Sambungan dari
180 Hours Trans Borneo : Brunei
السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu.
Peace be upon you.
Pagi hari baru di negara Brunei Darussalam. Pagi ini pagi hari Jumaat dan merupakan hari kedua gua berada di negara Brunei. Hari ini juga merupakan hari terakhir gua berada di negara Brunei Darussalam sebelum masuk ke Malaysia balik menuju ke negeri Sabah untuk ke bandar Kota Kinabalu.
Gua bangkit sembahyang Subuh sebelum sambung lagi tidur sehingga jam 8.00 pagi. Entah awat mengantuk sangat pun abang tak tau. Semalam balik lambat kot bila duduk melilau sorang-sorang dalam Bandar Sri Begawan ni.
Gua siap mandi dan berkemas. Ikutkan jadual, hari ini gua wajib check-out pukul 11.00 pagi dari dorm ni. Tapi masih lambat lagi. Gua keluar dari hotel dan menuju ke Tamu Kianggeh lebih kurang 200 meter sahaja. meriah susana Tamu Kianggeh pagi ini. Orang ramai kelihatan berpusu-pusu ke Tamu Kianggeh yang terkenal di kalangan penduduk tempatan untuk mencari bahan segar untuk masakan.
Tamu Kianggeh yang terletak di pinggir Sungai Kianggeh ini menjual pelbagai barangan basah seperti ikan dan sayuran. Selain itu, ada jugak peniaga yang menjual sarapan pagi di suatu sudut lain. Gua tak beli apa-apa pun. Cuma meronda sahaja melihat suasana Tamu Kianggeh.
Harga dijual dalam Dolar Brunei, tetapi tetap dipanggil Ringgit. Contohnya, buah mangga selonggok 5 Ringgit. Harga lebih kurang pasar di Malaysia tetapi dalam Dolar Brunei. Darab 2.6 memang rasa mahal di Brunei ni.
Kelihatan di Sungai Kianggeh bot-bot tambang mengambil dan menurunkan penumpang. Ada dia antara mereka dari perkampungan berhampiran khususnya dari Kampung Ayer. Ada pengusaha bot yang melambai-lambai mencari pelancong untuk dibawa bersiar-siar mengelilingi Kampung Ayer. Itulah rezeki pendapatan mereka sehari-hari. Bila waktu tengahari atau petang pula, mereka turun ke laut bagi menangkap ikan.
Ada seorang pakcik bersembang dengan gua di Tamu Kianggeh. Kebanyakan orang Brunei ini ramah-ramah belaka. Kemana-mana gua pergi mesti ada saja orang yang menyapa. Nak kata gaya pakaian, gua pakai biasa-biasa saja.
Mungkin bahasa gua pertuturkan yang sedikit berbeza yang membuatkan orang Brunei tahu gua dari Malaysia. Soalan MH370 selalu bermain di bibir. Gua pun bukan pakar sangat nak menjawab hal-hal begini. Cuma jawab apa yang gua tahu sahajalah.
|
Suasana pagi di Tamu Kianggeh. Penduduk tempatan di negara Brunei Darussalam keluar membeli-belah di pasar ini seawal pagi. |
|
Harga barangan di Tamu Kianggeh ini urusniaganya dalam Dollar Brunei. Walaupun begitu, depa tak panggil 'Dollar' tapi tetap panggil 'Ringgit'. |
|
Hasil tani seperti sayur-sayuran banyak dipasarkan di Pasar Tamu Kianggeh. |
|
Gua seronok melilau dalam Tamu Kianggeh melihat orang sibuk membeli-belah sedangkan gua tak beli apa pun. |
|
Tamu Kianggeh ni macam pekan hari atau pasar tani di Malaysia. |
|
Pelbagai barangan dijual di Tamu Kianggeh ini antaranya hasil laut. Contohnya macam ni udang kering. |
|
Tamu Kianggeh ni tak besar mana tapi macam-macam barang basah boleh didapati di sini. |
|
Waktu pagi di Tamu Kianggeh ni memang ramai orang tempatan sibuk membeli-belah. |
|
Sayur-sayur segar yang dipasarkan di Tamu Kianggeh. Abang memang tak beli la, bukan nak masak pun. |
|
Ada yang datang ke Tamu Kianggeh dengan bot |
|
Pakcik-pakcik bot mencari penumpang berhampiran dengan Tamu Kianggeh. |
|
Mangga putik masam di Tamu Kianggeh. Sekilo dekat $5 BD |
|
Tamu Kianggeh yang tidak jauh berbeza dengan pekan hari atau pasar tani di Malaysia. |
|
Cili kering ke bawang semua ada di Tamu Kianggeh ni. |
|
Nampak? Gigih abang tangkap gambar halia. Sekilo kalau dalam Ringgit Malaysia dekat RM 9.00. |
|
Sarapan pagi di Tamu Kianggeh. Yang peliknya tak banyak orang jual sarapan di sini. |
|
Jumpa juga air kegemaran ni di Brunei. Ingat di Indonesia sahaja ada. |
Jam menghampiri jam 11.00 pagi, gua segera kembali ke KH Soon Hotel. Gua sempat mandi dan berkemas sebelum meminta kebenaran untuk meninggalkan bag gua sementara di sini untuk menunaikan solat Jumaat pada jam 12.30 tengahari. Mengikut kata pakcik yang gua bersembang tadi, semua premis perniagaan wajib ditutup dari jam 12.00 tengahari hingga pukul 2.00 petang.
Tak kisah restoran apa sekalipun. McDonald ke Burger King ke semua wajib tutup. Ada undang-undang yang mewajibkan perkara ini di Brunei. Patut lah gua makan tengahari, atau di mana-mana sahaja kedai yang gua jumpa telah tertera notis akan ditutup jam 12.00 sehingga 2.00 petang bagi menghormati hari Jumaat. Alangkah indahnya undang-undang ini jika dilaksanakan di Malaysia.
Selesai makan di sebuah restoran di Bandar Sri Begawan ini, gua segera menuju ke Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin bagi menunaikan solat Jumaat dengan berjalan kaki. Jaraknya tidaklah terlalu jauh. Kelihatan umat Islam lain turut berjalan kaki menuju ke sana. Premis perniagaan mulai ditutup jam 12.00 tengahari. Gua sampai di masjid lebih kurang jam 12.15 tengahari. Sempat pusing satu masjid ambil gambar keindahan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin yang menjadi mercu tanda negara Brunei ini.
|
Sementara menunggu solat Jumaat di Masjid Omar Ali Saifuddin. |
|
Bahagian dalaman Masjid Omar Ali Saifuddin. |
|
Bahtera besar yang menghiasi keindahan Masjid Omar Ali Saifuddin. |
|
Struktur bahtera yang menjadi tempat pertandingan Tilawah Al-Quran di Masjid Omar Ali Saifuddin. |
|
Kubah emas Masjid Omar Ali Saifuddin. Tak jemu tengok masjid ni berkali-kali. |
|
Pemandangan pintu masuk utama Masjid Omar Ali Saifuddin |
|
Jabatan Hal Ehwal Syariah Brunei. |
|
Batu tanda Masjid Omar Ali Saifuddin. |
|
Minuman percuma disediakan di luar masjid Masjid Omar Ali Saifuddin sebelum solat Jumaat. |
|
Bangunan Masjid Omar Ali Saifuddin yang siap dibina pada tahun 1958. |
|
Struktur perahu atau bahtera besar di tasik buatan Masjid Omar Ali Saifuddin. |
|
Tidak sah kunjungan anda ke Brunei jika tidak melawat Masjid Omar Ali Saifuddin. |
|
Gambar yang diambil tidak dapat menggambarkan keindahan Masjid Omar Ali Saifuddin. Anda kena tengok sendiri. |
|
Senibina Mughal dan Itali digabungkan pada Masjid Omar Ali Saifuddin ini. |
|
Tempat mengambil wuduk di Masjid Omar Ali Saifuddin. |
|
Senibina Masjid Omar Ali Saifuddin. |
|
Masjid Omar Ali Saifuddin yang merupakan salah sebuah masjid yang tercantik di Asia Pasifik. |
|
Kubah emas Masjid Omar Ali Saifuddin. |
|
Masjid Omar Ali Saifuddin yang menjadi tarikan utama pelancong ke Brunei. |
Sesudah selesai Solat Jumaat di Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin ini, gua kembali semual ke KH Soon Hotel untuk mengambil beg yang ditinggalkan. Sebelum itu gua sempat singgah di jeti bot tambang berhampiran Yayasan Sultan Hassanal Bolkiah. Kelihatan bot-bot tambang sentiasa berulang-alik membawa penumpang pergi-balik dari Kampung Ayer ke bandar.
Gua kemudiannya melalui bangunan Yayasan Sultan Hassanal Bolkiah di mana tempat gua melepak semalam. Sempat curi wifi di Restoran KFC berhampiran untuk mengkaji perjalanan seterusnya ke Wilayah Persekutuan Labuan. Kena keluar awal-awal dari Brunei oleh kerana kos hidup yang tinggi di sini. Hehe.
Mengikut jadual di internet, feri terakhir yang akan berangkat dari Brunei menuju ke Labuan adalah pada pukul 4.30 petang. Jam pada waktu itu menunjukkan jam 2 petang. Kena cepat untuk mengejar feri ke Labuan. Kalau tidak terpaksa bermalam di Brunei semalam lagi.
Sebenarnya ada pelbagai cara untuk ke sebelah Sabah. Kalau mengikut perjalanan darat, anda kena melalui banyak border crossing di Brunei ini oleh kerana faktor geografi negara Brunei yang terpisah di tengah-tengah oleh Limbang( Sarawak). Jadi anda kena keluar Brunei, masuk Sarawak, masuk Brunei balik, kemudian keluar Brunei untuk masuk ke Sarawak semula sebelum masuk ke Sabah. Banyak kali kena cop passport.
Perkhidmatan bas terus Brunei ke Kota Kinabalau ada gua nampak dan harganya agak mahal dan mengambil masa perjalanan yang agak lama.Cara alternatif lain untuk ke Sabah dari Brunei seperti yang gua buat adalah dengan menaiki feri ekspress dari Terminal Jeti Serasa di Muara, Brunei hingga ke Labuan.
Cepat cepat gua ambil beg dan terus ke Terminal Bas Jalan Cator mencari bas untuk ke Muara. Gua naik bas bernombor 38 berwarna ungu ke Muara. Lebih kurang 40 minit, bas tiba di Muara. Kena tukar bas bernombor 33 di hentian Muara ini untuk ke Terminal Jeti Serasa. Tak payah bayar tambang, cuma tunjukkan tiket yang tadi.
Tak sampai 10 minit sampai la ke Terminal Jeti Serasa cun cun je pukul 4.15 petang. Gua terus bergegas beli tiket di kaunter. Tanya brader kaunter feri ke Labuan masih ada lagi ke kosong. Alhamdulillah ada. Tambang feri sebanyak $17 BD dikenakan untuk setiap penumpang termasuk cukai jeti sekali dari Brunei ke Labuan.
|
Perkarangan bangunan Yayasan Sultan Hassanal Bolkiah. Tak ada mat-mat rempit, tak ada peminta sedekah dan seumpanya di kawasan ini. |
|
Bangunan Yayasan Sultan Hassanal Bolkiah. Macam pusat membeli-belah di dalamnya dengan pelbagai kedai dan pasaraya. |
|
Bot-bot dari Kampung Ayer. |
|
Bangunan Yayasan Sultan Hassanal Bolkiah. |
|
Masjid Omar Ali Saifuddin yang megah. |
|
Gua tak jemu tengok pemandangan Masjid Omar Ali Saifuddin ni. |
|
Bot tambang yang berulang-alik ke Kampung Ayer. |
|
Bot panjang mengangkut budak sekolah. |
|
Naik bas selama 30 minit ke Muara dari Bandar Sri Begawan dengan tambang sebanyak $1 BD. |
|
Bas-bas pelbagai warna di Terminal Bas jalan Cator, Brunei. |
|
Tukar bas lain di hentian Muara untuk ke terminal jeti Serasa |
|
Kaunter tiket Terminal Muara yang tiada orang. |
|
Dewan berlepas Terminal Jeti Muara, Brunei. |
|
Feri Syarikat Ming Hai yang bertolak jam 4.30 petang ke Labuan dari Terminal Serasa, Brunei. |
|
Feri ekspress dari Brunei menuju ke Labuan |
Gua masuk ke dalam feri jam 4.30 petang, banyak kerusi yang kosong. Memang tak ramai penumpang yang menuju ke Labuan. Satu baris kerusi 5 orang, gua seorang saja yang duduk. Bersila panggung lah gua. Layan pula cerita DVD Indonesia yang dipasang di dalam feri.
Lebih kurang 4.45 petang, baru feri 2 tingkat ini bertolak ke Labuan. Bunyi enjin yang bising buat gua tak boleh nak lena. Nak tengok laut di kiri kanan cermin pun tak nampak. Layan cerita Indonesia sajalah nampaknya sampai ke Labuan.
Feri Ekspress Ming Hai ini tiba di pulau bebas cukai Labuan lebih kurang jam 6.30 petang. Lawa pemandangan waktu senja di sini. Gua tergesa-gesa mencari surau mencari surau oleh kerana masih belum solat Asar lagi..
// Catatan Travelogue 180 Hours Trans Borneo //
Tiada ulasan:
Catat Ulasan