السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.
Oleh kerana permintaan yang tinggi terhadap travelogue Indochina Overland Project yang tertunggak, gua gigih jugak menaip menyiapkan catatan kembara di bumi Hanoi ini. Bukan tak nak sambung cerita Indochina Overland ni, tapi gambar-gambar Hanoi yang disimpan dalam komputer dah hilang. Nasib baik la ada Facebook, sempat gua download balik dari album untuk dimasukkan dalam catatan Hanoi ini.
Sampai mana kita ? Oh ya.
Pagi-pagi lagi kami tiba di kota Hanoi yang merupakan ibu negara Vietnam di sebelah utara. Bas yang kami naiki dari Hoi An semalam hanya berhenti di tepi jalan sahaja menurunkan penumpang, bukan di stesen bas. Jenuh jugak kami cari jalan untuk ke Old Quater bagi mencari tempat penginapan hari tersebut. Kebetulan pula hujan renyai-renyai baru sahaja berhenti. Dengan hanya menyarung selipar jepun dan menggalas bagpack yang sarat dan penuh dengan barang makanan dari Malaysia, kami menapak berjalan kaki menuju ke Hanoi Old Quarter berpandukan peta yang dicetak awal-awal lagi di Malaysia.
Kawasan Old Quater di ibukota Hanoi ini merupakan salah satu kota tertua di dunia dan asalnya kemunculan bandar Hanoi. Kehadiran bangunan-bangunan lama yang bersejarah di dalam kawasan Old Quater ini yang membayangkan suasana persekitaran di Hanoi suatu masa dahulu. Berdekatan dengan Old Quater, terdapat sebuah tasik yang menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong luar iaitu Tasik Hoan Kiem atau juga dikenali sebagai Hoan Kiem Lake. Kami melalui kawasan persekitaran tasik ini sebelum tiba di Old Quarter.
Suasana pagi di Hanoi khususnya di kawasan Old Quarter sangat menarik untuk disaksikan. Kelihatan pakcik-pakcik dan makcik-makcik di hujung usia masih gagah menjual pelbagai barangan runcit, buah-buahan dan pakaian. Selain itu juga, antara benda menarik yang boleh dilihat di bandar Hanoi adalah kesungguhan penduduk tempatan menjaga kesihatan mereka. Tidak kira cuaca atau pun waktu, taman -taman rekreasi dan tasik sentiasa dipenuhi dengan orang ramai melakukan aktiviti riadah. Ada yang berjoging, ada yang berjalan dan ada yang bermain sepak raga. Sama seperti di Ho Chi Minh City (Saigon) dan bandar lain di Vietnam, agak sukar untuk mencari penduduk Vietnam yang berbadan gempal atau gemuk. Semuanya saiz standard-standard belaka.
|
Selamat tiba di Hanoi. Usung backpack ke sana ke mari di bumi Vietnam. |
|
Jalan basah selepas hujan di bandar Hanoi. |
|
Polis Vietnam tetap setia menjaga amanah tugas walaupun ketika hujan. |
|
Bandar Hanoi yang bersih. |
|
Tak kira cuaca, aktiviti riadah berjalan seperti biasa di Hanoi. |
Melilau kami mencari hostel atau pun guesthouse yang bersesuaian dengan bajet kami di Old Quater, Hanoi. Ada yang mahal dan ada yang murah. Seperti biasa, kami mengamalkan konsep walk-in sahaja dalam pemilihan tempat menginap sepanjang perjalanan pengembaraan di bumi Indochina ini. Senang cerita, kalau kami rasa tempat tu berbaloi dan kena pada harganya, kami on sahaja. Kalau tidak, kita boleh pilih tempat lain yang lebih baik.
Beberapa buah hostel yang kami tanya harga bilik mereka agak mahal. Kami cuba nasib untuk bertanya di Kangaroo Hostel yang terletak di dalam kawasan Old Quarter Hanoi ini. Harga bagi sebuah bilik untuk 2 orang yang dilengkapi dengan penyaman udara, tv dan pemanas air hanya $12 USD untuk semalam. Sebenarnya kami tidak perlukan penyaman udara dan kalau ada bilik berkipas angin yang lebih murah itu lebih baik. Malangnya semua bilik di sini dilengkapi penghawa dingin. Dengan harga tersebut, kami rasa dah cukup sesuai dengan bajet kami. Kongsi-kongsi baru $ 6 USD sahaja seorang.
Layanan yang diberikan oleh kakitangan Kangaruu Hostel ini juga cukup baik. Boleh gunakan perkhidmatan komputer di ruang lobi secara percuma dan kemudahan wifi di setiap bilik. Kami diberikan peta oleh pihak Kangaruu Hostel untuk memudahkan perjalanan di dalam Old Quarter yang mempunyai banyak lorong ini. Alhamdulillah, tetap sesat jugak tapi tak selalu. Sebelum itu, kami sempat melelapkan mata sekejap di dalam bilik selepas pekena mee segera seorang sebungkus sebagai sarapan. Jam 12.00 tengahari baru kami bangkit mandi dan bersiap untuk memulakan aktiviti meronda melihat suasana di kawasan sekitar Old Quater.
|
Kangaruu Hostel di Old Quater, Hanoi |
|
Bilik untuk 2 orang di Kanggaruu Hostel. |
Destinasi yang kami yang kami tuju secara tidak sengaja adalah Masjid Al-Noor yang terletak di Hang Luoc Street, tidak jauh dari Kangaroo Hostel tempat kami menginap. Tak sampai 200 meter pun. Rancangan asal memang nak cari masjid pun untuk mendapatkan makanan halal, tapi tak terfikir pun sedekat ini rupanya. Allah permudahkan urusan hambanya. Kami memasuki kawasan masjid, dan terdapat sebuah restoran halal di kawasan kejiranan masjid tersebut yang diusahakan oleh penduduk muslim tempatan. Nak kata restoran pun bukanlah, lebih kepada rumah persendirian yang menyediakan masakan halal. Hari ini kami cuti memasak, ingin mencuba masakan tempatan pulak.
Kami disambut dengan ucapan salam seorang remaja lelaki yang mengalu-alukan kedatangan kami ke kedainya. Memang orang Vietnam asli. Kemudian, seorang makcik tua keluar dari dapur menunjukkan menu yang terdapat di restoran halal ini. Ada bahasa inggeris boleh la paham sikit. Kami berdua memesan dua pinggan nasi goreng ayam dan minuman Coke. Di dalam menu dah ada tulis harga siap-siap. Lebih kurang 80,000 Dong (~RM 12) harga untuk makanan dan minuman yang dipesan tadi.
Makanan yang dipesan sampai lebih kurang 15 minit kemudian. Hanya kami yang berada dalam restoren halal tersebut. Layanan pun mesra, tapi kurang faham dan fasih berbahasa Inggeris membantutkan komunikasi dua hala. Apa yang gua tanya kadang-kadang tidak difahami dengan jelas. Masakan yang disediakan boleh tahan sedap dan kena dengan tekak.. Habis jugak sepinggan nasi goreng ayam Hanoi gua balun ni. Mungkin kerana asyik menghadap menu yang sama setiap hari (sardin+telur) hampir seminggu di Vietnam membuatkan tekak berselera menghadap makanan lain.
|
Papan tanda arah yang mempunyai petunjuk berbahasa Inggeris. |
|
Motorsikal dan basikal tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan masyarakat Vietnam. |
|
Papan tanda restoran halal di kawasan perkarangan Masjid Al-Noor, Hanoi. |
|
Nasi goreng ayam cara Vietnam. |
|
Boleh tahan rasanya, dan habis jugak sepinggan. |
|
Di luar kawasan kejiranan Masjid Al-Noor, mesyuarat tingkap sedang berjalan. |
|
Ruang solat di dalam Masjid Al-Noor, Hanoi yang agak luas dan selesa. |
|
Peringatan ni selalu nampak di Malaysia kan ? Di Masjid Hanoi pun ada. |
|
Pintu masuk Masjid Al-Noor, Hanoi. |
Oleh kerana waktu Zuhur dah berlalu, kami terus ke masjid yang terletak bersebelahan kedai makan tadi untuk menunaikan solat Jama'. Tak ada orang di dalam masjid, melainkan seorang pakcik tua yang sedang membersihkan tingkap. Beliau hanya tersenyum melihat kehadiran kami di dalam masjid. Ruang di dalam masjid bersih dan selesa. Mungkin dijaga rapi oleh penduduk muslim di sini. Seusai solat, kami beredar dari Masjid Al-Noor, berjalan kaki menuju ke stesen keretapi Hanoi untuk membeli tiket keretapi ke Sapa. Berpandukan peta, kami mengikut nama jalan dan lorong yang tercatit. Kadangkala, kami menanyakan orang tempatan adakah jalan yang kami ikut adalah betul untuk ke stesen keretapi Hanoi.
Sampai di stesen keretapi Hanoi atau disebut sebagai Ga Hanoi, kami terpinga-pinga sekejap. Luas juga bahagian dalam stesen keretapi Hanoi ni. Kami tercari-cari tempat membeli tiket untuk ke Sapa. Rancangannya malam esok kami akan bergerak ke Sapa. Tanya kepada seorang pengawal keselamatan di situ, dia mengarahkan kami untuk beratur di salah satu kaunter. Setiap kaunter dikhaskan untuk jurusan destinasi yang berbeza-beza. Banyak papan tanda ditulis dalam bahasa Vietnam sedikit meyukarkan kami. Tiket keretapi untuk ke Sapa berjaya dibeli dengan harga 215,000 Dong seorang untuk kerusi keras (
hard seat). Kalau pilih
sleeping berth agak mahal dan perlu ditempah awal. Banding-bandingkan harga balik, diantara tambang kerusi keras
(hard seat) dan kerusi lembut
(soft seat) rupanya tidaklah jauh beza. Tapi dah terbeli kerusi keras, layan sahajalah.
|
Berjalan kaki menuju Ba Dinh Square yang terletak agak jauh dari Old Quater. |
|
Suasana petang di Old Quarter, Hanoi. |
|
Bahasa atas tu haram tak faham. Yang gua tahu ini adalah pasar berhampiran Old Quarter, Hanoi. |
Dari stesen keretapi, kami menyusuri kesibukan kota Hanoi dengan berjalan kaki ke Ba Dinh Square. Kalau di bandaraya Kuala Lumpur adanya Dataran Merdeka, begitu juga dengan di Hanoi dengan Ba Đình Square-nya. Ba Đình Square merupakan satu mercu tanda yang terkenal di kota Hanoi dengan adanya Ho Chi Minh Mausoleum, tempat bersemadinya jasad Presiden Ho Chi Minh yang dijaga oleh pasukan tentera bersenjata. Rumput-rumput hijau segar menghiasi kawasan perkarangan Ba Đình Square. Pengunjung diberi amaran supaya tidak memijak rumput yang ada di kawasan iitu. Kami sempat mengambil 2-3 keping gambar sebagai kenanagan di Ba Đình Square ini. Berhampiran dengan Ba Đình Square ini, terdapat pejabat Kedutaan Malaysia. Bukan main seronok melilau depan kedutaan ambil gambar. Apa yang seronok gua pun tak tahu. Mungkin rindu Malaysia kot setelah seminggu berada di Vietnam ni. Haha.
|
Ho Chi Minh Mausoleum |
|
Kalau kena dengan harinya, ada pasukan tentera berkawad di Ba Dinh Square ni. |
|
Tembok besar tempat jasad Ho Chi Ming disimpan. |
|
Pengunjung di perkarangan Ho Chi Minh Mausoleum. |
|
Ho Chi Minh Mausoleum |
|
Dilarang memijak rumput di Ba Dinh Square. |
|
Ho Chi Minh Mausoleum di tengah-tengah Ba Dinh Square. |
|
Maddin di hadapan Ho Chi Minh Mausoleum. |
|
Ho Chi Minh Mausoleum yang dikawal rapi oleh pasukan tentera bersenjata. |
|
Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi, Vietnam |
|
Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi, Vietnam |
|
Pekena ayaq tebu dulu. Segelas lebih kurang RM 2.00. |
Puas pusing Ba Dinh Square, dahaga lah pulak. Kebetulan ada gerai-gerai kecil berhampiran Ba Dinh Square yang menjual minuman. Air tebu pun ada. Yang menjadi masalahnya adalah nak pesan air tebu. Sebut
sugarcane pun tak paham. Akhir sekali pergi kat mesin air tebu, tunjuk air tebu baru lah paham. Mahal jugak air tebu di Vietnam ni jika nak dibandingkan dengan negara jiran seperti Cambodia. Mungkin di kawasan tumpuan pelancong barangkali.
Dari Ba Dinh Square, kami berjalan kaki pulang ke Old Quarter melalui jalan lain. Dapat la tengok kehidupan masyarakat Hanoi dari sisi yang berbeza. Apa yang menarik di Vietnam, anda tidak akan menemui pengemis di kaki lima jalan walaupun ada yang betul betul susah. Mereka akan berusaha sendiri mencari punca pendapatan dengan berniaga sendiri walaupun hanya dengan menjual air mineral. Memang betul-betul boleh diberi pujian.
|
Republik Sosialis Vietnam. |
|
Kedai kipas. |
Waktu hampir Maghrib baru kami tiba kembali di Kangaruu Hostel. Sempat update lokasi terkini dengan menggunakan wifi hostel. Tiba masanya untuk makan malam. Malam ini kami masak makanan ringkas di dalam bilik sahaja kerana sudah kekenyangan mencuba makanan halal di Hanoi ini. Kami buat keputusan untuk keluar lagi pada waktu malam untuk melihat susana malam di Old Quarter ini. Keadaan malam masih lagi meriah ditambah dengan kehadiran pasar malam di bahu jalan. Ada yang menjual pakaian, kasut dan makanan. Bajet yang terhad membataskan perbelanjaan. Hanya mampu tengok saja dari jauh.
|
Suasana malam berhampiran Tasik Hoan Kiem. |
|
Syurga kasut. |
|
Meriah dengan orang berniaga di sekitar Old Quarter. |
|
Jalan yang bersih. |
|
Aktiviti melepak di sekitar Tasik Hoan Kiem pada malam hari. |
|
Melihat persekitaran dan gelagat penduduk tempatan. |
|
Sehari semalam pun tak habis ronda di Old Quarter ni. |
|
Kasut lagi. |
|
Setiap masa pun ada ja aktiviti riadah sekitar Tasik Hoan Kiem ini. |
Kami singgah membeli air mineral di salah sebuah kedai runcit di Old Quarter ini. Sepanjang perjalanan di Old Quarter, bilangan pelancong asing kebanyakkannya mat saleh boleh dikatakan agak ramai. Maka boleh nampak kelab-kelab malam tempat mereka lepak minum malam-malam di Old Quarter ni. Dari Old Quarter, kami berjalan kaki menuju ke Hoan Kiem Lake. Saja nak melepak-lepak di sana. Aktiviti riadah masih lagi rancak di persekitaran tasik pada malam hari. Yang berjoging, yang berbasikal semua ada. Pakcik-pakcik tua kelihatan melepak menyembang sesama mereka. Berhadapan tasik ada sebuah bangunan di seberang jalan, rupanya ada persembahan
puppet theatre. Patut la mat saleh ramai di sini. Kami lalu sahaja di situ semasa pulang semula ke hostel. Maka berakhirnya seharian aktiviti di Hanoi. Balik dan terus lelapkan mata untuk kembara hari seterusnya.
Bersambung ke
Indochina 'Long Way Back' Overland Project | Part 7 : Hanoi (Hari 2)
// Catatan Travelog Indochina 'Long Way Back' Overland Project //
Tiada ulasan:
Catat Ulasan