuk menyewa motorsikal ataupun skuter, tiada apa-apa dokumen diperlukan. Hanya perjanjian lisan antara kedua belah pihak. Kos sewa pula berharga Rp 90,000 untuk sebuah skuter Honda Vario. Skuter mesti dipulangkan sebelum jam 6.00 petang pada hari yang sama. Kalau sewa 24 jam pun nak ke mana dalam pulau Samosir ni. Kawasan Tuktuk tempat pelancong ni pun gelap waktu malam, jangan harap tempat lain ada lampu jalan. 


Teh manis sebagai sarapan di Danau Toba.

Owner Rodeo Guesthouse. Inilah restoran dan inilah juga rumah beliau.

Jalan yang teruk di Tuktuk. Kedai runcit dan guesthouse banyak terdapat di pinggir jalan Tuktuk.

Dah dapat skuter, tunggu apa lagi. Takda ada arah tuju pun sebenarnya. Ikut perancangan nak pusing satu Pulau Samosir. Berpandukan Google Maps di telefon, boleh la kami agak kedudukan kami. Kekadang agak keliru dengan tasik dan banjaran kawah yang berada di Danau Toba ni. Kebetulan pula hari tersebut adalah hari Ahad di Pulau Samosir, Danau Toba. Sedia maklum, kebanyakan penduduk Batak Toba di Pulau Samosir ini beragama Kristian. Sebab itu banyak gereja-gereja yang didirikan masyarakat setempat di kawasan sekitar Samosir. Oleh yang demikian, pagi Ahad boleh la nampak awek-awek dan makcik-makcik pegang kitab menuju ke gereja. Bukan itu sahaja, pelancong mat-mat saleh turut sama melawat gereja yang ada di Pulau Samosir ni.


Tak sampai satu kilometer dah berhenti ambil gambar dah.

Pemandangan pagi yang cukup memukau di Danau Toba.

Dah nama pun danau, mestilah ada tasik dan tebing-tebing kawah yang tinggi.

Kami mengikuti jalan pesisir tasik Danau Toba menuju ke Ambarita. Entah macam mana kami sesat masuk ke jalan mati perkampungan Batak. Di pinggir tasik Danau Toba kelihatan ada keluarga yang menjala ikan dan membasuh pakaian di situ. Anak-anak dengan selamba terjun ke dalam tasik dan membantu menaikkan jala. Mungkin ini kehidupan mereka masyarakat Batak yang bergantung hidup dengan tasik Danau Toba.

Oleh kerana pemandangan yang begitu menarik di Samosir ni, naik skuter sekejap-sekejap berhenti ambil gambar. Bukit-bukit vulkanik letusan jutaan tahun dahulu diselubungi kabus pagi. Sawah padi terbentang luas di pinggir bukit. Lembu-lembu bebas meragut. Jarang nak jumpa pemandangan macam ni di Malaysia.


Entah macam mana kami boleh sampai di kawasan pinggir Tasik Danau Toba ni.

Danau Toba yang menjadi nadi kehidupan masyarakat Batak.

Pohon-pohon menghijau dan kabus masih menutupi sebahagian tebing kawah Danau Toba.

Danau Toba yang luas ibarat lautan.

Aktiviti pagi masyarakat Batak di Danau Toba. 

Di pinggir tasik Danau Toba inilah tempat menjala ikan, dan di sinilah jugak tempat basuh baju.
Sesi menjala ikan.

Kanak-kanak masyarakat Batak yang pandai berenang.

Keluarga yang bergantung hidup pada tasik Danau Toba.

Si mak sedang membasuh baju, si anak beserta ayah menjala ikan.

Melihat hasil jalaan.

Walaupun ada air paip, mereka tetap membasuh baju di tasik Danau Toba.

Tebing-tebing tinggi yang membentuk kawah di Danau Toba.

Feeling-feeling New Zealand sekejap.

Di pinggir tebing tinggi, ada sawah padi yang terbentang luas di Pulau Samosir ini.

Sesi bergambiran sedang rancak.

Keindahan ciptaan tuhan yang tiada tolok banding.
Memasuki desa Ambarita.
Lalu di Desa Ambarita, ternampak papan tanda arah jalan ke Objek Wisata Budaya Batu Kursi Raja Siallagan. Kami pun mengikut arah yang ditunjukkan hingga sampai ke pintu masuk Batu Kursi Raja Siallagan. Di kawasan tersebut kelihatan banyak van-van pelancong membawa pelawat ke sini. Kelihatan gerai-gerai cenderamata didirikan di kawasan berhampiran. Matahari semakin terpacak atas kepala. Kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Pangururan yang masih jauh.

Jarak dari Tuktuk ke Pangururan lebih kurang 40KM. Sepanjang perjalanan dengan skuter di jalan pesisir Danau Toba, kami melalui beberapa buah kampung. Dari satu kampung ke kampung ada nama yang tersendiri. Nama bukan main sedap. Jalan pula ada beberapa tempat yang kurang elok. Pemandangan memang sangat-sangat menarik dengan tasik Danau Toba di sebelah kanan. Banyak juga kubur-kubur masyarakat Batak yang kami temui sepanjang perjalanan.

Kalau diperhatikan, setiap pusara mempunyai pintu-pintu kecil. Setiap pintu itu mengandungi tulang belulang nenek moyang mereka sampailah sekurang-kurangnya generasi ke-3. Orang Batak walaupun beragama Kristian tetap mengamalkan upacara pengkebumian semula. Mayat yang ditanam akan dikeluarkan semula, dibersihkan dan tulang belulang akan disimpan didalam pusara khas ini. Ianya dilakukan oleh cucu-cucu waris (sebelah bapa) yang akan melakukan adat ini dimana binatang ternakan akan turut dikorbankan dan dijamu kepada tetamu.

Kos untuk membina sebuah kubur atau pusara ini beserta kenduri untuk adat pengkebumian semula ini amat tinggi dan biasanya akan dikongsi bersama di kalangan waris-waris keluarga. Kebiasaannya mereka tidak akan mengumumkan berapa besar belanja dan berapa banyak sumbangan setiap waris untuk upacara tersebut. Ianya lebih kurang di antara RM 5,000 hinggalah ke RM 30,000 bergantung kepada kemampuan sosio-ekonomi sesuatu keluarga itu. Ritual pengkebumian semula ini telah menjadi satu cara memperlihatkan kekayaan sesorang itu walaupun tidak secara langsung.

Awek-awek masyarakat Batak yang baru balik dari gereja.

Pintu masuk Objek Wisata Batu Kursi Raja Siallagan.

Ini bukanlah gereja. Ia adalah binaan kubur masyarakat Batak yang unik.

Skuter Honda Vario yang telah diisi penuh minyaknya oleh tuan skuter.

Ini baru gereja sebenar. Banyak penganut mengunjungi gereja pada Hari Ahad.


Jalan-jalan kampung di sekitar Pulau Samosir.

Patutnya tasik Danau Toba berada di sebelah kanan kami sepanjang masa. Pusing balik cari port menarik untuk bergambar jadi la begini.

Jalan pun agak sunyi. Kadang-kadang baru selisih dengan van yang bawa pelancong.

Skuter Honda Vario yang digunakan untuk melayan selekoh pulau Samosir di pesisir tasik Danau Toba.





Rumah tradisional masyarakat Batak mempunyai pintu yang kecil dan atap yang melengkung.
Di pertengahan perjalanan menuju ke Pangururan, kami berhenti lagi setelah ternampak sebuah binaan yang menyerupai menara. Tertulis di situ Ompu Simataraja Raja Simarmata. Ada seorang brader tengah bergambar dihadapannya. Mungkin ianya merupakan tugu penting masyarakat Batak. Ada kanak-kanak bermain riang di kawasan sekitar. Di tepi tugu tersebut, ada sebuah lorong menuju ke arah tasik Danau Toba. Dengan sifat ingin tahu, kami memasuki lorong tersebut. Rupanya ada kawasan tersembunyi yang sangat indah di belakang tugu tersebut yang menghadap ke arah tasik. Gua perhati juga keliling, ada la sebuah rumah dengan 2-3 ekor anjing. Risau jugak nak masuk. Tapi dah alang-alang masuk, selamba je gua bawa skuter sampai ke tepi tasik. 

Sunyi sepi kawasan ni pada mulanya. Terpikir jugak kawasan larangan ke ni. Tak nampak apa-apa papan tanda tak bagi masuk pun. Yang ada di kawasan sekitar hanya lembu dan kerbau tengah meragut rumput. Dah jumpa tempat menarik, bergambar lah kami di sini. Tak lama kemudian, ada sekumpulan budak-budak datang. Londeh baju dan seluar terus terjun dalam tasik. Yang ni lagi selamba. Masa kami nak beredar datang pulak sebuah motor, yang ni pun terus terjun dalam tasik. Ingatkan boleh selam ke apa, rupanya nak cuci tayar motor !




Jumpa brader seorang ni sedang bergambar di salah sebuah tugu masyarakat Batak.


Tugu Simataraja Raja Simarmata.

Ada lorong kecil menuju ke tasik Danau Toba di belakang tugu Simataraja Simarmata.

Lembu-lembu bebas meragut.
Nampak tak aura kat situ?

Kalau bawa seluar lebih nak jugak rasa terjun tasik Danau Toba ni.

Lokasi indah yang tersembunyi di Pulau Samosir, Danau Toba ini.

Kerbau berkubang riang di pinggir tasik Danau Toba.

Lagi feeling-feeling New Zealand di Danau Toba.

Padang ragut yang luas di pinggir tasik Danau Toba.

Awan terbentang luas.

Air tasik yang membiru.

Tak sangka jumpa lokasi menarik seperti ini di Danau Toba.

Ada sekumpulan kanak-kanak leka bermain dan bermandi-manda di tepian tasik.

Datang geng-geng lain, buka baju dan seluar terus terjun tasik.
Datang pula sebuah motorsikal yang turut terjun ke tasik Danau Toba.


Rupanya begini cara untuk memebersihkan tayar motorsikal yang kotor.

Model Honda Vario cawangan Pulau Samosir.

Budak gemuk yang turut nak feeling-feeling model.

Sebenarnya banyak lokasi tersembunyi yang menarik di Danau Toba ni. Rajin-rajin explore masa ronda Pulau Samosir ni.


Kanak-kanak Batak Toba yang masih tak sudah main air tasik.

Kerbau dah naik lepas berkubang.

Jam 12.00 tengahari, kami masih belum tiba di Panguruan. Banyak kali kami berhenti sejak pagi tadi. Berhenti di rumah masyarakat Batak, melihat pusara mereka dan menikmati keindahan Danau Toba. Kami berhenti di salah sebuah warung bakso  muslim untuk menikmati makan tengahari. Agak sukar menjumpai makanan muslim di Pulau Samosir ini. kebanyakkan adalah kedai orang Batak, tapi semua pun menyajikan hidangan berasaskan babi. Kalau nampak ada tulis bismillah besar-besar tu, boleh la berhenti makan. Tapi agak diragui kebersihannya. Kalau hangpa jenis sempoi tak ada masalah.

Panas tengahari agak membakar kulit. Dari Pulau Samosir, kami menyeberangi jambatan yang dibina merentasi terusan yang memisahkan Samosir dari tanah besar. Pada asalnya Pulau Samosir bukanlah sebuah pulau, sebaliknya ia adalah sebuah tanjung. Pihak Belanda telah mengorek dan membina terusan di kawasan genting tersebut. Di Pangururan, kami melawat Air Panas Pangururan. Tak masuk pun, cuma sampai di pintu masuk. Masa tidak begitu mengizinkan. Setengah hari baru habis pusing setengah pulau.

Seterusnya, kami terus ke Menara Pandang Tele. Dari Pangururan kami mengikut jalan Pangururan-Tele yang menanjak dan berselekoh. Pemandangan sepanjang perjalanan sangat mengagumkan. Sempat kami mengisi bensin di sebuah kedai runcit tepi jalan menuju ke Tele. Perjalanan yang mendaki membuatkan skuter yang dinaiki dua orang sedikit meraung. Lanskap geografi semakin berubah memasuki ketinggian tertentu. Pohon-pohon kayu seakan berada di musim luruh dengan daun berwarna keperangan.


Lorong masuk ke wisata alam Pantai Pasir Putih. Kami tak sempat masuk pun.

Papan tanda arah menunjukkan wisata menarik di Pulau Samosir.

Makcik-makcik Batak Toba berkebaya anggun.
Jumpa kedai makan muslim. Pekena bakso dulu sebelum meneruskan perjalanan ke Pangururan.

Kubur-kubur masyarakat Batak yang mempunyai warna dan senibina yang unik.
Perbukitan di sebelah Tele.

Pemandangan sawah yang baru dituai dalam perjalanan menuju ke Tele.


Asalnya Samosir adalah sebuah tanjung. Terusan di Pangururan yang dibina oleh Belanda memisahkan Samosir menjadi sebuah pulau. 

Peringatan supaya menjaga serta memelihara keindahan Danau Toba untuk generasi akan datang.



Balik dari melawat kawasan wisata Air Panas Pangururan. Dijamu keindahan tasik Danau Toba yang cukup memukau.


Jalan di lereng-lereng bukit yang menghubungkan Pangururan dan Tele.

Di sebelah kiri jalan adalah tasik, dan di sebelah kanan jalan adalah bukit. Indah !



Budak-budak perkampungan sekitar Pangururan. Jalan baru sahaja di-tar.
Isi bensin dulu di salah sebuah kedai runcit semasa menuju ke Tele. Bensin di kedai runcit macam biasa, mahal sikit.

Sungai yang mengalir dari lembah pergunungan Tele. Cari mana kerbau.

Jalan yang mempunyai banyak selekoh tajam dari Pangururan ke Tele.

Perjalanan mendaki menuju ke Menara Tinjau Tele. Tangan kemerahan tanda dah cukup masak.

Jalan Pangururan-Tele yang sebahagiannya rosak dan berlopak.

Jalan menghubungkan Pangururan dan Tele agak jarang dilalui kenderaan. Sepanajng perjalanan ada beberapa buah pikap sahaja yang memotong kami, itu pun kedengaran sudah cukup meraung bunyinya dengan gear satu. Tidak lama kemudian, kami tiba di Menara Pandang Tele. Untuk masuk dan naikke atas menara, setiap pengunjung dikenakan sebanyak Rp 2,000 setiap seorang. Di kawasan sekitar, ada beberapa buah kedai seperti restoran yang beroperasi. Kami terus naik ke atas menara melihat panorama indah Danau Toba dari paras tertinggi. 

Banyak pelancong tempatan yang turut naik dan bergambar di atas menara. Kebanyakkan mereka adalah dari luar Danau Toba. Menara ini mempunyai empat tingkat, dan setiap tingkat mempunyai bilik berkaca kalau bagi yang tak berani atau gayat nak ke luar. Gua tengok banyak yang tampal stiker dekat bilik berkaca ni. Gua pun tempek la jugak stiker Budak Letrik sekeping. Kalau hangpa pi, nampak stiker Budak Letrik ni ambik la gambar hantar kat gua. Hadiah misteri menanti anda. Haha.


Menara Pandang Tele yang terletak di paras tertinggi.

Selekoh patah di Menara Pandang Tele. Ada kedai dan restoran di kawasan sekitar.

Pemandangan bukit-bukau Danau Toba dari Menara Pandang Tele.

Wisatawan tempatan tidak melepaskan peluang bergambar di Menara Pandang Tele ini.

Kresma/Budak Letrik Geocaching. 2°33'07.0"N 98°38'22.6"E

Sesiapa dah sampai Menara Pandang Tele ni boleh la cari stiker gua.


Suasana berkabus turun dari Menara Pandang Tele.

Sejuk membelah kabus.

Musim luruh di hatiku. Autumn in my heart.

Layan lenggok corner turun dari Menara Pandang Tele menuju ke Pangururan.

Naik agak lambat, turun bukan main laju.

Bukit-bukit vulkanik Danau Toba.

Bukit dan tasik membentuk pemandangan indah di Danau Toba.


Ada lembu sedang meragut di lereng-lereng bukit.

Turun dari Menara Pandang Tele menuju kembali ke Pangururan, cuaca kelihatan agak mendung. Tak lama kemudian, hujan pun turun. Jam 3.30 petang dalam keadaan hujan renyai-renyai, kami mencari jalan untuk pulang semula ke Tuktuk dari Pangururan. Ada 3 pilihan, antaranya adalah mengikut jalan yang sama seperi mana jalan yang kami datang tadi, mengikut jalan perbukitan merentas hutan di tengah Samosir ataupun mengikut jalan pesisir tasik Danau Toba yang masih berbaki separuh pulau.

Rancangannya nak habiskan mengikut jalan pesisir tasik Danau Toba. Kiranya pusing satu pulau ikut jalan pesisir tasik. Tapi ikut kiraan Google Maps, laluan yang berbaki tadi agak jauh lebih kurang 50 KM lagi. Dari peta nampak jalan tengah yang menuju ke Tuktuk lebih dekat bila kita merentasi jalan berbukit di tengah Samosir. Kami nekad nak mencuba jalan hutan yang berbukit di tengah Samosir. Hujan renyai-renyai dan hari semakin gelap. Nak kena pulangkan motor pada jam 6.00 petang pulak petang tu. Jalan berbukit ni agak sepi dan seram jugak, Awalnya ada perkampungan, tapi lama-lama hanya tinggal hutan dan jalan yang berbukit. Periksa peta balik, jalan dah dekat setengah jam naik bukit tapi dlam peta baru bergerak sikit. Tak boleh jadi ni. Kami berpatah balik dan mengikut jalan yang sama ketika kami datang tadi. Jalannya agak mendatar dan boleh laju sikit. Walaupun keadaan hujan dan jalan basah, kami meneruskan perjalanan kembali ke Tuktuk.

Musim durian barangkali di Samosir ini.

Dimana-mana pun banyak durian diniagakan di pinggir jalan sekitar Samosir.
BPK - Babi Panggang Karo. Kidu-kidu, cincang, sup. Tersedia !

Kanak-kanak riang bermain bolasepak di pinggir tasik Danau Toba.

Menikmati keindahan Danau Toba di petang hari dalam perjalanan menuju kembali ke Tuktuk.

Air bertakung di padang selepas hujan lebat.

Selamat kembali ke Tuktuk sebelum hujan lebat membasahi bumi sepanjang malam.

Chalet-chalet di pinggir tasik Danau Toba.

Geng makcik-makcik kelam kabut balik sebelum hujan.
Beberapa ketika sebelum hujan lebat melanda Tuktuk.

Semalaman hujan lebat di Tuktuk. Kembali ke Rodeo Guesthouse untuk makan malam.

Nasi goreng telur dan kopi panas menjadi hidangan makan malam kami.

Uncle Tam dan isterinya yang ramah dan mesra.
Kami sampai di Tuktuk lebih kurang 6.30 petang. Hujan dari Pangururan tadi dah berhenti, tetapi cuaca mendung seakan-akan akan hujan lagi. Elok kami sampai di Rodeo Guesthouse, hujan turun dengan selebat-lebatnya. Kami pulangkan semula skuter pada tokey kedai runcit sesudah sampai. Dia pun paham kami lambat pulangkan skuter oleh kerana keadaan hujan lebat. 

Hujan lebat turun sepanjang malam. Rancangannya nak ronda malam ni di sekitar Tuktuk, tapi tak kesampaian. Hujan ditambah dengan kesejukan Danau Toba cukup menusuk tulang. Dalam sejuk-sejuk ni lapar pun cepat. Dari siang hingga ke malam, hanya jamah bakso tengahari tadi. Mulalah gelisah nak cari makan. Lepas Isyak dalam hujan kami menuju ke Restoran Rodeo Guesthouse. Kelihatan tuan guesthouse dah berselimut tebal bersantai menonton televisyen. Apabila nampak kami dalam kehujanan, cepat-cepat dia pelawa kami masuk ke dalam. Menu malam ini sama seperti semalam, nasi goreng telur dan kopi panas. Nikmat betul pekena kopi di saat kesejukan ini.

Selesai makan, kami singgah di kedai runcit bertentangan untuk membeli sedikit kudapan. Kedai runcit inilah tempat kami menyewa skuter hari ini. Kedai runcit tersebut dimiliki oleh pasangan Batak, Uncle Tam dan isterinya yang begitu ramah dan mesra dengan kami. Hujan lebat memaksa kami untuk berteduh di kedai Uncle Tam. Bersungguh isteri Uncle Tam melayan kami. Uncle Tam pun begitu ramah bersembang. Macam-macam yang kami bualkan. Menurut Uncle Tam yang bekerja di salah sebuah hotel di Danau Toba ini, bila tiba Tahun Baru Cina banyak pelancong terutama kaum cina akan berkunjung ke Danau Toba. Tak kira cina Malaysia atau cina Indonesia semunya akan datang bercuti pada waktu itu. Sampaikan bilik-bilik hotel terpaksa dikongsi kerana semuanya penuh!

Hujan masih tidak menunjukkan tanda mahu reda malam itu. Berlari kami balik ke guethouse dalam kebasahan. Sayang sebenarnya nak tinggalkan Danau Toba ni. Tak habis explore lagi. Kalau boleh gua nak lepak 2-3 hari lagi tapi masa tak mengizinkan. Insyaallah kalau diizinkan gua nak jejak lagi di Danau Toba ni.

Bersambung ke Kembara Trans Sumatra : Samosir - Medan (Part 7)

4 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...